Posts

Showing posts from 2019
Image
Allah Maha Mengatur. Ini jalan luar biasa, Allah menjaga Islam.
(semua yang berlaku di Pulau Selatan, menjawab pertelingkahan saya selama ini tentang nasib malang agama yang saya anuti. Subhanallah).
Image
Berbunganya hati saya melihat kesungguhan mahasiswa kumpulan kali ini (tahun 1) yang menjalankan penyelidikan mereka dengan penuh keghairahan. Mereka akan ketawa setiap kali saya membeliakkan mata ketika menyebut keghairahan itu. Ghairah dalam membaca. Ghairah membentang hasil dapatan. Ghairah berbahgi ilmu yang diperoleh dari kutubkhanah. Ghairah berhujah dan berbahas dengan kumpulan lain. Ghairah bertanya di dalam kuliah. Ghairah yang seerti dengan teruja. Kami bercakap juga tentang penerima Hadiah Nobel (rujuk foto; antaranya Jean-Marie Gustave Le Clezio) yang menyediakan ruang untuk kesusasteraan. Betapa kesusasteraan jadi hadiah besar di  peringkat dunia. Saya mahu mereka bersyukur sebagai mahasiswa kesusasteraan yang menawarkan banyak ruang, peluang, kebijaksanaan,  kreativiti, dan kebahagiaan.


Image
Satu penghormatan untuk membaca dan menulis kata pengantar buku terbaru Sasterawan Singapura yang saya hormati, Bapak Suratman Markasan. Mengasah Kalam. Terima kasih dan tahniah Unggun Creative.
Image
Kesedihan, benar, bukan sahaja dia tidak tercapai di garis nyata. Apabila bertemu dihijab mimpi lebih lebih lagilah saya tidak terlihatkan. Datang atau menghilang, benarlah kami di negeri kabut.
Image
Membelah jalan malam yang berjelaga, sesekali ada suluhan ingatan dan harapan, sebenarnya membawa saya kembali ke gua lama. Dalam gelita yang panjang membaris waktu, saya diminta untuk berikhlas hati. Kesempatan yang kian menjauh, biarlah ia pergi.
Image
Saya semakin belajar untuk tidak berlebih lebih atau nama lainnya mengada-ngada. Sebenarnya ramai yang tidak suka, namun berbasa basi selalu. Sekali lagi saya perlu faham bahasa yang tak terdengarkan. Itu juga yang saya pelajari dari kuliah dhuha kali ini di penjuru DMM. Hanya yang perlu, yang penting, tidak ditambah-tambah apalagi diada-adakan; itu mengada-ngada juga, namanya. Seperti taman comel ini. Ia tidak mengada-ngada, bukan?

Image
Geylang si paku geylang!
Image
Saya diundang ke sebuah sekolah untuk acara penyampaian hadiah kecemerlangan pelajarnya. Saya terima dan kemudian baru terfikir-fikir. Saya diminta merasmikan dan menyampaikan hadiah. Saya bayangkan saya seperti YB. Aneh juga saya menerima undangan ini. Mungkin juga pertimbangannya kerana yang melamar adalah kenalan lama. Mudah mudahan kehadiran saya tidak membawa bayangan  terhadap sosok perasmi klise. Saya mahu datang dan berbahagi kejayaan. Tambahan, saya suka bau sekolah. Ya, saya mahu duduk di bangku panjang kantinnya nanti terlebih dahulu.
Image
Bujukan Yasmin, segala hal di dunia ini adalah ujian. Termasuk yang datang dan yang hilang daripada hidupmu. Dan kehidupan itu pula tidaklah nyata. Maka dia yang datang dan hilang itu adalah ilusi. Dia adalah ciptaan daripada ujian berkenaan. Tenangkah saya menerima bujukan itu? Persis bola gergasi merah yang seperti mahu menelan saya dekat perbukitan Danau Sukma pagi tadi, dia juga ilusi; sekejap dia datang dan sekejap itu juga dia menghilang di balik awan dan hijab zaman.
