Posts

Showing posts from October, 2015
Image
SN Dato Dr Zurinah Hassan Sasterawan Negara (13) 2015 Jasni Matlani Sasterawan SEA Write 2015
Image
Mungkin ini entri terakhir tentang surat merah. Anas, pelukis plan bersedia untuk bantu. Betapa berkuasanya garis panjang pendek, lengkungan dan segala ukuran di atas kertas Anas nanti dalam pertelingkahan ini. Apa lagi yang mahu dikata ( apo nak dikato..koba worih kampung Zahar ). Menurut Anas, jumlah denda nanti boleh dirunding dalam proses minit mesyuarat majlis perbandaran kami. Masih boleh turun dan turun. Alahai. Saya mengenang pesanan si bulan penuh yang datang saat kami sedang melihat lakaran asas Anas. Rezeki seseorang itu tidak dapat dihalang kebencian atau tidak boleh dirampas kerakusan. Semua itu sudah tertulis. Saya terkebil-kebil melihat jari Anas laju menekan butang mesin kira yang dibawanya sama, memajukan jumlah yang harus kami lunaskan. 
Image
Lagi cerita surat merah. Nampaknya kami harus  ikut arahan kerajaan. Bayar denda dan upah pelukis plan untuk binaan-binaan di rumah kami. Zahar sudah mendapatkan seorang arkitek muda untuk melukis. Saya terkial-kial menyemak buku telefon yang panjang senarainya. Saya tahu ada kawan-kawan lama yang pandai melukis semasa di sekolah, sekarang menjadi arkitek bertauliah. Aduhai! Saya teringat tegur kenalan baru di al-Fikrah, susah mencari guru agama sukarela sekarang; ramai yang bersedia dan punya masa ialah mereka yang dibayar. Apa pula kaitan pelukis pelan, arkitek dan guru agama, ya?
Image
Masih kisah surat merah. Sah, kami didenda kerana membina sungkupan di hadapan rumah. Sementara tetangga kiri-kanan-hadapan-belakang yang kaya raya membangunkan tembok tambahan untuk bilik kelima-keenam-ketujuh tidak menerima sebarang surat merah-biru-kuning. Aduhai, majlis perbandaran! Zahar yang sudah hilang diplomasi di kaunter pertanyaan, disergah untuk mendapatkan seorang pelukis plan dengan bayaran RM1500 di samping bayaran denda! Allah ya Allah. Setelah 15 tahun! Ya, setelah sekian lama baru sekarang kami dikenakan hukuman. Dahsyatnya orang yang kuasanya di tangan dan kepala. Inikah juga fitnah akhir zaman, manusia jadi haloba dan membuang saksama ke dalam tong sampah!
Image
Seingat saya dalam hidup, saya jarang sekali menerima surat merah , surat rasmi dikenakan denda daripada kerajaan. Kelmarin kami menerima sehelai surat merah yang ditujukan kepada PEMUNYA PREMIS (ya,  itulah gelarannya) dan antara kandungannya berbunyi, ... sila runtuhkan mana-mana penambahan sambungan bangunan yang telah dibuat di premis anda. Memang surat itu membuat kami bertiga terpinga-pinga. Saya menjenguk bahagian hadapan dan belakang rumah, mana bangunan baru yang kami tambah? Setahu saya, rumah kami adalah model rumah asal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini sejak membelinya 15 tahun lalu. Berbanding tetangga yang menyambung dan membangunkan, tiada apa yang kami lakukan selain menambah sengkuap yang ketara di bahagian hadapan seperti rumah-rumah lain sebagai teduhan kereta. Rumah kami tidak semewah tetangga lain. Rumah yang paling  sederhana. Arahan pihak majlis perbandaran untuk mendapatkan penafsir melukis semula plan baru (pasti dengan kos), sangat menimbulkan kem
Image
Saya bukanlah seorang yang masyhur sehingga perlu buat pengumuman ini lagi. Tapi kasihankan beberapa pesanan yang penting masuk, sedang saya minggu ini tidak dapat dihubungi di WA. Mohon sms saja atau buat panggilan jika perlu. Maaf dan maklum. 
Image
  Saya sedar, projek Kesusasteraan dan Gerontologi ini sudah semacam menjadi projek peribadi apabila setiap hujung minggu kami bertiga keluar untuk membeli barangan yang akan disumbangkan. Zahar yang sangat diplomasi berurusan di kaunter bayaran dan A Matiin yang sangat ringan tulang menolak troli, sangat-sangat membuat saya sebak. Saya teringat mahasiswa yang sangat beriltizam dengan projek ini, masuk ke dalam hati dan jiwa untuk lebih mengasihi warga senasib al-Fikrah. Berkotak-kotak lampin dewasa, bedak wangi, sabun mandi, sabun basuh pakaian, cecair pencuci domestik dapat kami himpunkan untuk dibawa ke al-Fikrah esok pagi, insya-Allah yang jumlahnya hampir mencecah dua ribu ringgit. Allah Maha Besar. Saya sangat sebak mengenang almarhum nenda saya sebenarnya! Nenda yang sangat pemurah dan dermawan. Allah ya Allah.
