Posts

Showing posts from 2015
Image
Tiga novel pilihan saya, S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-labah) oleh Nazri Hussein, Trivia oleh Ruhaini Matdarin dan Sarjana Bangsa oleh Hasanuddin Md Isa sebagai novel terbaik 2015. Ia mungkin sahaja  tidak mewakili sepenuhnya kerana kesempatan saya membaca sekian banyak novel yang diterbitkan. Sayang sekali tiada gambar novel-novel tersebut dalam rencana yang disiarkan. Begitu juga wajah para pengarangnya. Saya jadi malu apabila foto si tukang pilih novel yang menjadi tumpuan di tengah halaman, dengan wajah sihatnya. Aduhai.
Image
Image
Sudah hampir tidak ada makna tahun baru. Tahun demi tahun menjadi seperti mengalirnya air sungai yang memasuki ruang antara kerikil atau bongkah batu yang pelbagai ukuran. Alirnya yang belum lagi mahu berhenti atau sebelum ini pernah ada semacam gerak transisi, namun semakin saya rasakan ia bergerak terus. Ya, kerja yang tidak berakhir pada hujung tahun, sebaliknya terus dibawa dari disember ke januari baru dan seterusnya. Ia menjadi kelelahan yang panjang sebenarnya, walau hati memujuk sering, mintalah reda-Nya dalam payah dan mengah. Allah. Allah. Allah. Saya percaya akan tiba saat hentinya. Percaya itu menumbuhkan satu kesan yang emotif yang membuat saya mahu merenung lebih lama...
Image
Mai Izyani, penulis buku ASAH merupakan mahasiswa tahun akhir kami. Buku yang mencantum kolaj kreativitinya dalam pelbagai genre. Menarik untuk diteliti kerja seni anak muda kontemporari. Apa yang mereka mahu dan bagaimana mereka menyuarakannya. Syabas Mai.
Image
Zahar menyudahkan bacaan al Qur'annya lagi. Khatam lagi. Saya sering iri dengan jadual bacaannya usai solat fajr atau usai solat lainnya. Selalu tempat bacaannya di kerusi merah menghimpit jendela. Saya perhatikan Zahar seperti bertafakkur sebelum atau sebaik selesai membaca beberapa halaman. Zahar akan berdiam lama dengan memejamkan mata. Saya pasti selepas itu Zahar mahu sekali bertadabbur,  berfikir  dalam apa yang dibacanya. Kemudian Zahar akan bertazakkur, mengambil tamsilan dari ayat-ayat itu. Zahar nantinya akan bertaa’kul, menjadikan al Qur'an sebagai sumber ilham fikiran. Dalam perihal kerjanya juga Zahar nanti akan bertaa’alum, menggali sumber ilmu dari al Qur'an sebagai panduan. Saya sebenarnya mengingat apa yang pernah dikuliahkan. Sempena mengenang kelahiran Rasulullah hari ini, detik yang istimewa Zahar memulakan bacaan al Baqarahnya kembali.
Image
Kumpulan cerpen terbaru yang sebenarnya sudah agak berumur....
Terima kasih Puan Marwati dan Puan Zaiton Abu Samah, editor yang gigih.
Image
Sudahkah Sdr berjumpa dengan guru? Dia tempat Sdr sandarkan keliru atau gusar. Dia tempat Sdr bertanya jalan kembali setelah jauh berada di pelbagai simpang. Dia juga yang memujuk supaya Sdr mengambil Allah, al-Qur'an, Rasulullah dan kematian sebagai kamus pemerihalan segala macam pertelingkahan. Atau dalam Sdr mencari-cari guru itu sebenarnya yang lebih ditemukan adalah kebingungan. Pertanyaan Sdr kemudian adalah: bukankah guru itu luhur hatinya. Bukankah guru itu jujur lisannya. Bukankah guru itu bersikap akan apa yang dicakap. Bukankah guru itu rendah hati ketika melihat mata anak muridnya. Bukankah guru itu jarang sekali mahu berbincang soal keuntungannya dalam menurunkan ilmu. Guru itu juga adalah mukhlis. Allah ya Allah. Dia tidak akan berkata buruk tentang orang lain agar menjadi pedoman yang sama kepada anak muridnya. Allah ya Allah. Sudahkah Sdr berjumpa dengan guru itu? Atau Sdr sedang mencari-cari. Dan Sdr ternyata masih belum ketemu?
Image
Saat saya masih berpaling: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. 
Image
Saat saya berpaling lagi: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami....
