Posts

Showing posts from April, 2013
Image
Zahar dan Alif Matiin, antara yang sangat tahu betapa saya ini seorang penyedih. saya akan selalu mencari-cari bahu Zahar untuk saya sandarkan pilu atau terharunya saya akan sesuatu rasa yang tiba-tiba menghenyak. saya pernah menangis melihat sebuah rancangan dokumentari anak-anak penyu yang mungil; keluar dari ruang penetasan, membuka kaki pendayungnya yang kecil dan dengan cepat mencari garis air laut. ya Allah, kecilnya dia untuk berada di segara yang sangat luas merentas benua dan pulau.     atau saya selalu melihat bagaimana anak-anak (pastinya termasuk Alif Matiin) mahu berhadapan dengan keangkuhan, kebencian, haloba, kemunafikan atau fitnah yang datang dari sahabat sendiri nanti. tebalkah semangat anak-anak ini  menjadikan Allah dan Muhammad sebagai sumbu kehidupan? ya Allah, cepat saya mengangkat tangan mendoakan semua anak yang ada, ya semua, agar mereka dikasihani dan dilindungi selalu. ah, betapa kasihannya saya terhadap mereka!
Image
Siapa duga, Alif Matiin mengadu isnin petang usai pulang dari sekolah, sakit  di bahagian atas perut. keesokan petangnya juga. hari ketiga mula diserang demam panas. hasil pemeriksaan dua orang doktor, bahagian bawah kanan perutnya sangat sakit walau disentuh perlahan. menjelang senja hari yang sama, anak saya selamat menjalani pembedahan.  siapa sangka, dengan hanya diberi ubat angin awalnya,  Alif Matiin mengalami  acute appendicitis .  alhamdulillahi rabbil alamin . terima kasih Dr Hassan yang membantu kami dan teman-teman yang turut mendoakan! 
Image
Buku baru kami disunting ketua penyelikan yang saya sertai, Gender dalam Sastera Melayu . turut sama, buku yang yang asalnya dari buku hijau. boleh didapati dari kedai Penerbit UKM dengan harga yang berpatutan!   RM38                                   RM35
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin , kami menyudahkan hari pertama bengkel penulisan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. saya menyenangi para peserta  kali ini yang datang dari pelbagai bidang; dari  matematik, komunikasi,  sains, fizik, seni bina dan kejuruteraan. lewat sujud panjang saya sangat mengharapkan Allah mengikhlaskan hati setiap kami. saya mohon kami akan menulis dengan nama-Nya yang mulia. kami  merakam syukur betapa menerusi penulisan, banyak jalan kebaikan yang Allah juruskan. besok kami akan bertemu lagi dan semoga ada ikrar dari semua peserta untuk menulis selepas ini. sebenarnya ini impian yang belum termakbul; saya mahu kumpulan kecil di kampus, nantinya yang selalu berjumpa lewat secangkir kopi, bercerita tentang karya yang sedang ditangani. dan kumpulan ini datang dari pelbagai penjuru fakulti. tiada batas rasmi, hanya kami menjadi sahabat.  mungkinkah?
Image
 perempuan dan jalan pulang Masih ingat dengan susuk perempuan tua yang banyak kehilangan dalam seluruh hidupnya? ya entri mac 9, 2013. awal dinihari ini saya melihat pesanan bertulis menyampaikan kawat dukacita. dia kehilangan lagi! Allah Allah Allah. kali ini anak sulung yang amat dicintainya pula menjalani lorong itu. o Allah. masih saya ingat antara usikan mereka berdua beranak itu kepada saya, kami adalah kawan baik (best friends). al fatehah buat kekanda Rusihana Ruslan. semoga ia perjalanan pulang yang paling sejahtera... sedang saya sejak semalam berhasrat untuk menziarahi mereka hari ini. saya sangat ingin mendakap perempuan tua itu. dan beginilah takdir kami. 