Image
Lagi Jumaat senja, antara garis terik tadi dan seperti sebentar lagi akan hujan berat seperti semalam. Ini Jumaat pemula Rejab yang sangat mendekatkan kita dengan Ramadhan yang dinanti-nanti. Senja. Jarak. Hijab. Sendiri. Semuanya sudah serasi bersahabat di ruang kerja saya ini. Tidak perlu lagi menunggu dan meninjau-ninjau datangnya atau singgahan dia di depan jendela yang selama ini terbuka.
Image
Saya kira semakin tua, saya kian mengerti bahasa yang tidak terdengarkan. Saya ingat waktu kecil  dulu mak mengajar saya untuk selalu bijak mengambil hati orang tua, ya hati nenek dan datuk yang begitu memanjakan saya sebagai cucu sulung. Biar semua orang selesa dengan kehadiran kita. Sekarang apabila tiba giliran sendiri, sering saya meminta diri faham ketika waktu dan ruang yang bukan menjadi milik saya lagi. Maka saya harus mengerti, langgam berbasa basinya hanya untuk menjaga hati.
Image
Jarak itu seperti beralih garis pada jingga senja.  Saya semakin faham bahasa diam dan semu.  Atau saya yang berpura-pura untuk tidak jadi dungu.
Image
Setiap kali ke danau sukma, sebelum mula mengitarinya, saya akan mendongak ke celahan cemara. Penjuru langit dini yang sangat saya kenal. Akan ada dia di situ. Dan kali ini, alangkah taajubnya. Lengkungan si cantik ditemani bintang yang satu.
Image
Dia masuk ke dalam tidur saya lagi. Dan kali ini dia datang dengan kehilangan, beserta gelombang. Ya, saya menangis lama apabila menyedari rupa-rupanya saya kehilangannya. Dan saya terus bertanya-tanya, talunnya seperti di dinding gua, bagaimana harus saya meneruskan perjalanan tanpa dia. Tanpa tuntunannya.
Image
Banyak yang kita terlupa saat pintu dirapatkan dan hari pun berlalu.  Benar, semuanya seperti angin yang tidak terlihatkan apalagi dipeduli.
Image
Demam beberapa hari ini, mengheret saya ke gua lagi. Dan di dalamnya saya kian mengerti. Tidak selamanya talun itu akan melantunkan lagi namanya. Saya tahu suatu masa, dia tidak akan datang menyahut. Saya kembali seperti dahulu, mendepani rutinitas dan keluar masuk gua dengan langkah tua, tanpa sesiapa hatta si pohon sukma yang kian terhijab sama.
Image
Di rumah, saya pernah ada jadual jangan ganggu saya. Ia merupakan waktu saya menulis atau perlu membaca dengan tumpuan yang lebih. Akhir-akhir ini saya mahu membatalkannya. Saya fikir adalah suatu yang memerihkan apabila banyak syarat yang ditetapkan tentang perihal masa. Apalagi ketika yang tepat, kita memerlukan seseorang. Saya kian faham apabila ada sergahan jangan ganggu saya. Benar, ia pedih. Sebaliknya, ia adalah hadiah istimewa apabila ketika yang persis, sapaan kita disahut dan tahu yang kita ada harganya.  
Image
Minggu yang penuh. Kuliah. Perbincangan. Penyelidikan. Penulisan (sudah tentu). Pertemuan. Perancangan projek penulisan (lagi!). Dengan kaki tua ini, sebenarnya saya sangat lelah. Sebentar saya teringat baris kata seorang sahabat lama yang solehah, katanya memang dunia tempat berpenat. Di sana nanti tempat kita berehat. Saya jadi malu sangat kerana mudah mengeluh dan selalu mahu cuti untuk kononnya menyandarkan penat. Sewaktu meninggalkan meja dan jendela ruangan kerja rasmi lewat petang semalam, saya menimbang-nimbang, cuti yang kononnya untuk menghilangkan mengah, sebenarnya masih penuh dengan kerja; malah lebih daripada jadual rutinitas. Saya pamit ya, mahu masuk gua lagi dan sampai jumpa.
