Posts

Showing posts from May, 2015
Image
Penganjuran oleh mahasiswa tahun dua kami.
Ia merupakan tugasan semester ini. Mudah mudahan ia membawa manfaat yang banyak.  Silakan datang!
Image
Jadual yang padat masih berlangsung hingga ke hujung minggu dengan undangan makan malam rasmi (kelaziman menuju hujung sesi pengajian) dan saya yang jarang mahu menghadirkan diri pada sebarang majlis apabila hari sudah gelap, memaksa diri. Dan ternyata ia agak menyiksa juga. Apalagi sebelumnya seharian mata dan minda yang lelah dengan penyeliaan mahasiswa, memeriksa tulisan tugasan mereka yang bahasanya tunggang langgang. Sebelumnya juga memastikan projek hujung semester mengikut perancangan. Segalanya melarat ke hujung minggu dengan pembentangan tugasan mahasiswa kursus universiti. Kemudian berlari ke undangan perkahwinan musim cuti sekolah pula. Aduhai, ramainya yang menjadi pengantin sebelum ramadhan menjengah kita! Dan cuti sekolah, hah? Saya terus teringatkan hak AM untuk dua minggu ini....

Selalukah kita tiba-tiba jadi lupa untuk kekal dengan rasa kerendahan hati? Tiba-tiba kita mahu kewujudan itu diabsahkan atau keberadaan itu diperakukan. Nama  harus ada gelaran khas. Nama ha…
Image
Minggu ini sangat terasa meletusnya masa. Hari Isnin yang padat dengan kuliah dan mesyuarat. Ya, begitu juga Selasa, Rabu dan hari ini.  Berselang seli dengan kerja penyelidikan. Perbincangan dengan mahasiswa untuk projek minggu akhir semester ini. Ya, semester hampir berakhir sebelum minggu ujian. Semakin banyak masa bergerak dan sering pula rasa terhenyak, menangisi sia-sia yang seperti mentertawakan saya. Begitulah saya ditewaskan masa yang tiba-tiba menjadi sangat perkasa.



Awal pagi di meja kerja saya mendahulukan al Ma'arij: 8-10: Pada hari langit menjadi seperti luluhan perak. Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu yang berterbangan. Dan tidak ada seorang teman akrab pun menanyakan temannya. Benar saya masih menerima pesanan lewat bulan penuh di hujung jendela. Kadangkala ia datang dalam rakaman foto yang meminta saya menterjemah makna. Sedang saya sering juga kelu menafsir, sehingga saya tidak tahu adakah tepat masanya untuk saya mengujar kata atau sebaliknya terus berdiam…
Image
Hilang lagi! Beberapa tahun lalu himpunan gambar di blog ini hilang apabila ada gangguan aplikasi dalam telefon tangan (rupanya ada hubungan antara talian-talian maya. Luar biasa.) Kali ini semua gambar dalam folder yang dirakam terus dalam telefon tangan pula yang hilang. Semua. Ya, seingat saya ada hampir 800 (betulkah angka itu dilihat mata tua saya ini?) Memang banyak dan tidak sempat saya tapis untuk menyimpan yang benar-benar perlu. Antaranya adalah gambar ulangtahun AM yang kesembilan (saya simpan setiap tahun meraikannya). Aduhai. Saya pula tidak dapat mengingat, bagaimana semua kepingan itu lenyap.  



Kehilangan. Kekosongan. Ia membawa saya jauh masuk ke dalam sebuah gua, ya gelitanya bagai si jelaga di malam kelam. Hanya ada kandil kecil yang menampakkan bayang pada tembok gua. Dan saya sangat meyakini akan kewujudan pada dinding gua yang saya tidak pernah tahu keluk mahupun garis rupanya. Namun saya sangat percaya ada kehidupan padanya. Sedang saya pernah melihat sebelumnya…
Image
Saya pernah diminta untuk berdiam. Senyap itu lebih baik daripada memperlihatkan kewujudan. Begitulah kira-kira. Ya, elok juga bersunyi di penjuru gua.  Ia akan selalu ajari saya untuk lebih dalam menaakul.
Image
Masya Allah tabarakallah... sejak beberapa minggu ini saya dengar seruan azan setiap waktu zohor dan asar di fakulti kami. Ya Allah. Besarnya hati saya untuk pertama kali azan dilaung tanda masuk waktu. Azan dari Masjid Universiti kadangkala  agak sayup  walaupun  bangunan kami antara yang terhampir. Saya teringatkan Bilal bin Rabah. Saya teringat si Bilal di rumah. Saya rindukan azan dan iqamahnya.


