Posts

Showing posts from December, 2015
Image
Tiga novel pilihan saya, S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-labah) oleh Nazri Hussein, Trivia oleh Ruhaini Matdarin dan Sarjana Bangsa oleh Hasanuddin Md Isa sebagai novel terbaik 2015. Ia mungkin sahaja  tidak mewakili sepenuhnya kerana kesempatan saya membaca sekian banyak novel yang diterbitkan. Sayang sekali tiada gambar novel-novel tersebut dalam rencana yang disiarkan. Begitu juga wajah para pengarangnya. Saya jadi malu apabila foto si tukang pilih novel yang menjadi tumpuan di tengah halaman, dengan wajah sihatnya. Aduhai.
Image
Image
Sudah hampir tidak ada makna tahun baru. Tahun demi tahun menjadi seperti mengalirnya air sungai yang memasuki ruang antara kerikil atau bongkah batu yang pelbagai ukuran. Alirnya yang belum lagi mahu berhenti atau sebelum ini pernah ada semacam gerak transisi, namun semakin saya rasakan ia bergerak terus. Ya, kerja yang tidak berakhir pada hujung tahun, sebaliknya terus dibawa dari disember ke januari baru dan seterusnya. Ia menjadi kelelahan yang panjang sebenarnya, walau hati memujuk sering, mintalah reda-Nya dalam payah dan mengah. Allah. Allah. Allah. Saya percaya akan tiba saat hentinya. Percaya itu menumbuhkan satu kesan yang emotif yang membuat saya mahu merenung lebih lama...
Image
Mai Izyani, penulis buku ASAH merupakan mahasiswa tahun akhir kami. Buku yang mencantum kolaj kreativitinya dalam pelbagai genre. Menarik untuk diteliti kerja seni anak muda kontemporari. Apa yang mereka mahu dan bagaimana mereka menyuarakannya. Syabas Mai.
Image
Zahar menyudahkan bacaan al Qur'annya lagi. Khatam lagi. Saya sering iri dengan jadual bacaannya usai solat fajr atau usai solat lainnya. Selalu tempat bacaannya di kerusi merah menghimpit jendela. Saya perhatikan Zahar seperti bertafakkur sebelum atau sebaik selesai membaca beberapa halaman. Zahar akan berdiam lama dengan memejamkan mata. Saya pasti selepas itu Zahar mahu sekali bertadabbur,  berfikir  dalam apa yang dibacanya. Kemudian Zahar akan bertazakkur, mengambil tamsilan dari ayat-ayat itu. Zahar nantinya akan bertaa’kul, menjadikan al Qur'an sebagai sumber ilham fikiran. Dalam perihal kerjanya juga Zahar nanti akan bertaa’alum, menggali sumber ilmu dari al Qur'an sebagai panduan. Saya sebenarnya mengingat apa yang pernah dikuliahkan. Sempena mengenang kelahiran Rasulullah hari ini, detik yang istimewa Zahar memulakan bacaan al Baqarahnya kembali.
Image
Kumpulan cerpen terbaru yang sebenarnya sudah agak berumur....
Terima kasih Puan Marwati dan Puan Zaiton Abu Samah, editor yang gigih.
Image
Sudahkah Sdr berjumpa dengan guru? Dia tempat Sdr sandarkan keliru atau gusar. Dia tempat Sdr bertanya jalan kembali setelah jauh berada di pelbagai simpang. Dia juga yang memujuk supaya Sdr mengambil Allah, al-Qur'an, Rasulullah dan kematian sebagai kamus pemerihalan segala macam pertelingkahan. Atau dalam Sdr mencari-cari guru itu sebenarnya yang lebih ditemukan adalah kebingungan. Pertanyaan Sdr kemudian adalah: bukankah guru itu luhur hatinya. Bukankah guru itu jujur lisannya. Bukankah guru itu bersikap akan apa yang dicakap. Bukankah guru itu rendah hati ketika melihat mata anak muridnya. Bukankah guru itu jarang sekali mahu berbincang soal keuntungannya dalam menurunkan ilmu. Guru itu juga adalah mukhlis. Allah ya Allah. Dia tidak akan berkata buruk tentang orang lain agar menjadi pedoman yang sama kepada anak muridnya. Allah ya Allah. Sudahkah Sdr berjumpa dengan guru itu? Atau Sdr sedang mencari-cari. Dan Sdr ternyata masih belum ketemu?