Image
Banyak sisi yang sering membuat kita jatuh hati. Manis. Halus. Sejuk. Memujuk. Tulus yang kita nampak dari mana-mana penjuru pun. Ia akhirnya lama mahu disimpan dalam kalbu. Dibawa ke mana mana pun hatta ke hujung gua yang sunyi lagi berjelaga. Saya juga jatuh hati dengan yang ini. Manis. Halus. Sejuk. Sangat memujuk, sebaik melangkah masuk ke ruang kerja sahabat lama, Dr SJ. Mahu rasanya dijinjing, dibawa pulang.
Image
Sdr masih berkira-kira dalam memberi? Semalam kuliah pertama saya untuk semester ini. Seperti selalu, selain kekuatan doa yang membantu, saya usul mahasiswa agar belajar untuk lebih memberi. Pembelian buku rujukan semester ini sebahagiannya kami salurkan untuk mereka yang lebih memerlukan. Jadi apa bentuk bantuan yang mereka perolehi daripada memberi ini. Saya melihat mata mahasiswa, dengan segenap kasih saya nyatakan, ia membantu perjalanan panjang Sdr nanti. Ini tabungan dan bekalan. Kita sangat memerlukannya di sana.
Image
Ini sambungan kisah. Pelajar saya yang mendapat C juga menghubungi (saya sudah menjangka) dan bertanya dan bertanya mengapa grednya sedemikian buruk. Mendapatkan jawapan yang selayaknya untuk soalan itu, mengheret saya ke ruang pertelingkahan ini. Untuk sekian waktu, saya mencongak masa  dan bagaimana ia diuruskan. Saya sendiri masih dungu dengan kebodohan sendiri. Misalnya dalam bersahabat, saya masih tidak tahu batas waktu yang saya punya. Hujung minggu semua orang mahu masanya bersama keluarga. Apabila jam rasmi bekerja, lebih lebih lagi kita tidak ada minit untuk sahabat.  Saya memang tidak pandai menghitung saat atau jam yang ada antara kami. Ya, begitu menjawab soalan pelajar C, saya anjurkan, carilah masa untuk ruang perbincangan dengan pensyarah. Memang itu seharusnya berlaku di kampus. Pertukaran pandangan dan fikiran sebagai kaedah pdp. Saya menambah baris wa kepada mahasiwa itu, ingatan kepada guru bukannya bermusim menjelang peperiksaan. Usah letak syarat masa. Saya yakin…
Image
Sdr, ini Jumaat terakhir sebelum mahasiswa kembali Isnin hadapan untuk menyambung pengajian semester kedua. Insya-Allah. Hari ini juga mereka memperoleh keputusan ujian semester lepas. Ada seorang mahasiswa saya yang mengirim kawat terima kasih kerana mendapat A. Sdr, senja ini seperti Jumaat yang selalu sunyi dan sangat jelas bunyi unggas yang suka hinggap di hujung ranting di luar jendela ruang kerja. Dalam mengenang nasib dan jalan takdir mahasiswa A saya itu, ada juga yang mendapat C dari saya. Sdr fikir apa yang saya bayangkan, kita menerima semua ini sebagai kurnia. Beberapa minggu lalu sewaktu merenung surah tentang kaum Nabi Luth, yang dihukum dengan serangan angin yang menghancurkan segala kehidupan mereka pada waktu subuh dini. Sedang Allah lebih awal mengkhabarkan Nabi Luth agar segera meninggalkan negerinya sebelum itu, ya pada malamnya. Saya menanggap angin itu sebagai kurnia, walau buas; kerana Allah Maha Memelihara hamba-Nya. Walau masih dalam keingkaran akibat lupa da…
Image
Cerpen terkini saya terhimpun dari latar perkebunan di penjuru banjaran panjang. Menggenap dengan watak yang terhimpit antara renek pohon. Sungguh ia sangat mengilhamkan. Dari talun angin, embun di samping ketakjuban dengan daun yang menyampaikan banyak tamsilan dan pesan. Betapa sahabat juga yang banyak menggerak aksara cerita. Saya fikir ini adalah baris teori penciptaan yang sering saya kuliahkan. Ilham itu sangat rahsia. Ia datang dengan jalan teka kata dan tebakan makna. Saya fikir jalan yang sama untuk kemudiannya saya memahami begitu banyak yang menjadi halimunan. Sehingga banyak yang keliru. Atau saya sememangnya yang dungu.
