Surah Dhuha, membawa banyak terjemahan. Saat nenda terbaring di Hospital KTP, saya pernah menemaninya dengan surah pujukan ini (entri 28 Januari 2013).  Dan lebih agung kisah bujukan ini adalah kesedihan Rasulullah yang berasa berjarak dan ditinggalkan, setelah sekian masa tidak menerima perutusan daripada Allah. Dan pasti hanya Dia Maha Tahu mengapa berlakunya jeda. Galaunya hati Rasulullah itu seperti dapat saya terjemahkan apabila ketika yang sama saya rasa berjarak dan ditinggalkan menunggu, ya pada saat Dhuha. Mahu memujuk sendiri, saya membaca berkali kali surah ini. Mahu belajar lebih lagi untuk bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurnia kala saya bingung atau berasa kurang. Sedang bukankah sudah saya diberi sekian tuntunan dan kecukupan. Subhanallah. Saya mahu mula menghentikan segala rasa berjarak atau ditinggalkan pada setiap waktu Dhuha datang, dengan doa agar dilerai segala perihal menanti dan menunggu yang kian mengikat. Saya mahu seperti sebelumnya, bersimpuh sendiri di atas sajadah sedang matahari naik sepenggalah. Terima kasih Suz, foto indahnya. Ia juga persis latar Dhuha yang redup pagi ini.

Comments

Anonymous said…
Saya amat gelisah, resah dan gusar saat tidak dapat menyertai kebiasaan untuk bertakarrub. Seperti penantian, sentiasa berasa berjarak dan bersalah. Tentunya pengalaman sdr dapat saya selami dan rasai sedalamnya.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Terima kasih atas pengertiannya. Tidak banyak yang dapat berada di samping saat diperlukan kerana himpitan masa. Cliche.