Posts

Showing posts from 2007
Image
Saya pernah mendengar antara mukjizat al Quran yang dapat kita rasakan sehingga hari ini ialah sekali mata jatuh ke atasnya, tangan akan segera mencapai, suara seakan tidak mahu henti daripada mengaguminya dan cinta akan terus tumbuh di hati. maha suci Tuhan! moga Allah kekalkan hati saya menyintai ayat-ayat kudus-Nya. moga Kitab ini terus menjernih jiwa dan membikin rasa yang luhur dalam dada. saya mahu selalu bersamanya sampai bila-bila! (al Quran yang saya bawa ke mana-mana ini adalah pemberian sahabat lama, Raihan, ketika ke tanah suci. Semoga kehidupan baru yang kau pilih merupakan penghijrahan terbaik. An, Bukankah DIA yang menghilangkan segala dukacita... al faathir: 34).
Image
Barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat (asy Syuuraa: 20). Cerpen terbaru saya, "Petala Rengsa dalam Dada" (Mingguan Malaysia, Disember 16, 2007)
Image
Lukisan sentiasa merakam seribu rasa yang tidak terucap dan tertulis. Maha Suci Tuhan yang menjadikan seninya tangan manusia yang dapat menggaris rasa dan mewarna apa yang terakam dalam baris kata. (www.imanmaleki.com). Penyair @ mahaguru saya menulis, palitannya meraut licin kulit/tapi intinya harus sengsara/kerana padanya ada cakerawala/sedalam sejarah./ baik begitu dia menyimpul,/derita diri pada usia lima puluh,/dan dunia juga tidak diikat benang/cantik dan erat sayang/tidak ditemui bahagia/yang terlukis suatu makna/dalam jalur-jalur jelaga. (Muhammad Haji Salleh, "Pelukis", Watak Tenggara, 1993: 30-31).
Image
Tuhan yang Maha Pemurah, yang telah mengajar al Quran. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara. Matahari dan bulan beredar menurut perhitungannya. dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon, kedua-duanya tunduk sujud kepada-NYA (Ar Rahman: 1-6)
Image
Hujung minggu ke dapur, saya akan membuka buku resepi. Sudah lama mahu mencuba yang ini. Mudah dan cepat menyediakannya. Dan ia mengajak kreativiti saya bersama. Bumbunya saya ragamkan, boleh ditukar ikut rasa - ayam masak lada hitam, tuna atau campuran sosej, brokoli dan lobak merah. Untuk dasarnya: tepung gandum 500g + mentega 250g + air/susu. Uli hingga jadi doh, simpan bertutup dalam peti sejuk selama 1 jam. Kemudian terapkan bulat mengikut acuan quiche, bakar selama 30-40 minit. Isikan bumbu dan bakar lagi sekitar 20 minit. Mudah sekali! Jika mahu ikut rasa asalnya, bumbu ditambah dengan siraman krim+telur dan taburan keju cheddar+daun ketumbar. Jemput makan ya!
Image
Saya selalu rindu untuk menjadi anak-anak kembali. Dunia yang indah dan riang tanpa tahu apa yang sukar dan menyakitkan dalam hidup. Saya bermain tanglung seusai mengaji muqadam di surau, makan kuih bulan yang dibekal kawan tionghua, mengutip biji saga di padang sekolah dan kemudian minta emak jahitkannya sebagai batu seremban. Bila berpindah ke rumah pangsa, saya jadi begitu rindu dengan segalanya.... sewaktu anak saudara melukis gambar ini di komputer, saya melihat kembali diri saya lebih tiga dekad lalu. Melalui lakaran beginilah kita dapat kembali menjadi anak-anak. Menulis cerita juga begitu... terima kasih Wewe sayang!
Image
Sejak kecil sepupu saya menjadi sahabat akrab. Melaluinya, saya kenal erti persahabatan dan saling berbahgi; saya mula tahu untuk tidak sendiri. Walau sekarang kami berjauhan dengan lapisan perbezaan, saya selalu mengenangnya. Sisipan gambar ini (yang dikirimnya) antara pantulan rasa tersebut. Mel, much love!
Image
Saya kembali ke rumah baru yang dibiar lama ini. Baru ada kesempatan. Ternyata saya tidak mungkin dapat menulis panjang seperti tuan rumah lain. Mungkin rumah ini akan saya singgah sebagai ruang membuang lelah, mengenang kembali segala keindahan yang selalu memujuk jiwa ....