Image
Pohon sukma kami. Saat luruhnya, musim begini mengingat saya akan daun-daunnya yang entah terbang dan hinggap di mana. Saya juga mengingat cerpen lama, Tamsil Daun. Antara yang mengilham adalah kisah dari baris Taha, ya  babak Adam dan Hawa mengambil daun-daun buat menutup yang tersingkap. Saya meyakini, melalui daun juga,  Allah menuntun untuk kita memperbaiki dan berbuat lebih baik. Sebelumnya ditemukan kita dengan tikungan aneh, lalu pohon rontok begini, datang mengingat. Saya seperti tidak mahukan musim semi, kerana luruhnya, musim begini yang sangat peduli.
Image
Shutting down Google+ for consumer (personal) accounts on April 2, 2019 January 30, 2019 In December 2018, we announced our decision to shut down Google+ for consumers in April 2019 due to low usage and challenges involved in maintaining a successful product that meets consumers’ expectations. We want to thank you for being part of Google+ and provide next steps, including how to download your photos and other content. On April 2nd, your Google+ account and any Google+ pages you created will be shut down and we will begin deleting content from consumer Google+ accounts. Photos and videos from Google+ in your Album Archive and your Google+ pages will also be deleted. You can download and save your content, just make sure to do so before April. Note that photos and videos backed up in Google Photos will not be deleted. The process of deleting content from consumer Google+ accounts, Google+ Pages, and Album Archive will take a few months, and content may remain through this time. For ex…
Image
Saya akan bertemu dengannya setiap kali merasakan keadaan tidak begitu memihak. Saat saya tadabbur sendiri. Saat dhuha yang sepi. Tidak jarang sekarang menyahut azan di penjuru gua. Atau nanti malamnya tanpa sapaan dan saya melihat satu satunya bintang di langit lapang dan dia kelihatan sangat sendiri. Lagu Nenek Merah akan singgah, hati manusia cepat berubah dan ia sering disamakan dengan air laut yang pasang surut. Saya sangat percaya. Saya tahu inilah masanya.
Image
Saya bukanlah pandai dalam perihal IT, tapi ini ada peringatan daripada blogger dan google terkait dengan blogging. Saya pun tidak jelas apa yang akan terjadi. Blog rumah kecil saya ini mungkin akan mengalami perubahan. Saya mungkin tidak sempat melakukan apa-apa persiapan untuk sebarang perubahan yang bakal terjadi. Terima kasih kepada semua yang membaca sejak 2006. Seperti kata baris SDD, yang fana adalah waktu.
Image
Saya membatalkan hasrat untuk pergi. Jarang sekali terjadi saat hampir seluruh hati saya sudah dihantar ke benua sana, saya berubah fikiran. Saya percaya susun atur Allah. Dengannya saya diajar untuk selalu bersyukur. Benar, saya bersyukur untuk tidak pergi; selain sakit sekali untuk meninggalkan. Belayar berbeluk-beluk, sauh dibongkar di tempat tenang.
