Posts

Showing posts from June, 2013
Image
Bilakah kali terakhir saudara menekup muka dengan seluruh jiwa raga saudara dalam penyerahan kepada Allah, sesungguhnya bertaubat. ya, bilakah kali terakhir kita berbuat demikian? dinihari tadi? lewat malam tadi? atau ia berlangsung setahun lalu saat ramadhan mahu mengetuk pintu. bulan syaaban ini, beberapa kali saya mendengar ingatan demi ingatan, agar segalanya dibersihkan sebelum mendakap ramadhan dengan jiwa yang luhur dan tulus. mohon ampun kepada ibu bapa, suami, isteri, tetangga dan sesiapa sahaja. tapi pernahkah pula, ada dinding tebal begitu menghadang daripada kita mendapatkan kemaafan itu. ya Allah, dalam kesukaran dan lelah, ampunilah kami. pandanglah kami dengan rahmat-Mu....
Image
Walau sudah semakin berumur, saya masih teruja apabila menerima hadiah. apalagi yang dikirim lewat pos. macam zaman anak-anak dahulu. terima kasih kepada sahabat saya, Z, yang nyata saya selalu dalam ingatannya. terima kasih atas hadiah ini. ya Allah, saya doakan Z dirahmati di sini dan di sana. dua buah buku Hidayah Amin ini, banyak membawa saya kembali, kehidupan dunia kecil saya di Singapura lebih tiga puluh tahun lalu ...
Image
Saya selalu harus minta maaf daripada Zahar kerana perlu bertanya hadiah yang diimpikan sempena hari lahir, ulang tahun perkahwinan atau hari bapa. berbanding saya, Zahar sering tahu apa yang saya mahukan. Zahar seperti menyimpan senarai panjang hadiah untuk saya. tapi satu yang sangat saya tahu, Zahar sukakan masakan saya. jadi hadiah yang saya pasti akan menggembirakan Zahar ialah apabila saya memasak pada hari istimewa yang dirainya. ahad lalu, saya menyediakan kari ketam (tidak sempat rakam gambar, tapi rupanya lebih kurang seperti dalam foto). ketam yang padat dan manis isinya. Selamat Hari Bapa, terima kasih atas kasih sayang dari kami!

Image
Syaaban kali ini saya sambut dengan banyak keinginan. saya mahu bersedia awal untuk ramadhan. malam seribu bulan mula saya masukkan dalam senarai doa. mohon kesihatan yang membolehkan saya berpuasa tanpa migraine dan gastritis. harapan agar tarawikh saya dimanfaatkan sebaiknya. kesabaran dapat saya lunakkan. saya sudah pastikan doa khusus setiap hari sepanjang ramadhan ada dalam note. begitu diet rejab-syaaban mahu cuba dikekalkan dan itu bermakna sekali lagi tidak ada bazar ramadhan buat kami tahun ini. memilih satu atau dua projek penulisan yang harus diselesaikan menjelang syawal. namun dalam menyusun jadual ramadhan ini, saya seperti membaca antara baris, sesuatu yang saya inginkan tidak tertulis. ia seperti tidak dapat dinyatakan meskipun hasratnya hampir di garis pintu. Allah. saya tidak tahu takdir apa yang menunggu saya sebentar lagi saat saya merapikan jadual ini. hanya saya terus bermohon Allah juruskan jalan kebaikan, jalan kebenaran untuk ke sana...
Image
Saya membaca surah al Mulk untuk   memulakan hari. tiga puluh ayat yang sangat mencengkam. salah satu ayatnya tentang burung. dan apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan menutup sayapnya di atas mereka? tidak ada yang menahannya di udara selain Yang Maha  Pemurah. sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu. ia membawa saya kepada salah sebuah kajian mahasiswa saya tentang hubungan alam sekitar dengan puisi; burung dan puisi.  seminggu ini, saya menjalani hari-hari yang begitu cepat berlalu. dengan kerja penyeliaan tesis mahasiswa yang hampir menamatkan pengajian dan mencelah sama mesyuarat tergempar, membaca dokumen yang perlu disunting di samping laporan yang tertunggak lama. oh alangkah jika saya punya sayap!
Image
Semalam kami membuka mesyuarat dengan membaca ayat pertama surah al Isra': Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al Masjidil Haram ke al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. betapa perjalanan Muhammad tercinta, isra'~mi'raj,   mengasuh kami untuk selalu mencari sumber kekuatan baru setelah datangnya kesedihan (kepulangan Khadijah dan Abu Talib) untuk berjuang dengan lebih berani dan percaya akan arah jurusnya.
Image
Saya mula mengenali Hani lama dulu menerusi ayahnya, Cikgu Abu Hassan Morad; yang pernah menjadi guru penulisan saya dalam sebuah bengkel di UKM. siapa sangka takdir menemukan kami.  saya dan Cikgu Abu (bersama Dr Kamariah Kamarudin) dalam panel yang sama di Wawancara Sofa Putih ITBM bulan lalu sempena Pesta Buku KL. minggu lalu saya mengundang Hani ke bengkel penyelidikan kami di Bangi. Hani bercakap selepas kami membedah bukunya ini (foto). selang beberapa hari Hani, Dhiak dan Darda' menjadi tetamu istimewa hujung minggu di rumah. begitu takdir yang membahagiakan dan membuat kita sangat bersyukur!
Image
Kerja penyelidikan kami yang sedang berlangsung selama dua tahun ini adalah mengenai kanak-kanak, kesusasteraan dan kreativiti. menariknya, setiap kali membincangkan persoalan ini, banyak kisah sendiri semasa kecil dibawa masuk. bagaimana  kanak-kanak membaca sikap manusia dewasa, bagaimana kanak-kanak mula tahu berbahagi perasaan dengan buku atau bagaimana mereka menyelinap masuk dalam pertelingkahan hidup dan ia menumbuhkan catatan dalam diari. alhamdulillahi rabbil alamin. beberapa makalah dapat dihimpunkan.
Image
Permulaan yang baik untuk Alif Matiin. semalam Master Bala mengumumkan tali pinggang kuning untuk Matiin. tahniah! kejayaan yang harus diraikan! yahhhhh!!!