Posts

Showing posts from January, 2008
Image
Ibu mertua saya yang baik membekalkan pisang barang sesikat dari kebun. Teringatkan tarikh roti di dapur yang luput semalam, cepat saya membaur pisang, membasahkan baki roti dengan sapuan nipis mentega. Kemudian saya rendamkan susunan pisang dan roti, dalam 2 biji telur yang sudah siap dibancuh dengan susu 600ml, gula enau dan sedikit vanilla. Hasilnya... wah dapur saya begitu harum dengan aroma puding pisang-roti yang dibakar. Di lapisan atas tidak lupa saya tabur anggur kering dan serbuk kayu manis. Enak sekali minum petang saya hujung minggu lalu, apalagi sambil melihat hujan turun di atas daun-daun di taman. yuk!
Image
Syukur yang panjang, pertama kali saya meraikan hari lahir mengikut takwim hijrah ( http://hijriah.jentayu.com/ ), 1 muharam 1429. Pasti sangat luar biasa perasaannya. Lebih spiritual. Menutup penjuru tahun lalu dan membuka pintu hari baru pada tahun ini, 1429 membawa saya membaca sekali lagi dan berulang-ulang akan perjalanan hayat Rasulullah tercinta. Manusia besar yang banyak membawa rasa aman dan bahagia dalam hati siapa juga yang mengenalinya. ( Al Amin , 1999: 203) ~ dari wahyu dihayat segala, dipetik bunga yang kembang, dikutip yang inti, diperhias sejernih niat, disebar secepat nadi, dan kini, di tengah Madinah, tanah penerima, setiap waktu terizin, dihantar pesan kalbu yang telah dipersuci surah-surah murni. Ansar kaum bumi bersyukur dan Muhajirin kaum yakin yang berhijrah bersahut hati dan sama beribadah.
Image
Semalam waktu memandu pulang, saya melihat seorang lelaki Cina tua yang begitu perih mengheret seguni barangan berhampiran kawasan jualan sisa/kitaran. Mungkin itulah rezekinya. Menjadi tua. Begitu wajahnya. Saya teringat cerpen Anwar Ridhwan dengan judul yang sama ( Sangkar , 1989). Watak Hassan yang bertemu banyak orang tua di kelas kritikan sastera. Cerpen Abdullah Tahir juga, "Penantian di Walden Place" ( Sang Tahanan , 1997), kisah Jan yang alzheimer. Baru pula saya mendengar kisah seorang sasterawan yang penjuru hidupnya di rumah orang tua. Saudara sedih mendengar kisah manusia menjadi tua? Atau kehidupan manusia di "rumah orang tua" kini sudah berubah warna. Ia tidak lagi dalam kerangka "anak derhaka" mengirim ibu bapa ke sana, malah itulah kehendak jiwa mereka. Cepat sekali saya mahu merakam segalanya ini dalam cerpen terbaru saya, "Dia dari Penjuru Tahun Lalu".