Posts

Image
Ia menjuruskan lorong matlamat. ia menghamparkan kesediaan. ia menawarkan keheningan.   ia membawa kita begitu dekat dengan Rasulullah. saya turut melihat antara si pemanah dan sasaran adalah sebuah taman syurga yang begitu diidamkan setiap orang untuk duduk lama seraya memuji-muji Pencipta nan Agung. 
Image
Pada hari yang sama, kita ditemukan dengan dua rasa yang saling bertelingkahan. suka dan duka. ria dan gulana. begitulah, siangnya kami meraikan pasangan mempelai dan lewat petang kami sudah berada di wad hospital, menziarahi yang ditimpa kecelakaan. saya jadi begitu insaf dan bersujud panjang di penjuru masjid lewat maghrib. Allah membentangkan kedua-duanya untuk saya berterima kasih atas asuhan untuk bersyukur dalam apa juga suasana - saat hati diduga rawan, jiwa diamuk haloba yang besar atau tiba-tiba bahagia datang sebagai takdir. alhamdulillahi rabbil alamin...  
Image
Saya baru sedar, bukan hanya diam yang akan menjawab banyak soalan tentang apa yang tidak jelas, tidak faham, tidak tahu bagaimana ia harus diluahkan. bukan hanya diam. ya, saya melihat pergi jauh daripada segala yang tidak itu menemukan dengan beberapa lorong. ia bukan pelarian. sebaliknya juga bukan alasan. kerana saya tahu di titik yang jauh itu akan menawarkan satu perenungan yang berbeza, yang baru, yang lain tentang tidak . mudah mudahan saya sampai ke titik itu dengan seribu rasa syukur. untuk seketika ini, saya ucapkan semoga kita bertemu kembali. bertemu semula dengan hati yang lapang dan aman. bukankah al mu'min: 21 sudah mengingatkan tentang perjalanan yang membawa kita memerhati bagaimana kesudahan orang yang terdahulu?
Image
Acara menarik yang saya mahu ikut! namun sayangnya, saya berada di luar kampus pula. alahai :-( perbincangan, pameran dan persembahan rebab akan diadakan di Makmal Pengajian Melayu dan dataran DK3B301 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM  pada 27 April 2012.
Image
Sekali lagi, mahu sangat hadir, malangnya tidak dapat sertai!
Image
... kalau tasik ini masih jernih kau akan dapat melihat bayang-bayang jiwaku sampai ke dasarnya. ...                      (kalau tasik ini) Ini hadiah istimewa untuk kami sewaktu meraikan hari lahir Muhammad Haji Salleh. terima kasih guru.
Image
Di setiap masa nampaknya selalu ada saat yang tak mudah untuk berbicara, tapi tidak gampang untuk diam. Kita tidak tahu pasti bagaimana persisnya kata-kata akan diberi harga, dan apakah sebuah isyarat akan sampai. Di luar pintu, pada saat seperti ini, hanya ada mendung, atau hujan, atau kebisuan, mungkin ketidakacuhan. Semuanya teka-teki - Goenawan Mohamad -
Image
Saya ke utara untuk meraikan ulangtahun mahaguru saya,   Prof Emeritus SN Muhammad Haji Salleh . sudah sekian lama saya tidak ke majlis hari lahir, apalagi yang hadir sama adalah Anwar Ibrahim!
Image
Saya terbaca petikan yang lebih kurang begini bunyinya di fb: bagusnya dalam diam, kita semakin mengingat, semakin merindui.  seperti yang saya catat sebelum ini, diam sangat menawarkan banyak ruang - untuk mempertimbang, mewaraskan dan menjernihkan. ya, sejak pulang dari pejabat menghampiri pintu senja tadi, rumah kami terlalu sunyi. saya tiba-tiba jadi dungu. benar, saya semakin mengingat, merindui Alif Matiin yang sudah jauh di kampung memenuhi cuti hujung minggunya kali ini.  dan saya menangisi diam ini di hujung solat maghrib, sendiri...
