Rahmat. Dia memang lelaki yang dirahmati. Saya menyenangi air mukanya yang jernih dan senyuman yang sangat jelas terbit dari kalbu yang tulus. Membawa saya kepada wajah yang mengasuh saya menjadikan al-Qur'an sebagai sahabat sukma. Meraikan kami  dengan pemerihalan cerita perusahaannya di Cheras, saya merakam pena'akulan dalam diam. Hormatnya dia terhadap al-Qur'an sangat memberi kesan di mata kalbu. Subhanallah. Saya tidak dapat membayangkan seluruh rahmat Allah ke atas diri dan upayanya memelihara mukjizat surah firman Allah. Sesekali saya menjeling AM yang sudah masuk al-Qur'an ketiga kerana sebelumnya rosak dan koyak. Saya menoleh Z yang pasti akan lebih akrab dengan bacaan al-Qur'an di penjuru sofa merahnya. Allah ya Allah. Betapa bersyukurnya apabila sahabat saya, Dr R dan suami turut membawa kami menyertai projek kecil ini. Kami ternyata masih berusaha mengumpulkan baki biaya untuk tujuan penyempurnaan berpulangnya al-Qur'an ini. Mudah-mudahan Allah menuntun jalan.

Comments

Anonymous said…
Mena'akuli tulisan ini, ternyata ada jalan ke syurga yang sedang dirintis bersama watak-watak yang dicatatkan. Seandainya ada keyakinan terhadap kenalan yang bertulus hati, wajar diundang bersama menelusuri jalan ke syurga ini. Semoga sudi berbahagi dengan rakan yang dikenali pola sukmanya.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Sangat mahu memberi ruang kepada mereka yang bertulus hati. Namun sering juga tiada sahutan dan segalanya akan hanya seperti angin. Datang dan pergi.
Anonymous said…
InshaaAllah, ada segelintir pilihan Allah untuk menyertainya.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Mudah mudahan. Saya terus bermohon kepada-Nya....