Posts

Showing posts from April, 2015
Image
Sejak telefon  saya (yang sudah mula dianggap purba oleh generasi 6)  meragam dan dibaiki, seperti kebanyakan kejadian, banyak nombor yang disimpan hilang. Maaf jika saya tidak lagi bertanya khabar, sahabat. Insya-Allah, kita bertemu lewat doa. Waktu itu bicara hati saya ternyata lebih dalam dan banyak yang dipohon agar Allah perkenankan buatmu. Insya-Allah. Ada yang menanggap apabila satu bahagian daripada teknologi komunikasi ditanggalkan daripada perut telefon seperti fb, wa atau tg bermakna s atu perihal dunia sudah ditinggalkan.  Mungkin juga. Mungkin juga ia latihan untuk kita menerima kenyataan potongan surah al Baqarah: 254 ... hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat....
Image
Zahar membawa pulang kisah dari kuliah subuh Haji Amin alias si Faqir. Cerita Rasulullah tentang seorang ahli syurga yang sederhana amalannya tetapi memiliki satu sifat yang dikagumi. Dia selalu berusaha untuk membersihkan hatinya. Memaafkan orang yang menyakitinya. Maka dia tidak pernah berhasad. Dia membuang segala benci dan iri  terhadap orang lain.  Dia tidak pernah berkata buruk tentang mereka.  Allahu Rabbi. Bagaimana dia boleh menyimpan hati yang semulia itu. Zahar membalas soalan saya dengan kenyataan yang semua orang tahu, tidak mudah jalan untuk ke syurga. Malunya saya di hadapan suami sendiri.  Saya baru membaca kembali tafsiran  al Falaq  Ibnu Kathir, saat Rasulullah disihir Labid al A'syam, si Yahudi munafik dari Bani Zuraiq. Walaupun banyak yang memberi tafsiran lain bahawa Rasulullah dilindungi daripada sebarang perbuatan sihir. Saya hanya memetik ungkapan mengharukan Rasulullah di sumur Dzi Auran tempat si Labid menyimpan ramuan mantranya, Allah sudah m
Image
Maaf, hanya untuk makluman sahabat. Saya tidak dapat dihubungi di wassap dan telegram. Mohon sms atau panggilan jika perlu. Maaf, beberapa pesanan sebelumnya yang mungkin saya tidak dapat terima dan tidak sempat menjawab. Hingga jumpa. 
Image
Pernahkah ketika hati sedang gundah atau risi, kita mencapai penawar terbaik dalam seluruh hidup iaitu al Qur'an, lalu halaman atau surah yang diselak ternyata menjawab segala gundah dan risi itu. Pernahkah? Ya Allah, bukankah ketika itu al Qur'an menjadi tabib yang begitu dekat, ada dalam dada kita. Tabib yang selalu tahu tampang cuaca yang menyelubungi hati kita. Lalu dia datang pada detik yang sangat membantu dan langsung kita rasa dilindung.  Maha Suci Allah yang menjadikan al Qur'an sebaik-baik ubat yang sangat sakti untuk setiap kesakitan yang dialami. Kita akan menangis semahunya, apabila sedar betapa Allah begitu mengerti apa sahaja lintasan hati, perasaan paling dalam yang bersembunyi. Bukankah Allah mengingatkan, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf: 16).
Image
Banyaknya doa yang diharap agar menjadi lebih baik daripada semalam. Sekian hasrat yang dipahat agar Allah bantu membaiki akhlak. Dalam harap dan hasrat itu, masih banyak pula hati saya terkumuh dengan kebencian, marah dan kecewa. Ya Allah, seperti senandung Opick, ajari aku mencintai-Mu dalam lelah, ajari aku mencintai-Mu dalam duka, kerana jiwa kadang rapuh bosan tak setia, ajari aku mencintai-Mu . Benar Allah, ajari saya untuk jadi hamba-Mu yang Engkau redha....  