Image
Beberapa hari ini saya cuba mendapatkan hadiah untuk seorang guru yang istimewa sempena hari lahir. sebenarnya saya tidak mengingati tarikh-tarikh kelahiran saudara terdekat, sahabat mahupun kenalan. namun saya menyimpan sebuah buku kecil dan mencatatnya.   jika  buku itu hilang,  kemungkinan besar saya lupa! atau sekarang bagi yang menganggotai fb, takwim hari lahir akan ditampal.petang tadi saya temukan hadiah yang saya rasakan sesuai. ah, sukar rupanya untuk mendapatkan sesuatu sebagai tanda ingatan, kenangan dan selebihnya penghargaan untuk seorang guru. ia pasti sahaja tidak sepadan dengan harga budinya, jadi saya iringi doa tulus, semoga guru saya itu disayangi dan diampuni Ilahi.  
Image
Mahu hadir, tapi tak dapat hadir!
Image
Terima kasih kepada pengarangnya. saya dikirim novel baru Marsli NO , sahabat penulis yang saya kenali sejak bergelar mahasiswa.  membaca judul provokatif ini, entah mengapa saya membacanya dalam ruang di sebuah gua persahabatan. wujudkah penderhaka dalam gua itu? berlakukah penderhakaan dalam persahabatan? pernahkah seorang rafik tiba-tiba bertukar nama yang sama sekali tidak pernah  terdugakan? sehingga akhirnya ada yang menjadi malu, gelihati, sedih atau terus mahu berdiam diri. oh, memang berlaku penderhakaan dalam gua itu rupanya! saya tahu, berdiam diri seketika, berpindah ke negeri sunyi, akan menjernihkan rasa dan memautkan saya kepada kewarasan. dengan izin-Nya, mungkin nanti saya akan bersuara, semula.
Image
Diam dikatakan sangat membantu  dalam banyak urusan agama. ia menjernihkan fikir dan jiwa. ia membikin segalanya jadi rapi dan berhati-hati. lebih banyak ruang untuk mempertimbangkan. lebih banyak saksama yang dapat dijuruskan. bunyinya, diam itu seperti sahabat yang baik. adakah itu yang saudara temukan dalam diam?
Image
Hari ini saya belajar untuk menghormati hak orang lain yang tidak harus saya miliki sama sekali. jangan haloba dan mahu merangkul semua yang ada. sebaliknya berbahagi apa yang saya punya, memelihara kesaksamaan  dan rendah hati saat melihat begitu banyak rezeki di hadapan mata. begitu kemudian saya menimbangkan kepada siapa rezeki itu harus diperpanjangkan. segalanya saya baca ketika pintu itu terbuka...
Image
Bagaimana cara saudara menghulurkan kad nama ? menggunakan satu tangan? adakah ia diiringi keikhlasan dan ia mewakili peribadi saudara? saya belajar cara menyua kad nama yang tulus dari seorang teman di Guanzhou. hulur dengan kedua-dua tangan dan kedudukannya menghadap si penerima. hulur ia sebagai hadiah seikhlas persahabatan yang mahu dijalin. xie xie nie, Masq.
Image
Antara kemalangan dalam hidup ialah berjumpa dengan manusia licik. saya rasa sangat kurang selesa untuk bersamanya. kenapa? saya  merasakan satu kesedihan yang bergantungan. saya sedih kerana kelibat licik itu yang saya lihat dan sebaliknya bukan keikhlasan. pernahkah saudara berasa sedih apabila mendampingi seseorang yang panas baran, air muka yang keruh, suka mencari kesalahan orang lain,  pengadu domba atau kasar tutur katanya? bagaimana perasaan saudara ketika bersama mereka? ya, itulah yang turut rasakan apabila dengan si licik. Allah, ampunkan saya. betapa saya tahu ia bukan hanya sebuah prasangka.