Image
Saat saya berpaling: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah....
Image
Semuanya semakin mahal. Daripada harga rumah, tol dan sate. Ya sate. Sdr suka sate? Sejak kecil ia menjadi subjek mempertemukan ahli keluarga, kami akan keluar makan sate. Waktu itu seingat saya sate masih dengan harga 15 sen secucuk. Kemudian nikmatnya apabila melanjutkan pengajian di UKM, yang berdekatan dengan Kajang yang masyhur dengan sate. Waktu itu rasanya sate berharga 40 sen. Harga sate kian tumbuh dan tumbuh. Menetap di Kajang sekarang, saya sangat tahu perkembangan harganya, namun masih menganggap ia ejen membantu menggembirakan ahli keluarga pada hujung minggu. Namun apabila harga terkininya 90 sen naik kepada 95 sen dalam masa beberapa bulan, amatlah tidak masuk akal. Ya, bila-bila masa sahaja ia menjadi RM1 secucuk. Masih begitu rupanya, daging ayam (saya tidak makan daging lembu) dengan ukuran besar kecil yang tidak pernah adil. Timun dan bawang yang dihiris seperti hanya berbaki satu sudu di dapur. Walau tidak dinafikan sos kacangnya terus memukau. Namun masih tidak m…
Image
Musim cuti sekolah. Musim umrah dan ziarah. Beberapa tetangga dan sahabat mula keluar rumah beberapa minggu ini untuk beribadah di Medinah dan Mekah. Allahu akbar. Menariknya seluruh ahli keluarga juga turut serta. Alangkah saya dan keluarga kecil kami juga dapat menikmati musim cuti sekolah AM di Tanah Suci (mudah-mudahan, amin). Pertama kali saya menjalani ibadah umrah pada tahun 1999. Ya sudah sangat lama. Istimewanya pengalaman kembara spiritual itu saya jalani bersama-sama sahabat penulisan iaitu Bonda Zaharah Nawawi, sasterawan besar yang saya kagumi kegigihannya. Seorang lagi teman kami adalah Mahani Awang; ya si pemilik rumah makan masyhur Tupai-tupai. Saya mengenali Kekanda Mahani waktu itu sebagai wartawan/editor dan pernah membaca novelnya Tiga Jalan Terpisah. Setiap kami menyimpan kenangan yang manis saat Mekah masih asli. Dari hotel penginapan hanya perlu melintas jalan kecil untuk ke tangga Babus Salam Masjidil Haram. Allahu akbar. Sementara di Medinah, kedai-kedai keci…
Image
Malu yang sekiannya ialah pada peribahasa Melayu, tidak tahu malu. Seingat saya sejak kecil saya tahu makna ini. Saya perlu selalu tahu membawa diri. Saya mesti tahu malu. Saya mesti selalu tahu di mana saya duduk dan berdiri. Saya mesti tahu malu padaapa yang saya kenakan samada pakaian atau perkataan yang saya ucapkan atau tingkah yang saya bawakan. Ya Allah. Kemudiannya saya terfikir-fikir tidak tahu malukah saya terhadap Allah yang sudah sekian banyak memberikan kurnia. Tidak tahu malukah saya terus berbuat perkara sia-sia sedangkan masa itu harus saya jalani dengan segala sikap baik. Tidak tahu malukah saya dengan kesombongan, kebesaran, kebiadaban; sedang saya sangat tahu dan sedar akan asal kejadian diri. Ampuni saya ya Allah.
Image
Malu seterusnya adalah apabila saya berhadapan dengan puji-pujian. Ia membuat saya seperti jatuh ke dalam takungan air yang menarik jauh untuk berada lebih dalam dan lemas. Lebih malang lagi mungkin arusnya membawa saya lebih jauh entah ke penjuru dasar keta'ajuban mana, keangkuhan mana. Sedangkan saya hanya orang kecil. Atau mungkin saya bayangkan seperti si camar yang terbang dan hinggap dan terbang lagi dengan seluruh upaya yang ada pada sayap kecilnya. Ya, seperti dalam foto dari Tanah Selandia itu. Maka saya mula berdoa persis yang dibaca Saiyidina Abu Bakar:Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku kerana apa yang mereka katakan. Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. Dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka perkirakan. 
