Posts

Showing posts from August, 2011
Image
Image

Ya Badi', Yang Maha Pencipta, anugerahkan kami ilham dan keupayaan menulis, menghasilkan karya yang menggerakkan kebaikan dalam jiwa mereka yang membacanya.
Ya Baqi, Yang Maha Kekal, sesungguhnya kehidupan kami ini hanyalah sebentar dalam perjalanan kami menuju kehidupan yang kekal. maka selamatkanlah kami di sepanjangnya, ya Baqi.
Ya Warith, Yang Maha Mewarisi, panjangkanlah nikmat dan manis iman ini dalam hati anak-anak kami. semoga mereka bertaqwa dan mewarisi syurga-Mu, ya Allah.
Ya Rasyid, Yang Maha Tepat Bertindak, dengan al Quran-Mu kami dibimbing. dengan nama-Mu kami memulakan pekerjaan dan menekuni apa yang kami usahakan. rahmati kami, ya Rasyid.
Ya Sabur, Yang Maha Penyabar, benarlah, menahan amarah dengan sabar adalah seperti mengawal kuda yang liar. lembutkan hati kami. jernihkan perasaan kami. tenteramkan nafsu kami. sebagaimana sabarnya Engkau terhadap penentangan kami, asuhlah sabar dalam diri kami. ampunilah kami. golongkan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang …
Image
Ya Nafi', Yang Maha Memberi Manfaat, jadikan kami hamba-Mu yang kecil ini berjiwa besar untuk memberi manfaat kepada makhluk lain. terimalah ia sebagai ibadah kami kepada-Mu, ya Allah.
Ya Nur, Yang Maha Memberi Cahaya, terangilah malam kami dengan pelita pengetahuan dan bintang-bintang di langit yang menunjuk jalan. sesungguhnya cahaya itu menyuluh hati, kejahilan dan kelalaian kami.

Ya Hadi, Yang Maha Memberi Petunjuk, tuntuni kami di jalan-Mu dan usah biarkan kami menyudahkan baki usia dengan sia-sia.
Image
Ya Ghaniyy, Yang Maha Kaya, kami mahu kekayaan yang dengannya dapat kami memberi buku kepada anak yatim, membebaskan saudara kami daripada kemiskinan, dan kami semakin dekat dengan-Mu, ya Allah.
Ya Mughni, Yang Maha Memberi Kekayaan, kayakanlah kami dengan keperluan pada-Mu, dan jangan miskinkan kami dengan ketiadaan keperluan kepada-Mu.
Ya Mani', Yang Maha Mencegah, sesungguhnya kami selalu lupa, ada ketikanya ada semacam yang menghalang dalam kami meneruskan sesuatu pekerjaan. sedangkan itu adalah pertolongan-Mu dan Engkau begitu dekat dengan kami.
Ya Dharr, Yang Maha Pemberi Bahaya, maka dengan-Mu kami berlindung dan memohon kasihan. peliharalah kami dan mereka yang pernah menzalimi kami.
Image
 Ya Malik al Mulk, Pemilik Kerajaan, dalam keperkasaan dan kehendak yang Kau miliki, kami mohon diberi kedamaian dan keamanan dalam hati kami untuk terus sujud dan mentaati-Mu, wahai Allah.
Ya dzul Jalal wa al Ikram, Pemilik Keagungan dan Kemuliaan, terlalu banyak yang kami hitung dalam ibadah dan memuji-Mu, sedang Engkau senantiasa memaafkan sebelum kami mengajukannya ya Allah yang Maha Agung, ampunkan keterlanjuran dan kebiadaban kami.
Ya Muqsith, Yang Maha Adil, jelaskan mata kami yang memandang, hati kami yang menafsir akan setiap takdir-Mu sebagai keadilan dan asuhan buat kami yang selalu tidak mengerti dan memasang prasangka. ampunkanlah kami, ya Muqsith.
Ya Jami', Yang Maha Penghimpun, saat perhimpunan agung nanti, bukankah semua akan bersujud kepada-Mu, ya Allah. dan penyaksian akan apa yang kami lakukan. bersujud juga makhluk lain dan mereka bersyukur kerana tidak dijadikan sebagai manusia.
Image
 Ya Tawwab, Yang Maha Penerima Taubat, terlalu banyak kejahatan dan kehinaan dalam diri, sedang kami mahu membersihkan hati, mensucikan diri dengan bertaubat sesungguhnya. taubat itulah yang mengubah murka-Mu menjadi kasih sayang dan cinta. 
Ya Muntaqim, Yang Maha Membalas, kami ingin sekali memiliki hati  orang yang berkuasa untuk membalas tetapi dia memafkan, mempunyai rasa belas dan tidak sekali-kali menyimpan dendam.
Ya Afuww, Yang Maha Pemaaf, rendahkan hati kami untuk mengucap maaf sesama manusia lebih-lebih lagi daripada Engkau yang mencipta. malam-malam ramadhan yang masih berbaki ini, tiada apa yang kami pinta selain keampunan-Mu yang menyelamatkan kami di dunia dan di akhirat.
Ya Rauf, Yang Maha Melimpahkan Kasih, sesungguhnya banyak hukuman yang Kau tunda,  agar kami bertaubat. dan kami mengakui betapa rahmat-Mu senantiasa mendahului murka-Mu. Allahu akbar!
Image