Image
Dalam satu acara rasmi yang saya sertai hujung minggu ini, saya belajar antaranya erti  menjadi tua. saya mahu menjadi orang tua yang menghormati semua.  saya mahu menjadi orang tua yang tidak sekali-kali menuding telunjuk kepada orang lain. saya mahu menjadi orang tua yang memberi asuhan dengan cara yang terhormat. saya mahu menjalani kehidupan tua saya dengan latar dan plot yang indah, sebaik sebelum bertemu dengan-Nya. ya, jika saya dipanjangkan umur  menjadi tua dengan izin-Nya jua...
Image
Bukankah telah Aku katakan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu nyatakan dan yang kamu sembunyikan? (baqarah: 33). lewat senja kelmarin ada pelangi yang merentang di langit. dengan girang  Alif Matiin menudingnya dari dalam kereta. "semua orang mesti happy lihat rainbow, kan mummy?" hati saya kembang bagai bunga. ternyata anak saya sangat gembira setiap kali melihat pelangi. masya Allah, penciptaan yang indah dengan rahsia milik-Nya. dan kami mula menyanyi lagu pelangi!
Image
Saya meneruskan pembacaan, pada lebih seratus halaman, masih dibahaskan tentang tafsir hamdalah . betapa banyak yang harus disyukuri. namun terdapat tiga kecacatan dalam peradaban manusia: masih ada yang tidak mempercayai Allah pencipta alam semesta, akal dan ilmu digunakan untuk kerosakan dan manusia suka memuji selain Allah. saya jadi berdebar-debar apabila tiba di halaman ini. semalam, mahasiswa saya menghadiri satu acara sastera dan populariti, menceritakan mereka menemui watak ilmuwan yang angkuh. saya jadi malu sendiri! saya menyambung bacaan. bukan bilangan ribuan kali alhamdulillahi rabbil alamin yang disebut; ia terletak pada pengertian dan adab memaksudkannya.
Image
Saya tahu, ini bukan masa yang sesuai. saya seharusnya tidak berada di ruang ini pada hujung minggu, semalam. tapi rasanya inilah penanda aras yang saya berada di bawah tekanan dan perlukan terapi. ya, sebaik bersarapan, saya terus membuka buku resepi, mencari karung tepung, gula perang, marjerin, vanilla dan mencari semula baki bijirin campuran strawberi sarapan Zahar. ya, sekejap sahaja biskut yang saya sapukan sedikit cokelat di permukaannya untuk tambahan rasa, sudah keluar dari ketuhar dengan  bahang yang meliar. saya dapat melihat tekanan dan kebimbangan saya turut berterbangan. namun sekejap itu saya mencari-cari siapa pula yang boleh membersihkan dapur saya yang sudah berserakan! 
Image
Tiba-tiba saya mempunyai tarikh-tarikh akhir menyiapkan pelbagai tugasan, yang sangat panjang. ya Allah! dari tugas rasmi kepada yang melibatkan pihak luar. membaca untuk penilaian, membaca tesis pelajar, membaca teks untuk kerja transformasi, laporan penyelidikan, kertas yang harus dihantar, pengisian untuk bercakap dalam forum,  menyiapkan manuskrip dan ... dan .... rabbi yassir wala tuassir!
Image
Ali Majod meninggal dunia petang ini. itu berita di fb. untuk kuliah kursus cerpen minggu depan, saya menyediakan bahan untuk pengarang dekad 70-an. nama Ali Majod tidak boleh ditinggalkan. dalam kursus yang sama, beberapa sesi lepas mahasiswa menyediakan blognya sebagai tugasan. almarhum sangat akrab dengan MPR dan saya bukan alumninya. namun saya pernah mendapat nasihat Pak Ali agar selalu merujuk al Quran dalam berkarya. saya masih ingat latar nasihat itu, di penjuru bangunan DBP lama. al fatehah buat Pak Ali yang budiman. semoga perjalanan pulangnya yang paling aman dan dalam redha Allah.