Saya kian diasuh untuk menyahut panggilan Allah yang Maha Besar, dan bersegera menafikan selain itu. Lepaskan apa sahaja yang sedang di tangan. Tinggalkan apa sahaja yang bernama dunia ketika itu untuk meraikan kebesaran-Nya. Nasihat seorang sahabat lama dahulu, malah bersedia menjawab azan dengan wudhu di sajadah. Ya, bersiap lebih awal sebagai tanda kita benar-benar senantiasa diingatkan dan kita ingat. Allah! Pernah saya beritahu si Bilal cilik di rumah, dahulukan Allah dan Allah akan dahulukan kita. Insya-Allah.
Image
Ini tetangga kami. Sepanjang hari ini berada di kampus Serdang untuk acara puisi dan penyelidikan. Saya masih suka dengan nama asalnya, sangat akrab dengan kehijauan yang mengamankan. Lebih penting daripada itu, kemudahan letak kereta yang jauh lebih baik daripada kampus Bangi kami. Aduhai (tidak pandai pandai bersyukur!) 



Banyak jugakenangan yang tersimpan dengan beberapa sahabat penulis mahupun akademik di sini. Salah seorangnya yang pernah mengungkap begini dalam watak cerita pendeknya, aku mengenalimu dalam sekejap. dalam sekejap itu aku mengenalimu. Memang, beberapa susuk yang kita kenali pada saat-saat akhir. Ya, ia sangat sekejap. Tetapi rupanya dalam sebentar itu, banyak yang kita tahu kisah panjangnya. Sering juga, dalam sebentar dan kisah panjang itu, saya berdoa mudah mudahan persaudaraan kerana Allah itu kekal sampai bila-bila.   

Image
Kuliah Sastera Islam kami masih bersisa tiga minggu. Saya ingin abadikan  minggu ini dengan membawa Rahimidin Zahari masuk ke kuliah. Saya mahu mahasiswa  mengenali susuk penulis muda yang kemudiannya tumbuh sebagai penyair yang dihormati gurunya. Semalam juga, dalam kuliah sarjana Sastera Bandingan, saya memerihalkan kerendahan hati seorang guru yang namanya tidak mahu disebut-sebut atas jasa mendidik almarhum sahabat saya yang semakin jauh itu. Saya sering melihat wajah guru dalam diri anak didiknya. Maka saya mohon mahasiswa saya selalu menyimpan rasa berikhlas dalam menuntut ilmu dan selalu dengan kerendahan hati menginsafi akan keagungan ilmu Ilahi. 


