Saya merapikan isi takwim di telefon tangan, bacaan al-Qur'an saya merentas tiga surah, ar Rum, al Luqman dan as Sajdah. Allah ya Allah. Surah-surah yang tidak berapa panjang. Saya teruja untuk memulakan Al Ahzab. Mahu menyertai bacaan orang soleh. Mahu sama-sama memaknakan baris tafsirnya juga. Saya tidak mahu ditinggalkan jauh, namun saya tidak diajar untuk tergesa-gesa dalam membaca al-Qur'an. Harus selalu tenang dan sangat menghormati. Bukankah sudah sangat sering saya bertemu dengan tepat saat Allah berbicara dengan saya menerusi ayat dan halaman surah-Nya. Saat saya memerlukan jawapan. Saat saya tidak tahu mana arah yang harus saya pertimbangkan. Dan ia akan membuat saya menangis sungguh-sungguh betapa bicara itu adalah dalil  Allah sentiasa Mengetahui sebarang lintasan di kalbu. Allah ya Allah. Bagaimanakah jika Allah meninggalkan. Pastinya perih, pedih dengan seluruh pautan kasih yang hilang. Sangat malang. Foto rakaman senja ini, mengheret saya memasuki wilayah yang sarat teka tekinya. Namun mudah mudahan saya menemui tiap satu sahutan menerusi surah suci-Nya selepas ini.

Comments

Anonymous said…
Seorang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan anjuran Islam serta sentiasa mendekatkan diri dengan Maha Pencipta tentunya dianugerahi rasa nikmat dikasihi Allah. Sentiasa diberi jawaban terhadap kekusutan dan kekeliruan. Beruntunglah saudara yang sudah terangkat darjatnya ke tahap ini. Namun adakalanya saudara diuji, itulah caranya martabat saudara akan terus diangkat menghampiri redha Allah yang Maha Hebat. Alhamdulillah.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Ini antara jalan penyerahan saya.
Terima kasih atas perhatiannya.
Qurratul Ain said…
Semoga kami anak-anak muridmu menemukannya di antara helaian kitab agung itu, Dr Mawar. Semoga kemudaan kami ini dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Mawar Safei said…
Ananda QA yang dikasihi,
Insya-Allah. Betapa irinya saya dengan kemudaan. Alangkah saya dapat mengulang dan melaluinya dengan lebih baik. Ya, benar. Raikan, manfaatkan.