Posts

Showing posts from October, 2017
Image
Ini titipan sempena kembara saya bulan lepas ke ranah gelombang besar, gelombang getir. Antara lain ia tentang hasrat yang masih berjarak, yang entah bila dapat saya rangkul. Ia juga tentang kecintaan saya terhadap anak yatim yang dianjur al-Qur'an, yang menjadi kecintaan Rasulullah. Baru sekarang saya berani ke pantai gelombang besar. Kerana apa? Kerana mengenang indahnya menyertai anak-anak yang kehilangan. Terima kasih kepada Sdr Nazmi Yaakub, editor BH yang menerima cerpen ini. Dan saya senang sekali dengan misteri pada ilustrasi cerpen kali ini.  Sementara ini merupakan sambungan rencana saya di MM yang disiarkan dua minggu lalu.  Ya, judulnya juga sudah bertukar. Saya lebih senang jika dikekalkan judul, yang sebenarnya diubahsuai daripada petikan dalam tulisan saya ...  guru yang membina keyakinan dan kepercayaan. Terima kasih kepada editornya, Sdr Sahidan Jaafar. Tahniah atas graduasi Sarjana Sains Politiknya besok. Ya saya akan menyertai acara bersejarah itu di De
Image
Sendiri Minggu yang padat dan pendek, namun perjalanan yang melelahkan sekali, apalagi apabila dirasakan sangat sendiri. Segala-galanya harus siap sebelum bermula November. Dan November sendiri malah menjelang bulan hujung tahun sudah banyak yang mengisi. Subhanallah. Al-Qur'an yang saya cinta sering memujuk gundah yang selalu datang. Ya, lewat dua baris ad-Dhuha ini: Dia mendapatimu bingung lalu Dia memberikan petunjuk. Dia mendapatimu kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan . Allah ya Allah. Kepada siapa lagi saya mahu sandarkan segala gundah dan payah ini selain Dia ...
Image
Entah bila titik hujung saya. Beberapa hari ini banyak khabar kepulangan yang disampaikan. Beberapa sahabat kehilangan ayah. UKM, tempat saya bertugas juga kehilangan tokoh yang sangat banyak jasanya, Prof Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid . Saya tidak sempat bertemu beliau sejak zaman mahasiwa lagi, namun nama dan budinya sangat harum. Begitulah kebaikan yang akan dikenang lama. Sering juga tanpa mengenalinya sama sekali, namun kita sangat rasa terdorong. Sedang saya, si debu ini entah apa rupa nasibnya. Gundah atau gembira, semuanya di dalam gua sendiri. Dan ya, entah bila pula titik hujung saya. Foto ini daripada sahabat pendakian saya di Paekakariki Escarpment Track. Sering membawa saya ke titik hujungnya. 
Image
Banyak yang tak terucap. Banyak juga yang tak tertemukan dalam balam saat matahari kian meneduh. Saya baru menyudahkan cerita pendek yang saya bawakan daripada kembara yang baru lalu. Seperti saya yang tidak dapat bertemu dengan Miqdad yang dirindu sekian masa. Walau sudah tiba di ranah yang dituju, sedang dia masih menjauh. 
Image
Kampus kembali sunyi. Sudah masuk minggu keenam kuliah dan mahasiswa cuti awal pertengahan semester ini untuk meraikan Divali besok. Sementara kami yang masih tinggal, menyelesaikan kerja yang banyak tertangguh sebelum berhujungnya Oktober. Nanti November akan penuh lagi dengan acara di dalam dan luar. Sekejap kemudian akan sekali lagi menuju penutup 2017. Allah ya Allah. Sekali lagi saya tersandar dan mengimbas akan cepatnya masa yang hilang dan terbuang. Rasa ditinggalkan terus seperti selalu, saya akan ditemani keharuan dan mahu rasanya membawa sekali lagi kaki tua saya ke penjuru gua. Introspeksi lagi dan lagi. Foto ini sering muncul sebagai penyelamat layar ( screen saver ) di komputer pejabat. Ia juga menjadi penyelamat, teduhan seperti pohon sukma yang tidak pernah terlupakan walau berjarak sering. 
