Posts

Showing posts from May, 2017
Image
Ramadhan kelima. Tadarus. Setahu saya maknanya adalah membaca al-Qur'an secara bergilir-gilir dalam sesebuah kumpulan; tujuannya adalah untuk disemak ahli lain sewaktu seseorang ahli kumpulan itu membaca. Tidak dinamakan bertadarus jika hanya saya seorang yang membaca. Berbeza lagi dengan bertalaqi (seperti yang pernah AM beritahu). Alangkah bahagia sekali jika tadarus dapat dilakukan dalam kalangan ahli keluarga, bukan sahaja dalam bulan Ramadhan yang barakah ini. Namun dalam kekangan masa, Allah ya Allah, ia masih sukar untuk dilaksana. Begitu  juga dalam berjarak. Maka kita sendirilah membacanya dan seperti biasa perihal bersendiri ini merupakan pelajaran terbaik untuk kita berhadapan dengan saat itu nanti. Ya, saat akhirnya kita sendiri. Minggu ini saya berhadapan dengan beberapa perjalanan menjadi sendiri. Berpulangnya beberapa nama, seperti selalu sangat mengharukan namun ia seperti membaca al-Qur'an sendirian, ia amanat yang mengesankan. 

Image
Ramadhan Keempat. Kebahagian saya akhir-akhir ini ialah saya mencintai al-Qur'an. Apabila mengakui bahawa saya mencintai al-Qur'an, jauh sekali mahu mengatakan bahawa saya ini ahli al-Qur'an. Saya hanya bermaksud saya suka membaca, kerap membaca dan suka mendengar bacaan al-Qur'an. Berbanding dahulu, sayalah yang paling jauh daripada al-Qur'an. Semasa menjadi hujjaj, misi saya hanya membaca terjemahan. Allah ya Allah. Bertahun-tahun saya membaca terjemahan tanpa memperdengarkan ayatnya (takut tajweed yang salah dan bunyi bacaan saya yang buruk) sehingga suatu hari sahabat syurga saya, almarhum Wan Azreena menasihati saya. Katanya ayat al-Qur'an adalah syifa. Penyembuh. Bacalah. Saya seperti disergah Jibrail. Selepas itu Jibrail kedua saya adalah Zahar. Saya selalu mengintai bacaannya di penjuru sofa merah di rumah. Khatamnya berkali-kali. Saya sangat iri. Dan Ramadhan kali ini saya didatangi Jibrail lagi. Kami mahu bergandingan dalam membaca al-Qur'an. Tida…
Image
Antara kesukaan saya mengenakan mukena baru apabila memasuki Ramadhan. Pernah saya mencatat dalam siri Ramadhan beberapa tahun lalu bahawa bukan hanya pakaian solah yang harus baru, sebaliknya pakaian taqwa yang harus selalu dipelihara. Saya jadi malu untuk minta dihadiahkan mukena baru tahun ini. Biarlah saya gunakan yang lama. Saya mahu belajar untuk membersihkan apa yang ada.
Image
Ramadhan kedua. Apa yang sudah dilalui semalam, menjalani Ramadhan pertama Sdr? Bermula dengan bangun waktu dini menuju iftar dan tarawikh. Bagaimana bacaan surah Sdr. Bagaimana amalan sunat lain. Adakah Sdr meletakkan hasrat satu hari satu infaq. Ada sahabat yang merencanakan agihan rezeki kepada beberapa keluarga asnaf sejak Sya'aban. Subhanallah, ia dititip pada hari pertama Ramadhan. Saya sangat sebak mengenang kecintaan pada memberi. Tidak semua bersedia dengan berikhlas hati dalam memberi. Banyak juga yang berkira-kira. Sementara ada pula yang menamakan memberi sebagai semboyan hidup. Malah dia selalu mencari-cari dan berkejar-kejar untuk memberi. Maka, persediaan Ramadhan juga adalah tentang memberi. Ya, sebelum tiba saat tidak ada yang mahu menerima sebarang pemberian lagi. Allah ya Allah.
