Lama dahulu sewaktu  di Temasek, saya mengaji al-Qur'an di surau kampung kecil kami di penjuru Bukit Timah. Masih ingat, saya mempunyai seorang dua sahabat anak jiran yang saling menemani ke surau usai Maghrib, walau ia hanya sepelaung jauh. Walau dekat kami masih beriringan. Dalam beberapa cerpen mengenangnya, saya juga pernah menulis sekembali dari kelas mengaji, pada musim kuih bulan dan tanglung tiba, sahabat Tionghua kami akan sedia menunggu. Bahagia dengan cahaya tanglung dalam jelaga malam, menebar riang, kami menjamah manisnya kuih bulan dan persahabatan. Begitulah antara pecahan ingatan dan kenangan. Alangkah sepi sebenarnya tanpa sahabat mengaji, sahabat al-Qur'an, mahupun sahabat solah. Biarlah saya kehilangan seribu sahabat lain, asal saja dia masih ada, walau sebenarnya jauh daripada nyata. Ya, saya rindukan sahabat al-Qur'an dan sahabat solah saya. 

Comments

Anonymous said…
Berjarak dari pelbagai dimensinya sering mengajar erti rindu. Refleksi yang dilakukan sering menyebabkan ada ombak yang meronta dalam dada yang harus diladeni dengan penuh sabar. Namun, semakin dimengerti mengenai makna sesuatu. Walau apa pun, dia juga tahu, malah amat tahu, bahawa dia tidak bersendirian dalam rindu itu. Walau jauh dari nyata, tetap wangi dan harum yang singgah di jendela.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Ya, ia kian tumbuh. Sdr sangat memahami. Terima kasih.