Posts

Showing posts from 2018
Image
Sepanjang petang yang lapang. Beginilah kampus jika menuju cuti hujung minggu yang panjang. Usai kuliah saya menjelang Zuhur, saya menyelinap ke ruang sendiri. Menyudahkan apa yang ada di atas meja kerja, menjinjing sebahagian untuk dibawa pulang. Ya, bukan cuti sebenarnya, banyak kerja membaca dan menulis yang harus dirapikan sebelum minggu baru bermula lagi dengan pelbagai ceritanya. Semester baru saja bermula dan saya tidak dalam semangat cuti. Saya tidak berhasrat menyertai jalanraya yang penuh juga.  Memang aneh apabila rutinitas tidak lagi seperti selalu. Tapi memang begitulah nantinya. Kita akan ditinggal pergi. Mendoakan semua yang keluar kota, dirahmati dan berbahagialah. 

Image
Ia tidak mudah diucap
kerana tidak ada bunyi yang berupaya mengganti

Ia tidak mudah juga ditinta
kerana tidak ada aksara yang mampu mewakili

Ia tidak mudah lagi dilakar
kerana tidak ada garis yang cukup dapat menukar

Benar, ia hanya mampu mengisi dada
ia pintar menahan getar
ia sanggup membendung bingung
ia terdaya menghadap lara
walau lara itu adalah yang indah.

