Posts

Showing posts from November, 2012
Image
Siapa antara susuk peribadi yang mengesankan di mata saudara? ini antara soalan saya untuk mahasiswa penulisan kreatif kami. mereka harus membentang susuk itu dengan kewajaran. dan tidak semestinya dia nama yang masyhur. mungkin sahaja dia anak kecil yang pernah mengungkap doa buat seluruh alam. barangkali memang dia seorang negarawan yang mempertimbangkan banyak sisi. saya terbaca ini tentang tujuh dosa besar pembawa kehancuran oleh Gandhi ~ kekayaan tanpa bekerja ~ kesenangan tanpa hati nurani ~ ilmu tanpa watak ~ perniagaan tanpa etika ~ sains tanpa kemanusiaan ~ agama tanpa pengorbanan ~ politik tanpa prinsip. saya meneka-neka siapa pilihan mahasiswa saya yang berjumlah empat puluh enam orang itu. 
Image
Blog ini, selepas takdir gelapnya, masih terus dibaiki. gambar-gambar lama masih dalam kerja menampal semula.  sehingga hari ini baru selesai untuk tahun 2012... memang ia bukan kerja mudah :-(
Image
Saya tidak menulis pengalaman melihat pokok besar yang tumbang sejurus ribut menyerang kampus kami beberapa minggu lalu; sewaktu mahasiswa bercuti. saya berhampiran tapak takdir itu. begitu juga saya sempat melihat akar pokok selepas hujan lebat di muka jalan dekat lorong sekolah Mohican. sebahagiannya akar itu mirip arca yang sangat berseni. bagaimana pokok dan akar itu bercantum dalam tidur. dalam mimpi. saya melihat banyak sekali pohon besar yang tewas di tangan seorang lelaki yang persis susuk mahasiswa saya. ya, saya jadi kagum separuh hairan apabila begitu banyak pohon gergasi yang terbaring di sebuah hutan. oh mimpi rapsodik! adakah ia datang dari jalan siang yang akhir-akhir ini sering dengan hujan ribut  atau dari hati saya yang banyak angin taufannya...
Image
Tahu-tahu saja saya memberikan contoh drama bersiri lama ini dalam kuliah. kami membincangkan kerja eksperimen pengarang dalam garapan cerpen futuristik.  Space 1999 . ya, bagi yang hidup pada dekad 70-an, ini antara tontotan kita. sebuah cereka sains yang mengujakan waktu saya kanak-kanak, membayangkan bumi dalam dua dekad mendatang.  sebagai yang dicipta, tentunya banyak yang kita tidak tahu, apalagi untuk membayangkan apa yang belum berlaku. dan ia tentunya jauh daripada apa yang kita mampu bayangkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.
Image
Sesungguhnya, menjelang tua, semakin banyak perkara baru menjadi pelajaran. daripada sekecil-kecil hal kepada mungkin sahaja yang melibatkan nama maruah. saya menganuti kepercayaan bahawa untuk belajar perkara baru setiap hari dan dengannya saya mahu menjadi manusia yang lebih baik, walau sering juga saya kandas. antara perkara kecil itu ialah cara mengenakan krim muka. ya, krim muka!  ini soal kesihatan wajah (sudah tua begini, makna kecantikan sudah sangat terpecah-pecah). rupanya kebanyakan krim muka, sangat tidak boleh menyentuh kawasan sekitar mata (sesekali kita akan berjumpa kenyataan amaran ini, namun dalam banyak suasana, ia dipadamkan). akibatnya, jika ia melewati kawasan halus itu, sejurus bangun tidur dan melihat cermin, saudara akan kelihatan menjadi tua dengan tiba-tiba. seribu kedutan dengan serangan ketakutan akan memecahkan sebuah pagi yang aman. benar! krim muka tidak harus memasuki daerah mata . waspada. cermat. kita boleh jadi tua tiba-tiba! dan ini pelajaran
Image
Zahar jarang menyatakan kesedihannya. suami saya itu tidak selalu menahan airmata di hadapan saya. semalam, pulang dari kedai membaiki tayar basikal Alif Matiin yang bocor, selalu bocor, inilah kisah yang dibawa. kedai baik pulih basikal itu tatausahanya adalah mereka yang istimewa. hampir semua tidak berkaki dan jika ada tangan juga masih dengan rupa yang kurang. ketiga-tiga pekerja itu dalam usia 40-an atau mungkin mencecah 50-an. Zahar membawa saya untuk mengenang sekian banyak tahun mereka meneruskan hidup. nah, kita melihat mereka sangat begitu diuji. sedang bagaimanakah dalam hati mereka? saya menekup muka menahan sedu. dan ketikanya saya sebenarnya menahan malu. saya juga diuji dengan bagaimana manusia lain melihat saya. apakah dalam fikiran dan hati orang lain melihat saya. adakah mereka melihat seperti mana saya mahu melihat mereka. ya Allah, kisah yang dibawa Zahar sangat memberi bekas. saya banyak bertanya diri sendiri, adakah saya malu, sedih dan kecewa dengan pandangan
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, akhirnya anak saya naik ke pentas untuk acara graduasi! januari nanti, insya Allah Alif Matiin akan memasuki alam persekolahan sebenar. cepat masa berlalu dan cepat juga tahun baru tiba. terima kasih kepada guru-guru Nasyrah yang banyak bersabar dan sangat tulus mendidik anak-anak kami!semoga guru-guru terus dirahmati.
