Posts

Showing posts from October, 2016
Image
Beberapa hari ini hujan lewat senja di daerah kami. Sejurus asar di pejabat, saya akan bergegas pulang bagi mengelak kesesakan dada dan jalanraya. Saya sangat meyakini Mikhail yang menerima tugas menurunkan hujan, bagi membersihkan sungai sungai kami yang dicemari. Allah ya Allah, kami tidak tahu apa-apa. Ampunkan apa yang kami terlupa dan kami tersalah. Kau permudahkan urusan rezeki kami termasuk air hujan ini sebagai yang bermanfaat buat kami meneruskan amal soleh.  Saya kerap terharu dengan rentetan plot ini. Ada air. Tidak ada air. Sungai dicemar. Menadah air. Menyimpan air. Bersyukur dengan tiap titik air dari pili. Hujan senja larut ke malam. Pemimpin yang mempertahankan. Pemimpin yang memfitnah. Allah ya Allah. Ampuni kami apa yang kami tidak tahu.
Image
Antara kesyukuran terbesar adalah dahi kita dapat mencecah lantai. Ya, kita dapat melakukan sujud. Saat kita berserah penuh. Ya, kita meletakkan diri serendah-rendah dan sangat menundukkan segalanya kepada Allah. Sering saya mengenang seorang sahabat yang sangat rindukan sujud. Ya, dia tidak dapat meletakkan dahinya sepertimana selalu ( selepas kemalangan ). Betapa rindunya dia pada bersujud. Saya bertanya diri. Begitu akrabkah saya terhadap sujud saya selama ini. Adakah ia hanya ketertiban yang perlu saya lakukan dalam setiap solah. Adakah ia benar-benar membekas. Sedang ia adalah detik terdekat saya dengan Allah. Adakah saya sangat memaknakan sujud saya dan doa saya pada ketika itu.
Image
Hujung minggu bersama-sama meraikan dua pasang pengantin Temasek yang merupakan sepupu saya. Dari Arab St ke Tampiness, dan kembali ke rumah mencecah waktu dini memang sangat melelahkan apalagi dengan duduk memandu. Namun bertemu sanak saudara, bertukar khabar dan cerita, merupakan detik keluarga yang sering mengharukan kerana sekejapnya masa dan kami akan berpisah lagi. Entah siapa yang akan menyarung cincin nanti, buat pertemuan akan datang. Lelah kerja pejabat dan karenah sahabat yang tenggelam-timbul, terpadam begitu sahaja.
Image
Sebenarnya semalam, saya mahu menyalin puisi Zaen yang ini, aku di sini di balik pohon kala embun bak mutiara melingkari lehermu kaudengarkah suaraku yang dihantar hujan melewati belukar dan  jalan yang kian sunyi dimamah malam? (di sisiku seekor burung balam terbang melintasi malam mencari diam) Ingatan kepada Kawan "li" (51)
Image
Ya. Di luar tingkap kaca bilik kerja saya sudah tidak ada lagi bayangan si Putih. Kantung surat saya sudah tidak ada lagi jelmaan si Bulan Penuh. Saya sudah semakin mendekati sempadan negeri asal. Saya kian merasakan hawanya. Dalam merangkak ke sana, saya seperti semalam membaca terus siri Ingatan kepada Kawan Zaen,  "telah lama kumiliki kamu sejak angin itu memulangkan kamu kepadaku." (begitu bisik hujan yang mendesah dalam darahku sesudah bermusim kemarau menggigit tulangku) dan hujan pun terlalu tua untuk menjadi gerimis sedang kemarau kian muda membuat langit terhiris Ingatan kepada Kawan liii
Image
Pernahkah sdr bertemu dengan detik yang tepat, sdr sangat memerlukan sahabat sebagai tempat mengadu perihal merungkai kegelisahan yang menyerang dada. Namun detik yang sama itu, tiada pula sahutan yang sdr harapkan. Bunyi tulisan saya ini seperti rima syair yang penuh harapan namun tergontai-gontai, saya memujuk diri  bahawa dalam banyak ketika saya harus berdiam. Sendiri. Bukankah sudah sekian banyak ketika itu yang selalu mengingatkan, bahawa sendirilah; kerana berdiam dan bersendiri itu adalah negerimu. 
Image
Letih. Rupa-rupanya FB ( yang saya kuburkan bertahun-tahun lalu ) sudah kian purba. Saya dimaklumkan yang sedang menyala-nyala sekarang adalah IG. Saya tidak tahu sama sekali tentang planet IG ini. Rupanya. Riuhnya. Rentaknya. Kami di kampus juga ada ruang sosial begini. Researchgate. Akademia. Linkedin. Saya bayangkan nama-nama itu juga seperti FB. Ada pengikut. Ada ruang berbual. Ada ruang promosi diri. Ada ruang beritahu semua orang apa yang terjadi dalam hidup yang dijalani setiap detik. Saya anti semua itu. Kemungkinan besar kenyataan saya ini tidak selari dengan tuntutan majikan saya. Perlu sekali saya akan pujukan pujukan yang mengekalkan saya mencintai keluhuran dan menuntun saya berikhlas hati. Memang letih. 
Image
AM mula menganggap di dalam kepalanya ada pelbagai kuasa yang sama ada membuatnya gembira atau tiba-tiba dia berada di tikungan jalan yang tidak ada lorong keluar. Ia sering berlaku dalam tugas menyelesaikan soalan matematik yang diberikan Bapak. Saya pula ibunya yang sangat imaginatif. Saya tahu beberapa kuasa emosi seperti yang dialami Riley turut bergentayangan dalam fakulti fikiran AM. Dan benar, ia sangat evokatif. Mudah-mudahan AM dilindungi Allah. 
Image
Beberapa minggu ini, beberapa kali juga kami disergah dengan terputusnya bekalan air terus. Namun syukurnya masih tidak terputus langsung menerusi air yang disimpan atau air yang dibekalkan melalui lori yang datang setiap lorong rumah kami. Beberapa pelajaran didapati apabila tiada air. Antaranya betapa hormatnya kita kepada air dengan tindakan yang sangat berhati-hati terhadap air yang ada; sama ada ia tidak dibazirkan atau sangat menghargai setiap titis. Sehinggakan AM mengujarkan: air menguji kesabaran kita, mummy. O Allah. Benar. Sayalah antara yang gagal dalam ujian sabar apabila berita tentang gangguan bekalan air di kawasan kami. Benar AM, air menguji kita.
Image
Salam 1438. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang lebih taat.