 Ya Wali, Yang Maha Memerintah, hanya Engkau tempat berpaut yang kukuh. dalam seribu kesulitan, kami yang kecil  mahu menjadi kuat dan tabah dengan kepercayaan yang satu ini.
Ya Muta'ali, Yang Maha Tinggi,  banyak keangkuhan dalam hati kami, sedang kami hanyalah debu halus yang mungkin sahaja tiada nilai timbangannya di mizan-Mu. kami jadi sangat malu dengan diri sendiri! ampuni kami, ya Allah! 
Ya Barr, Yang Maha Dermawan, dengan kasih sayang-Mu, Kau mengampunkan kami yang tidak membuat kebaikan, betapa Kau menyembunyikan keburukan kami, sedangkan hukuman-Mu tidak melebihi dosa yang kami lakukan. ya Barr, kami mahu membuat kebaikan, lunakkan hati kami untuk bersedekah, mencintai orang faqir, berlembut dengan hati yang keras dan rawatlah amarah kami.  
Image
Ya Muqaddim, Yang Maha Mendahulukan, kami dahulukan penerimaan atas segala yang Kau beri kerana itu adalah kedekatan kami dengan-Mu.
Ya Muakhir, Yang Maha Mengakhirkan, ada doa yang kami mohon, belum lagi Kau penuhi. sedang Kau mahu kami menyelidik diri, ya Allah. 
Ya Awwal, Yang Maha Awal, Yang Memulakan segala sesuatu. dengan nama-Mu yang agung kami memulakan tugas kami. terimalah ia sebagai ibadah, ya Allah.
Ya Akhir, Yang Maha Akhir, saat kami berdoa, kami sangat yakin Kau mendengar dan Kau menyentuh tangan Kami yang sangat-sangat memohon ampun. terus menyentuh tangan kecil kami, ya Akhir. jangan sekali-kali kami berasa jauh dan kehilangan-Mu, ya Akhir!
Ya Zahir, Yang Maha Nyata, bangunkan kami daripada lena dan leka untuk selalu sedar hidup ini punya makna. kami tidak pula mahu mensia-siakan masa yang sempit ini. dalam kekhilafan dan kedaifan itu, ampun dan terimalah kami, ya Zahir. 
Ya Batin, Ya Maha Tersembunyi, kata-Mu tinggalkan dosa yang kelihatan dan yang tersembunyi (al an'…
Image
Ya Samad, Yang Maha diperlukan, janganlah ada keangkuhan dalam hati kami. sesungguhnya Kau jadikan makhluk lain sebagai sumber penyelesaian kesulitan kami. alhamdulillahi rabbil alamin!
Ya Qadir, Yang Maha Kuasa, kami mahu sujud kerana itulah pengakuan akan keagungan dan kekuasaan-Mu, itulah penghormatan dan takzim kami yang besar.
Ya Muqtadir, Yang Maha Menentukan,  ingin dimulakan setiap pagi kami dengan sebutan nama-Mu ini agar setiap urusan dapat diselesaikan sebaiknya, penuh waspada dan fikiran yang tajam.
Image