Image
Pengalaman menulis di akhbar dan majalah, sering menemukan saya dengan penyunting yang banyak mengandai-andai. Ejaan asal yang disangka silap ditulis, diubah. Akhirnya makna sebenar penulis bertukar. Ia berlaku beberapa kali dalam penulisan saya, khusus dalam penggunaan kata langka. Terkini, hari ini, tulisan pengalaman saya di HSKU, asalnya berbunyi HSKU: Guru yang Menuntun , diubah kepada HSKU: Guru yang Menonton . Saya kecewa pastinya kerana ia judul besar dan ia adalah sumbangsih saya yang istimewa untuk HSKU dan Utusan/Mingguan Malaysia. Saya menulis kepada editornya, Sdr Sahidan Jaafar agar ada kotak maklumat ralat minggu depan (rencana ini bersambung minggu depan) berkaitan judul besar itu. Menuntun maknanya memimpin, membimbing, mengasuh ; itu erti yang sangat luhur jauh datangnya dari kalbu saya sewaktu mengetik rencana berkenaan. Saya orang kecil yang menulis, mungkin sahaja rencana ini tidak ada makna yang besar kepada banyak pihak. Bezanya,  saya adalah  guru yang menu
Image
Bercakap tentang imaginasi dalam kerja kreatif lewat kuliah kelmarin, saya membawa mahasiswa terbang nun jauh ke bulan. Memasuki sempadan garis semu, saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar menikmati penerbangan jauh kami. Saya bertanya, apa yang mereka temui di daerah bundar itu. Keasingan, kesendirian, pengharapan atau bulan itu hampir tidak ada apa-apa makna. Bulan hanya yang terkait dengan langit malam. Bulan hanya jalur cerita dan mimpi di jendela usia waktu kecil. Dan saya seperti selalu, sering dibiarkan di hadapan dewan kuliah menjalani plot bikinan sendiri. Tanpa siapa mahu tahu garis, keluk dan beluk atau malah  rupa nasib yang mungkin saya temukan. Ternyata saya seorang saja yang mahu ke sana. 
Image
Siapa agaknya yang dapat menghentikan ribut taufan dalam dada apabila janji dimungkir atau dusta yang cuba disembunyi. Siapa agaknya yang dapat bertahan daripada menyelinap masuk ke penjuru gua untuk berdiam lama saat nyata jujur yang tersamar. Begitulah kita sering mahu mencari jalan tulus sedangkan tidak semua yang ditemukan adalah baris yang lurus. Kecuali satu jalan yang datang dengan seluruh lajur pujukan. Ia menghentikan taufan. Ia membikin surutnya curiga. Ia mereda guruh gelisah. Ya, dengan jalan berasa cukup. Berikhlas hati.
Image
Melihat ombak dan getar yang datang, tak akan pernah boleh ditebak makna atau rusuh yang diseret panjang. Meskipun muara ini sering dikunjung dan menjadi negeri sukma, ternyata ia masih wilayah yang canggung. Bagaimana nanti ia menjadi daerah yang menjarak dan akhirnya di situlah menjadi titik paling hujung. 
Image
Berbahagia sekali hari ini untuk saya berbahagi kuliah tentang tsunami. Dari paparan kisah benar, novel dan filem Hafalan Shalat    Delisa Tere Liye dan puisi Lidah Tsunami A. Samad Said. Bagaimana saya menyaran mahasiswa untuk menyusun plot cerita. Mana takdir yang harus membuka tabir atau peleraiannya adalah sesuatu yang tidak terjangkakan. Melihat mata anak-anak yang ditinggalkan, ya anak-anak yang kehilangan, sering juga saya melihat bersit berani dan tabah. Persis baris Pak Samad bahawa tsunami itu lidah ombak memang tak terduga , begitulah hati yang sering sukar ditebak. Kilas kata yang payah dibaca. Atau juga hasrat yang hanya Dia tahu tulus dustanya. Melihat gelombang seteru dengan pusaran yang mendera, saya membayang dia yang ternyata jauh walau selalu ada.
Image
Foto ini saya rakam dari muzium sempena kembara lalu. Saya melihatnya sebagai pejuang. Meredah gelombang. Menongkah cuaca. Berdepan dengan bongkah takdir yang  tidak diketahui ukurannya sama sekali. Banyak antara kita yang sedang berjuang. AM juga. Ujian besar UPKKnya minggu ini. Malam tadi AM mengimami solah Isya' dan hajat kami. Subhanallah. al Waqia yang lancar, menyeret saya ke ruang kesyukuran. Benar, tidak ada yang lebih mahal selain pejuang yang soleh lagi musleh. Minggu ini saya mohon ia menjadi pemula yang baik buat AM, seperti bacaan doanya yang kami aminkan. Cintanya pada al-Quran dan solah. Cintanya buat Allah dan Rasulullah.
Image
Berada jauh dalam tebal awan, saya meneruskan introspeksi yang dikumpulkan beberapa hari ini. Masih debunya saya dalam soal perjuangan. Masih naifnya saya dalam narasi orang yang berjiwa besar. Ternyata saya dengan langkah lelah dan tangan kecil, mahu berbuat banyak perkara. Permulaan surah az Zumar dini ini sangat memujuk, lakukannya dengan tulus, dengan ikhlas, hanya untuk-Nya. Sejak awal saya sangat sedar kekuatan ini datang dari dia. Banyak dalam al-Qur'an menyebut tentang dia. Dan dengannya saya berikhlas hati. Ya, dia yang jauh.