Image
Menjelang libur lagi besok dan lusa. Senja di kampus yang sangat aman dan lapang. Kami menjadi seperti padang ilalang unggas yang sangat riang dan bebas hinggap di dahan dan ranting mana juga yang disenanginya. Mungkin ini langgas, yang membawa saya jauh daripada mengharap dan selalu mahu menyangga. Sendiri dan berjarak, memang seperti catatan lama saya. Mahu saya buang aneka bujukan kerana ia akan datang dan datang dan berulang-ulang.
Image
Peribadi, saya sebak sekali menerima wa yang diperpanjang ini, mohon sumbangan untuk  membeli kubah masjid dengan nilai 120 ribu. Allahu akbar. Saya cepat mengenang maahad AM yang sangat sederhana dan mereka belum pernah meminta-minta. Saya segera mengingat Ustaz Sabri di Ranau yang sering mencongak congak untuk gantikan bumbung surau lama. Saya membaca catatan Syakh Azhar Nasser tentang kesibukan banyak pihak membina masjid yang besar (lagi dan lagi) sedang kebanyakan masjid besar itu kosong. Sedang masih ada keluarga fakir yang tidak tentu makannya, tidak ada guru al Qur'an di kampung pedalaman, atau anak-anak yatim yang belum tentu arah mana hari esok mereka. Saya sedih sekali. Saya jahil, saya tidak pasti adakah keperluan utama untuk kubah; sedang saya terbayang masjid luar negara yang sempat saya singgah, tanpanya.
Image
Hujung minggu yang membawa ke cuti yang panjang. Cuti lagi. Seperti selalu, saat semua orang sedang bersuka ria di jalanraya dan lebuhraya, saya fikir saya jelas ke mana harus saya tuju. Selamat menikmati cuti. Buat YKC, SL, CL, HB dan ramai teman Tionghua lain termasuk tetangga di belakang dapur saya, xinian quaile.
Image
Fobia. Trauma. Ya, selain saya ini seorang penakut. Kerana trauma saya tidak makan lembu bertahun tahun. Kerana trauma A dan A juga saya tidak makan ikan yang sangat saya senangi sekian lama. Dan mulai awal tahun ini saya sudah tidak boleh mengambil ayam, ya kerana fobia juga. Sekarang saya tidak boleh melihat orang dengan lahap menelan ayam. Allah ya Allah. Ada sahabat yang mahu mendapatkan saya ayat penenang hati untuk melupakan semua yang menakutkan itu. Sepertinya saya melihat hantu setiap kali ada yang menitip video atau foto lewat wa, yang membuat saya menangis merinding. Lembaga Penapis di rumah adalah Z dan AM. Saya akan meminta mereka mengimbas dulu. Atau tidak jarang akibat terlalu percaya kepada pengirimnya, apa yang saya lihat membuat saya mahu pitam dan sukar tidur malam. Ini pengakuan dan saya memang penakut walau selalu mencuba jadi berani.
Image
Hari yang bersejarah juga. Saya menggugurkan nama sendiri secara teknikal daripada senarai editorial Jurnal Melayu. Selama lima tahun, tidur dan jaga bersama-sama http://ejournal.ukm.my/jmelayu, saya melepaskannya hari ini. Aneh, saya seperti mahu menangis (gembeng, memang gembeng) seperti mahu menyerahkan anak yang disayangi kepada orang lain. Aduhai. Selamat maju jaya kepada pasukan baru JM.
Image
Banyak ketakutan saya dalam hidup. Antaranya adalah mendatangi klinik gigi, ya, walaupun saya sudah tua. Saat saya melangkah masuk, doktor gigi dan pembantunya adalah seperti gergasi yang sedia menanti saya di dalam gua yang tragis. Menjadi tua yang terkait dengan gigi adalah peranan gusi yang memungkinkan gigi itu berpindah randah. Ya, ada gigi saya yang sudah mula bergerak-gerak. Menakutkan. Memang. Sebelum keluar, ada suara seperti gema gergasi yang mengingatkan, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur! Saya tidak mahu menoleh. Ia terus menerus mengikuti saya.