Ya Majid, Yang Maha Mulia, yang selalu memberi kesempatan untuk kami berakhlak mulia, hindarkan kami daripada berpura-pura. ikhlaskan hati kami, ya Allah.
Ya Wahid, Yang Maha Esa, ampunkan kami kerana masih banyak kami memohon kepada selain-Mu sedangkan Kau tidak sekali-kali memutuskan tali-Mu.
Ya Ahad, Yang Maha Esa, membaca perlahan-lahan surah-Mu, al Ikhlas, mengiringi jalan pulang ayahanda kami, Azizi Haji Abdullah, di satu penjuru paling sunyi, kami merenung sedalamnya erti sebuah kelahiran dan kematian. ya Ahad!
Image
Ya Hayy, Yang Maha Hidup, cukuplah Allah memelihara kami dan Dialah sebaik-baik wakil.
Ya Qayyum, Yang Maha Berdiri Sendiri, Engkau yang memerhati dan mengatur segalanya dengan susunan sempurna buat kami.


Ya Wajid, Yang Maha Menemukan, di satu titik istimewa itu, temukan keghairahan rohaniah dalam hati kami. di titik itu kami mahu dakap keindahan dan keagungan-Mu, ya Allah. saat memasuki ramadhan lalu, doa kami untuk bertemu dengan malam seribu bulan, malam Jibrail turun dari tempatnya. moga kami dikasihani-Mu dengan doa itu dalam sepuluh malam terakhir ramadhan ini, Ya Wajid.
Image
Ya Mubdi u,  Maha Memulai, dengan sifat-Mu jadikan kami sebagai pembuka kebaikan dan penutup kejahatan.
Ya Muid, Maha Mengembalikan, kami mahu pulang kepada-Mu di jalan yang aman dan keampunan.



Ya Muhyi, Maha Menghidupkan, kami mahu menggunakan baki usia sebaik-baiknya, manfaat untuk yang lain dan mendapat kebaikan di akhirat.
Ya Mumit, Maha Mematikan,  bukankah selama ini kami sangat takutkan kematian, sedangkan ia adalah pintu memasuki kehidupan yang sebenar dan yang lebih kekal.
Image
Ya Hamid, Yang Maha Terpuji, alhamdulillahi rabbil alamin, ya Allah. Rasul-Mu pernah berkata, orang pertama yang dipanggil ke syurga adalah mereka yang selalu memuji-Mu dalam segala hal. dan kami mahu terus memuji-Mu, ya Hamid. hanya Engkaulah yang layak dan bukan yang lain. 
Ya Muhsi, Yang Maha Menghitung, kami mahu terus memohon keampunan kerana selalu lupa berterima kasih atas kurniaan-Mu yang tidak terkira.
Image



Ya Wakil, Yang Maha Pemelihara, payungi terus iman kami dalam ramadhan yang barakah ini.
Ya Qawi, Yang Maha Kuat, janganlah kami diseksa sebagai pendusta agama. ampunkan kami, ya Allah. sesungguhnya seksaan-Mu sangat keras sekiranya kami mengherdik anak yatim dan membiarkan saudara kami yang miskin kelaparan.

Ya Matiin, Yang Maha Kukuh, jadikan anakanda kami, Alif Matiin, anak yang soleh, bijak, berkeyakinan dan selalu melihat sisi cerah akan kelemahan yang dilihat-Nya.
Ya Wali, Yang Maha Melindungi, bantulah Alif Matiin, hilangkan kesulitannya dan bimbing dia ke jalan syurga-Mu, ya Allah. lindungi dia dunia akhirat.
Image



Ya Baits, Yang Membangkitkan, ikhlaskan kami membaca al Quran. sesungguhnya keikhlasan adalah rahsia antara kami dengan Mu, ya Allah.
Ya Shahid, Yang Menyaksikan, jadikan mata kami yang memandang al Quran sebagai saksi sebelum tiba saat  rahsia kejahatan kami itu disingkap.



Ya Haq, Yang Maha Benar, kami mahu kembali kepada fitrah iaitu mencintai al Quran dengan mengamalkan apa yang kami baca.
Image
Ya Hakim, Yang Maha Bijaksana, turunkanlah hikmah untuk dimengerti mengapa sekian takdir jatuh ke atas kami.
Ya Wadud, Yang Mengasihi, rawatlah jiwa kami untuk terus mengasihi sesama makhluk.