Image
Dia datang mengingatkan saya tentang MASA.  O Allah, dekatnya hati. Saat saya sedang diekori masa yang sebenarnya sebentar lagi akan deras mengambil alih tempat, dan saya segera akan ditinggalkan. Terima kasih jam gerak yang selalu berdenting nyaring pada detik yang persis. Pedoman yang dikirim untuk terus beriman dan beramal soleh; berpesan kebenaran dan kesabaran.
Image
Tahun Baru 1437. Selamat meraikannya dengan doa panjang untuk terus dalam ketaatan dan selalu dalam pengampunan.
Image
Harinya semakin dekat. Alhamdulillah, seluruh syukur, terima kasih kepada semua penyumbang projek Kesusasteraan dan Gerontologi. Sehingga kelmarin, menerusi wang tunai yang disumbang telah kami dapatkan hampir empat kotak besar lampin dewasa, sabun basuh pakaian dan sabun mandi. Itu keperluan utama al Fikrah buat masa ini. Allah, mudah mudahan usaha kecil ini lebih membawa hati kami menyertai tokoh-tokoh pikun itu. Redha Allah tergantung kepada keredhaan orang tua dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan orang tua [Bukhari, Ibn Hibban, Tirmidzi dan Hakim].
Image
Pesanan si bulan penuh di penjuru jendela, sampai lagi. Kita hidup di Zaman Fitnah.  Kisahnya tentang fitnah yang bergentayangan pada penjuru zaman. Allah ya Allah. Ya, fitnah dan keaiban berdiri di kiri, kanan, depan dan belakang. Hampir kita tidak dapat berpaling. Mudah-mudahan Allah lorongkan hati saya untuk terus memilih jalan yang lurus, jalan orang yang Allah anugerahkan nikmat.
Image
Pedoman saya kepada para mahasiswa lewat kuliah kelmarin, yang saya petik dari buku: Bertingkah atas landasan syukur kerana itu ibadah orang yang merdeka.  Sedang selama ini kita bergaya seorang  pedagang kerana ibadah kita hanya mahukan pulangan. Atau pula kita berjiwa hamba, maka ibadah kita kerana takutkan Allah. 
Image
Burung kenek-kenek Terbang pohon birah Pesan datuk nenek Jangan bantah cakap ayah. Burung kenek-kenek Terbang ke pucuk tebu Pesan datuk nenek Jangan derhaka pada ibu. Antara pantun pembukaan ucapan mahasiswa saya nanti...
Image
Saya kian gerun dengan kerasukan telefon pintar. Ya, apa yang Sdr mahu pegang pertamanya ketika bangkit daripada tidur? Apa yang mahu Sdr lihat hampir setiap saat? Berapa lama ia berada dalam tangan Sdr? Berapa lama pula ia boleh Sdr biarkan di atas meja atau di dalam tas tangan tanpa ditoleh sekilas pun? Allah ya Allah. Saat sudah bersedia ke sajadah, bukankah Sdr masih lagi mahu melihat apa-apa yang terjadi padanya? Ampuni kami ya Allah. Bukankah itu kerasukan? Bukankah itu penjara? Bukankah itu petaka dan apakah lagi kata yang menyertainya? Saya sedang berlatih  memerdekakan diri daripada rantai berat yang kukuh menjerat itu. Saya akan matikan semua titik hubung bermula 10 malam dan hanya akan kembali memanfaatkannya jam 7 keesokan hari. Atau mungkin lebih panjang lagi.
Image
  Pesan saya kepada mahasiswa, jangan jadi pengemis (wang), mohon saja sumbangan barangan yang diperlukan dan kita hanya pengantara untuk menyampaikan. Saya harap mereka memahaminya.
Image
Hati yang merenyut-renyut. Mulut yang hampir mahu menyebut-nyebut. Allah. Pesan bulan penuh di hujung jendela kali ini tentang pengabdian para Rasul. Betapa perit dan luka di sepanjang jalan untuk mendekatkan semua hati kepada Dia. Betapa banyak sengsara. Betapa besar gunung duga. Sekali lagi saya berkira-kira, cukup deritakah saya hanya untuk menyampaikan satu suruhan Rasulullah. Cukup dahsyatkah penanggungan bagi membawakan satu kebenaran. Kecilnya iman saya!