Image
Rakaman surah al anfaal:2, lima golongan orang beriman adalah: hati yang gementar apabila disebut nama Allah bertambah iman apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada Allah dia bertawwakal mendirikan solat   menafkahkan harta yang diberikan kepadanya. Allah, sayakah debu yang berterbangan?
Image
Untuk sekian lama saya tahu ada yang jarang membaca doa qunut dalam solat subuh dan tahu ia harus ditambah dengan sujud sahwi.  di Haram, imam tidak mengamalkannya. mungkin itu menjadi alasan. ada yang sesekali membacanya, sedang sangat sedar makna doa itu merupakan permintaan dan permohonan ampun kepada Allah. dan saya benar-benar mahu  memaknakannya hari ini. Allah, redhailah saya!  salawat dan salam buat Rasulullah.
Image
Ini adalah majalah mingguan langganan Zahar. biasa dibaca di  meja makan. semalam sempat saya menyelak halaman akhir tentang penulis buku komik Stan Lee untuk ruangan 10 soalan. saya senang mendengar dua jawapan terakhirnya. ya, dia mengahwini Joanie untuk sekian 64 tahun dan jawapannya   untuk keluarbiasaan itu adalah you just marry the right girl!
Image
Pertemuan pertama kami berjejak ketika saya memanjat bukit Montmarte dua tahun sudah. Ya, memang jauh di sana . Seusai melewati beberapa bumbung kedai cenderamata dan café yang banyak, saya tiba di situ. Seratus meter ke hadapan dari sebuah café merah – dari bumbung hingga kepada pakain seragam para pelayannya. Serba merah. Saya   melihat dia. Inilah latar cerpen lama saya ini lewat kembara, “… ada kiriman dupa   dari Negara Seribu Pura, ” tulisnya. dan ini saya yang dirakam si Darwin. saya teringat kenangan ini kerana ada sahabat yang akan memanjat ke sana minggu hadapan!
Image
Image
Saya masih belum memahami untuk menjadi kekasih Allah mahupun Rasulullah. ya Allah ampunkan saya! begitu saya sangat menyedari adab menjadi kekasih iaitu adanya cinta, adanya rindu, adanya debar setiap kali bertemu. kadangkala dicelahi malu. ada sebahagian pengalaman, saya merasakannya. tapi untuk bergelar kekasih, saya sendiri yang tahu di mana letak diri. ya Allah ampunkan saya. antara halaman awal buku yang sedang saya tekuni ini menyatakan antara syaratnya ialah membuang nafsu. Allahu akhbar! betapa banyaknya dinding yang mengepung dan saya seakan-akan dikurung dan dipenjara di dalamnya. saya sangat malu apabila menerima hadiah ini sempena hari lahir yang lalu. Nis, saya masih belajar untuk menjadi kekasih.
Image
Buku ini memenangi Anugerah Buku Negara 2012: Best General Book (Fiction) anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dan The Oxford Centre for Excellence, UK. menariknya pengarang kumpulan cerpen ini merupakan penyair yang masyhur! Laut Takjub oleh SN Kemala.
Image
Saya yang paling awal rupanya. Sedang dua lagi lelaki di rumah saya sehingga azan maghrib, masih belum kelihatan bayang mereka di pintu pagar yang saya biarkan ternganga. sebaik saya menyempurnakan doa selepas azan, Alif Matiin memberi salam. mummy terbaik! katanya. sambil mencium rambutnya yang harum saya bertanya mengapa? sebab mummy bukakan pintu pagar dan sediakan minuman ketika kami pulang. Allahu akhbar! saat itu saya  merasakan diri semakin tua. bukankah antara sifat menjadi tua apabila kita begitu bersyukur dengan  penghargaan. Allah, sedikit demi sedikit saya mula merasakannya. saya sangat sedar ia bukan sama sekali riak. sebaliknya rasa kehadiran dan kewujudan. saya segera teringat beberapa episod yang berlaku di pejabat siang tadi. saya mengalami perasaan yang sama, sangat dihargai. dan sekarang, saat menulis ini, saya tiba-tiba menjadi begitu malu. ya Allah, semua itu adalah rakaman rasa manusia. sedang, apa pula pandangan Allah terhadap saya. mengapa sa...