Image
Fake hope. AM sudah pandai menyebutnya. Mummy, jangan selalu buat fake hope. Saya tersandar. Banyakkah janji saya? Sama banyakkah dengan saya memungkirinya? Sejak lama, saya selalu berjanji untuk jadi lebih baik daripada semalam. Dan sekarang, sehingga umur saya hampir setengah 100, saya masih belum dapat menggenapkan janji itu. Kalau AM tahu, harus saya disyarahnya; sepertimana saya pernah mendengar syarahan AM kepada ibu saya lewat panggilan telefon. Kurang lebih begini bunyinya: bertaubatlah, hari kiamat semakin dekat. Bacalah al Qur'an. Saya mengenang AM di maahad. Jangan buat fake hope, mummy. Suara AM bergema seperti talun dalam gua yang saya duduki tempohari.
Image
Musim gerimis petang, sebahagiannya jadi memihak setiap kali saya memandu pulang. Saya seperti menunggu-nunggu yang menghilang tahun. Menuju belukan dan menuruni cerun tipis, di sana kami akan bertemu. Belum pernah saya sempat merakamnya. Subhanallah. Dan dia terlalu indah untuk dikenang, sebaiknya saya simpan dalam bayangan yang hanya saya kenal sendiri. Nanti mungkin, suatu masa,  walau jauh daripada nyata.
Image
Jumaat petang lagi. Dan ini Jumaat petang dengan gerimis tipis dan sunyi yang pipih. Sdr sedar, kita hampir menyudahkan bulan pertama yang sarat dengan sekian harapan dan tuntutan. Ya, seawal bulan pertama ini. Rasanya baru semalam atau kelmarin saya melihat cantiknya bulan penuh yang diampai malam malah masih ada di situ saat dini waktu saya memandu menuju kerja. Begitu saban masa, harapan dan syarat hidup terus mengepung. Sehingga banyak yang kita lupa, bingung dan apa yang di hadapan mata hanya ranah kosong.
Image
Iklan lagi. Sebenarnya ini projek lama yang baru diterbitkan tahun ini. Alhamdulillah syukur. Saya menulis kata awalnya, langsung dianggap sebagai editor. Saya difahamkan begitulah gaya Dewan. Mudah mudahan bermanfaat.
Image
Selain bantu mengiklan, sebagai penulis kreatif, saya percaya buku ini sangat mengilhamkan untuk dijadikan rujukan berkarya. Tahniah kepada sahabat saya, PM Dr Tengku Intan dan pasukannya dengan penyelenggaraan himpunan cerita rakyat ini.
Image
Cuti hujung minggu yang panjang, membawa saya ke ruang penyiasatan.  Memeriksa tugasan mahasiswa menemukan saya ke titik keberanian mereka melakukan penipuan. Ya, plagiarisme. Saya menyedari kepintaran mahasiswa sekarang menyalin dengan menyeberang banyak sungai dan lautan genre. Misalnya bagaimana penghasilan cerita pendek mereka disalin dari drama atau filem; bukan hanya filem Melayu tetapi menyeberang ke Inggeris dan Korea! Ia sangat mencabar saya sebagai guru tua yang harus banyak membaca dan bijak menyelongkar; seperti yang pernah  saya lakukan dalam kerja intertekstual saya sebelum ini. Saya tidak pasti mereka membaca entri dan peduli kewujudan blog ini.
Image
Sebelum meninggalkan ruang kerja lewat petang tadi, beberapa sahabat mengingatkan saya,  cuti umum Isnin nanti. Jangan masuk pejabat. Pesan mereka lagi. Ya, saya pun baru sedar. Saya fikirkan cutinya Selasa. Iya, selalu begitulah saya dimaklumkan berkali kali kerana pernah saya ke kampus dengan menjinjing bekalan seperti selalu dan mendapati fakulti gelap gelita. Saya fikir ada gangguan elektrik, rupa-rupanya  hari tersebut adalah cuti umum. Lucu saya ini, kan? Jarang saya menulis kelucuan saya di sini, walau sebenarnya saya ini suka berjenaka. Atau mungkin hanya saya sendiri yang merasakan ia menggelikan hati. Salam libur!
