Posts

Showing posts from October, 2012
Image
Salah seorang pelajar sarjana saya, Kamrul , rupanya seorang penggesek rebab, pemain gendang ibu, gendang anak, gong, kesi, canang di panggung antarabangsa. banyak persembahan luar negara. luar biasa! dan ini gambar cd yang dihadiahkan. ternyata kami suka mendengar segala rentak dan dengung menyatakan makna dan seni bunyi, setiap kali ia dipasang dalam kereta. kadangkala bunyi-bunyian itu datang memberi tenaga dan sekali sekala ia menyelinap masuk dengan susuk misteri. saya takjub pada mereka yang mempunyai kecintaan pada warisan; apalagi yang mahu belajar untuk melanjutkan kecintaan itu. syabas Kamrul!
Image
Ya Allah. saya masih mencongak-congak jurus yang Allah mahu pandu saya apabila petaka ini terjadi. lihatlah rupa rumah saya ini. hampir semua gambar entri saya hilang. puncanya saya memadam folder di galeri gambar dari telefon tangan saya yang mengandungi kesemua foto dalam blog ini termasuk header. saya memadam dengan dua andaian. pertama, adakah virus, tiba-tiba ada folder gambar-gambar blog dalam simpanan telefon pintar saya. kedua, ditakuti jumlah bilangan yang banyak (kira-kira 900 keping) mengganggu ruang telefon. maka saya padam folder berkenaan. akibatnya, pagi ini saya melihat wajah petaka tersebut. ya seperti yang sdr lihat sekarang! saya mohon budi baik, kepintaran mana-mana teman yang bijak memanggil semula folder tersebut. saya sedar adanya hubungan blog ini dengan telefon pintar apabila telefon menjadi tempat saya menyemak entri hampir setiap hari. ada jaringan. ada jalinan antara mereka. saya masih berharap, folder itu dapat dipanggil pulang dan saya tidak perlu memua
Image
Aku memenuhi panggilan-Mu ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan,  tiada sekutu bagi-Mu.  antara catatan sms kepada teman-teman, pada hari ini susuk arafah begitu mengepung saya! Salam eidul adha buat semua.
Image
Sering percutian dianggap sebagai pelarian; sama ada daripada tekanan atau keletihan dengan garis monotonous hidup. yang manis, jika ia untuk  meraikan sesuatu yang istimewa.  saya pernah menanggap ketiga-tiganya. pernah saya merasakan  mahu meninggalkan kelelahan jauh di belakang, sementara enak menghirup angin laut china selatan di hadapan saya. namun rupanya saya ditemukan dengan kelelahan lain di ruang percutian itu. heh! ini rakaman gambar yang saya sempat simpan di penjuru ruang makan tempat percutian yang lalu. penjuru yang berseni. di sinilah bermulanya tragedi atau seorang sahabat saya, Rebecca Ilham menyebutnya sebagai takdir lewat cerpennya, "Anatomi Sekeping Hati" ( Mingguan Malaysia , 30 september 2012). ya, ia adalah takdir.
Image
Kami meraikan tiga orang dalam kuliah terakhir saya bersama pelajar sarjana. dua daripadanya naik pentas untuk menerima ijazah sarjana muda mereka hari ini. syabas buat Safwan dan Izzudin. kemudian,  tahniah buat Haizal yang selamat menjadi suami pada hujung minggu lalu. saya jadi tukang baca doa. antaranya saya bermohon agar kami terus bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan, menerimanya dengan segala kerendahan hati, jauhkan kami daripada keangkuhan  (apalah makna segulung ijazah sedang kami bermegah-megah dengannya. apalah ada dengan kedudukan kami berijazah sedang peribadi kami sangat tidak bermaruah ). dan semoga dengannya Allah terus mengasihani semua yang turut berdoa sungguh-sungguh dalam acara kecil kami itu. TAHNIAH juga buat semua pelajar saya yang bergembira di dewan besar universiti hari ini. doa saya sdr terus dirahmati dan dijuruskan Allah jalan ke syurga.