Image
Saya terbaca sebuah narasi seorang nenek didakwa di mahkamah di sebuah daerah di Indonesia kerana mencuri ubi kayu. ternyata nenek itu miskin dan harus menyara anak yang sakit dan cucu yang lapar. kebetulan untuk kuliah esok, kami akan membaca sebuah cerpen lama zaman Jepun tulisan  A Samad Ismail, Ubi Kayu. saya jadi begitu insaf membayangkan banyaknya makanan di dapur. saya juga segera teringat waktu kecil nenek pernah mengajar saya makan ubi rebus atau ubi goreng dicecah sambal tumis ikan bilis. ia ternyata enak dan saya sangat bersyukur, ya Allah.
Image
Saya sudah menutup akaun fb saya yang ini mawarshafei71 . mengapa? awal dulu semasa menyertai fb, saya mendaftarkan kedua-dua akaun yahoo yang saya punya (saya ingatkan harus begitu). nah, ternyata saya bermasalah apabila ada dua rumah. jadi jumpa saya di mawarshafie saja ya....
Image
Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua ibu bapaku, supaya aku dapat berbuat amal  soleh yang Engkau redhai. berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada anak cucuku. sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku termasuk orang yang berserah diri (al ahqaaf: 15). ini doa ketika usia memasuki angka 40 dinyatakan dalam al Quran. saya tidak sempat membacanya tahun lalu, dan terima kasih kepada sahabat baik saya Wan Azreena yang mengingatkan. maka saya mula membacanya hari ini dan insya Allah hari-hari seterusnya. ternyata rayuan ini sangat mengesankan saya, ya saya mahu menjadi hamba-Nya yang berserah diri. terima kasih kepada semua yang meraikan hari lahir saya. semua doa yang dipohon buat saya, kepada Allah saya berserah agar kita dirahmati dan dipelihara-Nya. amin ya rabbal alamin. 
Image
Untuk sekian lama saya jarang sempat menonton televisyen. namun mengambil cuti tambahan dengan menyambung cuti hujung minggu, saya dapat duduk lama untuk menonton drama. ya, semalam saya menangis sungguh-sungguh membaca kisah anak-anak gelandangan Kuala Lumpur menerusi drama Pelarian arahan Azma Aizal Yusoof. kisah tiga beradik yang cuba mencari ibu, akhirnya terperangkap dalam derita anak-anak terbiar di kota besar yang menjadi  pengemis dan barang dagangan. Allahu akhbar. saya teringatkan anak saya.  bersyukur semahu-mahunya, malam ini dia bersama kami di rumah yang selamat. Allahu akhbar, saya jadi malu apabila mabuk dengan masalah kerja saya yang kecil, sedangkan anak-anak yang entah bagaimana wajah kehidupan mereka esok pagi. ya Allah, apa yang mahu saya keluhkan dengan masalah saya berbanding mereka....
Image
Saya cuba untuk tidak lupa mengakhiri setiap mesyuarat yang saya kendalikan dengan bacaan ini. semoga kesilapan pada yang ditutur, buruknya tingkah saya dan jika keputusan yang dibuat ada celanya, saya mohon ampun kepada Allah. malah saya serahkan segalanya kepada  Dia. seperti yang pernah saya catat,  sesungguhnya, Malik al Mulk, Pemilik Kerajaan, dalam keperkasaan dan kehendak yang Kau miliki, kami mohon diberi kedamaian dan keamanan dalam hati kami untuk terus sujud dan mentaati-Mu, wahai Allah .
