Posts

Showing posts from August, 2013
Image
Usai asar, saya minta Zahar membawa kami untuk ziarah musim lebaran ke sebuah rumah di lereng bukit, dekat dengan rumah kami. jarang sekali saya yang mencadangkan untuk sebarang lawatan sosial begitu.  saya senang untuk duduk di rumah sendiri. membaca buku masakan di penjuru dapur. atau saya lebih senang minum petang di ruang tamu rumah sendiri. jadi rumah siapakah di bahu bukit itu? tuan rumah itu adalah si Faqir, yang pernah saya sebutkan dalam beberapa entri lalu; saya senang sekali mendengar penyampaian ilmunya dengan tutur bahasa yang rapi,  setiap pagi minggu di surau kecil kami. masya Allah.  saya dapat rasakan kebenaran kata-kata, duduklah dengan orang soleh. saya dapat berbahagi harumnya sejak melangkah masuk ke tangga rumahnya dan saat mengucapkan salam sebelum kami pulang ke rumah. sekian lama saya hanya mendengar suaranya seperti hamba yang selalu mengharapkan kasihan Allah. suara yang selalu merintihkan belas pengampunan. dan suara itu mengajak kami bersama-sama. saya ba…
Image
Sekali lagi saya mendapatkan tiga buah rakaman biografi menarik ini. dua daripadanya didapati dari sebuah pameran buku persidangan yang saya hadiri minggu lalu. sementara sebuah lagi saya dapatkan dari penulisnya sendiri. pasti sahaja ketiga-tiganya saya hadiahkan kepada si peminat utama bacaan biografi di rumah kami. ya, ia hadiah hari lahir buat Zahar. Saya mencatat kembali baris dari rangsangsari salah sebuah buku: kata orang dalam politik tiada musuh yang kekal, dan tiada kawan yang kekal, tapi pada pandangan saya mesti ada prinsip-prinsip yang kekal sama ada dalam bidang perundangan mahu pun politik. buku ini adalah sempena ulang tahun kelahiran ke-70 susuk yang diraikan. Mengapa 70 sering dijadikan angka ajaib untuk kebanyakan penulisan biografi seseorang tokoh? saya ada menyimpan beberapa buku lain yang mengabadikan angka yang sama...
Image
Ya Allah. mudahnya mulut atau hati saya menyebut hasbunallah wa ni'mal wakeel. lancarnya konon saya memujuk hati sendiri. cukuplah Allah bagiku, bahawa Allah  sebaik-baik penolong. ya Allah, sedalam mana makna itu mahu saya akui sebenar-benarnya? sedang setiap kali keangkuhan menyelinap masuk, setiap kali kehalobaan berlumba-lumba mahu duduk dalam mana sahaja ruang yang boleh. ya Allah. saya tidak mahu berpura-pura. bantulah saya untuk berikhlas hati. bantulah saya. foto ini saya rakam sewaktu bertugas di luar daerah hujung minggu lalu.
Image
Masih ada lebaran, saat saya kembali masuk ke pejabat setelah bercuti panjang (cuti raya, keluar persidangan dan keluar penyeliaan). banyak kad dalam kotak surat termasuk kartu hari raya dan undangan perkahwinan. keghairahan mengirim dan menerima kad ternyata tidak seperti dahulu. tahun ini saya hanya membeli dan mengirim dua keping kad ucapan lebaran. dan suasana membelinya di kedai buku kampus, sangat hambar. berbeza sama sekali waktu saya remaja dahulu. ternyata zaman sudah terlalu banyak berubah. foto adalah antara kad di atas meja kerja saya. terima kasih atas ingatan! 
Image
Saya banyak mendengar cerita perbalahan antara saudara. antara adik dengan abang. antara kakak dengan saudara lelakinya yang lain. malang? kadangkala saya melihat mereka seperti anak kecil yang sering mahu saling mencakar namun sekejap itu mereka saling ketawa dan menangis lagi. saya tidak mempunyai kakak, abang mahupun adik. hidup sendiri tanpa saudara kandung membuat saya pernah cemburu untuk punya perasaan saling mengasihi. saya pernah memberitahu Zahar, andai kata saya punya adik, banyak yang saya mahu berbahagi dengannya. alangkah! dan saya menemukan foto indah ini (rujuk Going Places Ogos 2013) sewaktu dalam pesawat untuk tugasan di Pantai Timur. alangkah saya dapat membuat adik  mendakap saya begitu erat!