Image
Semester baru, semester kedua bermula hari ini. Kuliah saya pada setiap Selasa dan Khamis. Seperti selalu, rasanya saya sangat teruja untuk bertemu mahasiswa dengan perihal baru dalam kuliah yang saya kendalikan. Semester ini saya mahu mengajak mahasiswa bersahabat dengan kitab Syekh Ibn 'Athaillah ini, al Hikam. Pertama kali saya mengetahuinya menerusi kajian disertasi mahaguru saya, Dr Shafie Abu Bakar(ramai yang beranggapan saya anakanda Dr Shafie). Begitu akhir-akhir ini saya sering dititip baris kata yang sangat mengilhamkan dari kitab penuh kebijakan ini. Menerusi mata pelajaran kesusasteraan, saya mahu mahasiswa menyertai saya, melihat sisi kebaikan dan manfaatnya dalam kehidupan yang dijalani seperti yang diajukan di dalamnya. Benar, sayang sekali ilmu yang diikuti hanya tinggal pada nota yang dicatat atau terbiar pada lakaran teori semata-mata untuk lulus ujian. Kepada mahasiswa saya semester ini, mudah mudahan Sdr dirahmati dengan ilmu yang bermanfaat, Insya-Allah.
Image
AM baru merasakan akrabnya AM sekarang dengan al-Qur'an, mummy. Itu suara kalbu AM yang sangat tulus saya pernah dengar. Allah ya Allah. Mahunya saya dakap AM kejap. Saya sangat berharap pada usia 12 tahun, AM sudah mengerti apabila acapkali saya katakan, mummy doakan AM diikat hatinya untuk cintakan Allah, cintakan Rasulullah, cintakan al-Qur'an dan cintakan solah. Mummy percaya hanya al-Qur'an yang terbaik untuk AM. Pengajian al-Qur'an dan bahasa Arab AM baru memasuki bulan kedua. Saya masih dan terus berdoa sungguh sungguh, mudah-mudahan diterangkan hatinya. Mendengar kisah tahajjudnya sebelum solah Fajr dan puasa sunat membuatkan Z terkasima. Subhanallah wabihamdihi, subhanallahil adzim.
Image
Saya kembali ke rutinitas asal. Menjelang Isya', hp akan saya matikan kecuali kecemasan. Selain mata tua yang sangat letih dengan cahaya dan radiasi dari skrin hp, tab dan pc di ruang kerja sepanjang hari, saya seringkali jadi mual dengan teknologi komunikasi. Saya mula rindukan percakapan yang tulus. Atau sering juga saya rindukan kesendirian. Benar bukan, sendiri itu membawa kita lebih mengenali diri. Sendiri itu menuntun kita ke ruang rahasia yang sekian masa terhijab dengan apa yang kita sendiri kurang mengerti tentangnya. Sendiri itu seperti guru yang datang membawa tangan dan memandu kaki kecil saya untuk melangkah dengan kerendahan hati, menyedari yang saya ini tidak ada apa-apa. Maka untuk apa saya mahu orang lain peduli dengan kewujudan saya itu.
Image
Dalam mana-mana untaian rafik (ini judul cerpen lama saya), detik yang paling menghibakan adalah saat perpisahan. Sewaktu di sekolah dahulu, ketika ketua kelas berucap mewakili kami, antara lain skripnya berbunyi, jika takut pada perpisahan, usah berani mulakan pertemuan. Benar juga. Namun satu lagi dalam sesebuah persahabatan yang lebih menjadikan jiwa gundah gulana adalah apabila kehilangan sahabat al-Qur'an. Waktu kecil saya berpindah guru mengaji dari Temasek kemudian menyeberang selat, mengakibatkan saya kehilangan sahabat al-Qur'an. Saya sudah pernah merasakan kekosongan dan tiada sesiapa untuk berbahagi di mana ain Subuh tadi atau Maghrib nanti. Atau perlumbaan, adakah dia lebih ke hadapan atau manisnya saat kami berhenti di ain yang sama tanpa dirancang. Hanya sekarang saya dapat berdoa, bacaannya terus maju, terjemahannya diikuti dengan minat seperti selalu dan tadabburnya sangat seluruh, walau harus sendiri sendiri.
Image
Sebuah kumpulan cerpen lama sahabat saya, Uthaya Sankar SB, judulnya Yang Aneh-aneh. Benar, banyak keanehan sepanjang jalan yang kita lintasi. Melihat kiri atau tengah dan penjuru tenggara yang mungkin sama sekali tidak pernah kita terfikirkan. Aneh juga hp saya yang dikatakan pintar, membawa kembali perutusan lama yang sekian tahun pernah dikirim. Anehnya, ia tidak pula dapat dipadamkan. Aneh memang. Atau saya sebenarnya yang masih tuli dengan teknologi komunikasi. Keanehan itu juga seperti baru menyedari bahawa sahabat yang sekian masa dihormati kerana jujur dan tulus, namun pada ketikanya tidak menjadi begitu. Dalam keanehan  mengenangnya, saya si dungu ini belajar lagi, ternyata tidak semua kebahagiaan itu senang untuk dibahagi dengan orang lain. Ketika yang sama hp pintar saya menerima titipan tentang ikhlas pula. Maka saya diasuh lagi untuk lebih mengerti perihal yang paling sulit dalam hidup. Ya, berikhlas. 
Image
Mengimbas apa yang sudah menjadi semalam, sama perasaannya seperti menyelak album lama. Rencamnya rasa, sama ada mahu memadam hilang apa yang sudah menjadi kenangan atau rasa yang tidak mahu menjalaninya sama sekali. Saya mulai belajar untuk melerai, melepaskan dan meninggalkan apa yang sekian masa bersahabat. Dan tidak pernah siapa tahu takdirnya berjalan sedemikian rupa.  
