Posts

Showing posts from February, 2013
Image
Apa yang dikenang pada hari kita dilahirkan, selain turut mengingat hari kita akan dipanggil pulang. jarang saya tertambat dengan pengalaman kematian yang adatnya disambut dengan kehibaan dan disusuli dengan kenangan demi kenangan bersama arwah. saya masih menangis setiap kali nenek menjenguk di pintu rindu yang akan selalu terkuak itu. mengapa saya menangis? ternyata nenda masih terus menumbuhkan cinta, nenda masih terus meninggalkan semangatnya saat saya mengeluh lelah dengan manusia. dan di sebuah subuh yang hening, saya seperti mendakap bahu nenda dan mahu mengucapkan terima kasih kerana ketika nenda sudah tiada begini, saya masih diasuh untuk selalu mengingat jalan pulang apabila meraikan hari kelahiran...
Image
Saya semakin teruja menghimpun perasaan untuk mencintai Rasulullah; walau pernah kesal kerana begitu lewat untuk saya menumbuhkan cinta ini. dari kuliah pagi ini tentang agungnya cinta Rasulullah kepada kita. mengapa hanya Nabi Muhammad yang diberikan kuasa syafa'at. ternyata doa istijab yang diberikan Allah belum lagi digunakan Muhammad berbanding nabi-nabi lain. Muhammad yang Mulia hanya akan menggunakannya di akhirat nanti untuk kita, menyelamatkan umatnya. Allah, Allah, Allah. Syamail Muhammadiyah ini antara lorong untuk membangunkan kecintaan kepada Kekasih Allah. kenal Rasulullah dan cintakan Rasulullah.
Image
Laman saya ini pernah kacau. tiba-tiba gambar entri hilang. ada beberapa mahasiswa cuba membantu. setelah beberapa masa berlalu, saya menyimak kembali catatan lama. ternyata masih banyak yang masih lopong. malah untuk tahun 2011 sangat mengecewakan. sekali lagi saya memujuk diri. tidak ada yang kekal. hidup ini jangan disandarkan kepada rumus matematika. yang malang tidak selalu merugikan. Allah, Allah, Allah. ternyata saya masih dungu dan tidak banyak belajar...
Image
Takdir. ia datang dalam pelbagai kejutan. atau kadangkala ia mengalir seumpama sungai yang selalu kami berpapasan setiap kali mahu keluar masuk ke lapang halaman rumah omak mertuo den. ia akan mengalir terus  seperti firman-Nya, sehingga tibanya hari yang tidak ada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab atau tiada lagi syafa'at (al baqarah: 254). takdir nenda pulang adalah seperti jalannya sungai tohor itu. ia terus akan terjadi kepada saya dan saudara. hanya masanya yang sering diisyaratkan takdir namun selalu pula ia tidak dapat ditelah. doa. ya, itu antara pedoman agar kita selalu bersedia dan menunggu-nunggu bila ketikanya. dan pada saat itu, mudah-mudahan kita  sudah siap. mudah-mudahan.
Image
Esok bermula kuliah untuk semester kedua sesi 2012/2013. litar hidup, saya teruskan lagi dan saya tidak tahu sama sekali lekuk atau selekoh yang bakal saya depani. sesungguhnya, untuk empat belas minggu saya merancang sekian jadual untuk pengkuliahan. namun, saya semakin diasuh makna penyerahan. saya mula untuk mengasihi takdir. saya mohon Allah aturkan segala buat saya tanpa sedetik pun tangan saya sendiri menentukannya. Allah, Allah, Allah.
Image
Mungkin sahaja ada yang hairan, mengapa saya begitu terasa kehilangan nenda Saronah. pernah saya tanyakan pada Zahar, adakah peritnya seperti yang saya rasakan sekarang saat kehilangan seorang nenek. saya melihat perbezaan kami. keluarga saya kecil bilangannya, berbanding Zahar. keluarga saya sangat akrab kerana jumlah angka itu. nenek sangat mengenali bukan hanya tabiat, tetapi hati dan perasaan kami. dan saya merupakan cucu sulung daripada anaknya yang pertama. nama saya dihadiahkan nenek. sijil kelahiran saya tercatat nama nenek di ruang informant.  pernah saya catat di sini, nenek selalu menghulur tangan saat saya mahu jatuh. nenek tempat saya mengadu  ketika saya mahu menangis. nenek saya rujuk untuk resepi lama. pernah kami bernyanyi lagu kegemaran bersama.  dan siapa yang dapat meneka, nenek menutup hidupnya di hadapan saya isnin lalu...
Image
Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu, hanyalah berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka terjadilah ia. Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan. akhirnya masa nenda tiba jua. nenda Saronah Masiman kembali semula ke jalan datang pada februari 11 lalu menjelang isya'. dalam mukena dan al Qur'an di tangan, saya menemani nenda kesayangan kami itu. Allah bimbing dan gerakkan hati saya untuk  terus ke kamar nenda, saat saya duduk membaca terjemahan, saya melihat nenda kembali...
Image
Berapa banyak permintaan sdr yang Allah penuhi? Saya sedang membaca ayat 186 dari al Baqarah dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan  permohonan orang yang berdoa apabila ia bermohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran. Saya juga pernah diberitahu, bermohonlah dengan adab seorang hamba. perhatikan dengung suara, getar harap dalam dada atau seluruh perhatian yang dipusatkan. adakah kita benar-benar meminta atau ia hanya satu upacara  merakam perasaan. ya Allah, siapalah saya di hadapan-Mu kerana saat meminta-minta itu pun saya tidak merasa bahawa saya ini adalah hamba!
Image
Janji untuk berada di samping nenda pada setiap hujung minggu. dan setiap kali berada di kampung halaman, saya lebih senang  mengambil mrt (foto). elak laluan lampu isyarat yang banyak dan lebih selesa. nenda sudah hampir tidak dapat bertutur. hanya anggukan dan gerak wajah  sebagai tanda percakapan. sedih memang. apalagi bila saya tahu, nenda cuba menyatakan sesuatu. Allah!