Letakkan tangan Sdr di atas meja. Semua mahasiswa akur. Saya seperti guru disiplin yang memeriksa kuku dan tangan, memastikannya bersih. Semua para pelajar saya meneliti tangan masing-masing, seperti mereka telah meninggalkannya lama dahulu. Semalam kami bercakap tentang perkembangan kesusasteraan Melayu dekad 50-an. Pertentangan hidup antara proletar dengan borgeois. Perihal keangkuhan dengan derita yang melata. Bagaimana kemudian saya mengheret mereka masuk ke ruang kerendahan hati untuk mengadili bangsa proletar, marhaen, murba. Kasihani mereka dengan memberi. Lihatlah tangan Sdr sekarang. Sudahkah Sdr memberi hari ini. Jika ya, tanyakan tangan Sdr yang memberi itu tentang ihsan. Tentang menjadi ikhlas. Tentang hakikat bahawa keenakan memberi itu adalah Sdr mensyukuri seluruhnya apabila dihidupkan semula setelah kematian, dan saat itu yang mahu Sdr lakukan tidak ada apa selain mahu memberi dan memberi. Saya melihat mata anak-anak murid saya yang jernih. Mudah-mudahan mereka menyertai hati orang tua ini.

Comments

Qurratul Ain said…
Memberi juga adalah menerima, bukan Dr? Kita dapat apa yang kita beri.

Hari ini Hari Wanita Sedunia- 8 Mac - Selamat Hari Wanita sedunia, Dr Mawar. Semoga menjadi wanita yang berani, santun dan muluk budi.

"I'm a woman phenomenally.Phenomenal woman,that's me." - Maya Angelou

QA.
Mawar Safei said…
QA
Terima kasih ingatan dan doanya.
Reaksi saya cliche ya.