Beberapa hari dan minggu terkini, Sdr pasti berfikir-fikir untuk melakukan ibadah qurban sempena kedatangan 9 Zulhijjah. Sdr akan melakukan qurban tahun ini? Tahun lepas juga? Tahun hadapan? Menurut Ustaz Dhuha kami hukum berqurban adalah sunat mu'akad iaitu sunat yang sangat dianjurkan kepada mereka yang berkemampuan. Hukumnya wajib bagi yang berkecukupan mengikut Hanafi. Maka asuhan Ustaz, berazamlah untuk berqurban setiap tahun dan ia merupakan salah satu jalan kita bersama-sama si faqir. Juga bersama-sama keindahan ibadah ini adalah hasrat berqurban dalam lapangan lain juga. Apakah itu? Adakah kita bersedia berqurban untuk benar-benar melindungi aurat? Adakah kita sanggup berqurban masa untuk al-Qur'an dalam kesibukan kita melebihi 24 jam sehari? Adakah kita siap berqurban untuk mengawal solah dalam himpitan kerja yang tidak kenal garis keupayaan? Adakah kita sebetulnya mahu berqurban meninggalkan keseronokan dunia yang berkali-kali dikatakan al-Qur'an, penuh tipu daya? Saya teringat baris-baris oleh Ali Syariati, qurbankan Ismailmu. Saya memasuki ruang kesaksamaan, sebetulnya berqurbankah saya?

Comments

Anonymous said…
Saya juga sedang merencana untuk melaksanakan ibadah qurban dimana pada tahun ini. Sememangnya sekitar 10 tahun kebelakangan saya sudah tidak lagi melakukannya di tanahair sendiri, dengan andaian lebih ramai umat yang lebih miskin dan fakir di tanah lain. Ini pun satu perspektif yang barangkali tidak menepati tanggapan patriotisme. Dari satu perspektif lain yang lebih progresif adalah soalan-soalan sdr mengenai sudah berkorbankah saya dalam aspek-aspek yang sdr bariskan. Justeru, membawa saya untuk lebih cenderung berintrospeksi seperti saran Ali Shariati tentang qurban.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Terima kasih. Benar, qurban itu hampir melanggar banyak sempadan tradisi mahupun konvensi, geografi malah. Ia juga ternyata mengundang tafsiran yang lebih transendens. Justeru banyak sekali yang harus disaksamakan.