Melihat buku kira-kira AM di rumah yang banyak bertanda merah, membawa saya kembali ke kerusi sekolah. Saya juga seperti AM yang sering gagal dalam ujian matematik. Saya tidak tahu apa yang diajar guru, faedahnya untuk masa depan saya, ketika itu. Sekarang memikirkan dungunya saya terhadap kira-kira dalam kehidupan, saya menyesali pernah mengecam mata pelajaran itu malah selalu mencela kerja rumah yang tidak masuk akal. Ya, sekarang hampir usia  separuh abad atau mungkin saja tinggal sedikit bakinya, saya menebak saya akan jadi bijak menilai apa yang berlaku dalam masyarakat sekarang jika saya menguasai ilmu kira-kira di sekolah dahulu. Misalnya menjawab persoalan, mengapa wang yang diperoleh daripada hasil kerja harus saya berbahagi bukan sahaja untuk ibu bapa malah kerabat, sahabat, anak yatim, faqir, mereka yang meminta-minta atau  juga yang tidak. Dengan hukum matematika, mungkin saya lebih faham mengapa zakat yang sudah disalurkan, maka tidak akan ada lagi kesengsaraan. Mungkin juga dengan saya menguasai buku log, saya kian mengerti mengapa orang yang punya kedudukan akan selalu kasihan pada anak yatim yang sering diulang al-Qur'an kisah tentang mereka. Saya juga percaya, dengan mendalami hukum tiga sudut kos, sin dan tangen, saya akan bersetuju bahawa pemimpin tidak  menjadi mesin kira-kira dengan memberi jawaban yang mutlak. Subhanallah. Begitukah rupa matematik tumbuh dan menerobos masuk ke dalam derita, getir dan kian menjadi petaka raksasa dalam siratan sistem kewangan dan kemanusiaan. Begitukah? 

Comments

Anonymous said…
Seseorang menitip ayat berikut pada awal pagi ini, pada saat saya berduka kerana resah bagaimana dapat mengangkat kesukaran segolongan anak yatim,
"Kamu tidak akan memperoleh kebajikan,
sebelum kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu cintai.
Dan apa pun yang kamu infaqkan, tentang hal itu,
sungguh Allah Maha Mengetahui".
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Subhanallah. Betapa ia sebuah bujukan yang sangat ampuh.