Benar. Setiap hari saya bersalawat. Dan setiap kali itu saya merindui Rasulullah. Saya pernah bertanya kepada dua lelaki di rumah, apa episod kehidupan Rasulullah yang membikin hati mereka sebak. Zahar akan kekal menjawab saat Aisyah melempar piring berisi kurma sebagai protes dan cemburu lalu Rasulullah mengutip kurma yang jatuh dan menggantikannya dengan piring yang baru. Subhanallah. AM pula mengingat kisah Rasulullah mohon agar bukit tidak menghempap penduduk Taif yang enggan beriman kepada Allah. Malah Rasulullah mohon petunjuk buat mereka dan berdoa agar baginda sendiri dapat terus bersabar. Subhanallah. Dan saya akan selalu mahu menangis apabila mengenang betapa pemaafnya Rasulullah. Saya teringat kisah bagaimana Rasulullah menyuap makanan kepada seorang pengemis yahudi buta yang sekian lama membenci baginda. Dia hanya tahu pemilik tangan yang memberinya makan selama ini adalah baginda Habibullah, setelah kewafatan baginda.


Sejak semalam di masjid-masjid yang kami singgah, sedang meriah dengan sambutan maulidur Rasul.  Tahun ini sebak saya bertambah dengan kekeliruan tentang tarikh 12 Rabiul Awal. Ia bukan tarikh kelahiran sebaliknya kewafatan? Malah kita tidak perlu meraikan tanggal 12 Rabiul Awal itu? Saya jadi keliru dan pastinya ia membuat saya menangis lagi.


Comments

ardisia said…
Saya akan selalu ingat kisah Rasulullah menegur Abu Hurairah, ada apa dalam lengan baju? Anak kucing.