Posts

Showing posts from 2013
Image
Pernahkan sdr berhadapan dengan ketikanya, sdr sangat memohon kecukupan daripada Allah. sdr berdoa agar  tidak berasa haloba dengan dunia. sdr berdoa semoga bukan gelar yang mahu sdr cipta, sebaliknya redha dan ihsan Allah yang sangat didambakan. saat yang sama, sdr berdoa tanpa diketahui sesiapa agar saudara seaqidah tidak digiring menjadi semut di penjuru bulas neraka; penjara bagi mereka yang pernah ada keangkuhan dalam dadanya. pernahkah sdr berdoa sungguh-sungguh supaya tidak diperdayakan dunia?
Image
Sebelum ini saya belajar untuk berdoa agar diberi kecukupan. ia turut bermakna kecukupan yang dipelihara hingga saya dipanggil pulang. ya, dalam sujud panjang, saya mula meminta agar Allah mencukupkan kepercayaan saya itu, memelihara kebaikan yang cuba saya lakukan hingga titik akhir tiba. seperti dalam sebuah cerpen, Tamsil Daun (Dewan Siswa, Ogos 2012), saya irikan anak-anak muda yang sejak awal rajin bersolat malam, berdhuha, membaca tafsir al Qur'an antara waktu yang ada. saya berdoa semoga amalan sunnah itu terus berjalan hingga akhir hayat saya. ia tidak hanya bertahan waktu muda, waktu sihat, waktu lapang ... moga Allah membantu.
Image
Semester ini hampir berakhir apabila kuliah empat belas minggu dilengkapkan. saya sedang merapikan kertas-kertas tugasan mahasiswa yang mula menguasai meja kerja. segalanya perlu disusun sebelum minggu ujian bermula januari nanti. untuk sekian kali saya mengingatkan mahasiswa betapa kemahiran kebahasaan antara yang amat diperhitungkan dalam kerja penilaian. saya membawa tamsilan bagaimana seorang chef yang baru saya kenali dan seorang pegawai pemasaran yang menguruskan pesanan buku-buku penyelidikan, begitu memastikan rangkap kata serta saringan aksara dalam emel atau surat. dan mereka adalah anak-anak muda yang bukan diasuh dalam bidang bahasa. ta'ajubnya saya! betapa selalu menjadi impian bahawa anak-anak didik saya menghormati bahasa bangsanya dan mempertahankannya sepenuh jiwa.
Image
Saya mengenali susuk pengarang ini lama dulu, lebih sepuluh tahun lalu. dan ternyata beliau tumbuh dengan novel-novel yang banyak disaring dari dunia senibinanya. banyak juga dari sejarah yang digali kembali, langsung dipindahkan ke bilik kreatifnya. beberapa hari ini bertemu kembali dalam ruang persidangan kesusasteraan, beliau menegaskan bahawa pergelutan sejarah dua negara kami, bermula 1819 dan bukan 1965.  Terima kasih Isa Kamari atas hadiah baru 1819 dan The Tower.

Image
Anehnya, baru petang tadi Zahar dan Alif Matiin mengejutkan saya. kami dapat melihat menara berkembar KL dari jalan di rumah! sedangkan untuk memandu ke sana, hampir satu jam lamanya. ia hanya berlaku apabila bukit yang sebelum ini menghadang apa yang ada di baliknya, kian diratakan untuk tujuan pembukaan kawasan perumahan baru. ia mungkin sahaja pemandangan yang memikat, namun ia ternyata  menuntut pengorbanan yang bukan kepalang!
Image
Memang Allah punya rahsia-Nya sendiri. jika hanya kita tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Alif Matiin disimen tangannya kelmarin setelah jatuh daripada basikal, sedang anak saya itu  menunggu beberapa hari sahaja untuk ujian tukar warna tali pinggang tae kwan do. entah bila dia akan berada lagi  di kelas pertahanan diri hujung minggu itu. saya harap banyak yang dipelajarinya akibat kemalangan tersebut. lebih berhati-hati, lebih ikut kata orang tua ...