Kugenggam sekepal tanah yang bakal bersatu dengan diriku.
Nenda Ismail, benar seperti kata akhirmu: kita sentiasa dekat cuma terpisah oleh ruang yang lain.
Burung terbang pulang ke sarang nafas kembara pulang ke rongga
Kau pergi menuju Abadi.
Aku di sisimu, menggenggam sekepal tanah yang bakal bersatu dengan diriku.
Puisi lama ini sangat bermakna apa…
Image
Seusai forum semalam, saya dapat bercakap dengan guru almarhum Rahimidin Zahari, Cikgu Mohd Rosli Nik Mat (Rosli K. Matari). Beberapa keping cerita kasih sayang seorang guru terhadap anak muridnya. Juga bagaimana rasa takzim murid terhadap guru kesayangan. Bersama hujan petang di Rumah GAPENA, saya sedikit sebak meninjau hubungan mereka. Membaca catatan dalam Matahari itu Jauh yang dikirim awal penyairnya,
Apakah makna bayang
yang diberikan oleh matahari
kepadaku?
Adakah untuk menyuluh
usia yang harus kuseret
setiap hari?
Dan mengapa, hujung senja
usiaku terkikis, berdebu
melayang ke maghrib?
(Apakah Makna Bayang, 113).
Kebetulan, Hari Guru. Kebetulan Hari Isra' Mi'raj. Betapa Rasulullah akan selalu menjadi guru kita.
Image
Jarang sekali saya menjadi moderator dalam sebarang acara forum; apalagi forum puisi di hadapan penyair hebat. Insya-Allah jumpa esok, Sabtu, 16 Mei (ya, Hari Guru) di Rumah GAPENA (rupanya sudah berpindah, masih dekat dengan rumah lama. Di hujung lorong masuk Puspanita depan DBP) dalam acara Wanita dan Sastera, 2.30 petang. Saya akan bersama teman penyair Datuk Dr Zurinah Hassan, Sdr Hani Salwah Yaakup, Sdr Rosli K. Matari dan Sdr Mohamad Shahidan. Penyertaan percuma dan terbuka kepada semua. 

Saya selalu meminta mahasiswa membaca puisi untuk menulis cerpen. Belajar menulis dengan kata-kata yang disaring. Kata-kata terpilih. Kata-kata terbaik. Puisi juga sering menjadi  ruang mengungkap fikiran yang kejap. Maka saya selalu melihat penyair sebagai manusia bijaksana yang dapat memanfaatkan  kata-kata... manusia berwatak yang kita tahu daripada susun bahasanya.
Image
Saya sedang membaca halaman ali Imran sementara menanti azan asar, sangat kebetulan, apabila pesanan Dr Kay masuk, Rahimidin sudah pergi. Allah, akhirnya masa itu tiba juga. 

Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya...(ali Imran: 145). Al fatehah buat saudara kami yang budiman.... sabar dan solat buat isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang ditinggalkan.
Image
Dijalaninya cerita yang aneh. Dari kerja penyuntingan yang beralih editor (asalnya di tangan Sdr Khairul, terima kasih!). Proses kelulusannya membawa si penyelenggara melangkah masuk ke bilik mesyuarat ITBM. Akhirnya ia berada di rak buku jualan tiga hari sebelum PBKL 2015 menutup pintu. Ini foto yang dikirim editornya, Sdr Ainunl yang cekal (terima kasih!). Hingga hari ini saya belum memegangnya. Terima kasih kepada 11 sahabat penulis buku ini yang sabar. Alhamdulillahi rabbil alamin. Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Image
Azam Ramadhan Zahar adalah untuk menggenapkan bacaan al Qur'annya. Rumusnya mudah, membaca sekian bilangan halaman setiap usai solat (Z memang kalkulatif dalam banyak perkara). Masya-Allah tabarakallah.  AM belum berikrar. Mummynya juga. Allah. Dahulu, antara tabiat saya untuk menyarung mukena baru setiap kali meraikan Ramadhan. Allah, malunya saya. Cukupkah dengan pakaian solat baru? Bagaimana pakaian iman saya? Bagaimana dengan solat saya, adakah ia akan diperbaharui? Tabiat saya juga membersihkan rumah seminggu sebelum Ramadhan menjengah dan bukan seminggu sebelum Syawal. Bagaimana dengan  hati yang perlu dibersihkan sebelum  1 Ramadhan mengetuk pintu rumah? Betapa banyak yang kotor perlu saya sapu keluar. Bagaimana pula iltizam saudara menuju Ramadhan yang sedang dinanti-nanti? Allahu akbar! 