Image
Mo Yan  @ Guan Moye Masih dengan rumus yang sama, kemenangan China akhirnya mempunyai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012 menerusi Mo Yan: hallucinatory realism of his works, which mix surreal plots with folk tales and modern history. novel mutakhirnya Wa , adalah perlambangan banyaknya janin yang digugurkan akibat dasar pemilikan seorang anak di China. tangisan ribuan bayi merayap dalam rayanan bidan yang menjadi peneraju cerita. tangisan ribuan katak adalah tangisan ribuan bayi yang menjadi korban.     Katak ( Wa )
Image
    Rupanya banyak yang berlaku dalam hidup tidak berupaya dirakam dalam kata. apalagi untuk saya catat di ruang kecil ini. dari kisah angin laut china selatan yang ramah memujuk, sekembali ke kampus saya didatangi mahasiswa yang mahu berhenti daripada pengajian! o Allah. berdayakah saya memujuk hatinya sepertimana gerak si angin laut itu menyelinap masuk di celah keresahan dan kesakitan saya?  dalam sedikit masa lagi, saya bakal menyelesaikan tugas rasmi di bahagian pentadbiran. urusan harian mahasiswa yang selama lima tahun ini didepani dengan pelbagai suasana, kali ini saya benar-benar merintih, hasbunallahu wani'mal wakeel! (al Imraan: 173). cukuplah  Allah bagiku dan Dia sebaik-baik pelindung. kasihanilah masa hadapan pelajar saya itu, ya Allah. Engkaulah sebaik-baik pelindung bagi dia.
Image
Enaknya berlari antara pasir pantai dengan riak basah ombak yang datang berganti-ganti. ramahnya angin  laut china selatan bergentayangan membelah rutin yang sekian masa menakluk kesaksamaan waktu yang sepatutnya berdiri di samping. dan saya sekarang begitu rasakan betapa kasihan Allah terhadap saya. maka diturunkan ruang dan kesempatan ini. alhamdulillahi rabbil alamin!
Image
Buah pauh buah bacang, Buah pinang di dalam puan; Angkat sauh, lipatlah kajang, Pulau Pinang tinggallah tuan. Pucuk pauh berulam pauh, Petang-petang kacau inti; Sayang saya berkasih jauh, Petang-petang hancur hati. Kuliah yang menarik, memancing mahasiswa saya bercakap tentang kepekaan deria halus manusia Melayu dengan alamnya. bagaimana buah pauh, buah bacang membawakan kenangan dan rindu. aduhai pantun Melayu, cantiknya! begitu juga rapatnya Melayu dengan ragam cuaca atau gerak masa. bagaimana kemudian puisi lama bersahabat dengan  sajak rakaman Usman Awang, Firdaus Abdullah mahupun Zaihasra. saya tahu ada mahasiswa yang senyum sinis dengan  pensyarahnya yang keliru antara pauh dengan bacang. saudara, tahu? mangga, mempelam, kuini? ini kuliah sastera bandingan. banyak yang kami temukan garis yang serupa dan banyak juga bezanya gaya. 
Image
Antara tabiat kejam saya terhadap mahasiswa adalah, saya akan mengunci pintu setelah lima belas minit kuliah dimulakan. berdosakah saya? ya Allah ampuni saya jika ia kekhilafan yang sehingga kini saya tidak rasakan. kewajaran yang dijangka, saya hanya mahu mahasiswa saya menghormati ilmu, bijak mengurus masa dan saksama terhadap teman-teman lain dan saya juga ketika kami sedang khusyuk membincangkan mauduk kuliah. pada minggu berikutnya saya perhatikan ruang kuliah sedia penuh seawal saya melangkah masuk. alhamdulillahi rabbil alamin. saya akan bertanya, mengapa lewat minggu lepas. ya, jawapan yang dijangka juga, bangun lewat. Allah! tahukah sdr rata-rata jadual tidur mahasiswa sangat aneh. mereka mula tidur jam 4 pagi atau ada yang mengaku pernah tidak tidur sama sekali pada malam berkenaan. aneh sekali! saya teringat narasi orang-orang yang mendiami gua dan raqim yang merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan (al kahf: 9).
