Posts

Showing posts from March, 2013
Image
  Si pengirim karungan cokelat datang lagi. apa lagi yang mampu saya lakukan selain terima kasih dan  mendoakan kesejahteraannya dunia akhirat.
Image
Kaki bonda saya teragak-agak untuk melangkah  masuk ke ruang tamu yang sepi. saya seperti mendengar suara hatinya. Zahar sempat menyatakan  betapa ruang nenda ini tidak berseri lagi. saya tidak dapat menahan sebak apabila melintasi kamar tidur nenda yang sudah lapang. pembaringannya sudah dipindahkan. yang tinggal ialah pelbagai milik nenda yang mahu diagih-agihkan untuk memanjangkan sadaqah. usai acara mengingati nenda dengan yassin dan doa, kami bercerita kembali tentang nenda dan kenangan. saya akan selalu ingat betapa pemurahnya nenda. dan ia terus hidup dalam hati Matiin. sewaktu di pusara, Matiin mengeluarkan not sgd10 dari dompetnya seraya berbisik sendiri yang dia mahu memberikan kepada moyang. saya mengusap rambut lebat anak saya itu dan tahu ketika itu nenda tidak mahu apa-apa selain doa dan doa buat kehidupan barunya di bawah sana...al fatehah.
Image
Saya gayat. sama ada berdiri di paras paling atas sebuah bangunan, apatah lagi berada dalam sebuah kereta yang bergantung hanya pada satu tali. tapi demi kenangan bersama almarhum nenda dan datuk, saya gagahi kaki memasuki kereta kabel ini. ya, saya masih sangat ingat kereta ini pernah tergantung agak lama di tengah-tengah laluan dan di bawah tapak kaki adalah air laut yang terbentang. Allah Allah Allah. itu kenangan bersama nenda lebih tiga puluh tahun lalu... dan kebetulan sahaja malam tadi, pulang dari lawatan ke Sentosa, kami menonton rancangan Terbit menyiarkan wawancara dengan mangsa tragedi kereta kabel yang pernah berlaku pada tahun 1983.
Image
Saya akan menziarahi nenda lagi. kali ini ia sama sekali ziarah yang berbeza. nenda tidak akan berdiri menyambut saya di bingkai pintu rumah pangsa tingkat lima itu. saya tidak dapat mendakap bahu nenda lagi. saya tidak tahu pula di mana harus saya duduk, sedang penjuru pembaringan nenda pasti sudah berubah kedudukannya. ya, kali ini ziarah nenda akan saya lanjutkan ke Pusara Abadi, kebetulan sahaja di jalan masuk yang sama ke kampus Nanyang tempat saya menyiapkan ijazah ketiga hampir sepuluh tahun lalu. semoga saya tidak menangis lagi. semoga saya kuat saat tiba di pintu rumah nenda nanti ...
Image
Saya memanggil nama untuk semakan kehadiran dalam kuliah. ia peluang untuk saya lebih mengenali setiap pelajar yang mendaftar kursus saya; sekurang-kurangnya tahu dan ingat nama mereka. dalam kuliah minggu ini saya mengejutkan mahasiswa dengan susulan soalan selepas memanggil nama,  bilakah kali terakhir mereka melakukan sujud syukur. maka saya dapat mengumpulkan lebih tiga puluh jawapan. dua daripada mereka tidak pernah melakukan sujud syukur sama sekali. dua daripada mereka melakukannya kurang daripada tiga bulan. dan selebihnya melebihi enam bulan lalu. kebanyakan mereka, mahasiswa tahun satu, merakam rasa syukur setelah lulus peperiksaan dan mendapat tempat di universiti. saya bertanya sendiri, apakah makna bersyukur dalam hati mahasiswa saya. adakah hanya dengan makna kegembiraan mendapat keputusan peperiksaan. adakah bersyukur itu kerana beroleh suatu yang menggembirakan hati. seperti yang pernah saya tanya diri  sendiri, adakah juga saya berterima kasih kepada Allah saat mala
Image
Zahar sudah lama khatam Syamail . rupa-rupanya saya terhenti lama di halaman kewafatan Rasulullah. pilunya apabila membaca saat terakhir Anas Malik memandang wajah Rasulullah seperti melihat lembaran mashaf. dan bagaimana mereka tidak mahu membuang debu kubur Rasulullah sehingga mereka mengingkari hati mereka. Allah. saya mahu menyambung Syamail dengan Empat Puluh Hadis Penawar Hati . mudah-mudahan hati saya menjadi sihat.  mudah-mudahan semakin dalam cinta yang datang ini. in sya Allah. terima kasih kanda Majura yang menghadiahkan Penawar Hati .