Image
Hari ini kuliah penulisan kreatif saya bermula lagi untuk semester ini. seperti biasa, saya senang sekali bertemu pelajar dengan mendera mereka untuk berani berimaginasi, berjalan di  lorong yang tidak biasa mereka ikut selama ini. saya ingat sesi lepas kumpulan kursus ini saya minta menulis cerpen berasaskan dunia masakan. kali ini, mereka dicabar mengemukakan tokoh yang menarik perhatian. tidak kira siapa. mungkin sahaja seorang tua yang selalu berulang alik ke musala. atau dia seorang pemain piano yang dikenali  di lobi hotel. atau dia seorang perempuan yang menyediakan sajean dalam kembara ke Pulau Dewata. yang penting tokoh itu memberikan ilham untuk menumbuhkan cerita. di hujung kuliah saya mengemukakan sedutan persembahan Yanni di Acropolis. saya uji ketajaman mahasiswa saya untuk menyaring. mengapa Yanni ? saya tidak pasti sama ada deraan saya kali ini lebih zalim. mahasiswa saya masih harus memuatkan rakaman tokoh itu dalam entri blog masing-masing sebelum dipindahkan ke a
Image
doa yang dimakbul Pernahkah saudara duduk, berdiam seketika dan tiba-tiba menyedari bahawa ada perkara yang terjadi dalam jalan hidup saudara dan ia ternyata sehaluan dengan keinginan hati, sebenarnya adalah doa yang pernah dipohon sebelum ini. ketika itu segenap kepercayaan seakan mahu merangkul kecintaan pada Allah.  betapa Allah mendengar doa yang dibisikkan. begitu Allah sangat dekat mengetahui apa yang melintas antara rasa, hasrat mahupun penafian. ia pasti membawa kita kepada tafsiran Qutb bahawa Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. makanya, tidak mungkin ada yang dapat menyelinap sembunyi daripada Ilmu-Nya. Allah Maha Agung!
Image
Ini konsert terakhir Alif Matiin sebelum meninggalkan Nasyrah. kali ini persembahan solonya adalah sebagai Mr Pantun. anak saya akan menggayakan pantun tiga rangkap ciptaan Teacher Mun. merah warna si biji saga, hari rabu pergi ke pekan; sedari kecil ibu jaga, jasa ibu jangan lupakan.   atas para ada beras, untuk dibuat tepung pelita; ayah kita bekerja keras, untuk sara keluarga tercinta.   simpan duit dalam peti, untuk diguna bayar zakat; pada guru kita hormati, agar ilmu bawa berkat.    
Image
Cerpen terbaru saya di Mingguan Malaysia , 4 november 2012. antara tikungan yang aneh . ia sebuah cerita sedih. terima kasih kepada sdr Ku Seman Ku Hussein, editor yang menyiarkan cerpen tersebut. kenangan di Arafah dan rakaman kisah seseorang yang banyak kehilangan dalam hidupnya.
Image
  Dua buah buku baru untuk Alif Matiin, hadiah istimewa dari penulisnya sendiri. ternyata anak saya ini sangat suka membacanya apatah lagi mendengar dendangan dari cd yang dipasang dalam kereta. burung kenek-kenek! dan kisah anak perempuan di sebuah perkampungan. merentas isu gender, ternyata Alif Matiin tidak melihat wataknya, tetapi seronok menjelajah pohon, bunga dan serangga. ah, anak lelaki! terima kasih mahaguruku, Prof Madya Dr Hadijah Rahmat, dengan pemberian ini. semoga kita bersua lagi.  
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, setelah beberapa hari tersedak dengan petaka ke atas blog yang saya sayangi ini, sempena jumaat yang mulia saya bahagia untuk meneruskan catatan di sini. ya, memang ini hanya blog. ia hanya ruang kecil. namun di sini saya banyak belajar erti kesementaraan apabila hampir semua gambar yang ada, hilang. sekarang saya sedang menampal semula gambar-gambar yang sempat ditemui kembali. perlahan-lahan.  inilah tempat saya menumpahkan rasa dan kesan, berbahagi lelah. di sini juga saya melatih diri mengucapkan kata-kata yang baik. kind word. terima kasih kepada teman-teman dan semua kenalan baru yang berbahagi sama masa petaka itu. Allah sahaja memulangkan kebaikan itu kepada saudara. terima kasih!