Image
Bercerminlah, apakah wajah paling indah yang mahu dikenang sepanjang hari ini atau sepanjang usiamu. Dan wajah itu mahu kau persembahkan saat andainya Rasulullah mengetuk pintu rumahmu. Allah, ya Allah. Wahai Rasulullah kekasih Allah. Itu antara dentingan yang didatangkan Opick sebelum beberapa lagu memuliakan Rasulullah memenuhi senarai persembahannya. Tiap narasi dalam lingkungan lagu-lagunya sangat mengilhamkan.  Narasi bersambungan dalam perjalanan pulang bersama L dan H yang menjadi teman konsert. Saya seperti Cinderella tua yang kelewatan. Kasihankan Zahar yang membukakan pintu, alunan ini menyertai saya saat jam satu dinihari.... andai bisa ku mengulang waktu hilang dan terbuang. Andai bisa perbaiki segala yang terjadi. Tapi waktu tak berhenti. Tapi detik tak kembali. Harap ampunkan hamba-Mu ini.  Ujar al Ghazali, muzik yang tidak berlebih-lebihan, membawa kerehatan jiwa  malah dengannya kita merasa dekat dengan Allah. Alhamdulillah, kami terhibur sebagai penonton di ba
Image
Sejauh manakah hubungan hati saudara dengan sahabat? Mengenangnya dalam doa setiap usai solat. Menyebut selalu kesejahteraan buatnya sekeluarga. Mohon kelapangan urusan pekerjaannya. Sungguh-sungguh berharap dia diberi kesihatan untuk mengurus ibadah khususnya. Berharap selalu agar Allah memberi hadiah akhir hidupnya yang sangat indah. Meminta agar perjalanan seterusnya nanti tanpa dihisab mahupun dicela. Menyimpan hasrat untuk bersamanya di negeri abadi. O Allah, beruntungnya jika saya mendapat ingatan dan bacaan doa yang begitu cantik lalu diaminkan malaikat yang berada di samping.  Bukankah itu ternyata jauh lebih baik daripada sebarang pertemuan? 
Image
Apakah jadual membaca al Qur'an saudara? Sering juga saya tanyakan soalan yang sama kepada mahasiswa sebelum memulakan kuliah. Kebanyakannya menjawab, antara maghrib dengan isya'. Ada yang menjawab tidak tentu; bila-bila masa. Saya suka melihat ketekalan Zahar membaca al Qur'an seusai kembali daripada solat subuh di surau atau, ya, antara maghrib dengan isya' juga. Sementara AM mengikuti kelas al-Qur'annya setiap Selasa, Khamis dan Jumaat. Saya pernah memberitahu mahasiswa, indahnya melihat seseorang membaca al Qur'an di perhentian bas, ketika menunggu giliran di pejabat pos atau semasa menghabiskan secangkir kopi. Sekarang pasti sahaja pembacaan itu dipermudahkan menerusi telefon pintar atau tab . Saya teringatkan Stefanie, sahabat PhD yang merupakan anak paderi. Setiap hari sebelum menulis tesis, dia akan menikmati kopi pagi sambil menyelak kitab sucinya. Begitulah bertahun-tahun, bacaan Injil Stefanie di samping kopi pekat dari kafe kampus, dan ia sangat
Image
Amannya minggu ini apabila mahasiswa (yang suka pulang ke kampung) bercuti seminggu di pertengahan semester. Tiba-tiba jalan jadi lengang (iyakah?) Tidak perlu berlaga di tempat letak kereta. Konsep letak kereta di kampus tidak bersifat terbuka. Ia bermakna, hampir setiap kotak dipunyai nama yang berada dalam carta pentadbiran. Walau saya tiba di ruang masuk fakulti beberapa minit sebelum jam lapan, selalunya kotak yang tidak bernama sudah dihuni.  Ya, suatu waktu dahulu saya juga mempunyai kotak sendiri untuk sepanjang lima tahun. Ia nikmat yang sangat besar. Saya berdoa mudah-mudahan saya sudah memanfaatkan kotak itu sebaiknya. Kemudahan untuk keluar masuk kawasan fakulti yang padat pada bila-bila masa sahaja. Sesekali meminjamkan kepada yang memerlukan. Allah, ya Allah. Ternyata kotak itu bukan milik hakiki dan peribadi. Teduhan di hadapan kotak-kotak Saya sebenarnya bercakap soal sabar dan penyerahan (lagi). Dentingan yang datang semalam, tentang dua mauduk besar ini
Image
Ia riwayat tentang angin. Ya, angin. Sedang siangnya saya sempat merakam detik indah cinta dia terhadap perempuan pikun itu. Berlari sekejap meninggalkan tugas pejabat, saya mendapatkan dia, sahabat sejak kecil; sahabat yang bermata sayu sejak dahulu. Kuatnya hati saya mendesak untuk datang menyatakan kesedihan, dan rupanya perempuan pikun itu menuju jalan pulang lewat malam tadi. Saya sebak saat menerima perutusan diniharinya. Allah, ya Allah kepada-Mu tempat kembali. Al fatihah buat bonda Mariam Abu Bakar . Mudah-mudahan perjalanan pulangnya diraikan semua yang di langit. Nasihat al Qur'an yang terbaik saat pedih ini ialah sabar dan solat,  duhai sahabat. Riwayat Angin dari album lama Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan . Kebetulan sahaja dentingan yang datang semalam juga membawa narasi tentang angin dan perasaan. Ah, kuatnya simpulan hati...
