Semalam saya mengundang dua tetamu istimewa dalam kuliah. PM Dr Kamariah Kamarudin dan Dr Tengku Intan Tengku Mohd Ali, sebenarnya mereka dua sahabat peribadi menggenap sahabat akademik. Saya minta mereka bercakap soal penciptaan merentasi teori, buku dan kritikan sastera. Sebelumnya saya membuka kuliah dengan video sekitar tujuh minit tentang penciptaan - janin kepada diri kita sekarang. Mengapa saya memilih tayangan itu? Apa kaitannya dengan penciptaan dalam kesusasteraan? Saya menjenguk mata kalbu mahasiswa saya. Ini yang saya katakan, kita ini tidak lebih daripada setitis air kotor dan hina (Mursalat: 20), jadi layakkah kita menjalani hidup ini dengan kesombongan. Keangkuhan adalah suatu yang sangat menjengkelkan apabila kononnya kita mencipta suatu yang hebat. Hasil karya kesusasteraan seperti puisi, cerpen atau novel hanyalah pantulan kepada penciptaan dan Pencipta  yang lebih Agung. Apalagi dengan kejadian dari perihal yang hina akhirnya kita menjadi penentang yang nyata (Yassin: 77). Allah ya Allah. 

Comments

Anonymous said…
Saya cuba menjadi seorang penulis kecil. Namun saya bukan novelis, cerpenis atau penyair. Yang terhasil bukanlah karya besar yang memasyhurkan. Setiap kali terhasil, sering saya berasa takjub sendiri dan bermonolog, "bagaimana aku mampu menghasilkan ini?" Tiada jawaban selain saya kira menerima jawaban yang dibisikkan malaikat bahawa Allah yang memberi ilham, Allah yang menganugerah daya garap dan Allah jua yang menghadiahkan upaya pena'akulan sehingga menghasilkan sebuah karya yang tidak besar bagi orang lain tetapi buat saya yang hanya debu ini, terlalu besar. Hanya Allah yang lebih mengerti maksud luahan pengalaman ini. Benar sekali, apa yang saudara peringat lewat ayat Al-Quran itu, bahawa kita tidak miliki daya apa-apa melainkan anugerah yang Maha Pencipta.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Subhanallah. Indah sekali, bukan? Detik hati menyitir bahawa tidak ada dayanya kita ini melainkan DIA yang Maha Menguasai setiap yang ada. Begitu kita mahu bergantung seluruhnya kepada DIA. Terima kasih atas tuntunan ini.