Posts

Showing posts from December, 2018
Image
Akibat rutinitas, sering tidak dapat dilarikan diri daripada  rantaian kebiasaan sehinggakan terlupa akan ikrar untuk tidak  lagi berdiam dengan harapan. Tidak ada lagi pohon sukma dan segala yang terkait dengan  yang berkenaan, yang sudah kian dipadam angin dan tahun.
Image
Saya tidak bercuti menuju penutup tahun ini. Masih ke ruang kerja rasmi malah mengambil alih tugas rakan sejawat yang mengambil cuti. Saya juga belajar untuk tidak mengganggu ketenteraman mereka yang sedang berbahagia berliburan. Ternyata kebahagiaan itu sangat individual. Ternyata mengungsi dalam gua, itu juga suatu kebahagiaan. Selamat bercuti! Saya teringat foto  di atas yang tergantung di salah sebuah kamar di rumah Nenek Merah. 
Image
Dalam sibuk saya mahu mendapatkan al Qur'an baru (yang sedia ada diminati AM kerana terdapat sisipan penjelasan diksi Arab, dan dengannya AM lebih mempertajam kemahiran berbahasanya), saya didatangkan dua perihal. Satu cerita dan satu kejadian. Pertama, kisah anak-anak Nigeria yang tidak mampu memiliki al-Qur'an sama sekali, namun iltizam yang luar biasa mempelajarinya. Mereka menulis surah di atas kayu dan mengingat. Setelah dihafal, ayat itu dipadam dan diganti dengan surah baru. Subhanallah. Dan Sdr tidak menangis? Saat di negara kita ada pusat pelupusan al-Qur'an atau al-Qur'an di para-para hanya menjadi hiasan. Kedua, konfrontasi saya dengan sebuah syarikat menerbit dan menjual al-Qur'an yang sangat berkira-kira dengan laba dan terus meningkatkan harga jualan ayat-ayat Allah menjelang tahun baru. Subhanallah. Dan Sdr masih tidak menangis? Saya mahu terus mengungsi diri dalam gua.
Image
Lama dulu saya ada menulis tentang perjalanan watak sufi dalam sebuah gua. Lama dulu, seingat saya semasa zaman mahasiswa. Mungkin judulnya Uzlah. Dan sekarang apabila kerap keluar masuk gua, saya fikir inilah tempat saya. Dan saya seperti tidak mahu keluar.
Image
Menjelang hujung tahun juga bermakna banyak lelah yang terkumpul dan banyak kesakitan yang terhimpun. Beberapa sahabat saya terpaksa dirawat untuk penyembuhan segera. Ya, harus kebah cepat sebelum tahun baru tiba dan ia perlu dijalani  dengan sihat. Saya sebenarnya pernah tidak mahu peduli dengan tahun baru masihi. Namun rupa-rupanya di Madinah, misalnya, tahun baru hijrah juga hampir tidak bermakna apa-apa. Baru saya sedar bukan hari, minggu mahupun tahun yang menjadi perihal yang mustahak. Ternyata yang lebih bererti adalah keazaman untuk menjadi lebih baik hari ini daripada semalam. Saya fikir itu antara pelajaran saya berdiam di dalam gua kelmarin. Dan saya mahu belajar lebih banyak menjelang tahun baru kali ini. Ya, saya akan masuk gua lagi.
Image
Terasa benar hujung tahun apabila ramai yang bercuti. Kampus lengang (kebetulan juga musim kuliah baru berakhir) dan lebuhraya sesak. Seperti selalu inilah masa yang saya sangat suka berlama-lama di bilik kerja di kampus. Saya tidak akan mengambil cuti. Mahu sendiri terus. Membuat kopi dan melanjutkan  kerja menulis. Aman dan nyaman sekali. Ini benar-benar berada di dalam gua. Ya, gua yang dimangga dengan kata laluan yang tidak ada siapa dapat meneka untuk masuk.
Image
Hentikan bentangan harapan.