Image
Siapa antara kita yang lengkap berdoa saat selesai menikmati juadah di meja berbanding waktu mula makan? Alif Matiin adalah tukang baca doa makan kami. biasanya banyak yang kami ceritakan semasa makan (atau dulu saya diasuh agar tidak bercakap-cakap sewaktu makan). tapi itulah ruang terbaik dalam kehidupan hari ini yang singkat. setiap ruang bersama adalah kesempatan yang selalu mahu diraih untuk bercerita tentang apa saja. ya, apa saja. guru bacaan al Quran kami mengingatkan alangkah indahnya selesai enaknya menjamah makanan, kita panjangkan doa. bukan sahaja dengan  segala pujian bagi Allah yang telah memberi makanan dan  minuman kepada kami, dan yang telah menjadikan kami orang-orang muslim. apalagi yang saudara fikir, harus ditambah? o Allah semoga dengan rezeki-Mu ini, kami menjadi hamba yang sihat dan lebih taat, lebih bersyukur. semoga dengan rezeki-Mu ini kami lebih tekun membaca al Quran dan dipelihara solat kami khususnya saat manusia lena dalam tidur yang panjang...
Image
Saya harus mendapatkan cermin mata baru. ternyata penglihatan saya sudah mula kabur lagi. namun konflik selalu timbul di bilik gelap. bagi mereka yang berkaca mata, memahaminya. saya sering keliru saat diperiksa; mana yang lebih cerah, mana yang kabur.  lebih jelas yang merah atau yang hijau. penggunaan mesin komputer sebelum itu, rupanya belum dapat membantu. ujian manual masih diperlukan. Allahu akhbar, antara nikmat yang banyak, sedikit demi sedikit ada yang Allah ambil haknya kembali...
Image
Bermula semester kedua dan kuliah pertama saya untuk kursus Cerpen Melayu SKMM1043. kali ini ada beberapa pelajar yang mendaftar untuk kertas pilihan bebas. saya tidak pasti mengapa mereka memilih kursus ini. telahan saya yang liar, ia hanya untuk melengkapkan unit. selepas saya menghuraikan peratus penilaian dan projek kursus yang harus dilalui, dua daripada mereka mahu tarik diri, saya bertanya, dan mereka menjawab, ia kerana masalah jadual waktu. saya sedikit meragui. maaf. atau adakah kerja membaca/mengulas cerpen mingguan dan projek menghasilkan video dokumentari tokoh cerpen Melayu itu terlalu membebankan. oh, saya fikir saya sudah cukup membuat mahasiswa teruja untuk semua projek tugasan setiap kali mereka mendaftar kursus saya! mana tidaknya, kali ini mereka harus bereksperimen dengan kamera, perakam video, kerja suntingan dan menghasilkan sebuah iklan sastera.  mungkin saja ia telahan saya untuk sekian kali. kasihannya saya!
Image
Kesukaan saya memasak sangat disokong oleh kegemaran Zahar membeli dan menambah koleksi buku masakan di penjuru dapur kami. antara buku terkini ialah pelbagai jenis masakan bersumberkan cendawan. saya teringatkan Nikita yang sukakan cendawan. saya pula penggemar sup. maka petang tadi saya mencuba sup cendawan tiram. boleh tahan. saya letak caranya di catatan tanggah.
Image
Kumpulan cerpen terbaru yang harus didapatkan! Tahniah adinda saya, Zaid Akhtar.
Image
Sejak setahun ini, cita-cita Alif Matiin masih sama, menjadi architect n chef (jika diMelayukan jurubina dan tukang masak? juru masak? pemasak [ Kamus Dewan ]). saya percaya melalui kawasan pembinaan rumah setiap hari  untuk ke sekolah, memunculkan minatnya. begitu juga dengan kegemarannya membantu saya memasak. malah dia punya apron sendiri yang digantung di penjuru dapur. sejak rancangan memasak kian masyhur, Mohican saya itu mahu dipanggil sebagai master chef. saya percaya cita-cita anak-anak akan terus tumbuh dengan masa. doa saya Alif Matiin berjaya dalam apa juga lapangan yang dimasuki. saya ingin sekali bercerita kepadanya malam nanti tentang Rasulullah, yang turut membina masjid sewaktu mula tiba di Medinah dan mudahnya  baginda ke dapur membantu Aisyah apabila masakan belum tersedia di meja. Allah, saya mahu Alif Matiin mencintai Rasul-Mu menerusi cita-citanya itu!