Image
Alhamdulillah syukur. Kita bertemu lagi dengan 1 Ramadhan. Antara jalan takdir berpergian lalu, dalam memanjat cerun dan gunung, membeluk tikungan yang perih dan sering juga keliru, saya melihat banyaknya belahan denai pena'akulan dan munajat. Ada ujian berikhlas hati dalam mencari. Atau betapa sendirinya di sepanjang lebuh juang dan ia sangat dirasakan sepi. Namun semakin panjang jalan takdir itu, kian banyak asuhan dari susuk yang ditemukan. Dan ia menjadi pengalaman pemula Ramadhan yang penuh ta'ajub. Taqab ballahu minna wa minkum. Ramadhan Kareem buat Sdr sekeluarga.
Image
Ini teduhan nurani. Ini penjuru kesendirian yang sangat lirih rintihnya. Saat hasrat menghampiri nyata, keta'ajuban menjadi sang raja yang sangat menyilaukan mata kalbu. 


Tidak pernah siapa tahu, Ramadhan yang saya tunggu dan menghitung  detik tibanya, melibatkan dia yang jauh di keluk perbukitan ini. Betapa saya dipandu antara pohon renek, membelah batang air dan menuruni cerun kerikil untuk saya temukan keluhuran, pengabdian dan semuanya menggenap menjadi sebuah kecintaan. Subhanallah. Begini jauh saya dibawa berpergian, sejumlah pena'akulan yang saya jinjing untuk dibawa pulang bersama menuju Ramadhan lusa nanti, insya-Allah.
Image
Pohon Sukma ternyata menyertai nurani walau di mana sahaja. Dia seperti rindu, yang saling menyapa antara angin, awan mahupun rinai yang hinggap antara ranting, antara khabar.
Image
Masih menghitung tibanya 1 Ramadhan. Malunya saya, masih belum bersedia lagi dengan berkira-kira apa dan bagaimana harus saya bertingkah. Ya, daripada beberapa pemerihalan tentang persediaan dalam entri sebelum ini antaranya merapikan rumah,  al-Qur'an dan dekat dengan Allah, apalagi yang saya harus yakini. Sedang saya masih mengharap dan mahu terus meminta-minta agar inilah Ramadhan terbaik. Ya, malu sekali untuk saya meminta-minta, sedang saya  tidak cukup bercermin, melihat betapa debu dan debunya saya ini.
Image
Masih dengan nada menghitung detik 1 Ramadhan. Di samping perihal al-Qur'an dengan dekat dengan Allah, bagaimana jika suatu hari dalam seminggu ini Sdr didatangi Malaikat? Aneh. Bukankah Malaikat akan selalu berada di samping, bagi yang benar-benar meyakini paksi keimanan bahawa sebenarnya kita tidak sendiri. Pernah seorang teman berkata begini, Malaikat adalah sahabat yang selalu ada. Subhanallah. Ya, bagaimana jika dalam seminggu saat menanti Ramadhan ini, Sdr didatangi sang Malaikat dalam wajah seorang lelaki tua. Tiba-tiba dia datang dengan tuntunan kata tentang kesempurnaan ubudiah. Tentang mengenal Allah. Subhanallah. Bukankah ini yang sarat bertelingkah dalam kalbu saya bahawa Allah itu  sama sekali bersalahan dengan semua yang baru. Allah ya Allah. Saya teringat ketika menjadi hujjaj, Malaikat selalu kita jumpa di Multazam atau Raudah, memberi ruang sujud mahupun berdoa. Saya sangat sebak, dalam menghitung detik 1 Ramadhan kali ini, saya dipandu seorang lelaki tua perihal…
Image
Dekat dengan Allah.  Itu tafsiran terbaru yang saya tahu tentang taqwa. Dan ia sangat mengesankan saya yang sedang bertelingkah dengan diri sendiri tentang jalan kecintaan ini.  Allah ya Allah. Menurut Ustaz, Ramadhan nanti bakal melahirkan insan yang bertaqwa. Ramadhan akan melahirkan mereka yang dekat dengan Allah. Subhanallah. Saya pasti mahu terhimpun di dalamnya. Saya mahu dekat dengan Allah untuk banyak perihal. Tafsiran Ustaz selanjutnya, dekat dengan Allah bermakna takut meninggalkan perintah-Nya dan takut melakukan apa yang ditegah. Saya mencongak diri. Saya jadi malu sendiri.
