Posts

Showing posts from December, 2011
Image
Kononnya saya menasihatkan seorang sahabat yang menerima pujian dan kemudian kejian. kami menemui kata-kata yang indah ini, tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian. apabila dipuji, seharusnya diucapkan, alhamdulillahi rabbil alamin, cukuplah Allah yang menilai, tiada yang lebih berhak selain Dia. dan  keikhlasan tidak akan menganjakan sedikitpun amalan baik, bahkan ia terus tumbuh. saya fikir, ia bukan nasihat, tetapi ingatan untuk diri saya sendiri. foto ini saya rakam dari kamar hotel di melaka, dalam satu jadual kerja bulan sudah.
Image
Cinta - antara taksonominya yang melibatkan tiga pertimbangan: keintiman, komitmen dan keterujaan. ternyata Haslina banyak membaca diri sendiri sewaktu menjalankan penyelidikan tesisnya - kajian bandingan wanita dan cinta dalam novel melayu dan china. foto ini adalah kenangan yang dibawa dari sebuah majlis perkahwinan di hangzhou. antara catatan di kotak mungil berisi cokelat ini ialah cinta yang menjalinkan dua hati, namun rupanya ia narasi cinta penuh misteri!
Image
Sebaik tiba di rumah dari cuti hujung minggu di kampung tenteram omak mertuo den, kami diziarahi teman-teman dari sabah. memang hanya sempat menyediakan juadah dari bahan-bahan yang ada tersimpan dalam bakul dan rak di dapur. akhirnya saya mencelur spaghetti dan merenih kuahnya, ada sisipan ayam goreng juga. alhamdulillah. semuanya makan dengan berselera! saya akan kepilkan resepinya di catatan tanggah.
Image
Hitam hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis. Seronok mengutip manggis, langsat, rambutan, jambu batu dan durian dari laman luas uwan, alif matiin sangat riang hujung minggu ini. ya, saya sibuk di dapur dengan juadah laksa (gabungan johor dan penang) serta ayam kapitan (resepinya di catatan tanggah). malam pula kami dengan bakar-panggang ikan dan ayam. foto ini manggis dari pokok tepi rumah omak mertuo den , kelihatan daunnya dari jendela kaca. saya teringatkan seseorang yang sukakan manggis...
Image
Selamat maju jaya untuk perjalanan seterusnya, Nazna. semoga kita bertemu lagi. terima kasih atas hadiah mungil dan manis ini. si kuning O sudah diambil Alif Matiin...
Image
“Apabila tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan solat. lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. kemudian aku berdiri menunaikan solat dan aku jadikan ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, andainya  ini adalah solatku yang terakhir. kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca sebaiknya, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. kemudian aku tidak tahu sama ada solatku diterima atau tidak?” (hatim al asham) Buku yang bagus ini saya dapati dari al haram, medinah. hajah norlaila, semoga sudah selesai pembacaannya. 
Image
Saya benar-benar tidak dapat menahan sebak saat melihat titik sujud dalam solat di masjid universiti siang tadi. hanya baru sekarang saya sangat mencintai permaidani hijau yang melapisi lantai itu. ya Allah, rindu yang datangnya sangat menderu. saya rindukan wangi raudhah! saya sangat rindukan Rasulullah! permaidani hijau itu membawa saya jauh ke masjid Rasulullah, mengheret saya ke Taman Syurga yang menyimpan kenangan yang bersilang-silang. betapa seusai isya' saya akan menanti penuh debar dan segunung harap untuk sujud dan bertemu dengan si Pengutus yang kian saya cinta, di raudhah. dan  masih ingat langkah saya yang sangat perlahan, isya' terakhir genap empat puluh waktu solat, janji yang saya panjangkan hingga saat ini untuk saya datang lagi bertemu Dia yang begitu mengasihi kita! salawat, salam  dan rahmat berkekalan ke atas Rasulullah.