Orang soleh mohon bertemu dengan Ramadhan enam bulan sebelum. Dan enam bulan selepasnya, orang soleh masih mengharap agar Ramadhannya yang lalu diterima. Malunya saya, Allah. Saya tahu b…
Image
Bersahabat dengan orang soleh, doa dan harapan yang selalu dibaca. Untuk bersahabat dan dekat dengan orang soleh, sebenarnya harus juga mereka ini dicari. Mereka ini dukungan. Orang soleh adalah nyalaan semangat untuk kita turut jadi seperti mereka. Malah dalam kuliah dhuha TGHD Ahad lalu diingatkan, kita memberi salam kepada orang soleh setiap hari lewat bacaan tahiyat. Begitulah Allah selalu membantu kita untuk dekat dengan mereka....Allah.


Orang soleh yang datang dengan pesan (seperti selalu menerusi bulan penuh di jendela) akan sering membawa saya dari lorong rahasia itu kepada sebuah padang yang mengamankan pernafasan. Ia sangat mengilhamkan. Ia sangat menganjur untuk banyak capahan kebaikan. Ia menyenangkan hati antaranya apabila dinasihat kita untuk bersangka baik atas apa yang Allah kurniakan dan bersyukur dengannya. Bersangka baik dan bersyukur. Amalan yang mudah disebut, tapi banyak hati kita perlu dilunakkan untuknya. Mudah-mudahan.
Image
Sebuah petaka apabila akan berjiran dengan sebuah taman perumahan agam di daerah ini. Saya yang tidak tahu apa-apa kerja orang pembangunan bandar (walau pernah berguru dengan Dr Katiman Rostam, profesor Geografi Bandar), melihat adalah satu kesilapan sebuah syarikat pemaju apabila mendakwa dan mengiklan di papan gergasi hampir di mana-mana bahawa mereka akan membangunkan sebuah taman perumahan terbesar. Panjangnya ayat saya! Panjangnya kegusaran saya! Malangnya ia bersebelahan dengan kediaman kecil kami. Allah.... saya tidak dapat membayangkan kesesakan di lorong utama  yang menjadi jalan pergi-balik ke kampus setiap hari. Jam berapa harus saya keluar rumah agar tidak perlu beratur panjang menuju jalan utama. Jam berapa pula saya dapat tiba di perkarangan fakulti dan mula berebut kotak letak kereta.  Allah! Di samping taman perumahan terbesar "TH" (bukan Tabung Haji!) itu juga banyak lagi taman perumahan lain di sekelilingnya. Rumah jutaan ringgit dengan apartment yang diti…
Image
Berapa jarak antara kita dengan doa yang diharap. Adakah ia hampir tidak berjurang dengan apa yang dimaksudkan. Misalnya bagaimana saat AM demam panas, saya menyelak halaman salawat syifa dan mula menjadi tabib untuk anak sendiri. Ya, Allah betapa kita benar-benar menggantungkan permintaan. Sangat bersungguh-sungguh. Memang tidak ada tempat sangkutan lain yang lebih agung daripada Allah. Sungguh.

Saya menerima pesanan bulan penuh lewat WA dari Tanah Selandia Baru. Ia banyak mengheret saya kepada beberapa pesanan bulan penuh yang masih disimpan. Ya, bulan penuh masih menjadi lorong rahasia, membawa khabar yang mahu dikirim. Bulan penuh yang dapat dilihat dari kotak jendela. Hubungkanlah hati ini dengan orang-orang soleh, ya Allah.
Image
Tidak sedarkan diri. Pendarahan dalam otak. Saluran darah pecah. Bacaan darah naik mendadak. Allah! Sejak semalam kami menerima berita mendebarkan ini. Saudara kami, Rahimidin Zahari, sahabatpenyair yang saya hormati, menjalani pembedahan pagi ini. Hanya Allah menjaganya. Mudah-mudahan Allah memelihara hati isteri dan anak-anaknya agar sabar dan tenang. Pesanan yang masih saya simpan, Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri kepada-Mu  (al a'raf: 126).

