Selasa merupakan hari lumba lari untuk semester ini. Kuliah saya dari pagi hingga ke petang. Letih? Tidak sama sekali. Semakin tua saya kian senang mendampingi anak-anak murid. Saya mahu berbahagi kisah muda saya. Apa yang tidak harus diulangi atau apa yang sudah saya perbuat mungkin daripada cuplikannya dapat diambil sebagai ibrah. Apa sebagai orang tua yang saya fikir terbaik untuk anak-anak. Menyudahkan slaid peraturan dan pantang larang dalam kuliah minggu ini, ia termasuk bersih. Pelajar baris paling hadapan cepat menyebut bersih hati. Ya itulah maksud sebenar. Bukan hanya tubuh badan yang tidak berbau, pakaian yang berbasuh atau catatan nota yang rapi, hati juga harus dipastikan tulus. Satu susuk wajah yang bersih membayangi sejak dalam dewan kuliah petang tadi. Pohon sukma yang redup.  Mata kalbu yang jernih. Sangat mengilhamkan untuk berbuat kebaikan sepertimana dia. Aneh, dalam mengenangnya, saya separuh iri separuh tergenang. Hampir air mukanya tidak beriak, berkocak dengan apa yang datang hatta puting beliung - saya.

Comments

Anonymous said…
Semasa saya bertugas di kampus cawangan hampir 30 tahun yang lalu, ketua saya seorang ilmuwan, akademiawan dan intelektual mengajar biologi. Biarpun seorang biologis, pemahaman dan pandangan dunia Islamnya sangat jelas. Begitu perspektifnya terhadap nilai dan darjat ilmu. Justeru, beliau amat mengutamakan konsep 'bersih' dalam proses menuntut ilmu dan berguru. Seandainya beliau mendapati pelajarnya datang dengan 'berselipar jepun', disuruh pelajar itu pulang ke asrama dan menukarnya dengan kasut yang teratur. Baginya selipar jepun sering digunakan untuk ke tandas bukan tempat memuliakan ilmu. Demikian, beliau mendidik pelajar-pelajarnya dan sehingga kini, beliau terus dikenang sebagai seorang guru yang mendidik ilmu bukan sekedar penitip maklumat. Saudara juga saya dapati, persis guru yang pernah saya bersama dalam perjuangannya semenjak 30 tahun yang lalu. Yang mampu membaca bahasa sukma orang lain dalam jalur perjalanan membahagiakan sesiapa dengan ilmu yang terus mendidik.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Terima kasih kerana berbahagi cerita yang membahagiakan. Alangkah jika saya dapat mengenali sarjana "bersih" itu dan turut menjadi anak muridnya. Benar, bagi saya guru itu harus menuntun banyak jalan dan salah satunya adalah menumbuhkan jiwa anak muridnya menjadi lunak dengan kemanusiaan serta menyantuni tiap situasi dengan saksama. Jadi Sdr juga akademia ya?
Anonymous said…
Bukan, saya bukan daripada golongan elit akademia. Saya hanya sang murba yang menyaksikan tingkah kelompok akademia dan bukan akademia seperti saya. Saya gemar mena'akul gelagat mereka dengan mata sukma. Apakah mereka guru yang mendidik atau sekedar penitip maklumat yang kaku atau hanya mentadbir mengikut arus lesu di sebalik pelbagai gelar yang mengisytihar bahawa mereka adalah cendekia dan yang menghuni sebuah institusi ilmu.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Subhanallah. Kata-kata Sdr membangunkan hasrat saya lebih menjulang untuk mendidik, menuntun anak-anak murid saya. Terima kasih sedalamnya.