Image
  Jemputlah sekiranya berkelapangan!
Image
Ada beberapa keluk yang dilalui sepanjang tidak menulis di sini. keluar daripada laluan rutin, saya berada di beberapa tempat yang  berlainan. menghadiri acara rasmi, separuh rasmi atau santai. bertemu dengan pelbagai rona wajah manusia.  saya merentasi juga keluk di layar media dengan menonton beberapa filem dan dokumentari. begitu juga dengan keluk kesihatan yang turun naik. saya menemui kejutan,  kesedihan, kecewa dan masih ada banyak yang memujuk. Zahar bijak memilih filem untuk saya tonton. menggemari genre seram dengan ada masukkan sastera. kali ini 1920: Evil Returns , penyair dengan lapisan kisah cinta bersama kekasih yang belum pernah ditemui. dan akhirnya penyair itu berhubung dengan roh si mati yang rupa-rupanya menyimpan kesumat dan iri.  begitukah, manusia membawa sejauh sebuah kematian, perasaan yang tidak putus-putus mahukan kemenangan ? saya demam panas keesokan harinya.    
Image
    Bukan sedikit kita belajar dari seorang anak kecil. ya, beberapa hari ini suara Alif Matiin mendayu-dayu dalam sedikit serak melagukan doa tulus ini... ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha ini adalah waktu dhuha-Mu, keindahan dan kecantikan ini adalah keindahan dan kecantikan-Mu, kekuatan dan kekuasaan ini adalah kekuatan dan kekuasaan-Mu, pemeliharaan ini adalah pemeliharaan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku di langit, turunkanlah, jika rezekiku di bumi, keluarkanlah, jika ia di laut timbulkanlah, jika ia sukar permudahkanlah, jika ia sedikit perbanyakkanlah, jika ia banyak berkatilah, jika ia haram sucikanlah, dengan berkat waktu dhuha-Mu, keindahan, kecantikan, kekuatan, kekuasaan dan pemeliharaan-Mu. kurniakanlah aku apa yang engkau anugerahkan   kepada hamba-Mu yang saleh dan beriman. bila kali terakhir kita berdoa begitu lewat solat dhuha?
Image
tangan yang menadah Ya Allah, berapakah dalamnya cinta kita terhadap dunia? tamsilan yang mudah, pada suatu hari saya berkesempatan memasuki sebuah kawasan perumahan tertutup lagi peribadi. lenguhnya leher saya menoleh kiri, kanan, hadapan dan belakang deretan rumah-rumah gadang yang ada kala kelihatan bukan selayaknya sebuah rumah tetapi seperti bangunan sekolah atau dewan raya. ya Allah. ya Allah. ya Allah. sedang baru semalam saya berbincang dengan seorang teman penyelidikan, betapa banyak lagi penjuru di dunia ini yang memerlukan kemudahan teduhan daripada hujan, panas atau ribut taufan. senarai yang panjang memerlukan bangunan sekolah usai perang. sekian banyak yang menadah tangan untuk pendidikan dan tuntutan asas. di penghujung jalan keluar di kawasan perumahan mewah itu saya ternyata tidak lagi mampu menelengkan kepala. saya tunduk dan sangat malu, melihat tangan sendiri. kecilnya saya hingga tidak mungkin saya dapat berbuat apa-apa untuk menolak cinta dunia yang sangat-sa
Image
Ini buku dari mahaguru sewaktu meraikan hari lahir kami, kebetulan dalam bulan yang sama. istimewanya kali ini Prof Madya Dr Hadijah Rahmat merakam kenangan kami dalam buku terbarunya ini, Kurnia Alam . sebelum ini sebuah kumpulan puisinya berjudul, Di Tengah Alam. saya tidak pasti bagaimana mahasiswa  melihat saya. namun bertemu guru semula dan mengabadikan budi mereka lewat doa panjang, adalah satu babak yang mengesankan... terima kasih Dr Hadijah.