Foto yang berulang

Tahun baru lagi. Sekian lama saya tidak meraikan tahun baru. Namun semuanya mengharap tahun baru ini lebih baik daripada sebelumnya. Ya, ikrar saban tahun dipasang, mungkin juga saban bulan atau minggu atau setiap hari kita perbaharui ikrar untuk jadi lebih baik. Sedang kenyataannya, banyak yang dilanggar. Apa agaknya pesanan al-Qur'an untuk istiqomah dalam perjalanan menjadi lebih baik sedang kita selalu mungkir. Saya menemukan Fushilat: 6: Aku ini hanyalah seorang  manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu beribadah kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Subhanallah. Sedang orang lain membuka kertas takwim baru, saya masih menyelak helaian Disember, apa yang saya pernah abaikan. Dengan usia lelah, menuju hari baru ini saya dengan tekad mahu tetap dalam ibadah dan pengampunan. Sedang saya ini tidak lebih daripada hanya debu yang berterbangan.

Comments

Qurratul Ain said…
Assalammualaikum wbt Dr. Kebetulan sedang membuka blog, catatan Dr terpapar di ruang "following" saya. Selamat tahun baru saya ucapkan. Ayat Surah Fushilat Dr petikkan membuatkan saya melakukan perenungan diri. Allah ya Allah, moga kita semua selalu diberikan peluang untuk memohon ampunan kepada-Nya, Maha Mengampuni. Semoga segala urusan Dr tahun ini dipermudahkan. Sehingga kami bertemu Dr lagi di semester hadapan, Insha-Allah.

Qurratul 'Ain.
Mawar Safei said…
Anakanda QA
Wa'alaikumussalam. Terima kasih atas ingatan dan doa; yang sama buat QA.
Insya-Allah hingga jumpa.
Anonymous said…
Gambar hiasan yang mengiringi catatan puan amat menyentuh, kerana yang terpapar merakam cerita lara dan mendorong pena'akulan yang mendalam bagi yang sentiasa mena'akulnya. Syukur alhamdulillah Allah menganugerahi fitrah untuk sentiasa mena'akul. Terima kasih kerana puan memaparkan gambar ini.
Mawar Safei said…
Sdr Anonymous
Ya, banyak bacaan daripadanya.
Dia seperti sedang berada di wilayah juang yang menuntutnya jadi bertabah hati, cekal malah berani dengan tangan kecil dan kaki yang berat untuk diseret. Dalam kumal, lusuh dan lelah, dia sangat mengharap dapat menuju satu arah. Sedang dia hanya debu, dia kelihatannya seperti debu ya?