Image
Beberapa sahabat sempat melihat si cantik ini. Sejak malam munculnya, saya tidak keluar rumah mahupun menyelak langsir kamar dan menjenguk langit. Ada bujukan yang sering juga tidak saya pedulikan. Mengapa dan saya tidak punya jawabnya. Bukankah ujar al-Qur'an segalanya adalah kembali kepada dirimu sendiri. Menyudahkan surah Muhammad, sekali lagi saya menemukan hal kembali kepada diri. Antaranya, saat kamu diajak untuk berinfaq sedang kamu kikir, maka sebenarnya kamu kikir terhadap dirimu sendiri. Allah ya Allah. Benar, segalanya kembali kepada diri, kembali kepada hati.
Image
Mahasiswa sedang menghabiskan cuti yang berbaki kurang lebih dua minggu lagi. Sementara  kami yang masih di kampus, inilah masanya dengan berderetan siri perbincangan, mesyuarat, penyelidikan, penyediaan laporan atau menulis untuk pelbagai tuntutan. Ternyata belum masanya untuk bercuti. Namun tabiat saya nanti mengambil kerehatan pada hari yang tak terduga. Di tengah minggu atau kadangkala saat kepala saya penuh dengan tarikh-tarikh yang menyeret saya masuk ke ruang kesunyian. Di situ nanti akan saya temukan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah sangka. Mungkin sahaja saya akan bersua dengan sahabat baru atau dia yang jauhnya datang dari masa lalu yang hanya baru kini kami saling mengenali. Ya, setelah sekian masa, terhijab tahun. Sdr fikir kami terlewat, saya fikir tidak begitu. Seperti titik akhir nanti, datangnya sedetik tidak lambat mahupun tercepat. Begitu juga takdir untuk bertemu kembali atau kelak, waktunya persis, waktunya telak.
Image
Kata Rumi, kehidupan ini adalah setimbang antara upaya mempertahan atau melepaskan. Seringkali kita fikir, melepaskan itu adalah suatu yang sengsara, sedang sekiranya  kita dapat mempertahankan, bahawa ia adalah sebuah keberuntungan. Benarkah? Dia Yang Maha Tahu dan Maha Mengatur setiap satu. Sedangkan saat belajar untuk melepaskan dengan berikhlas hati, menaruh keyakinan bahawa Dia menyediakan yang lebih baik nanti, saya percaya ia adalah bujukan yang membijakkan. Apa lagi yang lebih baik selain solah dan sabar (dan syukur) ketika kehilangan itu berdiri di lawang akhir. Bertabahlah. 
Image
Saya selalu bertembung dengan masa yang tidak memihak.  Saat saya memerlukan masa untuk duduk dan mendengar apa yang mahu saya perkatakan, ternyata dia, masa,  tidak endah atau sepertinya tidak pernah mendengar talun suara saya yang mungkin memanggilnya dalam vakum. Atau saya ini memang tidak tahu erti bersyukur.
Image
Minggu permulaan tahun baru yang padat dengan kerja semakan markah ujian mahasiswa. Ya, bukan sedikit, ia mencecah ratusan. Penilaian manuskrip yang juga sedang menunggu giliran. Beberapa catatan yang minta diladeni juga dan segera. Hingga berasakan saya ini sangat tidak berlaku saksama terhadap banyak hak yang perlu dipenuhkan. Namun aneh, dalam melihat akan masa yang meletus letus dan menyesali betapa saya ini begitu menzalimi, satu ruang yang saya sedari memerhatikan saya untuk sekian masa. Saya diminta untuk mencari bangku. Duduk dan mendengar sepinya.
Image
Musim dingin begini, saya senang sekali melihat awan dan banjaran yang berkawan. Pernah saya menulisnya sebelum ini. Ia adalah pemandangan yang saya nantikan setiap kali menuju jalan pulang ke rumah. Apalagi musim angin aneh begini, saat awan dan kabus menjadi rendah dan  kita tidak dapat mengagak apa yang ada dalam hati, dalam jiwa, dalam kalbu. Segalanya seperti tidak mahu diberitahu. Ya, segalanya mahu terus menjadi diam. Pernah dalam satu kuliah dhuha saya tanyakan kepada Ustaz, lebih bagus bersahabat dengan malaikat yang sentiasa ada, sentiasa baik kepada kita. Ya, bersahabat dengan para malaikat. Dulu, waktu kecil saya dibayangkan malaikat hidupnya dalam dunia kabus, dalam dunia awan. Sedang sebenarnya dia sangat dekat. Dan selalu ada.
Image
Saya seperti selalu dan sejak dulu menerima pedoman ini: usah angkuh. Seringkas itu. Semudah itu pesannya. Dan saya tahu jalan tuntunannya menuju dua persimpangan perhentian akhir nanti. Menekuni surah Luqman kelmarin, kami menanggap yang sama akan makna kepongahan: Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri ~ Dan sederhanakalah kami dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Betapa ia sangat mendidik terus akan kerendahan hati. Ternyata ia tidak sukar hanya setiap kali mahu jadi sombong, yang diingat ialah asal usul penciptaan diri dan selanjutnya bertanyalah, apa yang dimiliki daripada semua yang ada ini. Melihatlah sesiapa sahaja dengan seluruh kasih. Dan saya juga tidak mahu jadi keldai, ya Allah.