Alice Munro

Image
Penulis cerita pendek, 82 tahun kelahiran Kanada ini dianggap master of the contemporary short story ... finely tuned storytelling, which is characterised by clarity and psychological realism, oleh pihak Swedish Academy. antara catatannya yang saya suka, I would really hope that this would make people see the short story as an important art. bermula dengan Dimensions of a Shadow (1950) dan yang terkini Dear Life (2012).  ~ Alice Munro, penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2013 ~
Image
MasyaAllah, sejauhmana sdr merasakan istiqamah dalam melakukan kebaikan; sehinggakan setiap kata merupakan ingatan kepada Allah (zikrullah)? saya percaya saya memerlukan sahabat, persekitaran dan dukungan doa untuk terus mengingatkan. alangkah jika setiap waktu dini, menjelang matahari semakin tinggi sehingga siang mahu menutup hari dan apabila gelapnya malam berulang lagi, ada sahabat yang mengingat. saya percaya ingatan demi ingatan ini adalah seperti rakaman tiga ayat dalam surah al Asr: kita dikecualikan daripada kerugian apabila kita beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati untuk dua perkara: mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran. rakaman foto dari Kota Damansara ini seperti sahabat yang selalu mahu menasihatkan ...
Image
Sdr sangat dialu-alukan untuk menyumbang makalah berkaitan pengajian Melayu di Jurnal Melayu (JM), terbitan Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. laman JM yang masih boleh dirujuk adalah di www.ukm.my/j-melayu sebelum berpindah ke laman baru dalam masa terdekat, insyaAllah. ya, ini antara kerja rasmi saya, mengendalikan penerbitannya bersama pasukan kerja JM. untuk keluaran terkini, JM muncul dalam ukuran baru (kiri) berbanding sebelumnya (kanan).

HSKU 2012

Image
Alhamdulillahi rabbil alamin. Antara Tikungan yang Aneh, kisah perempuan tua yang banyak kehilangan dalam hidupnya, memenangi HSKU 2012. terima kasih kepada panel penilai yang memilihnya. cerpen ini juga berangkat dari catatan blog. semak kembali entri  mac 9, 2013 dan  november 4, 2012. tahniah kepada sahabat penulis lainnya yang turut meraikan kemenangan.

Dari blog ke cerpen

Image
Cerpen ini saya panjangkan daripada catatan entri september 26, 2013. terima kasih Puan Salbiah Ani atas penyiaran ini di Berita Harian, semalam. ya tentang si perempuan pengasih yang baru pulang itu ...
Image
Saya terlibat dalam satu perbincangan bagi meraikan ketua yang akan bersara. apa cara untuk meraikan? apa hadiah sebagai tanda penghargaan? apa kata-kata yang harus dirapikan untuk merakam perasaan selama ini? sesungguhnya menuju perpisahan, banyak yang dikenang semula. banyak juga yang ditimbang-timbang antara perasaan dengan ayat atau rangkap yang saksama. sejauh mana pula luhurnya hati dengan gerak lidah atau bibir. apa pula yang  diangankan apabila tiba masa saya nanti? perpisahan ternyata bukan semestinya sebuah kesedihan. tidak jarang ia datang dengan wajah syukur atau  sangat dinanti-nanti. ya, bukankah ada yang banyak mengharapkan perpisahan kerana dia akan bertemu dengan yang lebih dicinta, yang sangat diyakininya...

1435

Image
Tahun baru terbit lagi. alhamdulillahi rabbil alamin. untuk apa lagi sujud pertama pada waktu dini ini, selain merakam syukur yang dalam. untuk apa lagi sujud panjang ketika langit masih gelap, selain mahu terus mencintai Pemilik segala yang ada, selain memuji-muji Rasullullah rahmat sekalian alam. semoga bertambah kebaikan, semoga bertambah rasa hamba...
Image
Mengenali Muaz, apprentice chef di Muzium Coklat, membawa saya kepada cerpen yang pernah saya hasilkan, Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah(Mingguan Malaysia, 27 Februari 2011). alhamdulillahi rabbil alamin, cerpen berkenaan memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim 2011-2012. ada yang cuba datang mengetuk pintu kedai manisan, Rumah Coklat. saya mahu hidupkan kembali watak-watak yang lama terkepung di Rumah Coklat, terutama si perempuan juita pemiliknya! foto adalah rakaman dalam lawatan ke Kota Damansara...

