Antara kenyerian saya adalah kehilangan. Ternyata dalam mencongak-congak, banyak kehilangan yang sudah saya lalui sepanjang hampir setengah abad ini. Ternyata ia bukanlah satu keanehan. Namun kehilangan sering membentangkan kehibaan yang bukan sedikit. Dalam jalan takdir saya, sudah serik rasanya untuk mempunyai sebarang haiwan peliharaan. Pernah mempunyai kucing kesayangan (kucing pertama saya, si putih bermata biru), saya pernah berjanji untuk tidak memiliki mana-mana haiwan peliharaan selepas si putih menghilangkan diri hingga ke akhirnya. Kebetulan juga Zahar adalah ahli kelab  anti kucing. 

A dan A

Namun pintu takdir yang tidak dapat dikunci, Ali dan Ahmad hadir dalam hidup saya sejak 2016. AM yang kononnya mahu belajar untuk bertanggungjawab, akhirnya menyerahkan kerja merapi kotak A dan A kepada saya. Malah A dan A saya letakkan di penjuru belakang rumah berhampiran ruang saya  memasak setiap hari. Mereka teman saya berbual dan menuang perasaan juga. Penat dengan karenah AM, saya selalu menganggap A dan A adalah anak kedua dan ketiga. Saya akan membacakan doa ketika jam makan pagi dan petang. Saya mula mengasihi mereka. Sehingga saya memikirkan bagaimana suatu hari, saya harus menerima kenyataan A n A tidak dapat saya lihat seperti selalu. Zahar kata sebelum saya pengsan kerana kehilangan A dan A, ada baiknya saya bersedia awal. Allah ya Allah. Saya sedang belajar untuk melepaskan, meleraikan tambatan ini. Perlahan-lahan. 

Comments

Syahirah Hamdan said…
Terima kasih Dr. Mawar atas tulisan-tulisan yang sentiasa menenangkan. Sejak zaman sekolah, sehingga sekarang sudah semester lima di universiti. Moga satu hari nanti saya dapat bertemu dan belajar menulis dari Dr. sendiri.
Mawar Safei said…
Sdr Syahirah,
Subhanallah. Saya sangat terkesan dengan ziarah dan catatan ini.
Terima kasih kerana terus ikut. Mudah mudahan ada manfaatnya.
Insya-Allah, mahu sekali berjumpa.
Syahirah Hamdan said…
InshaAllah, sangat ingin bertemu.

Saya sudah lama berhajatkan ini- barangkali kalau Dr. Mawar berkelapangan, boleh saya kirimkan tulisan cerpen untuk dibaca dan dikomen?
Mawar Safei said…
Sdr Syahirah lagi,
ya silakan.
Terima kasih.