Si Unggas ini juga

Saya pernah diminta ketua agar memastikan mahasiswa sentiasa dahagakan ilmu dalam kuliah. Juakkan semangat mereka untuk membaca, menggeledah dan terus tumbuh dengan ilmu. Ya, saya cuba dan saya seakan melihat cahaya itu dalam kuliah kami petang tadi. Saya memulakan perbincangan dengan foto dan penggalan video Shahnon Ahmad terkini yang kelihatan jauh uzurnya dengan simptom myasthenia gravis. Saya menyitir tentang rahmat usia. Betapa anak-anak mahasiswa saya itu masih panjang perjalanan dan sangat luas peluang untuk berbuat kebaikan. Saya mengambil beberapa wajah Shahnon Ahmad sewaktu mula bergelar Sasterawan Negara dan minta mereka melihat pula wajah pikunnya sekarang. Saya lihat ada yang mengalirkan airmata saat saya memujuk hati saya sendiri sebenarnya, berbuatlah kebaikan. Hargai perih payah ibu ayah yang menyimpan harap dan pinta agar anaknya berjaya hingga ke syurga. Sdr tahu apa yang berlaku sebaik kami tiba di puncak keharuan, tiba-tiba seekor anak tikus yang comel berlari-lari dengan gembira di hadapan dewan kuliah. Saya dan semua yang ada khususnya mereka yang di baris pertama menjerit dan melompat. Allah ya Allah, kian diusir keluar si mungil itu masih mahu menyertai kuliah kami. Subhanallah. Saya teringat kata-kata ketua kami dulu, kampus Bangi ini seperti taman haiwan yang meriah. Ada saja yang tiba-tiba akan menjengah di jendela saat kami sedang asyik mengetik atau menelaah. Aduhai! Anti klimaks sekali!

Comments

Anonymous said…
Aduhai...rindu dengan kampus Bangi... anti klimaks yang diluar jangkaan..moga mesej kuliah tetap sampai..
Anonymous said…
Seekor anak tikus pun, kalaulah boleh ingin diusap dengan rasa kasih. Apatah lagi seorang anak kecil yang comel dan suci. Ingin sekali mendakapnya sepenuh curahan sayang setulusnya. Namun setelah meremaja dan mendewasa, anak yang didakap, dikucup dan dibelai itu, barangkali dibentuk perubahan yang tidak kita terfikir pun. Malah mungkin bertentangan sama sekali dengan harapan dan aspirasi orang tuanya. Saya sendiri amat terusik dengan perbicaraan ibu bapa dengan anak di mahkamah Seremban sehari dua ini. Allahu akbar.. Barangkali anak tikus mungil itu apabila mendewasa lebih berbudi.. Di saat saudara membicarakan taklif anak kepada ibu bapa, tiba-tiba muncul anak tikus yang menggamatkan itu.. pasti ada hikmah yang dihantar oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous I
Silakan mampir!
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous II
Ya,di hujung kuliah saya katakan, sematkan kenangan kita hari ini betapa saya pernah mengingatkan Sdr untuk selalu bersyukur atas nikmat kasih sayang ayah dan bonda melalui si Mungil itu.
ardisia said…
Saya bermula dengan air mata tetapi dengan tiba-tiba rasa macam sedang berlari menyelamatkan diri.Kikiki!

Saya memang suka dengan karya beliau.

Saya rasa terperosok di daerah pinggir Bangi ini. Satu daerah yang tak pernah terfikir pun untuk menetap di sini.

Saya diuji dengan sedikit demam. Di kelilingi suasana bagaikan di rumah arwah mak dan ayah dulu..dengan kicauan burung, ketukkan burung belatuk pd pepohon, bunyi cengkerik dan kokok ayam sekali sekala mencelah, tak ubah seperti berada di rumah lama kami. Saya capai baju kurung Kedah arwah mak. Mata dan hati saya menangis. Allah! Sungguh saya kadang-kadang tak kuat.
Mawar Safei said…
Ardisia
Sudah di Bangi? Mungkin boleh jumpa dan minum teh.
ardisia said…
Terima kasih dengan pelawaan ini.

Dlm jarak masa terdekat ini mungkin saya tak sanggup jumpa Dr Mawar lagi.

Biarkan sedikit masa lagi berlalu. Biar saya ceria seperti waktu-waktu dulu semasa jumpa Mawar nanti.Meski pun saya perasan saya pandai berlakon tapi mata selalunya tak dapat menipu.
Mawar Safei said…
Ardisia
insya-Allah. Panjang umur kita berjumpa.