Hampir 14 tahun lalu apabila membuat keputusan membeli rumah di hujung dunia ini, saya pernah membayangkan jauhnya kami daripada jalan utama. jauh daripada lebuhraya. sangat sayupnya rumah kami dari Kuala Lumpur. dan amannya! namun sekarang, setiap pagi dan petang saya berada di belakang deretan kenderaan yang panjangnya kadangkala mencecah dua kilometer. sesak! apalagi musim panas, musim air mula dicatu dan angin kering selalu membawa hawa rengsa. rumah kami sekarang sudah dihimpit simpang dan jalan taman perumahan yang berharga jutaan ringgit. saya sering terkejut dengan papan tanda gergasi yang dipasang malamnya, memberitahu kami keesokan pagi, ada rancangan perumahan baru di sini. dalam kesibukan rumah mahal di merata tempat, dalam sesak dada menempuh jalanraya, pagi ini terkesannya saya melihat seorang pemandu keluar dari kereta, menyelamatkan anak kucing yang terpinga-pinga di tengah jalan. Allah, saya selalu meyakini  masih banyak yang berhati mulia walau saya semakin hilang rasa percaya  ...

Comments

Anonymous said…
Salam,

Menemukan ini dalam satu narasi yang tak selesai (sepertinya sepucuk surat):

"Entahlah, Nor! Apa yang dapat kulakukan selain kebaikan? Kau mahu percaya atau tidak, terpulanglah."

Apa agaknya yang tertuang pada paragraf akhir surat itu, Dr Mawar?

Kalau jawab saya, "Entahlah, Nor!"

dengan hormat,
NB
Rositah Ibrahim said…
suatu pagi, jalan raya sesak seperti kebiasaannya, saya kehairanan kerana kenderaan di hadapan berturut-turutan membuat sedikit lencongan. Rupa-rupanya mengelakkan anak kucing kesesatan yang mengiau nyaring-cemas di tengah-tengah jalan.
Mawar Safei said…
NB
apa lagi yang mahu kita percaya kalau sudah "kebaikan" yang diakuinya?
banyak yang kita tidak tahu keluknya hati manusia. mungkin sahaja kita harus percaya atau sebaliknya bersangka-sangka, sedang Allah yang Maha Merapikan apa yang ada di dalam sana...
Mawar Safei said…
Itah,
tak sempat keluar kereta untuk selamatkan si comel ya? kasihannya dia.