Minggu ini saya seperti diberikan ilham. Melihat ragam di jalanraya dan karenah manusia, bagaimana saya mendepani mereka. Misalnya, melihat motorsikal yang memberi lampu isyarat ke kiri tapi  tiba-tiba membeluk ke kanan. Pasti saya geram dan mahu marah. Tapi dengan ilham, saya jadi ketawa sendiri. Aduhai lucunya! Atau geram dihubungi ketua setengah jam sebelum harus mewakilinya ke mesyuarat, saya berseloroh dan ketawa. Seraya memberitahu ketua saya mahu berdandan dahulu. Atau bagaimana saya dengan pihak yang asyik lupa setelah diperingat berkali-kali. Saya akan ketawa sendiri. Lucu sekali, bagaimana dia masih lupa. Ya, begitu cara menangani tekanan. Ketawa sendiri. Atau sebenarnya masih ada yang belum boleh saya ketawa sendiri, saat ada gurauan yang perih dan meremukkan. Canda yang tidak pernah sama sekali saya terfikirkan akan berbuat sedemikian. Ya, mungkin saya belum boleh ketawa sendiri untuk merawat hati dalam banyak hal lagi. Sebaliknya dengan kelucuan itu, saya berasa saya ini lebih debu daripada debu di tepi jalan pohon sukma yang tidak difahami sama sekali walau dilalui setiap petang dan pagi. Benar, saya belum mampu ketawa sendiri, rupanya. 

Comments

Anonymous said…
Sdr seorang sasterawan, yang jiwanya sangat halus. Meski ini identiti Sdr, mungkin ramai yang masih belum mengenali. Justru candanya telah menjadi luka Sdr. Semoga setiap orang harus lebih berhati-hati dengan Sdr kerana semuanya masih terhijab.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Terima kasih. Ya, saya tidak pernah menyangka begitu adalah canda apabila yang menyitir itu sangat terhormat tuturnya.