Posts

Showing posts from December, 2013
Image
Pernahkan sdr berhadapan dengan ketikanya, sdr sangat memohon kecukupan daripada Allah. sdr berdoa agar  tidak berasa haloba dengan dunia. sdr berdoa semoga bukan gelar yang mahu sdr cipta, sebaliknya redha dan ihsan Allah yang sangat didambakan. saat yang sama, sdr berdoa tanpa diketahui sesiapa agar saudara seaqidah tidak digiring menjadi semut di penjuru bulas neraka; penjara bagi mereka yang pernah ada keangkuhan dalam dadanya. pernahkah sdr berdoa sungguh-sungguh supaya tidak diperdayakan dunia?
Image
Sebelum ini saya belajar untuk berdoa agar diberi kecukupan. ia turut bermakna kecukupan yang dipelihara hingga saya dipanggil pulang. ya, dalam sujud panjang, saya mula meminta agar Allah mencukupkan kepercayaan saya itu, memelihara kebaikan yang cuba saya lakukan hingga titik akhir tiba. seperti dalam sebuah cerpen, Tamsil Daun (Dewan Siswa, Ogos 2012), saya irikan anak-anak muda yang sejak awal rajin bersolat malam, berdhuha, membaca tafsir al Qur'an antara waktu yang ada. saya berdoa semoga amalan sunnah itu terus berjalan hingga akhir hayat saya. ia tidak hanya bertahan waktu muda, waktu sihat, waktu lapang ... moga Allah membantu.
Image
Semester ini hampir berakhir apabila kuliah empat belas minggu dilengkapkan. saya sedang merapikan kertas-kertas tugasan mahasiswa yang mula menguasai meja kerja. segalanya perlu disusun sebelum minggu ujian bermula januari nanti. untuk sekian kali saya mengingatkan mahasiswa betapa kemahiran kebahasaan antara yang amat diperhitungkan dalam kerja penilaian. saya membawa tamsilan bagaimana seorang chef yang baru saya kenali dan seorang pegawai pemasaran yang menguruskan pesanan buku-buku penyelidikan, begitu memastikan rangkap kata serta saringan aksara dalam emel atau surat. dan mereka adalah anak-anak muda yang bukan diasuh dalam bidang bahasa. ta'ajubnya saya! betapa selalu menjadi impian bahawa anak-anak didik saya menghormati bahasa bangsanya dan mempertahankannya sepenuh jiwa.
Image
Saya mengenali susuk pengarang ini lama dulu, lebih sepuluh tahun lalu. dan ternyata beliau tumbuh dengan novel-novel yang banyak disaring dari dunia senibinanya. banyak juga dari sejarah yang digali kembali, langsung dipindahkan ke bilik kreatifnya. beberapa hari ini bertemu kembali dalam ruang persidangan kesusasteraan, beliau menegaskan bahawa pergelutan sejarah dua negara kami, bermula 1819 dan bukan 1965.  Terima kasih Isa Kamari atas hadiah baru 1819 dan The Tower.

Image
Anehnya, baru petang tadi Zahar dan Alif Matiin mengejutkan saya. kami dapat melihat menara berkembar KL dari jalan di rumah! sedangkan untuk memandu ke sana, hampir satu jam lamanya. ia hanya berlaku apabila bukit yang sebelum ini menghadang apa yang ada di baliknya, kian diratakan untuk tujuan pembukaan kawasan perumahan baru. ia mungkin sahaja pemandangan yang memikat, namun ia ternyata  menuntut pengorbanan yang bukan kepalang!
Image
Memang Allah punya rahsia-Nya sendiri. jika hanya kita tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Alif Matiin disimen tangannya kelmarin setelah jatuh daripada basikal, sedang anak saya itu  menunggu beberapa hari sahaja untuk ujian tukar warna tali pinggang tae kwan do. entah bila dia akan berada lagi  di kelas pertahanan diri hujung minggu itu. saya harap banyak yang dipelajarinya akibat kemalangan tersebut. lebih berhati-hati, lebih ikut kata orang tua ...