Image
Bagaimanakah darjah malu kita? Malu itu  terhadap apa dan siapa? Saya pernah diserbu malu berhadapan dengan lelaki ketika menjadi pelajar sekolah perempuan suatu ketika dahulu. Saya pernah malu apabila tersilap orang setelah berbual lama dengannya. Saya juga pernah malu apabila terlupa bacaan surah ketika menjadi imam solat kepada omak mertuo den (al fatehah buat almarhum). Terlalu panjang senarai malu saya dalam hidup. Belum lagi malu kepada Allah yang pasti sangatlah peribadi untuk saya berbahagi di sini. Maka selalu saya perpanjangkan doa agar ditutup aib saya itu. Sebesar nikmat apabila Allah menutup keaiban kita dan mengampuninya. Saya juga sedar satu lagi malu yang ada ialah terhadap diri sendiri. Kadangkala seperti ada diri lain dalam diri sendiri yang memerhati. Betapa malunya kita terhadap diri sendiri apabila melakukan sesuatu yang dungu ketika orang lain tidak tahu. Ya Allah. 



Image
Alhamdulillah. Dua cerpen ini diangkat sebagai pemenang tahun ini. Ia dinilai sekumpulan panel. Terima kasih kerana menghargai. Kerendahan hati saya mengingat, kedua-duanya adalah rakaman daripada  perjalanan ke Tanah Selandia Baru 2014. Sebenarnya ia lebih membawa hati saya dekat dengan-Nya dan tiba-tiba saya jadi malu dengan pengiktirafan ini pada usia sekarang. Hanya saya mengingati mahasiswa yang mengikuti kuliah penulisan saya, hadiah ini buat mereka untuk menulis lebih baik daripada gurunya.. seperti pesan si bulan penuh dari surah Yusuf: 87 janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah. Terus menulis dengan rahmat dan pertolongan-Nya.
Image
Musim pengantin. Di kampung saya disebut musim jemputan. Allah, semakin aneh pengantin hari ini. Daripada mengupah perancang perkahwinan kepada pelaksanaan acara. Ketakutan sekali apabila menghadiri majlis yang diadakan di dewan yang seperti mahligai. Ada perarakan masuk pengantin. Ada anak-anak comel memegang bunga dan keluarga yang mengiring. Ada bunga-bungaan yang menjadi pintu gerbang. Allah. Saya teringat menghadiri acara yang sepertinya sewaktu Stefanie dan suami (ketika itu, dan berpisah setahun dua kemudian) di St Andrew Cathedral, Orchard Rd. Sesaknya nafas saya untuk melihat acara yang mirip bagi meraikan pasangan pengantin keluarga atau handai taulan sendiri. Dan sewaktu bersalaman untuk menyampaikan doa kebahagian hingga syurga buat mempelai, saya melihat contengan yang buruk di jari jemari dan tapak tangan. Inai gelap yang tiada seri sama sekali. Saya tidak arif soal hukum; harus, makruh atau haram. Tapi bagi saya ia hanya mengotorkan tangan yang bersih. Selamat penganti…
Image
Antara yang terindah di hotel saya menginap dalam aturcara kerja singkat Surabaya-Malang yang lalu. Antara dingin angin tipis  yang memasuki daerah perbukitan, saya mengenang bonda dan cintanya.
Image
Bertemu tiga susuk penyair yang saya kenali  sewaktu mahasiswa. Saya baca puisi mereka dalam kuliah Prof Muhammad Haji Salleh. Ternyata bertemu mereka dalam kembara kali ini, mendengar falsafah mereka tentang Islam dan manusia Melayu, begitu  menyalakan rasa seperti api di tengah jelaga malam yang dinginnya menandingi segala dingin. Bertemu mereka, saya semakin menjunjung Islam yang saya pelihara dalam qalbu. 


Image
Saya senang sekali bertemu teman-teman baru ini. Sewaktu ke Jogja dulu, tidak pula menemui mereka. Istimewanya mereka membawa nama negara, daerah dan budaya yang diwakili. Maklumatnya dicetak dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris. Oh Indonesia!
Image
Tuhan, Kita Begitu Dekat
Tuhan, Kita begitu dekat Sebagai api dengan panas, Aku panas dalam api-Mu.
Tuhan, Kita begitu dekat, Seperti kain dengan kapas Aku kapas dalam kain-Mu.
Tuhan, Kita begitu dekat, Seperti angin dan arahnya.



Kita begitu dekat. Dalam gelap Kini aku nyala, Pada lampu padam-Mu.