Image
Saya mahu menyudahkan seluruh halaman al-Qur'an sepanjang Ramadhan. Pasti sahaja ia merupakan hasrat yang paling luhur. Itu antara yang disuarakan sahabat saya; persediaan Ramadhannya adalah dengan iltizam untuk menggenapkan bacaan. Ada sahabat lain yang mahu meneruskan apa yang sedang ditekuni. Ada juga yang mahu berjeda pada bacaan terakhir, memulakan 1 Ramadhan dengan al Fatihah dan al Baqarah dan selanjutnya. Memasuki Syawal nanti disambung kembali jedanya itu. Ya, saya sangat sebak dengan kisah kecintaan mereka terhadap al-Qur'an. Memandangnya. Mendakap kejap. Menyentuh tiap huruf. Membunyikan tiap dengung atau sabdu. Allah ya Allah, itu semua adalah kurnia. Apalagi makna yang dibawakan selalu serasi dengan gundah mahupun getar hati tepat pada ketikanya. Apalagi ada surah tertentu yang dapat dihafal lancar. Subhanallah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini saya dapat jalani sebaiknya bersama-sama al-Qur'an yang saya cinta.  Saya tidak mahu berkejar-kejaran dengan bacaan sa…
Image
Saya senang sekali untuk mengetahui persediaan sahabat bagi menjalani Ramadhan yang menjelang dekat. Seperti juga menjadi hujjaj, persiapannya bertahun. Rutinitas mukmin tidak mungkin dapat berdiri dengan amalan sehari dua, seminggu dua. Ia harus tumbuh perlahan-lahan, alami, dicintai, tekal dan diyakini. Subhanallah. Belum terlewat seminggu ini, dibersihkan hati, dilapangkan fikiran untuk Ramadhan. Seorang sahabat yang mahu mengemas rumah, dan ternyata ia jauh lebih mengesankan daripada saat menyambut Syawal. Dia akan mengemas rumah dalamannya juga. Subhanallah. Ini entri pengiraan detik menjelang 1 Ramadhan minggu hadapan. Insya-Allah saya akan susuli lagi dengan amalan sahabat lain.
Image
Saya sudah kembali ke ruang kerja, namun masih tidak sepenuhnya ke jadual rutinitas kerana akan berpergian lagi dan lagi. Jadi banyak persiapan yang harus dirapikan. Subhanallah. Saya sempat menunggu si Putih di tepi tingkap barang sebentar namun kelihatannya dia bersembunyi entah di mana. Saya seperti selalu, masih rindu dan mengharap. Seraya masih menantinya, saya mencongak-congak Ramadhan yang penuh nikmat, yang dinanti-nanti sekian masa. Beberapa kali saya berkira-kira apa persediaan meraikan kehadirannya tahun ini. Mudah-mudahan kita diberikan kesempatan lagi bagi menjadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna. Insya-Allah. Apa persiapan Sdr, silalah berbahagi.
Image
Masih dalam jalan berpergian, menumbuhkan jarak kita daripada rutinitas dan sebenarnya realiti. Jauh daripada meja kerja, keriuhan kolega dan kenakalan mahasiswa, mahupun getar jalan kampung yang masih begitu rupanya. Melihat laut dan gunung dan bulan penuh, menjadikan segalanya seperti personifikasi atau metafora pantulan daripada nurani yang banyak berbicara sendiri. Baris puisi Usman Awang yang sangat dekat di hati saya saat ini pasti adalah, 
akan kutenun awan gemawan menjadi selendang menudungi rambutmu akan kujahit bayu gunung menjadi baju pakaian  malammu.
Ya, ia pujukan seketika. Sementara berada dalam berpergian. Saya sangat sedar, segalanya akan berubah rupa saat kaki melangkah masuk kampus, minggu hadapan. Persis dari Usman Awang lagi, hitunglah mimpi yang membunuh realiti dengan syurga ilusi. 

Image
Saat berjarak, yang diperlukan hanya diam. Seperti rintih kalbu si Perempuan Pemetik Harpa, yang menyitir baris Rumi, bulan penuh menjadi pintu untuk saling menitip khabar. Walau banyak teka teki yang datang dan pergi seperti ombak kecil di pantai lepas ini, ia tetap menjadi pujukan mengamankan keliru mahupun gundah dari jauh.
