Antara sakitnya mata dan hati sebagai guru apabila anak murid masih mengulang-ulang kesilapan yang sama semasa menyelesaikan tugasan bertulis.  Saya pula guru kepada anak murid yang sudah besar panjang. Mereka mendaftar dengan tiket pelajar yang bijak dan matang. Namun apabila berada di sini, di universiti, semuanya akan teruji. Aduhai, kuliah saya berkaitan Pengajian Melayu menuntut mereka mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi. Bahasa itu bukan sahaja ditutur, ditulis tapi sebenarnya ia datang dari fakulti fikir dan pena'akulan yang tekun dan mendalam. Bercakap dengan teman-teman yang sebaya pula, saya semakin jarang  bertemu dengan mereka yang mempunyai kekuatan berbahasa yang terpuji. Ya, jarang dan ia sangat malang. Bahasa kita banyak digoda oleh penyalur teknologi, semuanya mahu dipenggal dan hasilnya adalah bunyi dan rupa yang sangat hodoh. Benar ya begitu? Sehingga kehormatan terhadap bahasa sendiri, saya rasakan kian mati. Memang sadis. Namun pada masa yang sama, saya terpukau dengan mereka yang mampu berbahasa dengan kata yang lengkap tanpa dikerat-kerat terutama ketika menulis (sms, wassap, telegram). Bahasa yang turun dari fikiran yang jernih dan sangat meneduhkan. Dan ia tidak pula bermakna tidak mesra, malah ia membawa dalil penghormatan. Bayangkan kejengkelan menerima ucapan terima kasih  menerusi penggalan tkasih, tk, jzkk, tq. Di mana letak rasa syukurnya?

Comments