Image
Sepanjang penglibatan saya dalam kesusasteraan, peribadi mahupun rasmi, jarang saya duduk di meja penilai. Seingat saya sekali menjadi panel penilai Hadiah Sastera Sarawak bersama arwah Prof Sahlan Mohd Saman dan Hj Hamzah Hamdani. Selainnya saya menjadi penilai untuk acara kecil-kecilan di peringkat universiti atau organisasi. Giat teman-teman kerana karya saya yang dinilai. Tahun ini saya diminta untuk menyemak ASNS. Ternyata ia pengalaman yang banyak refleksinya; bagaimana saya melihat karya orang lain dan akhirnya saya tunduk terhadap perjalanan penciptaan di tangan manusia. Saya juga melihat apabila tangan orang berkuasa bersuara. Allahu akbar. Betapa debunya saya ini!
Image
Beberapa minggu ini dalam himpitan tarikh-tarikh akhir makalah yang harus disiapkan untuk penerbitan, tugasan mahasiswa yang harus disemak, kerja kreatif peserta bengkel penulisan yang harus diulas, manuskrip tebal yang perlu dinilai, kuliah dan tutorial yang masih berjalan dan banyak lagi, hati saya dekat dengan Takmilah Shafie Abu Bakar. Pernah saya sebutkan tentang ziarah ilmu ke pejabat Dr Shafie. Pernah saya laporkan acara kami bersama-sama penjana Teori Takmilah itu di UKM. Kali ini saya membawanya ke Surabaya sebelum ke kota Malang di Universitas Muhammadiyah.
Image
Puisi ini digubah dan dibacakan mahasiswa saya yang berbakat besar, Mai sewaktu menjadi pengacara di Rumah al-Fikrah. Airmata saya tidak dapat ditahan-tahan!
Jangan Biar Terpisah
Pernah- setiap antara kami merasai bagaimana nikmatnya kucup kasih seorang bonda Dibelai ubun-ubun dengan selawat dan nyanyian syahdu Hingga kami lena- dan bonda senyum puas. Apakah kerana harum syurga yang menyerkup wajah seorang bayi- menyuntik rasa damai di hati, bonda? Ketahuilah- kami telah lama menghapus segala ketertiban ciptaan itu bonda! Kami telah mencelanya dengan noda hidup yang penuh angkuh Mencari haluan hidup yang lebih dirasakan sempurna Meminggirkan segala amanah dan harapan Hingga kami benar-benar lupa Rahim bonda- tempat kami pernah berdamai di dalamnya.
Demi itu- tampar kami bonda! Tampar kami dengan kalimat-kalimat yang membasuh jiwa Sedarkan kami betapa kalian terluka Keterhirisan hati yang kalian diamkan- betapa dalam! Bagaimana tegar kau membebat luka sendiri Dan membiarkan air mata derhaka bertukar …
Image
Beberapa minggu ini bacaan dan hafazan surahnya  begitu lancar. Dengung, panjang dan kejap bunyi sabdunya sekali sekali diperbetulkan Zahar usai maghrib menanti isya'. 30 ayat  al Fajr mengalir sangat alami dari lidah AM. Merenung kefasihannya, membuat saya tunduk. Mengakui penghargaan Allah terhadap manusia yang sempurna imannya: Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku. Empat ayat terakhir itu bertemu dengan doa saya buat AM  sejak minggu-minggu peperiksaan akhirnya: dekatkan AM dengan syurga-Mu, ya Allah. Dekatkan anakku  dengan solah dan al-Qur'an. Amin.
Image
Image
Mungkin ini entri terakhir tentang surat merah. Anas, pelukis plan bersedia untuk bantu. Betapa berkuasanya garis panjang pendek, lengkungan dan segala ukuran di atas kertas Anas nanti dalam pertelingkahan ini. Apa lagi yang mahu dikata (apo nak dikato..koba worih kampung Zahar). Menurut Anas, jumlah denda nanti boleh dirunding dalam proses minit mesyuarat majlis perbandaran kami. Masih boleh turun dan turun. Alahai. Saya mengenang pesanan si bulan penuh yang datang saat kami sedang melihat lakaran asas Anas. Rezeki seseorang itu tidak dapat dihalang kebencian atau tidak boleh dirampas kerakusan.Semua itu sudah tertulis. Saya terkebil-kebil melihat jari Anas laju menekan butang mesin kira yang dibawanya sama, memajukan jumlah yang harus kami lunaskan.