Image
Aneh membuka rujukan biologi untuk kuliah sastera? kerja ini mengimbas sewaktu duduk di bangku tinggi makmal sains sekolah menengah. biologi antara mata pelajaran kegemaran saya. hari ini dalam kuliah sastera bandingan, saya membawa mahasiswa kembali merenung asal kejadian. dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati yang (berasal) dari tanah. kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami balut dengan daging. kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. maka Mahasucilah Allah, Pencipta yang paling baik (al mu'minun: 12-14).       dari janin menjadi kanak-kanak. kami membincangkan kanak-kanak, kreativiti dan penciptaan karya. Allah Allah Allah, dan apakah manusia tidak memerhatikan bahawa Kami menciptaka
Image
Benar, kata seorang sahabat saya, antara cara Allah mengingatkan adalah dengan mengambil kembali haknya. misalnya soal kesihatan. kita mula menghargai sihat apabila ia dikeluarkan dari ruangnya. maka bermulalah riwayat  sakit.  saya baru sahaja pulang dari sesi pertama program  wellness. bermula dengan ujian darah, jantung dan air seni :-)  dan saya menanti penuh debar dalam seminggu ini keputusannya! dengan sekian banyak isyarat menjadi sakit dan tua , saya insaf masanya sudah kian dekat. ya Allah kekalkan kami dalam nikmat islam dan iman. rahmati kami dengan ehsan-Mu, ya Allah.   pulang     Kebetulan juga, saya baru mendapat warta belasungkawa, kekanda saya, Asmah Bee Mohd Nor baru kehilangan suami tercintanya, Iran Herman. kedua-duanya pensyarah psikologi yang saling menyayangi. kekanda Iran meninggal dalam ihram di pusingan tawaf wajib umrahnya yang ketiga. Allah, Allah, Allah. semoga perjalanan pulangnya disambut para malaikat dengan tenteram. al fatehah ...
Image
Beberapa hari lalu saya menziarahi perempuan tua itu. dia adalah perempuan yang hilang jalan pulang dalam cerpen saya Antara Tikungan yang Aneh . dia ternyata kian lupa bukan hanya beluk ke lorong rumah, tapi nama teman-teman dan akan mengulang-ulang soalan yang sama sedang ia baru dijawab. saya terpinga separuh mahu menangis. bukankah nenda juga dengan tanda yang sama. lupa. sebulan selepas itu nenda menuju jalan pulang yang abadi. keesokan harinya, saya bertemu pula susuk lelaki tua yang akan masuk ke ruang kreativiti saya dalam sedikit masa lagi. dia adalah lelaki yang antara lain menyatakan, jika mahu punya hati yang aman, harus sering bersama al Qur'an dan tahajud. ini foto cantik dari taman kecil perempuan tua yang banyak kehilangan dalam hidupnya itu. o Allah, mereka merupakan tamsilan buat saya yang kononnya masih muda namun masa pulang saya sebenarnya semakin hampir dan  bila-bila masa sahaja...ampuni saya ya Allah.   
Image
  DAN guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, demikian pula malaikat kerana takut kepada-Nya dan Allah melepaskan halilintar lalu menimpakannya ke atas sesiapa yang Dia kehendaki dan mereka berbantah-bantah tentang Allah dan Dialah Tuhan yang Maha keras siksanya (ar Rad: 13). inilah ayat terakhir yang kami sempat baca sebelum nenda berangkat pulang. seperti yang saya catatkan sebelum ini, ketika saya sedang menyimak baris makna, saya melihat nenda berpindah ke ruang baru. rupanya, ia firman yang sangat mengesankan bila masa itu tiba...
Image
Saya bertanya kepada seorang dua sahabat penulis sama ada mereka menerima surat berdaftar, emel malah panggilan telefon dari Jordan. hanya untuk bertanyakan antara lain, apakah dan siapakah sumber ilham dalam menulis. The literary world has so many great authors as it does great characters. Whose legacy, author or character, inspired you to take up writing?  saya tidak pasti berapa seriusnya pihak ini bertanya. namun dalam senyap saya mula mencatat jawapan... pernah suatu ketika, saya menjadikan beberapa sasterawan sebagai sumur ilham saya. tapi sejak akhir-akhir ini saya sedari bukan hanya hasil kerja beberapa nama itu yang menjuruskan lorong penukangan seni saya. ternyata saya semakin melihat susuk peribadinya juga yang menawarkan semangat. maka, catatan jawapan lama itu saya padam, dan mengubah ayatnya begini, bahawa kepercayaan saya dan al Quran akan selalu menjadi daya batin yang luar biasa bagi saya terus menulis, dengan izin-Nya ...
Image
  Dalam sebulan ini saya menerima hadiah yang sangat mengilhamkan. coklat! bukan sekali tetapi dua. dan bukan sekarung tapi lebih daripada itu! ya Allah. saya bertanya-tanya mengapakah si budiman ini terus memberi dan ia tidak menghentikan beberapa buah perenungan. saya mengibaratkan hadiah-hadiah ini sebagai rezeki Allah buat kita yang juga tidak putus-putus. seperti yang pernah saya luahkan kepada mahasiswa lewat kuliah semalam, kita terlalu banyak diberi nikmat dan anehnya kita ditenggelaminya; langsung lupa untuk berterima kasih. ya Allah, bilakah kali terakhir saudara berteleku dan benar-benar berterima kasih kepada Allah?
Image
Saya gemar membaca puisi, pasti sahaja puisi  Melayu sejak dari pantun, syair mahupun puisi moden yang dipanggil sajak. saya gembira mengutip susunan rangkap, pasangan kata atau sering tergoda dengan bijaksananya penyair menyaring bunyi. saya menyambung baca Syamail ; dan Zahar juga membacanya kemudian kami saling bercerita tentang setiap hadis berkenaan keperibadian Rasulullah, kekasih Allah. ternyata Muhammad yang Mulia, turut bersyair dan ia adalah baris yang indah dirakam Jundub Sufyan al Bajali, saat darah mengalir keluar dari jemari Rasulullah, antara baris syair inilah yang bergema sama, engkau hanyalah jari-jemari yang berdarah, dan engkau terluka di jalan Allah.  ya Rasulullah! salawat dan salam buat baginda.