Selain puisi Kekasih yang masyhur, saya sangat senang membaca himpunan puisi UA dengan menjejaki latar pangkal kehidupannya. Sangat mengilhamkan tatkala keluk jalan murba yang didepani, seperti turut membawa nurani saya. Ternyata UA kembali menyertai kami di Bicara Mengenangnya di IDE, bersama-sama Prof Muhammad, Dr Syed Hussin, Pak Suratman, Kanda Lyna dan Ibu Ken Z. Saya seperti menghidu pekat angin berbaur garam dan batu karang dari Sedili. Subhanallah, saya mahu lebih dalam mengenali  kalbu lelaki pantai, lelaki laut ini. Cintanya bukan hanya terbang dan hinggap seperti camar yang melayah, tapi terus singgah di dada sang murba, ya rakyat gembel:

Sebab dalam kesaktian mereka bisa mengemudi payang;
Semua telah berpadu seperti air dan garam di lautan.
Hanya wajah-wajah tua ketika musim tengkujuh
Serupa daun-daun berguguran seluruh jadi rapuh,
Pintu maut sedang terbuka dari perut laut gemuruh.
(Kuala Sedili)

Comments

Anonymous said…
Meski sewaktu saya masih anak sekolah menengah sudah begitu sering membaca dan menjiwai puisi Almarhum UA, namun tidak pernah puas menyelami maknanya. Saya sangat berpegang dengan konsep intelektual yang saya yakini, bahawa UA adalah seorang intelektual tulen. Barangkali demikianlah seorang anak yang mendewasa dengan pantai, laut, ombak, camar, nelayan dan perjuangan hidup, jiwanya sentiasa resah melihat ketaksaksamaan di sekelilingnya, lantas bersuara dengan berani dan tekal untuk membela, dengan bahasa yang difahami khalayaknya, dengan mengenepikan kepentingan sendiri. Meski tidak pernah bersua muka, saya merasakan dua lelaki pantai dan laut ini bersatu sukmanya. Demikianlah UA yang saya sanjung seabadinya.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Jadinya Sdr juga adalah Lelaki Pantai, Lelaki Laut. Menarik sekali. Salam kenal. Terima kasih atas ziarahnya.