Image
Lagi cerita surat merah. Nampaknya kami harus  ikut arahan kerajaan. Bayar denda dan upah pelukis plan untuk binaan-binaan di rumah kami. Zahar sudah mendapatkan seorang arkitek muda untuk melukis. Saya terkial-kial menyemak buku telefon yang panjang senarainya. Saya tahu ada kawan-kawan lama yang pandai melukis semasa di sekolah, sekarang menjadi arkitek bertauliah. Aduhai! Saya teringat tegur kenalan baru di al-Fikrah, susah mencari guru agama sukarela sekarang; ramai yang bersedia dan punya masa ialah mereka yang dibayar. Apa pula kaitan pelukis pelan, arkitek dan guru agama, ya?
Image
Masih kisah surat merah. Sah, kami didenda kerana membina sungkupan di hadapan rumah. Sementara tetangga kiri-kanan-hadapan-belakang yang kaya raya membangunkan tembok tambahan untuk bilik kelima-keenam-ketujuh tidak menerima sebarang surat merah-biru-kuning. Aduhai, majlis perbandaran! Zahar yang sudah hilang diplomasi di kaunter pertanyaan, disergah untuk mendapatkan seorang pelukis plan dengan bayaran RM1500 di samping bayaran denda! Allah ya Allah. Setelah 15 tahun! Ya, setelah sekian lama baru sekarang kami dikenakan hukuman. Dahsyatnya orang yang kuasanya di tangan dan kepala. Inikah juga fitnah akhir zaman, manusia jadi haloba dan membuang saksama ke dalam tong sampah!
Image
Seingat saya dalam hidup, saya jarang sekali menerima surat merah, surat rasmi dikenakan denda daripada kerajaan. Kelmarin kami menerima sehelai surat merah yang ditujukan kepada PEMUNYA PREMIS (ya,  itulah gelarannya) dan antara kandungannya berbunyi, ... sila runtuhkan mana-mana penambahan sambungan bangunan yang telah dibuat di premis anda. Memang surat itu membuat kami bertiga terpinga-pinga. Saya menjenguk bahagian hadapan dan belakang rumah, mana bangunan baru yang kami tambah? Setahu saya, rumah kami adalah model rumah asal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini sejak membelinya 15 tahun lalu. Berbanding tetangga yang menyambung dan membangunkan, tiada apa yang kami lakukan selain menambah sengkuap yang ketara di bahagian hadapan seperti rumah-rumah lain sebagai teduhan kereta. Rumah kami tidak semewah tetangga lain. Rumah yang paling  sederhana. Arahan pihak majlis perbandaran untuk mendapatkan penafsir melukis semula plan baru (pasti dengan kos), sangat menimbulkan kemusyki…
Image
Saya bukanlah seorang yang masyhur sehingga perlu buat pengumuman ini lagi. Tapi kasihankan beberapa pesanan yang penting masuk, sedang saya minggu ini tidak dapat dihubungi di WA. Mohon sms saja atau buat panggilan jika perlu. Maaf dan maklum.
Image
Saya sedar, projek Kesusasteraan dan Gerontologi ini sudah semacam menjadi projek peribadi apabila setiap hujung minggu kami bertiga keluar untuk membeli barangan yang akan disumbangkan. Zahar yang sangat diplomasi berurusan di kaunter bayaran dan A Matiin yang sangat ringan tulang menolak troli, sangat-sangat membuat saya sebak. Saya teringat mahasiswa yang sangat beriltizam dengan projek ini, masuk ke dalam hati dan jiwa untuk lebih mengasihi warga senasib al-Fikrah. Berkotak-kotak lampin dewasa, bedak wangi, sabun mandi, sabun basuh pakaian, cecair pencuci domestik dapat kami himpunkan untuk dibawa ke al-Fikrah esok pagi, insya-Allah yang jumlahnya hampir mencecah dua ribu ringgit. Allah Maha Besar. Saya sangat sebak mengenang almarhum nenda saya sebenarnya! Nenda yang sangat pemurah dan dermawan. Allah ya Allah.
Image
Dia datang mengingatkan saya tentang MASA. O Allah, dekatnya hati. Saat saya sedang diekori masa yang sebenarnya sebentar lagi akan deras mengambil alih tempat, dan saya segera akan ditinggalkan. Terima kasih jam gerak yang selalu berdenting nyaring pada detik yang persis. Pedoman yang dikirim untuk terus beriman dan beramal soleh; berpesan kebenaran dan kesabaran.
Image
Tahun Baru 1437. Selamat meraikannya dengan doa panjang untuk terus dalam
ketaatan dan selalu dalam pengampunan.