Image
Satu ruang yang hampir kita tidak dapat menghalang sebarang bentuk kehadirannya, adalah mimpi. Segalanya boleh memasuki ruang pemilikan, bahkan menyertai kehidupan yang sedang berjalan. Tanpa perlu kunci atau izin ta'azim. Aneh, saya pernah bermimpi seseorang yang saya tidak pernah jumpa, kenal malah bercakap sama sekali, namun saya tahu akan kewujudannya. Freudian juga percaya, mimpi adalah projeksi hasrat yang banyak tetapi sangat jauh daripada nyata. Menarik sekali, ia semua sering saya tunggu kerana akan menjadi lingkaran ilham yang meriah dalam tulisan saya nanti. Ya, mungkin saja dalam berpergian (lagi) mimpi menjadi ruang bicara yang sangat rahasia. Sangat misteri.
Image
Memulakan langkah kembara ternyata membuka pintu introspeksi juga. Inilah jalan takdir yang terbentang ketika pintu terkuak. Menggenapi seluruh  yang terbaik Allah berikan. Syukur dengan apa yang sudah dijalani semalam dan kelmarin. Memohon yang lebih baik agar besok dan lusa menjadi kurnia yang terindah. Maka doa menjadi  kunci yang sangat sakti; antara lapis pertaubatan dengan iltizam. Walau jauh daripada nyata, walau merentas Laut Jawi, doa itu mengukuhkan hati.
Image
Perihal berpergian lagi. Merapi bagasi. Menyusun getar. Menyemak jadual perjalanan. Meneliti hati sendiri. Memilih buku untuk dibaca sepanjang kembara. Lalu menata rindu yang mahu ditinggalkan. Aneh sekali cerita berpergian kali ini. Menuju ranah yang sama dengan jalan takdir yang sama sekali berbeza.
Image
Image
Kelas dhuha mingguan bersama-sama Ustaz Syed Muhammad Zainuddin sekali lagi, membawa kami kembali kepada tujuh ayat surah pertama. Tujuh ayat yang wajib dibaca sebanyak 17 kali sehari dalam rutinitas seorang muslim; paling kurang. Mengapa begitu. Seperti selalu menjadi anak muridnya, saya suka sekali jurus kuliah Ustaz akan membawa kami lebih dekat dengan al-Qur'an. Ya, kali ini al Fatihah. Kami membaca bersama-sama dengan dituntun segala dengung, melembutkan bunyi atau memekatkan tajwid tertentu. Kemudian dihurai ayat demi ayat yang jelas sekali mafhumnya. Hanya kali ini ada beberapa sisi yang Ustaz tegaskan. 


Bahawa kita bersumpah dengan nama Allah, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang; kita mengajukan segala pujian yang hanya milik Allah sedang Dia adalah pemilik seluruh alam. Allah yang Pemurah memberi nikmat tanpa sebarang syarat (ar Rahman) dan Allah memberi agama kepada yang dipilih-Nya (ar Rahim). Dan Allah nanti menjadi Penguasa hari Akhirat; ketika itu Dia akan menjad…
Image
Syukur sekali saya mempunyai seorang suri teladan dalam perihal memberi. Saya menyitir akan falsafah memberinya, bahawa apa yang diberi itu sama sekali bukan miliknya. Apa yang diberi itu adalah milik yang menerima. Dia hanya sebagai tukang simpan, menunggu detik yang ditakdirkan sejak azali untuk saat penyerahan. Ternyata baginya tidak ada sebarang pemilikan. Saya tahu, itu antara keharuan setiap kali saya mengenangnya. Allah ya Allah.