Image
Simpang cuaca. Daripada terik, sekejap akan bertukar hala ke tikungan gerimis malah dengan geluduk dan seluruh rusuh. Sebentar datang dan hilang, sering juga menjuakkan keliru yang menjadikan saya dungu sedungunya. Melihat ke luar tingkap, daun yang jatuh kian jauh dari dahannya yang sunyi dan sendiri.
Image
Berapa pagi, berapa senja atau berapa malam yang sangat bersahabat dengan sdr? Hampir setiap petang menuju jalan pulang, saya sering menanti-nanti untuk menatap dua sahabat itu. Ya, menuruni sedikit lereng, ayuh kita namakan ia, Lembah Sukma, saya akan dibentangkan sekumpulan awan dan banjaran yang berkawan. Sangat indah. Seperti juga pagi ini, hujan yang turun sepanjang jalan, seperti mahu sekali bersahabat dengan gerimis dalam hati saya. Mengenang semakin sukar saya ini dimengerti, ia benar-benar satu pathetic fallacy, mencengkamnya jauh ke hujung hati. Walau saya suka sekali mendengar suara hujan, merenung tiap satu, hingga tidak mahu ada saat teduh tiba. Aneh, seperti hanya dia yang mahu cuba masuk dan duduk, menuruti tiap apa yang tidak dimengerti ini. Namun, tidak ada apa yang ditemukannya.
Image
Benar. Ada yang Disimpan-Nya daripada pengetahuan kita, untuk memadam duka dan lara. Perpisahan. Ada yang kita sudah tahu bila ia akan tiba. Persis tarikh dan saatnya. Kita sama ada jadi tertunggu-tunggu detik hiba itu atau sebaliknya ia tidak mahu kita hirau sama sekali kerana ia hanya akan menambah sengsara. Dan lebih mengharukan bagaimana kita akan meladeni hidup setelah sekian tahun rutinitas itu  dijalani bersama-sama. AM akan memulakan kuliah al-Qur'an dan bahasa Arabnya awal minggu depan. Satu fasa baru dalam kehidupannya, kehidupan kami. Mengurus hidup sendiri nanti, pasti banyak yang mendidik akhlak, hati dan pertimbangan AM. Memilih lajur al-Qur'an seperti kata F adalah jalan mukjizat. Pasti Allah tidak akan biarkan. Z dan saya meleraikan rutinitas kami demi jalan itu. Saya yakini, tidak ada yang lebih baik daripada ikatan terhadap surah suci, yang akan membersih dan memelihara hati.
Image
Mahasiswa memulakan minggu ujian semester pertama yang bersambungan dari tahun lepas. Inilah yang saya katakan, tidak ada lagi makna tahun lalu dan tahun baru. Ia seperti larian sungai yang bergerak terus tanpa kita dapat menemukan sekali lagi zarah air yang serupa. Begitulah waktu. Pertanyaan ustaz dhuha kami, siapa antara kita yang dapat menjadi seorang yang sering bersyukur; antaranya dengan penciptaan waktu. Bersyukur saat dapat melihat matahari masih menurut hukum rutinitasnya. Dengannya kita lagi punya waktu untuk banyak perkara termasuk berbuat kebajikan dan memikirkan dengan tekun ihwal yang harus ditinggalkan, dicegah. Mudah-mudahan Allah redha. Foto dari Utara, titipan Dr H, juga ada bayangan rintihan yang seperti sebelumnya, menghilang tahun.