Dua minggu ini nenda ditempatkan di aras 8 Hospital Khoo Teck Puat, yang menurut Zahar hospital terpermai pernah dilawatinya. dengan kehijauan, aliran air yang menghuni bersama para pesakit serta angin yang keras namun seperti mahu meloloskan lara, kepedihan mahupun kesendirian di katil yang hanya bertemankan misi dan ubat. berselang seli kadang kala ada sekumpulan anak muda dengan cello dan biola, datang mengalunkan muzik di tubir kolam aras bawah. getarnya dibawa angin sampai ke paras atas. untuk sebulan ini hilang ingatan nenda dan kami mengandai-andai bahawa ia petaka alzheimer atau dementia. rupanya isyarat Tuhan yang selalu mahu membantu, kami diberitahu nenda berdepan dengan brain tumour. ia sudah lama bersarang dan ternyata nenda begitu dapat bertahan tanpa apa-apa tanda. ya Allah, nenda ternyata sudah tidak dapat menyebut nama saya. namun suatu pagi sewaktu giliran saya mengawasi nenda, saya bacakan ad dhuha berkali-kali tanpa jemu di bahu nenda. demi matahari sepenggalahan naik dan demi malam yang apabila telah sunyi, Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada pula benci kepadamu. dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan). dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu hatimu menjadi puas. bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk. dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan lalu Dia memberikan. sebab itu terhadap anak-anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. dan terhadap orang yang meminta-minta janganlah kamu mengherdik. dan terhadap nikmat Tuhan, maka hendaklah kamu siarkan. saya menoleh nenda lama, saat mahu meninggalkannya dan berjanji dari jauh untuk datang lagi, dengan izin-Nya.

Comments

RayyanZilfi said…
Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan, dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.

"Ya Allah, Tuhan yang memelihara manusia, hilangkan kesusahan ini, sembuhkan dia. Engkaulah yang Menyembuhkan, tidak ada suatu penyembuhan kecuali penyembuhan Engkau, sembuh tidak diiringi sakit lagi." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Ya Allah Ya Tuhanku, Ya Rohman Ya Rohim, sembuhkanlah dirinya, hilangkanlah kesakitannya, rahmatilah nenda sekeluarga.
Mawar Safei said…
Rayyan
saya sebak.
terima kasih saat doa kami perlukan buat nenda yang dikasihi, Saronah Masiman.


imlan adabi said…
Moga Allah berkatinya
Mawar Safei said…
Sdr Imlan yang baik
amin ya Rabb.
sewaktu menulis ini, ternyata nenda sudah selamat pulang ....