Image
Aneh, dia yang tidak pernah dikenali wajahnya boleh muncul dan memperkenalkan diri dalam mimpi. Kewujudannya sangat misteri, antara ada dengan keraguan. Namun hati mengujar, itulah dia yang selama ini membawa dentingan-dentingan lewat surah pilihan. Dia yang antara menghilang dan kemudian mengetuk lawang kembali. Ada antara plot mimpi, saya pindahkan ke dalam karya. Barangkali nanti yang ini juga. Dan saya akan selalu menunggu dentingan surah seterusnya dalam diam. Kata Rumi yang diingat lelaki dalam Perempuan si Pemetik Harpa,  dalam diam kita mampu mendengar dengan lebih larut lagi .    
Image
Hujung minggu yang panjang antara penerimaan dengan penafian. Sepotong keputusan yang sangat menuntut kesaksamaan antara mencintai masa lalu dengan apa yang dikehendaki sekarang. Kasihannya saya mengenang masa yang tinggal sedikit, sedang banyak isi dunia yang mahu dirangkul. Senja kelmarin, baris ali Imran: 160 menyelinap dalam pertelingkahan sebuah keputusan. Jika Allah membantu, tak kan ada yang dapat mengalahkan. Saya menangis melihat keangkuhan diri masih membusungkan dadanya. Allah, ya Allah, ampuni kami.  
Image
FB. Sekian kalinya, telah banyak tahun saya tidak lagi menghuni wilayah nyeri itu. Anehnya, sesekali datang dentingan yang menyatakan ada percubaan yang gagal untuk membuka pintu akaun saya. Adakah ia bermakna, ada yang mencuba-cuba? Kebetulan saja, saya diberitahu ada akaun yang menggunakan nama saya, ya ejaan yang persis dengan profil gambar bunga. Mohon maklum, ia bukan saya! Mungkin sahaja ada pemilik nama yang sama, dengan ejaan yang mirip nama saya. Sedang saya sudah menutup lama, melupakannya dan tidak mahu berpaling lagi. Ya, dentingan. Bukankah dalam hidup, sesekali atau sebaliknya akan ada dentingan yang menyentak. Beberapa minggu ini  dentingan yang berulang-ulang datang setiap kali saya lalui  jalan pergi dan pulang rumah-kampus-rumah. Di titik yang sama, ya di tikungan itu, dentingan dahsyat mengasak masuk. Di tikungan itu, saat saya melihat dengan tepat, seorang perempuan rebah ditabrak. Allah, begitulah dentingan itu memenuhi setiap lingkungan. Bagaimana, apabi
Image
Aroma kopi ( nesface ) memang akan selalu memikat khususnya ketika sedang berada di meja kerja. Sebelum ini saya akan menghabiskan satu bekas besar tahan panas  nescafe di pejabat. Namun sejak mengamalkan al-Falaq , saya berhenti daripada tabiat itu. Ada juga saya mendengar nasihat pakar kesihatan agar warga migraine berhenti daripada mengambil kafein. Dan sering saya akan tunduk dengan pedoman tabib. Menggantikannya dengan teh tanpa gula yang dibawa teman dari Tokyo dan Beijing, saya masih tidak pasti adakah ia pengganti yang lebih baik.   Bercakap soal pengganti, akan selalu dibandingkan dengan apa yang kita ada sebelum ini. Samada yang dahulu itu lebih baik atau yang menggantikan itu tidak pernah akan dapat menyamai segala yang kita pernah lalui. Kerja membanding ini juga yang berlaku dalam kuliah bersama pelajar sarjana setiap isnin. Kajian antara teks, menemukan tidak ada yang sempurna di tangan pengarang. Ia mewakili kehidupan yang perlu selalu diperiksa, di mana letak
Image