Ya Majid, Yang Maha Mulia, bentuklah diri kami lebih baik daripada apa yang mereka sangka.
Image
Ya Raqib, Maha Mengawasi, hidupkanlah kami dengan Ehsan-Mu dalam setiap gerak dan hela nafas.
Ya Mujib, Maha Memperkenankan, lapangkanlah untuk kami memperkenan permintaan saudara kami. mungkinkan kami memberi sebelum mereka meminta.
Ya  Wasi', Yang Maha Luas, dalam kurniaan-Mu yang banyak peliharalah zikir kami dan syukur kami.
Image
Ya Hasib, Yang Maha Mencukupi, Yang Maha Membuat Perhitungan, lapangkanlah hati kami untuk bersyukur atas setiap apa yang Kau beri. janganlah kami berasa kurang sekali-kali. atau  apa yang kami minta sebenarnya tidak berpadanan dengan diri kami sendiri.

Ya Jalil, Yang Maha Agung, bukakanlah mata dan hati kami untuk melihat ciptaan-Mu dan daripadanya kami mengenal nama-nama-Mu.


Ya Karim, Yang Maha Mulia, jauhi rasa miskin dan sengsara dalam hati kami, besarkanlah jiwa kami untuk memberi kebahagian dan apa yang kami punya kepada yang lain.

Image
Ya Aliy, yang Maha Tinggi, jadikanlah sujud suamiku sebagai titik yang mengesankan buat dia memuji dan membesarkan-Mu.

Ya Kabir, Yang Maha Besar, peliharalah kerendahan hati suamiku akan apa yang dimiliki dan apa yang dilakukan, saat dia mengangkat takbir dalam tiap solatnya.

Ya Hafiz, yang Maha Memelihara, berilah teduhan istimewa buat suamiku, Zahar, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke 40. peliharalah dia sebaiknya sebagaimana dia memelihara dan memberi kebaikan kepada kami.jadikan dia hamba yang selalu Kau perhati, kasihani dan ampuni, ya Hafiz!


Ya Muqit, Yang Memberi Kekuatan, tumbuhkanlah dalam jiwa suamiku cinta dan iman untuk dia berbahagi dengan mereka yang lapar dan susah.



Image
Ya Azim, Yang Maha Agung, ingin selalu mendakap nikmat keagungan-Mu dalam sujud dan rukuk. hadirkanlah rasa ini Ya Allah. ikhlaskan tunduk dan patuh kami kepada-Mu. 
Ya Ghaffur,  Yang Maha Pengampun,  sesungguhnya Engkaulah yang memaafkan dan menutup erat rahsia-rahsia kehidupan kami yang lalu.
Ya Syakur, Yang Maha Menerima Syukur, sertakan dalam hati kami menghargai kebaikan orang lain. begitu juga kami dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan teduh.
Image
Ya Latif, Yang Maha Lembut, lunakkan hati kami untuk menerima kebaikan dan membuat kebaikan. jauhkanlah kami daripada melupakan hak saudara kami.
Ya Khabir, Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Waspada, sesungguhnya tidak ada yang kami dapat selindungkan. semua rahsia dan yang membuat kami malu, begitu sempurna dalam pengetahuan-Mu. 
Ya Halim, Yang Maha Penyantun, titipkanlah kesantunan-Mu untuk kami menghormati dan menyayangi sesama makhluk tanpa kami menuntut apa-apa dari mereka.
Image
Ya Hakam, yang Menentukan hukum, tuntunkan kami untuk mampu membaca ketentuan-Mu. jangan biarkan kami sendiri walau sepicing waktu tanpa kasih sayang-Mu yang Allah.

Ya Adl, bentuklah dalam diri kami hati yang bermakrifat, hati yang terbimbing untuk kami mengetahui rahsia Keadilan-Mu.
Image
Ya Muiz, Tuhan yang Memuliakan, apabila kami perlu memilih, jadikanlah kemuliaan-Mu menyinari relung hati dan peribadi kami.
Ya Mudzil, wahai Tuhan yang Menghinakan, tumbuhkanlah cinta dalam hati kami ini. kami mahu mencintai daun, orang tua, anak-anak dan hujan. kami mahu mencintai seluruh alam dengan kasih sayang. jangan sekali-kali kami dihina dan menghinakan.
Ya Sami', wahai yang Maha Mendengar, jawablah rintihan dan pujian kami. bahagiakan kami dengan utusan kebaikan.