Image
Minggu graduasi di kampus. ramai yang meraikan. juga ramai yang harus bersyukur. dan harus ramai yang masih dengan rendah hati melihat bahawa ilmu yang ada hanya setitik kecil daripada lautan yang amat luas dan dalam. ramai juga yang harus rasakan dengan ketakjuban akan kebesaran Allah.  ramai juga yang harus sedar inilah detik sebenar ujian keikhlasan dalam menuntut ilmu. nah, berapa ramai mantan pelajar saya yang memanjat tangga pentas nanti, melangkah dengan penuh syukur, rendah hati dan menjunjung ilmu dengan ikhlas....
Image
Kuliah yang saya sempat dengar semasa memandu pagi ini antara lain menegaskan perlunya kita dekat dengan ulama untuk membawa kita ke jalan syurga. masya Allah! baru semalam saya dapat semeja dengan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. duduk dan mendengar tiap katanya seperti saya melihat luruhnya seribu intan permata yang cantik dan menyilaukan!

Pantai dan ombak lagi

Image
Bekerja di luar daerah lagi. enak untuk hati sendiri. namun alangkah Zahar dan Matiin dapat ikut serta, kerana saya hampir dengan pantai dan ombak. begitu juga meninggalkan Matiin yang sedang berdepan dengan peperiksaan akhir. semoga anak-anak di sekolah dapat menjawab soalan ujian dengan tenang dan berjaya secemerlangnya. saya juga sedang dalam ujian di luar daerah ini ... lukisan yang ditampal adalah rakaman dari bilik penginapan sepanjang minggu ini.
Image
Ucapan yang terlewat. Salam idul adha. taqaballahu minna waminkum!
Image
Saya sedar dalam panjangnya baris doa, ada satu permohonan yang saya jarang atau terlupa mahu sebutkan. ia berkaitan dengan kecukupan. saya memahaminya begini: moga Allah memberi saya kecukupan sehingga jangan haloba menguasai saya. sedang pada masa yang sama, keinginan yang sangat alami dalam diri manusia memerlukan rezeki, kelapangan atau kadangkala kelebihan. saya mahu dengannya saya dapat berbahagi dengan orang lain. dengannya saya jadi lebih bersyukur. kemudian saya menemukan doa ini yang merupakan satu hadith riwayat Muslim,ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk, ketakwaan, diri yang terjaga dan kecukupan kepada-Mu.
Image
Perempuan pengasih yang baru pulang, sebenarnya meninggalkan kami bukan sahaja dengan lebatnya rindu terhadapnya tetapi juga seorang lelaki pikun untuk kami depani. dan ternyata lelaki itu  seakan tidak mampu memangku takdir yang turun buatnya. ya, abah sudah bermimpi emak melambai-lambai dan datang memegang lengannya genap lima hari dia belajar hidup sendiri. saya berusaha untuk tidak menangis ketika mendengar cerita itu selain berkata, saya juga akan ke sana, abah. dan saya teringat si melur yang gugur di bahu lalu jatuh di sisi pusara emak.
Image
Dia yang saya kenali sebagai perempuan pengasih. sangat murah hati dengan dakapan. sangat mencintai persaudaraan. sangat dermawan dengan apa yang dimilikinya. saat perempuan pikun itu dirapikan di hadapan kami, saat kami mahu berdiri berdoa untuk mengiringi kepulangannya, saya sedar, saya berhadapan dengan banyaknya yang datang untuk menyatakan rasa cinta. sekarang, ternyata perempuan pengasih itu sudah berpindah ke tempat baru. perbukitan yang menjadi latar, mula tumbuh dengan doa dari kami. mak, doa saya yang luhur, mak dikasihi Allah dan para malaikat, sebagaimana mak mengasihi kami sebelum ini. al fatehah buat bonda mertua saya, Patimah Hashim,  yang melalui jalan pulang pada 24 september 2013.
Image
Alif Matiin  semakin seronok bangun pagi untuk ke surau kecil kami. sudah tidak peduli dengan tidur yang enak menjelang pagi atau perlukan air hangat untuk mandi. masya Allah. anak saya sangat menanti-nanti azan subuh yang memanggil. alangkah kita dapat memulakan hari yang dini dengan semangat seperti anak kecil yang bahagia ke surau saat dinginnya pagi. saya tahu, dia akan mendongak mencari bintang dan saya selalu mahu dalam hatinya mengenang kebesaran Pencipta langit yang indah itu. o, alangkah saya menumpang kecintaan Alif Matiin untuk solat berjemaah subuh!