Image
Cerpen "Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan" mewacanakan hakikat kesementaraan dan keabadian dengan menyelami jiwa individu yang berasakan dirinya "majal" kerana menjadi penyebab kematian orang yang akrab dengannya. dalam dirinya berlaku gejolak fikiran kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa ajal pasti datang. dia mengalami trauma apabial menziarahi orang sakit, kerana pada setiap kali menziarahi orang sakit, dia menerima khabar kematian orang yang dikunjungi itu selepas dia pulang. dia merasakan seoah-olah dialah penyebab kematian itu. dengan mendalami al quran kecamuk jiwanya menjadi tenteram dan dia menerima suratan takdir. penggunaan lambang adalah sinkronik dengan subjek dan makna dalamannya. imej rumah pusaka sebagai tempat kelahiran dan pewaris terakhirnya yang kesepian melambangkan hakikat ketersendirian manusia pada penghujung perjalanan hidup. rumah asal yang menyaksikan pelbagai peristiwa merupakan refleksi terhadap kitaran
Image
Saya banyak mencatat rakaman kembara spiritual  sepanjang di Mekah dan Medinah selama 44 hari di dalamnya. buku catatan, jurnal cantik ini dihadiahkan lama dahulu oleh Thaiyibah Sulaiman, kenalan yang juga penterjemah banyak buku bahasa Jepun ke bahasa Melayu. arigato gozaimas! banyak kenangan, ingatan dan perasaan ada dalam jurnal ini termasuk seutas tasbih biru berbiji tujuh...
Image
Rindunya saya pada lorong dari al Haram menuju ke dataran Masjid Rasulullah ini. saat angin dingin mengepung dan kemudian membawa kami, jemaah wanita melalui keanehan demi keanehan tatkala melangkah ke ruang pemeriksaan di lawang-lawang utama. kami tidak dibenarkan (tidak berlaku  pada jemaah lelaki!) membawa masuk telefon tangan berkamera, apatah lagi kamera. begitu juga pen tidak dibenarkan sama sekali. ya, saya hanya mencatat kenangan dalam masjid ini melalui ingatan. biasanya tiba di kamar hotel saya akan menulis cepat apa-apa yang mengesankan berlaku sewaktu di masjid, sebelum semuanya hilang dilarikan angin keras. saya menulis dalam sebuah jurnal yang cantik...
Image
  Alhamdulillahi rabbil alamin. tahniah setingginya, buat sahabat lama saya, SM Zakir atas pengumuman sebagai penerima Anugerah SEA Write 2011.  memang selayaknya! sebelum itu, penerima tahun 2010 ialah Zaen Kasturi. dan khabarnya penganugerahan akan disampaikan awal tahun 2012 nanti. tahniah sekali lagi, bro!   saya tampal puisi garapan Dr Saleeh Rahamad buat Zakir. saya suka puisi ini. Sang Petualang (dedikasi buat SM Zakir) Lelaki bukanlah lelaki Jika tidak berani bertualang, katanya. Lalu dia mengorak langkah sambil membuka dada dari satu penjuru ke satu penjuru dia mengatur derap keberanian walau tidak mencari apa-apa dia pasti menemukan banyak rahsia. Dia sering bertualang dari benua ke benua tapi tidak pernah bertanya apakah jalannya ada peta atau kesesatan menanti di hujungnya. Di laut, di gurun, di belantara dia kembara sendirian walau di sisinya ada teman. Aku sering menemaninya menyusuri lorong gelap, laut saujana, riuh manusia, dan denai mi
Image
Syabas untuk pengarang yang selalu menjadi tumpuan saya, SN Anwar Ridhwan atas kemenangan Penyeberang Sempadan dalam Hadiah Sako 3 yang diumum disember 13 lalu. ucapan yang sama buat pemenang lain iaitu Rahman Haji Yusof ( Tak Seindah Impian), Mohd Khaidir Ahmad ( Khuluk), Ali Jusoh ( Alor Miang ) dan kekanda Aminah Mokhtar dengan Ratap Rabitah.
Image
Saat di luar, liarnya angin musim dingin Kota Rasulullah Pengutus Risalah, saya cuba mendapat kehangatan dari dalam al Haram, hotel penginapan kami. dengan harum setanggi, saya sempat merakam foto ini. sukar menafsir tapi senang di mata saya.
Image
Minggu bekerja yang panjang, dari isnin hingga ahad, apabila saya harus menghadiri bengkel jurnal di Melaka. memang enak berada jauh daripada rutin. tapi lebih enak jika pergi hanya untuk merehatkan diri dan tidak pergi untuk bekerja. alangkah! foto ini dirakam dari lobi hotel penginapan. tempelan piring kecil dan besar lalu menjadi arca yang luar biasa. sangat memukau saya!
Image
Ya Allah, hanya kepada-Mu kami berserah, dari siksa-Mu kami mohon belas kasihan, dan kepada-Mu kami berharap dan kami takut. maka terimalah ibadah, kasihanilah kerendahan hati, terimalah taubat, kurangkanlah kekeliruan, perkenankanlah permohonan dan tunaikanlah permintaan kami. ini foto kerikil yang dicari antara pasir halus di Muzdalifah yang sangat dingin anginnya berbaur debu. dengan bisik hati kecil,  saya bermohon dengan doa menggunung, semoga saat melontar di Jamarah nanti, saya turut melontar jauh segala kejahatan dalam diri.