Ya Basir, wahai yang Maha Melihat, jadikanlah kami hamba-Mu yang teristimewa, hamba yang Kau perhatikan, kasihani dan lindungi. sesungguhnya Kau di mana-mana dan melihat setiap apa yang kami perbuat.

Image
Ya Qabidh, dalam kesempitan yang Kau takdirkan, kami tahu itulah pelajaran yang membijaksanakan.

Ya Basith, ya Allah Sumber Kelapangan. lapangkanlah hati setiap kami sehingga tidak ada kebencian dan permusuhan antara kami.

Ya Khafidh, Tuhan yang Merendahkan dan Menghinakan, berilah cahaya dalam hati kami untuk menghormati, mencintai dan menyayangi yang lain. kami mahu bersama mereka dan merasa apa yang mereka rasakan.

Ya Rafi, yang Maha Meninggikan, jauhkanlah kami daripada sombong, merendahkan dan membuka rahsia orang faqir. santunkanlah kami. sesungguhnya kami tidak mahu menjadi semut-semut kecil di hari pembalasan.

Image
Ya Wahab,  wahai yang Maha Memberi, sesungguhnya segala apa yang Kau beri adalah ujian buat kami.


Ya Razaq, wahai Pemberi rezeki, lorongkan kami menafkahkan akan saudara-saudara kami apa yang Kau berikan dan ia membuat kami bersyukur.  Ya Fatah, hanya jika kami menyedari Engkaulah Penghampar semua sebab, Pembuka semua pintu, fikiran kami tidak mungkin mengarah kepada selain-Mu ya Allah.
Ya Alim, yang Maha Mengetahui, kiranya ilmu yang Kau amanahkan ini adalah jambatan bagi mendekatkan kami kepada-Mu.
Image

Ya Ghaffar,  wahai yang Maha Pengampun, tiada yang kami pinta pada malam seribu bulan selain memohon keampunan kepada-Mu.
Ya Qahhar, wahai yang Maha Perkasa, malu kami kerana tidak selayaknya kami berbangga dengan "kuasa" yang ada pada kami, lantaran ia adalah amanah-Mu.

Image
Ya Khaliq, wahai Pencipta, kamilah kejadian terbaik-Mu dan kami sangat bersyukur. 


Ya Bari, jadikanlah kami mengerti akan makna Engkau Mengadakan sehingga langit nanti terbelah dan matahari dan bulan dikumpulkan.
Ya Musawwir, sesungguhnya Engkau yang membentuk kami tanpa imitasi.


Image
Ya Jabar, kami hanyalah debu yang berterbangan dalam kehendak-Mu yang tidak dapat kami ingkari.

Ya Mutakabbir, hanya Engkau yang mempunyai keagungan, tidak selayaknya kami untuk bermegah-megah.

Image
Ya Mukmin, peliharalah keamanan persaudaraan kami, jauhkanlah sebarang prasangka merentasinya.

Ya Muhaimin, wahai yang Maha Memelihara dan Melindungi, hanya Engkau tempat kami bergantung harap.
Ya Aziz, berilah kami ehsan kemuliaan dalam sifat Kemuliaan-Mu.


Image
 Ya Malik, yang maha memiliki dan menguasai, aturkanlah kehidupan dan kematian yang mulia buat kami. di tangan-Mu segala kebajikan. 
Ya Kudus, dengan sifat suci-Mu, jernihkanlah hati kami daripada segala rasa iri, kesumat dan benci.


Ya Salam, sejahtera dan amankanlah mata dan lidah kami.
Image
Ya Allah, jadikan apa sahaja agar hati dan ingatan setiap saat kepada-Mu.
Ya Rahman, dengan sifat pemurah, pengasih dan pemberi nikmat, betapa syukur sebagai hamba yang diperpanjangkan iman dalam hatinya.


Ya Rahim, jadikanlah kami hamba-Mu yang teristimewa, hamba yang selalu diperhati dengan sifat penyayang-Mu.