Image
Jarang saya bekerja rasmi hingga lewat malam; sedang saya adalah a morning person. namun dalam menahan kelat mata berhadapan dengan anak-anak yang mahu belajar, akhirnya keletihan saya dilunakkan dengan ingatan terhadap Rasulullah. betapa saya menghormati anak kecil ini, semoga suatu hari dia juga tahu erti susila terhadap orang lain. mungkin begitu ujar Rasulullah saat mengusap dan menggendong anak kecil yang dihormatinya. saya juga terkesan dengan hikmah dan rahmah Allah menyediakan ruang rasa menghormati dalam hati kita. nah, sayangi anak-anak kerana dosa mereka tidak sebanyak kita yang sudah tua ini. dan hormati juga ibu-ibu dan bapa-bapa kita kerana, masya Allah, begitu banyak amalan baik yang sudah dilakukan mereka untuk mendapat redha Allah. dalam kelat mata menjelang tengah malam, saya sempat merayu kepada anak-anak yang mahu belajar di hadapan saya itu agar menghormati dan menghargai bidang atau ilmu orang lain. jangan ada keangkuhan dengan sedikit ilmu dalam dada, kerana den…
Image
Sejauhmana kesibukan dengan kerja menjadikan kita terpenjara dengan dunia? takutnya saya mendengar kelaknatan Allah terhadap dunia. tiada satu pun yang dipuji tentang dunia kecuali terkandung di dalamnya zikir kepada Allah. dan gerunnya saya apabila diberitahu bahawa manusia yang mencintai dunia akan dikurung dengan 3 petaka ini: kesedihan, kelelahan dan kerugian. ya Allah! saya melihat meja kerja saya yang berserakan dengan kertas, buku dan perancangan demi perancangan. ya Allah!
Image
Takwim hijrah sudah memasuki zulkaedah. sudah  jauh meninggalkan rabiul awal, bulan yang banyak mengakrabkan kita dengan Rasulullah. namun, semakin dalamkah cinta sdr kepada baginda yang sangat mengasihi kita? semakin banyakkah amalan sunnah mahu kita bawa masuk ke dalam gerak pekerjaan seharian? sedang, bukankah itu tanda atau jalan untuk kita menumbuhkan cinta terhadap insan mulia rahmatan lil alamin. keindahan cinta itu apabila kita tidak pernah bertemu dengannya. kelunakan cinta itu membuat kita selalu dalam keharuan...

