Antara kesyukuran, lingkaran hidup saya yang kecil ini dipenuhi dengan ramainya mereka yang pemurah, yang punya hati yang selalu cinta akan memberi. Daripada ahli keluarga, arwah nenda dan datuk di Temasek kepada arwah bonda mertua yang masing-masing mempunyai seni dalam memberi. Di samping sanak saudara, saya juga didatangi teman dan sahabat yang sedemikian. Lengkap memberi dalam kalangan keluarga, mereka akan meneroka pelosok mana lagi untuk berinfaq. Ada seorang sahabat yang pantang menerima berita pihak yang memerlukan dia akan mula bertindak. Masya-Allah tabarakallah. Seorang sahabat jauh seberang benua, yang sanggup berlari mendapatkan yang meminta-minta untuk memberi. Ada teman yang menyua dalam diam ke dalam saku atau kantung akaun yang memerlukan. Ada pula zakatnya melimpah ruah. Seorang lagi sahabat yang mempunyai tabung sadaqah sendiri, memenuhinya setiap hari walau sepuluh sen lalu diserahkan kepada yang memerlukan pada hujung bulan. Berbahagilah dengan saya pengalaman memberi sdr. Ia adalah keindahan.  Ia adalah hanya buat-Nya.

Comments

Anonymous said…
Meminjam ungkapan saudara yang sering dicatat, kita ini hanyalah sebutir debu yang berterbangan dan kita adalah miskin. Kita memiliki segala yang ada hanyalah pinjaman oleh Yang Maha Pengasih, sekaligus menguji kita sama ada kita sedar atau alpa. Alhamdulillah kerana saya juga seorang murba yang sentiasa diperingatkan tentang hakikat.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous,
Terima kasih. Ya, sayalah si debu dan si miskin itu. Mudah-mudahan kita terus diperingat menuju detiknya...