Saya terus membaca al Falaq sejak petang semalam, memujuk kepala yang semakin berat. Masuk bilik mesyuarat dari pagi hingga petang diikuti kuliah hingga lewat senja. Tepat suara bilal saat maghrib dari surau, saya tiba di pintu pagar rumah. Allah, ya Allah. Bila waktunya tiba, semua tiada apa-apa walau hanya debu...
Image
Mengenang sahabat yang pergi (saya selalu gunakan istilah pulang), mengingat akan kata ulama yang saya sayangi, nyawa kita umpama api pelita yang boleh padam bila-bila masa. Ya, bila-bila sahaja kereta yang dipandu tenang boleh ditabrak. Bila-bila juga dalam sujud panjang, itulah saat akhirnya. Entah bila-bila juga tidur yang kelihatan aman adalah perjalanan pulang yang panjang. Allah. Saya mula mengasuh AM, sebelum tidur selain bersama al Mulk, harus mohon maaf dari bapak dan mummy. Mohon maaf untuk bersihkan hati dan memaafkan agar kita pulang dalam tenteram kerana... AM menyudahkan ayat saya,  tidur itu kematian sementara. Allah, anakku. Saya mendakap AM sepenuh hati malam tadi. ..
Image
Almarhum Sulaiman Ibrahim, sahabat akademik di Fakulti Pengajian Islam, UKM.  Saya baru membaca warta kepulangan ini di website universiti.  Kepada-Nya jalan kembali. Al fatehah.
Image
Sahabat KEPEZI, saya diminta menyelenggara antologi KEPEZI terbaru. Mohon sahabat mengirim sayaduacerpen (yang baru, belum terbit, sudah terbit atau memenangi anugerah/sayembara) untuk tujuan penerbitan antologi tersebut. Mudah-mudahan Allah membantu usaha kita. Terima kasih.
Image
Cuti hujung minggu yang panjang! Tentu sdr bercuti ke pulau, ke gunung atau pulang ke kampung halaman dan menikmati pemandangan  lebuhraya yang sesak! Saya hanya mahu berdiam dalam gua. Banyak kerja yang dituntut sebaik cuti berakhir nanti. Namun mungkin molek juga masa untuk acara memanggang ayam atau kambing yang sudah diperap rempah lebih awal, di penjuru dapur. Saya ada pembantu di rumah. Dua lelaki yang setia memasang bara dan memastikan ayam dan kambing tidak hangus,  Z dan AM. Sementara saya menyediakan semangkuk salad. Selamat beristirehat sambil membersihkan hati!


Entri yang sedikit  panjang sempena cuti bersambungan. Tatkala melihat bara api sebelum meletak jaring pengalas, sebuah madah penyair soleh yang baru dibaca menyertai kami, aku diuji dengan empat perkara yang dihala kepadaku, dengan panah daripada busurnya yang begitu tegang tarikannya. Iblis, dunia, nafsuku dan sekalian makhluk. Wahai Tuhanku, Engkaulah tempat penyerahan segalanya. Saya teringat cerpen Saat Tali B…
Image
Sejauhmana kita berikhlas hati, tidak kira dalam hubungan dengan Allah atau sesama makhluk. Zahar selalu memujuk agar berikhlas dalam menyediakan juadah makan malam ketika saya menyingsing lengan di dapur sebaik sahaja pulang dari pejabat. Begitu juga AM yang melihat saya geram mendengar bacaan Inggerisnya yang mengikut ejaan bahasa Melayu. Mummy tak ikhlaskah mengajar saya? Pernah AM menyoal ketulusan saya begitu. Berapa kali sehari pula kita berdoa agar berikhlas hati untuk setiap amalan fardhu mahupun sunat. Saya pernah membaca satu cerita bagaimana seorang tuan pada siang hari, menjadi hamba pada malamnya semata-mata untuk mencari keikhlasan. Dia yang merupakan presiden di sebuah syarikat ternama negaranya, mengatur selipar dan kasut jemaah masjid menjelang maghrib dan isya'. Dia menyua minuman malam jemaah solat. Bila ditanya ketika dia pulang bersama pemandu kereta mewahnya, mengapa dia bertukar rupa pada waktu malam, jawabnya, saya mahu menjadi manusia yang selayaknya. Buk…