Keangkuhan

Image
Tidak masuk syurga seseorang itu, walau ada sebesar biji sawi keangkuhan dalam hatinya. seingat saya ia catatan dari satu hadith dan ia sangat menakutkan. sukarnya untuk tidak terpercik kesombongan itu walau saya tahu ia getar hati yang masuk dengan susuk yang sangat hodoh, walau saya tahu selepas itu, sesal yang menggunung datang menimpa kepala saya. ya Allah, yang Maha Menjadikan, saya yang dicipta daripada air yang hina,  memohon ampun...
Image
Terima lagi kiriman buku. masya Allah budimannya teman-teman saya. semoga mereka dirahmati dan dikasihani Allah. seperti salah satu daripada baris-baris Gibran, kata-kata terlalu miskin dan tak memadai untuk menyatakan isi hati nurani manusia. terima kasih.
Image
Zahar baru menghadiahkan saya satu himpunan buku masakan seminggu oleh Chef Hussin Khan. banyaknya yang mahu dicuba! hujung minggu kali ini, bersama adik ipar tersayang, kami bergabung bahu menyediakan nasi semangka berlaukkan ayam percik sos mempelam. nanti akan saya letakkan resepinya di catatan tanggah. boleh cuba!
Image
Usai asar, saya minta Zahar membawa kami untuk ziarah musim lebaran ke sebuah rumah di lereng bukit, dekat dengan rumah kami. jarang sekali saya yang mencadangkan untuk sebarang lawatan sosial begitu.  saya senang untuk duduk di rumah sendiri. membaca buku masakan di penjuru dapur. atau saya lebih senang minum petang di ruang tamu rumah sendiri. jadi rumah siapakah di bahu bukit itu? tuan rumah itu adalah si Faqir, yang pernah saya sebutkan dalam beberapa entri lalu; saya senang sekali mendengar penyampaian ilmunya dengan tutur bahasa yang rapi,  setiap pagi minggu di surau kecil kami. masya Allah.  saya dapat rasakan kebenaran kata-kata, duduklah dengan orang soleh. saya dapat berbahagi harumnya sejak melangkah masuk ke tangga rumahnya dan saat mengucapkan salam sebelum kami pulang ke rumah. sekian lama saya hanya mendengar suaranya seperti hamba yang selalu mengharapkan kasihan Allah. suara yang selalu merintihkan belas pengampunan. dan suara itu mengajak kami bersama-sama. saya ba…
Image
Sekali lagi saya mendapatkan tiga buah rakaman biografi menarik ini. dua daripadanya didapati dari sebuah pameran buku persidangan yang saya hadiri minggu lalu. sementara sebuah lagi saya dapatkan dari penulisnya sendiri. pasti sahaja ketiga-tiganya saya hadiahkan kepada si peminat utama bacaan biografi di rumah kami. ya, ia hadiah hari lahir buat Zahar. Saya mencatat kembali baris dari rangsangsari salah sebuah buku: kata orang dalam politik tiada musuh yang kekal, dan tiada kawan yang kekal, tapi pada pandangan saya mesti ada prinsip-prinsip yang kekal sama ada dalam bidang perundangan mahu pun politik. buku ini adalah sempena ulang tahun kelahiran ke-70 susuk yang diraikan. Mengapa 70 sering dijadikan angka ajaib untuk kebanyakan penulisan biografi seseorang tokoh? saya ada menyimpan beberapa buku lain yang mengabadikan angka yang sama...
Image
Ya Allah. mudahnya mulut atau hati saya menyebut hasbunallah wa ni'mal wakeel. lancarnya konon saya memujuk hati sendiri. cukuplah Allah bagiku, bahawa Allah  sebaik-baik penolong. ya Allah, sedalam mana makna itu mahu saya akui sebenar-benarnya? sedang setiap kali keangkuhan menyelinap masuk, setiap kali kehalobaan berlumba-lumba mahu duduk dalam mana sahaja ruang yang boleh. ya Allah. saya tidak mahu berpura-pura. bantulah saya untuk berikhlas hati. bantulah saya. foto ini saya rakam sewaktu bertugas di luar daerah hujung minggu lalu.
Image
Masih ada lebaran, saat saya kembali masuk ke pejabat setelah bercuti panjang (cuti raya, keluar persidangan dan keluar penyeliaan). banyak kad dalam kotak surat termasuk kartu hari raya dan undangan perkahwinan. keghairahan mengirim dan menerima kad ternyata tidak seperti dahulu. tahun ini saya hanya membeli dan mengirim dua keping kad ucapan lebaran. dan suasana membelinya di kedai buku kampus, sangat hambar. berbeza sama sekali waktu saya remaja dahulu. ternyata zaman sudah terlalu banyak berubah. foto adalah antara kad di atas meja kerja saya. terima kasih atas ingatan! 