Image
Minggu lebaran yang padat! 7 hari pertama, masa untuk bersama keluarga di Temasek dan ahli rumah omak mertuo den. 7 hari kedua, saya menghadiri persidangan dan kerja di luar daerah. lebih kurang 7 hari campur 7 hari lagi syawal akan berakhir dalam suasana kembali ke pejabat sebelum semester baru tiba lagi. masa begitu cepat meninggalkan dan ia sering membuat saya terpinga-pinga: apa yang sudah saya perbuat untuk manfaat selain saya.
Image
Zahar genap 42 tahun hari ini. saya berdoa bersungguh-sungguh agar Zahar terhimpun dalam golongan kanan, golongan yang dimuliakan, ashaabul maimanah, seperti yang selalu saya baca sebelum subuh lewat surah al Waqia. golongan yang berada antara pohon bidara yang tidak berduri. semoga ia dalam perkenan Ilahi.... foto yang dirakam adalah susunan bunga kertas ungu yang dipetik Alif Matiin dari taman kecil kami. sangat serasi mewakili perasaan  untuk lelaki yang kami cinta!
Image
Apa khabar? bagaimana lebaran saudara? adakah ia selayaknya diraikan dengan apa yang sudah dilalui sepanjang sebulan Ramadhan? Allah. Allah. Allah. semoga semangat Ramadhan masih bersama kita. qiyam masih diteruskan. makna dan tafsir  al Qur'an masih  menjadi bacaan pertama untuk memulakan hari. tahniah bagi yang sudah hampir menyelesaikan puasa sunat syawal. saya belum lagi, insya Allah akan mulakan segera.  Ini foto di satu penjuru rumah guru yang masih terus dikenang dan banyaknya jasanya. seperti lebaran lalu, pasti ada kenangan manis yang dirakam. tahun ini saya bertemu kembali Puan Norlin Low dan suaminya, yang juga guru kami, Cikgu Mohd Nor. doa saya semoga asuhan yang diberi membawa mereka ke syurga.
Image
Image
Beberapa pagi yang redup dengan matahari yang seakan mahu terus bersembunyi. dan ia merupakan petanda yang kita hampir ditinggalkan. dan kita akan merindu lagi dan sangat mendoakan ada pertemuan sekian kalinya pada tahun hadapan. saya juga sudah bersiap dengan doa yang sangat awal ini, semoga bertemu lagi dengan malam seribu bulan untuk tahun berikutnya. ya, perpisahan akan selalunya membuat kita mahu menangisinya. apatah lagi yang pergi itu bersifat begitu melindungi lagi mengamankan kekusutan. yang pergi nanti selalu menjadi pembela yang begitu diharapkan. yang pergi itu selalu membawa buah tangan kemuliaan. tidak mungkin saya tidak menangisi akan pemergian ini. pemergian yang saya tidak tahu akan kembali lagi; yang mampu hanya saya meneruskan perjalanan dengan kaki kecil, ya saya cuba bertahan...
Image
Tiga amalan dalam mencari malam seribu bulan yang dicadang ustaz dalam kuliah ramadhan ialah solat, membaca al Qur'an dan berdoa. ia semoleknya dilakukan dengan penuh keimanan dan berharap semoga Allah redha dengan apa yang dilakukan. menikmati al Qur'an bukan hanya bertadarus, bukan hanya  membaca apa yang diterjemah, lebih elok menghayati apa yang ditafsir. maka saya fikir ia adalah amalan yang berpanjangan, bukan hanya dilakukan dalam Ramadhan yang hampir meninggalkan. antara lapis doa, selitkan permohonan ini, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah aku pengampunan. semoga kita dikasihani!