Image
Harinya semakin dekat. Alhamdulillah, seluruh syukur, terima kasih kepada semua penyumbang projek Kesusasteraan dan Gerontologi. Sehingga kelmarin, menerusi wang tunai yang disumbang telah kami dapatkan hampir empat kotak besar lampin dewasa, sabun basuh pakaian dan sabun mandi. Itu keperluan utama al Fikrah buat masa ini. Allah, mudah mudahan usaha kecil ini lebih membawa hati kami menyertai tokoh-tokoh pikun itu. Redha Allah tergantung kepada keredhaan orang tua dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan orang tua [Bukhari, Ibn Hibban, Tirmidzi dan Hakim].
Image
Pesanan si bulan penuh di penjuru jendela, sampai lagi. Kita hidup di Zaman Fitnah. Kisahnya tentang fitnah yang bergentayangan pada penjuru zaman. Allah ya Allah. Ya, fitnah dan keaiban berdiri di kiri, kanan, depan dan belakang. Hampir kita tidak dapat berpaling. Mudah-mudahan Allah lorongkan hati saya untuk terus memilih jalan yang lurus, jalan orang yang Allah anugerahkan nikmat.
Image
Pedoman saya kepada para mahasiswa lewat kuliah kelmarin, yang saya petik dari buku: Bertingkah atas landasan syukur kerana itu ibadah orang yang merdeka. Sedang selama ini kita bergaya seorang pedagang kerana ibadah kita hanya mahukan pulangan. Atau pula kita berjiwa hamba, maka ibadah kita kerana takutkan Allah.
Image
Burung kenek-kenek Terbang pohon birah Pesan datuk nenek Jangan bantah cakap ayah.
Burung kenek-kenek Terbang ke pucuk tebu Pesan datuk nenek Jangan derhaka pada ibu.
Antara pantun pembukaan ucapan mahasiswa saya nanti...
Image
Saya kian gerun dengan kerasukan telefon pintar. Ya, apa yang Sdr mahu pegang pertamanya ketika bangkit daripada tidur? Apa yang mahu Sdr lihat hampir setiap saat? Berapa lama ia berada dalam tangan Sdr? Berapa lama pula ia boleh Sdr biarkan di atas meja atau di dalam tas tangan tanpa ditoleh sekilas pun? Allah ya Allah. Saat sudah bersedia ke sajadah, bukankah Sdr masih lagi mahu melihat apa-apa yang terjadi padanya? Ampuni kami ya Allah. Bukankah itu kerasukan? Bukankah itu penjara? Bukankah itu petaka dan apakah lagi kata yang menyertainya? Saya sedang berlatih  memerdekakan diri daripada rantai berat yang kukuh menjerat itu. Saya akan matikan semua titik hubung bermula 10 malam dan hanya akan kembali memanfaatkannya jam 7 keesokan hari. Atau mungkin lebih panjang lagi.
Image
Pesan saya kepada mahasiswa, jangan jadi pengemis (wang), mohon saja sumbangan barangan yang diperlukan dan kita hanya pengantara untuk menyampaikan. Saya harap mereka memahaminya.
Image
Hati yang merenyut-renyut. Mulut yang hampir mahu menyebut-nyebut. Allah. Pesan bulan penuh di hujung jendela kali ini tentang pengabdian para Rasul. Betapa perit dan luka di sepanjang jalan untuk mendekatkan semua hati kepada Dia. Betapa banyak sengsara. Betapa besar gunung duga. Sekali lagi saya berkira-kira, cukup deritakah saya hanya untuk menyampaikan satu suruhan Rasulullah. Cukup dahsyatkah penanggungan bagi membawakan satu kebenaran. Kecilnya iman saya!
Image
Semester ini, mahasiswa Sastera Bandingan melakukan tugasan gerontologi dalam sastera. Membaca tokoh-tokoh pikun dari cerpen dan novel. Sebagai tugasan membanding daripada realiti, kami akan bekerja di rumah orang tua. Aduhai, sebaknya setiap kali mengenang ibu, ayah, nenek dan datuk. Harga diri yang masih mahu dipertahankan saat kudrat mereka hampir mencecah tanah. Cinta orang tua yang aneh. Dan sebenarnya, saya memberitahu mahasiswa, kita membaca diri sendiri nanti apabila saatnya muncul di muka pintu.
Image
Dan ingatlah hari ketika langit pecah belah mengeluarkan kabut putih dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang (al Furqaan: 25)

Image
Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu. Salam eidul Adha 1436.