Image
Saya banyak mendengar cerita perbalahan antara saudara. antara adik dengan abang. antara kakak dengan saudara lelakinya yang lain. malang? kadangkala saya melihat mereka seperti anak kecil yang sering mahu saling mencakar namun sekejap itu mereka saling ketawa dan menangis lagi. saya tidak mempunyai kakak, abang mahupun adik. hidup sendiri tanpa saudara kandung membuat saya pernah cemburu untuk punya perasaan saling mengasihi. saya pernah memberitahu Zahar, andai kata saya punya adik, banyak yang saya mahu berbahagi dengannya. alangkah! dan saya menemukan foto indah ini (rujuk Going Places Ogos 2013) sewaktu dalam pesawat untuk tugasan di Pantai Timur. alangkah saya dapat membuat adik  mendakap saya begitu erat!
Image
Minggu lebaran yang padat! 7 hari pertama, masa untuk bersama keluarga di Temasek dan ahli rumah omak mertuo den. 7 hari kedua, saya menghadiri persidangan dan kerja di luar daerah. lebih kurang 7 hari campur 7 hari lagi syawal akan berakhir dalam suasana kembali ke pejabat sebelum semester baru tiba lagi. masa begitu cepat meninggalkan dan ia sering membuat saya terpinga-pinga: apa yang sudah saya perbuat untuk manfaat selain saya.
Image
Zahar genap 42 tahun hari ini. saya berdoa bersungguh-sungguh agar Zahar terhimpun dalam golongan kanan, golongan yang dimuliakan, ashaabul maimanah, seperti yang selalu saya baca sebelum subuh lewat surah al Waqia. golongan yang berada antara pohon bidara yang tidak berduri. semoga ia dalam perkenan Ilahi.... foto yang dirakam adalah susunan bunga kertas ungu yang dipetik Alif Matiin dari taman kecil kami. sangat serasi mewakili perasaan  untuk lelaki yang kami cinta!
Image
Apa khabar? bagaimana lebaran saudara? adakah ia selayaknya diraikan dengan apa yang sudah dilalui sepanjang sebulan Ramadhan? Allah. Allah. Allah. semoga semangat Ramadhan masih bersama kita. qiyam masih diteruskan. makna dan tafsir  al Qur'an masih  menjadi bacaan pertama untuk memulakan hari. tahniah bagi yang sudah hampir menyelesaikan puasa sunat syawal. saya belum lagi, insya Allah akan mulakan segera.  Ini foto di satu penjuru rumah guru yang masih terus dikenang dan banyaknya jasanya. seperti lebaran lalu, pasti ada kenangan manis yang dirakam. tahun ini saya bertemu kembali Puan Norlin Low dan suaminya, yang juga guru kami, Cikgu Mohd Nor. doa saya semoga asuhan yang diberi membawa mereka ke syurga.
Image
Image
Beberapa pagi yang redup dengan matahari yang seakan mahu terus bersembunyi. dan ia merupakan petanda yang kita hampir ditinggalkan. dan kita akan merindu lagi dan sangat mendoakan ada pertemuan sekian kalinya pada tahun hadapan. saya juga sudah bersiap dengan doa yang sangat awal ini, semoga bertemu lagi dengan malam seribu bulan untuk tahun berikutnya. ya, perpisahan akan selalunya membuat kita mahu menangisinya. apatah lagi yang pergi itu bersifat begitu melindungi lagi mengamankan kekusutan. yang pergi nanti selalu menjadi pembela yang begitu diharapkan. yang pergi itu selalu membawa buah tangan kemuliaan. tidak mungkin saya tidak menangisi akan pemergian ini. pemergian yang saya tidak tahu akan kembali lagi; yang mampu hanya saya meneruskan perjalanan dengan kaki kecil, ya saya cuba bertahan...
Image
Tiga amalan dalam mencari malam seribu bulan yang dicadang ustaz dalam kuliah ramadhan ialah solat, membaca al Qur'an dan berdoa. ia semoleknya dilakukan dengan penuh keimanan dan berharap semoga Allah redha dengan apa yang dilakukan. menikmati al Qur'an bukan hanya bertadarus, bukan hanya  membaca apa yang diterjemah, lebih elok menghayati apa yang ditafsir. maka saya fikir ia adalah amalan yang berpanjangan, bukan hanya dilakukan dalam Ramadhan yang hampir meninggalkan. antara lapis doa, selitkan permohonan ini, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah aku pengampunan. semoga kita dikasihani!