Image
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (al baqarah: 216 ). hari ini bermula satu ketentuan. dan saya belajar untuk akur dan selalu akan bersetuju dengan apa yang menjadi kepercayaan saya selama ini. ya benar, tidak semua yang saya suka merupakan apa yang Allah reda, mahupun yang Rasulullah sabdakan. mahukah saya masih bertegas dengan kehendak hati atau tidak jarang saya kononnya menanggap bahawa ia datang dari dasar keimanan saya. ya Allah, semoga keputusan yang ditetapkan ini hanya kerana-Mu, kerana kata-kata Rasul-Mu. juruskan hati dan iman saya untuk jalan ke syurga.
Image
  Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini saya hulurkan kepada mahasiswa saya. doa saya agar mereka juga akan banyak dihadiahkan Allah dengan iman dan ilmu. sehingga dengannya mereka akan lebih bersyukur. tulisan saya yang pernah disiarkan dalam Jurnal Pemikir (jan-mac 2011), diangkat sebagai pemenang tunggal kategori kajian sastera dalam HSKU 2011. judulnya ialah Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu. dan yang manis, dalam acara malam tadi, saya duduk bersebelahan dengan novelis kajian saya itu, Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop . saya senang dengan susuk peribadi guru bahasa Inggeris yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam penghasilan novel berbahasa Melayu. tahniah Cikgu Sri!
Image
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu  Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu, dihimpunkan dalam antologi Istimewa ini. istimewa merupakan cerpen yang memenangi hadiah utama kategori cerpen. sebuah cerpen yang istimewa garapan Hafizah Iszahanid . begitu juga novel beliau Deru Angin mendapat tempat yang sama untuk kategori novel remaja. hebat! hey, HSKU 2011 dikuasai perempuan. istimewanya!
Image
  Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms daripada bercakap terus di telefon. mengapa pilih emel daripada berjumpa. boleh sahaja saya menjawab: sejak ada kegemaran berkenalan zaman kanak-kanak, saya sangat suka berutus surat. saya pernah dimarahi abah kerana saya menulis surat kepada guru mengaji, seorang haji yang kami gelar atuk. saya menulis surat kerana tidak berpuas hati cara atuk menyusun giliran kami membaca muqadam/al qur'an. waktu itu saya berusia lebih kurang lapan atau sembilan tahun. saya mempunyai sahabat pena sejak berumur sepuluh tahun dan kami bertemu kembali di fb selepas puluhan tahun terpisah. anehnya, menulis emel, sms atau pm terasa lebih selesa daripada saya mahu berjumpa dengannya. pada zaman percintaan,  (alahai...) saya menulis surat hampir setiap hari dan dalam masa seminggu akan mengirim lebih daripada satu surat dengan kaedah pos ekspres (ya, kepada Zahar). dekad yang belum ada emel apatah lagi sms, pm, ym. dan hingga hari ini, saya lebih su
Image
Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa saya. belum pernah rasanya, banyak ingatan saya seharian dengan doa lewat sujud panjang buat mereka. ya Allah kasihanilah mahasiswaku. peliharalah mereka. berilah mereka kekuatan iman, ketaatan kepada-Mu, selalu mencintai-Mu dan Rasulullah. kasihani mereka kerana terlalu besar gelombang dugaan dan godaan yang harus didepani, sedang mereka begitu rapuh. perindahkan mereka dengan ilmu dan fikiran yang jernih, agar ia membawa mereka melihat bahawa reda  Allah itulah yang dimahukan dalam seluruh hidup. hanya jika masa muda dapat bercerita tentang masa hadapan ! alangkah. begitu Rasulullah dalam kesedihan, Allah memujuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan (dhuha: 7-8). Allahu akhbar! benarkan doa saya ini, ya Allah.
Image
Al-Baqarah: 186, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. Saya tidak pasti sama ada itu mahu memujuk seorang sahabat. saya kirim lewat sms. memang banyak dalam hidup, tidak semua yang dirancang akan menjadi takdir. sedang perancangan Allah itu maha menguasai segala-galanya. sahabat saya itu sendiri pernah memerangkap saya menerusi smsnya, apa yang disukai manusia, tidak semestinya dalam jurus yang sama seperti apa yang Allah kehendaki. lebih kurang begitu bunyinya. saya selalu juga memujuk sesiapa yang dalam kesedihan untuk sabar dan solat. itu saya fikir sebaik-baik jalan kerana Allah itu sahabat.