Image
  Saya baru pulang. rasanya lelah lama belum pun hilang. namun ada rasa untuk mengembara lagi. mengapa? kerana saya sangat sedar kembara begitu membuka mata dan hati. benarlah, maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi ialah yang ada di dada (al-hajj:46). rakaman foto dari petak tingkap pesawat SV5100 Med-Kul.
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, dengan izin-Nya SAKM XI dapat dilaksanakan, walau dengan kekangan kewangannya. apa lagi yang harus saya ucapkan selain bersyukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menjayakan SAKM XI. khusus ucapan ini kepada mahasiswa kami yang bekerja keras untuk beberapa bulan ini. syabas!
Image
Malangnya, saya tidak sempat hadir!
Image
 Selamat datang kepada semua! Selamat mengikuti SAKM XI bersama antaranya, Prof Dato Dr Md Salleh Yaapar ~ Dr. Roslina Abu Bakar & Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud ~ Mohd Salleh Sulieman & Saadah Jaffar ~  Dr Norhayati A. Rahman ~ A. Rahim Abdullah ~ Dr Mohd Faizal Musa ~ Cahyaningrum Dewojati ~ Dr. Awang Azman Awang Pawi ~ Dr. Novi Siti Kussuji Indrastuti ~ Muhammad Harya Ramdhoni Julizarsyah ~  Sudibyo ~ Prof Ungku Maimunah Mohd Tahir ~ mereka melihat sastera menerusi teks kreatif dan hubungannya dengan realiti politik. menarik sekali! Pendaftaran RM100 sahaja di Dataran DK3B301, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, bermula 8.00 pagi 7hb Disember 2011. hingga jumpa!
Image
Kurang sejam sebelum azan maghrib, saya tiba di dapur rumah, sempat saya sediakan bubur awal tahun kami sempena 10 muharram. istimewanya  juadah tradisi keluarga kali ini, saya yang menyediakan bubur dan bonda yang kebetulan ada di rumah, menyiapkan sambal terasi bersama ikan masin bulu ayam! inilah hidangan berbuka puasa kami. sambil menikmati bubur yang sedikit masin, saya mengimbas hari pertama di pejabat setelah hampir 50 hari bercuti. menghadiri 2 mesyuarat, banyak nama orang yang saya lupa dan saya terkial-kial meneka kata laluan komputer! rasa macam budak baru mula bekerja...
Image
KATEGORI NOVEL REMAJA   Pertama hadiah wang tunai RM7,000 "Bimasakti Menari" (Sri Rahayu Mohd. Yusop) Kedua hadiah wang tunai RM4,500 "Bumi Lestari" (Rebecca Ilham) Ketiga hadiah wang tunai RM3,000 "Esemes" (Mohd Teja) KATEGORI CERPEN Tiga hadiah utama RM3,000 setiap satu "Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan"                                                (Mawar Shafei, Mingguan Malaysia, 2 November 2010) "Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung" (Mohd. Lutfi Ishak, Mingguan Malaysia , 12 September 2010) "Pesta Tarik Tali di Musim Gugur"                                                                                                             (Aminah Mokhtar, Mingguan Malaysia , 8 Ogos 2010) Enam hadiah penghargaan RM800 setiap satu: "Emas Jadi Batu Padi Jadi Pasir" (Zaharah Nawawi, Mingguan Malaysia , 28 Mac 2010) "Harimau Musim Rontok Foochow" (Rahimah Mu
Image
Meraikan ulang tahun yang seterusnya di kota Rasulullah Pengutus  Risalah. bukankah itu saat yang sangat membahagiakan! ya, ulangtahun saya mengikut takwim hijrah adalah pada tanggal 1 muharam. sedang tahun baru di Medinah, tidaklah menjadi acara besar seperti yang berlaku di tanahair. tiada bacaan yassin, doa penutup dan pembukaan tahun. apalagi penganugerahan tokoh-tokoh maal hijrah. ini donut coklat yang agak besar ukurannya. sempat kami sambar dari penjuru Hotel Mövenpick . donut sebesar ini hanya SR5 berbanding harga yang sama dengan ukuran biasa di Safwa Tower di Mekah. raikan ulangtahun hanya dengan donut? saya merasakannya lebih daripada itu apabila sudah tenggelam dalam nikmat berada dalam Masjid Rasulullah. ya, alhamdulillahi rabbil alamin, saya sudah selamat pulang  ke tanahair menjelang awal hari november 29 bersamaan 4 muharam. apa kabar?