Image
Mahasiswa akan kembali semula ke kampus minggu hadapan. ini cuti antara semester yang singkat. sebulan, relatifnya sekarang seperti seminggu. masa terasa begitu cepat berlalu. banyak persiapan masih perlu dibuat untuk semester baru. banyak kerja yang sedang berjalan pula, perlu segera disudahkan. dalam meneruskan semua ini, saya selalu membayangkan, saya sama sekali tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. dan saya teringat carpe diem dari baris puisi Horace, Odes . semoga saya dapat meraikan hari ini sebagai anugerah atau hadiah, andai kata tiada lagi esok bagi saya. saya mohon keampunan dari Allah untuk sekian kali dan saya terus berjanji dalam hati untuk menumbuhkan kebaikan, seberapa banyak. semoga Allah memberi saya ruang. Allahu akhbar!
Image
Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat padanya daripada urat lehernya. saya menyambung bacaan Qaaf: 16. kepada semua mahasiswa yang baru memperoleh keputusan ujian, terima hasil usaha yang membahagiakan hati sdr dengan sujud syukur, berterima kasih kepada Allah. dan bukankah kejayaan itu satu ujian? bukankah kerendahan hati itu milik orang bijaksana? atau jangan sesekali mengutuk diri atas kelemahan kali ini. bukankah bisikkan hati kita sangat didengar-Nya? foto ini rakaman daun yang luruh ; selalukah kita mendengar bisikan itu?
Image
Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun? Saya membaca permulaan halaman Qaaf: 6. ya Allah saya menjadi sangat sebak dengan segala kejadian dan nikmat. bukankah saya sedang dalam ruang ujian? ya Allah, malunya menjadi hamba-Mu yang tidak beradab untuk berterima kasih. ya Allah, ampunkan saya.
Image
Saya menyediakan juadah untuk tetamu istimewa malam nanti. dari jendela dapur yang terbuka, saya melihat rama-rama yang cantik sedang membuka sayap kecilnya dan sesekali singgah di daun pandan dan limau kasturi di penjuru taman kecil dapur kami. ah, mata kanan yang berkelip sekian minggu dan munculnya si rama-rama yang riang petang ini, membuat saya tidak sabar bertemu sahabat lama  sejak zaman tadika! bonda bersyukur panjang apabila saya khabarkan berita bahagia ini. Allah Maha Besar dan saya memohon keampunan. terlalu banyak kekhilafan yang saya lakukan sedang Allah memberikan saya terlalu banyak nikmat. ampunkan saya ya Rabb!
Image
Wanginya  saat saya mengemas beg sekolah Alif Matiin. rupanya guru membekalkan beberapa uncang comel bunga rampai sempena sambutan maulidur rasul (Allahumma soli ala saiyidina Muhammad) di tadikanya. malam tadi bilik anak bujang saya seperti bilik pengantin baru!  dan saya mula bercerita tentang Rasulullah yang tiada ibu dan ayah, maka Alif Matiin harus selalu bersyukur, berterima kasih kepada Allah.
Image
Saya sangat kurang senang jika saf solat jemaah ada yang renggang di sebelah. ya Allah, ampunkan saya, renggang yang luas. sedang saya tidak dapat berganjak setelah memulakan takbir. ustaz dan  ustazah, apa yang sebaiknya saya lakukan, memenuhkan yang renggang arah ke kanan atau kiri? alangkah saya dapat menyempurnakan saf di masjid yang permai ini. o Allah, benarkan hasrat saya itu. saya sangat menyintai solat jemaah yang dengannya saya lebih berkasih sayang!