Image
Masih banyak yang kurang dimengerti apabila kita berdiri dengan dihadang antara hijab. Apalagi hijab itu terbangun daripada jisim usia dan pemikiran yang sama sekali berbeda harkatnya. Namun hijab itu sekali sekali akan tersibak dengan ikrar untuk terus memahami dan kian mengasihi. Datang dan perginya seperti angin siang yang berulang alik di hadapan jendela ruang bekerja saya. Alami dan takdirnya sukar sekali untuk dimengerti.
Image
Alhamdulillah syukur. Terima kasih Sdr Nazmi dan Sdr Hafizah di BH atas penyiaran cerpen terbaru saya 16 Disember kelmarin. Terima kasih khas buat Mel. Cinta dan rindunya terhadap Sang Pahlawan berkuda itu sangat luar biasa!
Image
Saya merapikan bagasi lagi. Dan ketika ini bukanlah sebenarnya musim cuti buat saya. Sepertimana yang  saya catatkan kelmarin, kerja tahun ini bergerak terus dengan langkah yang lelah menjelang tahun baru. Ya, saya cuba melunaskan kerja yang berbaki dan nampaknya akan berlarutan lagi ke petak takwim baru. Subhanallah. Meninggalkan rutinitas rupanya tidak juga menjadi ubat. Apalagi yang terpaksa ditinggalkan adalah resah, sengsara dan segala perihal kesakitan yang mahu sekali saya bantu redakan dengan segenap kasih dan sayang.
Image
Tentang ingatan antara sadar, hirau dengan sangsi angin tahun pun memindah musim mengalih usia dan  peduli kian jadi mimpi.




Image
Berbaki dua minggu untuk menyudahkan tahun 2018. Ternyata sekali lagi tahun yang pantas berlalu. Namun kerja-kerja tahun ini terus bersambungan menjelang tahun baru. Tahun hampir tidak ada titik putusnya seperti dahulu. Rutinitas dijalani dan bila (namun) ia akan berhenti ketika detiknya tiba. Sedang dunya terus menjadi ruang ilusi, saya mendapatkan beberapa planner untuk mahasiswa saya yang selalu mungkir dan menjadi ahli silap mata. Sulapan mereka sering menghantar saya ke gua. Dan saya mahu menguncinya sehari dua.
Image
Saya pernah berlari dan berlindung di balik bongkah pulau. Saya juga pernah terbang membelah kabut menuju banjaran yang tidak bernama. Saya turut tidak mahu kembali setelah berada di gua yang penuh rahsia. Dan saya tidak mahu sesiapa tahu di mana saya dan apa yang terjadi pun. Memang dasar hari ini, kewujudan kita menjadi absah dengan serpihan segala jenis pemberitahuan dan pengenalan atau projeksi. Dan pastinya itu bukan menjadi pilihan  bagi menyatakan saya ada. Bukan menjadi pilihan saya.
Image
Masih berbaki sedikit lagi Rabiul awal, kata Ustaz al Yamani, ingati terus, sebut namanya lagi dan lagi. Subhanallah bukankah dengan kemuliaannya kita tahu akan segala rukun untuk meneruskan kewajiban. Melanjutkan ketaatan. Saya teringat Mel saat kami sama-sama berdiri, memuji namanya yang mulia.  Saya merasakan seperti kami sama-sama berada di perbukitan lalu melihat cahaya yang menyuluh. Cahaya yang mengatasi cahaya. Ia sangat menerang jiwa.
Image
Saya sudah kehilangan Masitah.  Jika Sdr menemuinya, maklumkan; untuk simpanan saya. Terima kasih.
Image
Bujukan Ibn 'Athaillah, memang dunia ini penuh dengan kekeruhan. Sehingga dicatatnya, kekeruhan tidaklah tampak, kecuali itu adalah sifat wajibnya. Maka saya tidak perlu sakit hati lagi. Inilah dunia. Semuanya kekeruhan. Saya mengulang catatan lalu, memang keruh.