Image
Saat saya masih berpaling: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. 
Image
Saat saya berpaling lagi: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami....
Image
Saat saya berpaling: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah....
Image
Semuanya semakin mahal. Daripada harga rumah, tol dan sate. Ya sate. Sdr suka sate? Sejak kecil ia menjadi subjek mempertemukan ahli keluarga, kami akan keluar makan sate. Waktu itu seingat saya sate masih dengan harga 15 sen secucuk. Kemudian nikmatnya apabila melanjutkan pengajian di UKM, yang berdekatan dengan Kajang yang masyhur dengan sate. Waktu itu rasanya sate berharga 40 sen. Harga sate kian tumbuh dan tumbuh. Menetap di Kajang sekarang, saya sangat tahu perkembangan harganya, namun masih menganggap ia ejen membantu menggembirakan ahli keluarga pada hujung minggu. Namun apabila harga terkininya 90 sen naik kepada 95 sen dalam masa beberapa bulan, amatlah tidak masuk akal. Ya, bila-bila masa sahaja ia menjadi RM1 secucuk. Masih begitu rupanya, daging ayam (saya tidak makan daging lembu) dengan ukuran besar kecil yang tidak pernah adil. Timun dan bawang yang dihiris seperti hanya berbaki satu sudu di dapur. Walau tidak dinafikan sos kacangnya terus memukau. Namun masih tidak m…
Image
Musim cuti sekolah. Musim umrah dan ziarah. Beberapa tetangga dan sahabat mula keluar rumah beberapa minggu ini untuk beribadah di Medinah dan Mekah. Allahu akbar. Menariknya seluruh ahli keluarga juga turut serta. Alangkah saya dan keluarga kecil kami juga dapat menikmati musim cuti sekolah AM di Tanah Suci (mudah-mudahan, amin). Pertama kali saya menjalani ibadah umrah pada tahun 1999. Ya sudah sangat lama. Istimewanya pengalaman kembara spiritual itu saya jalani bersama-sama sahabat penulisan iaitu Bonda Zaharah Nawawi, sasterawan besar yang saya kagumi kegigihannya. Seorang lagi teman kami adalah Mahani Awang; ya si pemilik rumah makan masyhur Tupai-tupai. Saya mengenali Kekanda Mahani waktu itu sebagai wartawan/editor dan pernah membaca novelnya Tiga Jalan Terpisah. Setiap kami menyimpan kenangan yang manis saat Mekah masih asli. Dari hotel penginapan hanya perlu melintas jalan kecil untuk ke tangga Babus Salam Masjidil Haram. Allahu akbar. Sementara di Medinah, kedai-kedai keci…
Image
Malu yang sekiannya ialah pada peribahasa Melayu, tidak tahu malu. Seingat saya sejak kecil saya tahu makna ini. Saya perlu selalu tahu membawa diri. Saya mesti tahu malu. Saya mesti selalu tahu di mana saya duduk dan berdiri. Saya mesti tahu malu padaapa yang saya kenakan samada pakaian atau perkataan yang saya ucapkan atau tingkah yang saya bawakan. Ya Allah. Kemudiannya saya terfikir-fikir tidak tahu malukah saya terhadap Allah yang sudah sekian banyak memberikan kurnia. Tidak tahu malukah saya terus berbuat perkara sia-sia sedangkan masa itu harus saya jalani dengan segala sikap baik. Tidak tahu malukah saya dengan kesombongan, kebesaran, kebiadaban; sedang saya sangat tahu dan sedar akan asal kejadian diri. Ampuni saya ya Allah.
Image
Malu seterusnya adalah apabila saya berhadapan dengan puji-pujian. Ia membuat saya seperti jatuh ke dalam takungan air yang menarik jauh untuk berada lebih dalam dan lemas. Lebih malang lagi mungkin arusnya membawa saya lebih jauh entah ke penjuru dasar keta'ajuban mana, keangkuhan mana. Sedangkan saya hanya orang kecil. Atau mungkin saya bayangkan seperti si camar yang terbang dan hinggap dan terbang lagi dengan seluruh upaya yang ada pada sayap kecilnya. Ya, seperti dalam foto dari Tanah Selandia itu. Maka saya mula berdoa persis yang dibaca Saiyidina Abu Bakar:Ya Allah, semoga Engkau tidak menghukumku kerana apa yang mereka katakan. Ampunilah aku atas apa yang tidak mereka ketahui. Dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka perkirakan.