Saya tidak berapa sihat sejak pulang daripada kerja rasmi hujung minggu lalu. Saya selalu percaya sakit menyampaikan banyak isyarat. Melihatnya dari sisi baik, saya jadi lebih banyak berdoa dan terasa pautan yang lebih kuat kepada Allah. Ya Allah mudahkan urusan kesihatan kami untuk tujuan ibadah kepada-Mu . Melihat dari sisi lain pula ia memberitahu, saya tidak muda lagi untuk bekerja lebih masa seperti dahulu. Saya masih mengamalkan pesan sahabat tabib, surah al-Falaq untuk kerja penyembuhan. Allah ya Allah. Foto lama: Dalam penyerahan Dalam kuliah semalam juga kami banyak bercakap soal doa. Ia sebagai sebuah penyerahan. Ia sebagai ruang ketaatan yang bulat. Banyak puisi Melayu yang menampilkan suara penyerahan ini. Seorang mahasiswa saya mahu mengkaji kepenyairan seorang doktor perubatan. Bagaimana sebagai tabib, doa sering menjadi kekuatan saat berhadapan dengan pesakit. Menerusi doa, dia mengakui bahawa tiada daya dan kuasa melainkan dengan pertolongan Allah. Doa membekal
Image
Riuhnya apabila di mana-mana orang bercakap tentang GST; dari penjuru membeli roti untuk AM hingga ke kedai kasut jenama "B" yang kami kunjungi semalam (kasut sekolah AM sudah kecil ). Memerhati tingkah anak muda yang menjadi pembantu jualan, saya tiba-tiba boleh diserang ribut taufan yang maha dahsyat. Melayan pelanggan yang datang dengan air muka yang dingin, menjawab soalan orang yang mampir endah tak endah, memang bagi saya dia penjual yang tidak sopan. Saya terfikir-fikir, apakah nilai (good and) service tax yang mula dikenakan (atau sebenarnya bukankah dalam resit pembelian lama dulu pun sudah ada dinyatakan jenis cukai tersebut?). Sebagai pembeli atau pelanggan, kita dikenakan juga cukai perkhidmatan. Sejauhmanakah kita memperoleh perkhidmatan yang selayaknya daripada jurujual? Seingat saya beberapa kali saya menulis tentang betapa  hodohnya  perkhidmatan kaunter atau perkhidmatan jualan di negara ini. Berapa kali kita menerima ucapan terima kasih daripada jurujual d
Image
Hujung minggu yang kebanyakan kita tidaklah menikmatinya sebagai cuti; termasuk saya. Rehat hanya bermakna tidak keluar rumah sebelum jam lapan pagi dan tidak perlu menghadiri acara rasmi: mesyuarat. Namun sebenarnya, (jumaat) sabtu-ahad kita masih bekerja. Hakikat kerjaya saya, terlibat sepanjang tujuh hari dalam seminggu. Malah selepas waktu pejabat juga banyak masa digunakan untuk tugas berkaitan. Bunyinya sangat dahsyat. Sepatah teguran almarhum ibu mertua saya, kerja tak  pernah habis. Benar, ia selagi setiap yang saya lakukan tidak kira hujung minggu atau waktu malam, dihubungkan dengan ruang kerja saya: membaca dan menulis. Maka saya percaya, kerja saya bernilai . Dan berkali-kali dalam solat atau sebelum memulakan kerja, saya berdoa agar Allah melihat apa yang saya lakukan sebagai ibadah. Saya mohon Allah bantu dalam setiap gerak dan keputusan. Mudah-mudahan apa yang kita kerjakan memberi manfaat dan bernilai dalam ketaqwaan kita kepada Allah. Insya-Allah. Saya bekerja r
Image
Saya senang mendengar senikata lagu-lagunya. Ia seperti menikmati puisi yang cantik, baris-baris yang tersaring mengirim pesanan untuk kian dekat dengan Allah dan Rasulullah dan kematian. Konsertnya 18 April ini di Shah Alam. Saya belum pernah masuk ke mana-mana dewan konsert seumur hidup.
Image
Bercakap selalu tentang proses kepengarangan di dalam dewan kuliah, sangat memujuk saya untuk tunduk terhadap pengkaryaan Allah iaitu kejadian manusia. Siang tadi dalam dewan kuliah saya membawa mahasiswa untuk menyedari apa yang dicipta para pengarang dari senarai panjang penerima Hadiah Nobel dunia, Sasterawan Negara atau pengarang yang novelnya sedang berada dalam tangan mereka. Menerusi video yang ditayangkan, saya sendiri sebak membaca baris-baris surah al Mu'minuun: 12-14. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang Pa