Image
Pernahkan saudara merasakan, Ramadhan itu seperti sahabat baik?  Ramadhan begitu dinantikan kehadirannya. ia mengasuh saya menjalani empat minggu ini untuk menjadi lebih baik. ia selalu membawa saya ke ruang pembersihan.  ia mahu saya meneruskannya selepas ini. ia melarang kejahatan daripada singgah. ia begitu melindungi. saya dapat merasakan keselamatan dan kasih sayangnya yang luhur. begitu baiknya Ramadhan. sanggupkah saya melepaskan saat ia mahu pergi, dan kesedihan itu seperti sahabat baik yang meninggalkan. ya, jadi benarlah, Ramadhan adalah sahabat baik saya.
Image
Allah. Allah. Allah. kita sudah berada di fasa ketiga; sepuluh malam terakhir yang dinanti-nanti. adakah saudara merasa debarannya? samakah debarnya saat menyambut datangnya Ramadhan? adakah yang ini lebih lagi? cemasnya jika terleka. terkilannya apabila tidak terjaga. malangnya jika banyak masa berlalu begitu sahaja dan apa yang dikerjakan tidak dilihat Allah sebagai ibadah. wahai Zat yang Maha Melihat, kasihanilah kami meneruskan kemanisan berzikir mengingati-Mu. semoga dengannya kami lebih bersyukur.
Image
Seminggu ini sekejap sahaja meninggalkan saya. minggu bekerja yang pendek, apabila cuti umum pada hari jumaat untuk 17 Ramadhan. sepanjang minggu dengan bengkel penyelidikan, saya sempat menziarahi sahabat akademik, Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali,  yang kehilangan anak sulungnya Hasnul Imran Saidi, 17 tahun, akibat kemalangan jalanraya. sebak melihat tiga sahabat sekelasnya yang datang. dengan hati tulus mereka mengucap takziah dan menyampaikan kesedihan. banyak babak imbas kembali dan mula menyedari kewujudan di hadapan mata  selama ini. untuk pertama kali saya melihat Intan menangis, selama ini Intan hanya dikenali sebagai sahabat yang sering ketawa hampir di setiap hujung bicara. seraya mendakap Intan sebelum pulang, saya berbisik, sabar dan solat. Allah!
Image
Apa khabar Ramadhan saudara? alhamdulillahi rabbil alamin, ia berjalan seperti yang dijadualkan. namun jika masih ada celanya, insya Allah ada enam belas hari lagi untuk kita memperbaiki, memperelok. saya sendiri berhadapan dengan banyak sandungan dan gendala. ia pasti membuat saya sedih dan kecewa. saya sudah berikrar untuk jadikan ini Ramadhan terbaik. semoga malam seribu bulan saat malaikat menyertai Ramadhan  dengan cahayanya, dapat singgah di laman qiyamullail kita. ya Allah, kami sudah meminta sekian panjangnya masa, mohon ia direstui!
Image
Allah. Allah. Allah. Ramadhan sudah masuk fasa kedua. fasa maghfirah. fasa pengampunan. semoga kita sudah melalui fasa pertama dengan berterima kasih atas rahmat Allah, kita diberikan tambahan masa untuk dapat bersama Ramadhan lagi tahun ini. semoga kita sangat bersyukur apabila diberikan pencerahan untuk meraikan Ramadhan kali ini dengan perancangan sebaiknya. semoga dalam fasa rahmah itu saat semua pintu syurga dibuka,  kita menjadi hamba Allah yang dalam keberuntungan. mengapa beruntung? kerana kita mahu termasuk dalam himpunan hamba yang diberi pengampunan, diterima puasa dan perbuatan baik sebagai ibadah. Allah, ampuni kami!
Image
Kami mengikuti Australian MC 2012, kali ini dengan tumpuan pada peserta kacukan Mesir-Korea, Amina el Shafei. bukan hanya kerana penampilan, wajah Melayu atau agamanya, tetapi keriangan dan persahabatan luhurnya. jururawat kanak-kanak ini seperti kebanyakan peserta lain, menyimpan impian berbahagi dengan adiknya, Eman, untuk mempunyai sebuah restoran sendiri.  alangkah banyaknya impian yang kita rakam dalam hati. alangkah banyaknya kita mahu berdoa untuk sampai ke titik hasrat itu. pernahkah saudara tak henti-henti mahu berdoa dan berdoa. ya Allah, inilah ramadhan, saat iftar, saat sujud, saat luruhnya hujan, antara azan dan iqamah, saat tibanya jumaah, saat kita dapat berselisih dengan malam seribu bulan. saat makbul doa! saya mahu terus berdoa dan ia bukan hanya lewat sujud panjang!