Image
Kelmarin saya ada menulis tentang tokoh sarjana yang sedang mendepani uzur dan cintanya terhadap dunia yang kian luntur. Saya kemudian membayangkan, alangkah ia berlaku pada susuk seorang anak muda. Dalam sebuah cerpen lama, "Tamsil Daun" (Dewan Siswa, Ogos 2012), saya garap antara lain latarnya adalah beberapa anak gadis yang duduk bersimpuh di penjuru masjid. Masih dalam mukena dan al-Qur'an di tangan masing-masing dan mereka sedang bicara tentang iman. Subhanallah. Cerpen itu sebenarnya terilham daripada pengalaman terindah saya di sekolah. Setiap kali saya solah Zuhur di surau sebelum pulang ke rumah, saya akan bertemu dengan pelajar perempuan yang merintih, masih di atas sajadah. Hingga sekarang saya masih dapat melihat dia yang dalam esakan lirih, jelas sekali sedang mengadu banyak perkara kepada Allah. Subhanallah. Saya sering membayangkan mahasiswa saya yang taat bersimpuh dan banyak berbicara dengan Allah, bagaimana hidup ini harus dijalani seikhlasnya.
Image
Hujan waktu dini. Ya, ia memang latar hening, apalagi dalam mengenang Sya'aban yang baru bermula, dan ia seperti bulan-bulan lalu, akan cepat sekali menuju jalan hujungnya nanti. Sya'aban. Akan selalu mengingatkan pada Ramadhan yang bakal kita ketuk pintunya. Allah ya Allah. Temukan kami dengan jalan menuju Ramadhan yang sering mahu didakap. Banyak persiapan yang harus diperbuat mulai minggu pertama ini. Bersihkan hati untuk hasrat menuju Malam Seribu Bulan. Ya, mulai sekarang. Rasulullah yang dicinta sering mengingat, banyakkan berpuasa dalam Sya'aban. Tuntuni kami, ya Allah. Saya mahu meneruskan rutinitas dengan penuh ketaatan dan berikhlas hati.
Image
Bertemu dengan nasihat daripada mereka yang sudah menjalani hidup sekian lama, merupakan satu kurnia. Saya dengan tidak malu, kadangkala mengemis, mohon tuntuni saya si debu ini; begitulah saya terus meminta-minta. Mengenali susuk sarjana yang saya hormati, walau tidak pernah menjadi guru saya secara rasmi sebelum ini, Allah mendatangkannya di jalan takdir kami. Dia pernah menyimpan gelar sebagai orang besar dan disanjung. Katanya, saya semakin uzur dan cinta terhadap dunia semakin luntur. Allah ya Allah. Bukankah saat saya mahu belajar untuk tidak cintakan dunia dan segala puji-pujian, Allah membawa dia lebih dekat dengan saya. Subhanallah.

Saya menyitir tuntunannya: baca dan fahami al-Qur'an. Perdalami perihal tasawuf. Teruskan amal jariah kerana Allah. Padam segala riak dan ujub. Cepat menuju jalan pertaubatan jika masih ada lintasan jahat. Sering melakukan introspeksi. Jadikan dunia sebagai ladang untuk ke sana. Perbanyak solah malam. Usah lagi melihat kesalahan dan memperkat…
Image
Saya sudah memasuki az Zukhruf dan berhenti di ain pertama: ... sesungguhnya manusia itu pengingkar yang nyata. Allah ya Allah. Dalam saya cuba menjalani kepatuhan, dalam saya berusaha menjadi "aku dengar dan aku taat", sering juga saya mempersoalnya. Saya cuba mengingkari. Atau selalu juga ada keliru bagaimana harus saya bertingkah. Ia ternyata jalan yang lelah dan saya masih cuba bertahan dengan kaki kecil dan lemah ini. Subhanallah. Pelihara iman dan jalan taqwa kami ini, ya Allah.
Image
Takdir yang indah dalam saya mengenali susuk lelaki Semarang ini. Bagaimana untuk kali pertamanya saya sama sekali tidak menyangka nama itu milik dia. Menjadi penilai luar tesis Sarjananya, menemukan kami pada hari ujian berlangsung. Subhanallah. Saya pernah membaca novel dan filemnya yang masyhur. Ayat-ayat Cinta.Ya, sekarang pasti Sdr sudah boleh menebak. Dan sempat dititip keratan novel terbarunya untuk kami terbitkan dalam Jurnal Melayu. Ya, Bidadari Bermata Bening, novel Habiburahman El Shirazy yang baru sekali diluncur di Pesantren Tebuireng, Jombang, Jawa Timur. Mabruk.