Si Putihku


Fakulti sangat sunyi bermula Jumaat lepas. Cuti singkat pertengahan semester masih digunakan mahasiwa untuk pulang ke kampung halaman. Aneh. Perkara yang jarang saya lakukan semasa bergelar mahasiswa lebih 25 tahun lalu. Biasanya seminggu begini saya gunakan sepenuhnya untuk banyak kerja yang tertangguh. Dan saya jarang mengambil cuti. Mengapa? Selain kedamaian yang luar biasa, waktu inilah pelbagai unggas akan hinggap di luar jendela saya. Dan Sdr tahu, termasuk si Putih yang mula kerap melayah malah dengan mesranya singgah. Pernah, saat azan Asar begitu indah dibawa angin, saya melihat si Putih berdiam seperti turut meraikan suara sang Bilal. Ketika itu saya dengan seluruh keasyikan menerima dia sebagai sahabat yang selalu saya tunggu. Dialah sahabat yang memahami detik saya memerlukan teduhan dan perhatian. Sekian panjangnya masa saya sering tidak mahu menitip harap di sayap cantiknya. Kerana saya tahu sebentar dia akan pergi lagi dan apa yang berbaki hanyalah kesendirian kembali. 

Comments

Anonymous said…
Demikian juga saya yang sentiasa merindukan mentari senja yang indah yang seakan menyapa pada aras yang sama untuk pulang. Bagai ada ungkapan janji untuk bertemu lagi pada keesokan harinya. Mentari senja yang menyapa, merendah pada aras terletaknya tempat bekerja, yang mengucapkan selamat pulang hingga bertemu lagi. Ternyata, senja sering menjadikan hati merasa pilu.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Alhamdulillah. Kita mempunyai sahabat yang selalu ada.
ardisia said…
Ya..selalu ada.
Mawar Safei said…
Ardisia
insya-Allah..selalu ada.
ardisia said…
Si Putih ini mengingatkan saya kepada si Putih saya, Sweety Notti. Bezanya Sweety adalah seekor kucing.

Kesian sungguh dia. Saya tak mampu nak bawa dia bersama ke Bangi. Kak Long tak bagi.Mungkin ada hikmahnya sebab saya demam dekat seminggu.

Sweety bagai tak benarkan saya balik. Saya faham. Dia pun turut bersedih, sama dengan adiknya Messi Notti.

Mereka dah tak dapat masuk ke rumah arwah mak. Jika malam2 dulu mereka dibenarkan tidur dalam rumah sebab tak buat hal.

Sekarang mereka terpaksa tidur di luar rumah. Kadang2 tidur dan menyorok di atas atap bilik arwah mak.

Moga saya mampu membela mereka di sini nanti. Mereka dah saya mandulkan. Saya dah pesankan pada mereka, perlu pandai jaga diri sebab hidup kami telah pun berubah 360 darjah.
Mawar Safei said…
Ardisia
Nama-nama kucing yang lucu.
Saya pasti mereka memahami.