Image
Berbicara dalam bahasa bisu.  Mungkin ini yang lebih dimengerti. Agaknya ini juga yang dimahu.
Image
Novel Marquez ini saya membacanya lama dulu. Saat yang sama saya menguliti Hujan Pagi Samad. Benar, melihatnya kembali di para-para buku di rumah,  pada ketika sepi yang berhimpun dalam ratusan masa, kepercayaan saya hanya pada kewujudan kami. Ia memadai.
Image
Entah saya ini mempunyai photographic memory, eidetic memory, apa pun ia membawa padah yang besar. Sehingga traumatik. Enggan mahu membayangkan, namun ia akan terperaga di hadapan mata. Dan tidak mahu dipadam padam. Ia akan selalu datang. Samada ia mengerikan. Memilukan. Dan akhirnya buat saya betul-betul menangis. Atau haruskah saya bersyukur kerana ingatan begitu juga satu kurnia dalam penukangan karya. Saya akan jadi begitu intim dengannya. Ia akan selalu masuk ke ruang naratif dan menjadi sangat masyhur dalam seluruh jagat sukma yang ada. Ingatan saya jadi begitu melekat. Saya membawanya ke mana-mana hatta dia boleh memutar tombol pintu tidur saya dan berbaringan sama dalam mimpi.
Image
Menjelang senja sepi yang tadinya mendung dengan separuh geluduk mahu hujan tapi tidak saya lihat sebarang rintik. Bukankah ini panas yang panjang musimnya. Dia seakan tidak jadi bersahabat dengan gerimis yang sedia berkunjung. Latar ini sama seperti bahagianya bertemu dengan kehilangan. Seakan dapat merangkul kenangan. Seakan.
Image
Terima kasih Sdr Shahidan Jaafar atas siaran Narasi Cinta Saat Gempa (Mingguan Malaysia, 13 Januari 2019). Cerpen ini ada sejarahnya sendiri. Watak Timour, anak Hanafi dan Kartini sudah besar panjang. Sejak Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah, Lombok dan Senggigi, dekat sekali dalam jiwa saya. 

Image
Petang Jumaat lagi. Menjelang hujung minggu lagi. Dan saya akan menuju Danau Sukma nantinya. Ia juga seperti pintu gua yang sering meraikan untuk saya masuk dan berlama-lama. Tidak jarang saya merasakan hanya di situ penjuru yang menerima saya seadanya. Tanpa peduli ragam dan ribut yang selalu saya heret sama. Dia masih selalu menawarkan ruang dan kenyamanannya, yang sudah menghilang dalam jadual Januari saya.
Image
Kembali ke ruang kerja, pada tahun baru ini saya menjadi dungu lagi. Seperti dalam musim pengungsian, masa itu sangat arbitrari. Saya sudah lupa sekian kali rupa waktu, sedang semua orang kian jadi ripuh. Mesyuarat. Jurnal. Penyelidikan. Minggu ujian mahasiswa. Laporan. Kertas persidangan. Buku. Perundingan. Mesyuarat lagi. Hingga saya mencongak-congak, banyak yang sudah saya hilang seawal hampir sepuluh hari baru ini. Iya, kelihatannya kita dapat bertemu hanya di ruang rasmi, sahabat. Itu pun belum tentu lagi.
Image
Genap satu minggu satu hari tahun baru ini. Dalam sekejap, sudah beberapa sejarah saya rakam sepanjang berada di dalam gua ini. Berjarak daripada rutinitas, rupanya saya benar-benar dikepung misteri dan rahsia kehidupan di sebalik hijabnya. Menanti jadual untuk pintu terbuka dan saya ke ruang kerja semula; antara mahu dengan bertahan. Ah, saya ini bukankah memang susah memilih keputusan. Sejak dulu. Sejak lama.