Posts

Image
Umur saya tinggal sedikit lagi; maka dengannya saya bersyukur.  Terima kasih atas ingatan sahabat yang menitip pesan untuk mengingat  akan baki angka. Mudah mudahan saya dapat lebih taat. Insya-Allah. 
Image
Hujung minggu, menemani AM mendapatkan rida', saya menahan sebak. Terus disangkut di bahu, rida' warna kesumba pilihan Bapak, AM kenakan bersama jubah putih untuk solah Maghribnya di musolla. Allah ya Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengatur tiap gerak hasrat manusia, daripada AM, anak yang sebelumnya bergaya ranggi, sekarang dia lebih senang menyarung kurta atau jubah. Bacaan dan gerak solah yang kian tertib, mana mungkin tidak membuat sebak saya mengguncang dada. Ikut Rasulullah, anakku, ikut jejaknya. Ikut cahaya itu untuk ke syurga, terus istiqomah.
Image
Terima kasih atas kesudian untuk menyertai kami. Allah merahmati.
Image
Antara kesyukuran apabila dapat berjeda di surah ke-114, menyatukan tangan di dada dan berdoa sungguh-sungguh. Kesyukuran seterusnya saat dapat memulakan kembali al Fatehah, di muka hadapan. Ya sekali lagi syukurnya diberikan keluasan masa dan umur untuk mengulang baca al Qur'an, sahabat karib itu. Apa lagi kesyukuran yang berganda, kita tidak sendiri ketika di halaman akhir dan membaca sekian kali al Baqarah. Saat ada yang menyertai lagi, bacaan, terjemahan, tadabbur dan iktibar, menjadikannya satu garis perjalanan nurani yang menakjubkan. Saya berdoa lagi mudah-mudahan perjalanan kami kali ini aman, tidak ada ribut taufan dan dalam keredhaan. Semoga.
Image
Menyaring dari al-Hikam,  sengaja saya memilih bab 233 Ilmu yang Bermanfaat . Antara baris mulanya dicatat, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang sinarnya melapangkan dada dan cahayanya menyingkap hati. Subhanallah. Saya melihat cahaya yang indah dalam kalangan mata mahasiswa ketika saya membacakannya di hadapan dewan kuliah. Membaca kesusasteraan dengan sodoran ilmu seperti dalam Kecelakaan si Pemalas, hampir satu kurun, cerpen Melayu menganjurkan tuntutan berilmu. Segala yang jahat ditutup dengan sinarnya. Segala rahasia yang selama ini terhijab, kita temukan hikmah kejadiannya. Semuanya kerana dasar ilmu yang menuntun lalu menjadi amalan. Saya memberitahu mahasiswa juga nikmat ilmu itu wajar disebar kerana dengannya kita lebih belajar.
Image
Sepanjang petang yang lapang. Beginilah kampus jika menuju cuti hujung minggu yang panjang. Usai kuliah saya menjelang Zuhur, saya menyelinap ke ruang sendiri. Menyudahkan apa yang ada di atas meja kerja, menjinjing sebahagian untuk dibawa pulang. Ya, bukan cuti sebenarnya, banyak kerja membaca dan menulis yang harus dirapikan sebelum minggu baru bermula lagi dengan pelbagai ceritanya. Semester baru saja bermula dan saya tidak dalam semangat cuti. Saya tidak berhasrat menyertai jalanraya yang penuh juga.  Memang aneh apabila rutinitas tidak lagi seperti selalu. Tapi memang begitulah nantinya. Kita akan ditinggal pergi. Mendoakan semua yang keluar kota, dirahmati dan berbahagialah. 
Image
yang dirindu Ia tidak mudah diucap kerana tidak ada bunyi yang berupaya mengganti Ia tidak mudah juga ditinta kerana tidak ada aksara yang mampu mewakili Ia tidak mudah lagi dilakar kerana tidak ada garis yang cukup dapat menukar Benar, ia hanya mampu mengisi dada ia pintar menahan getar ia sanggup membendung bingung ia terdaya menghadap lara walau lara itu adalah yang indah.
Image
Semester baru, semester kedua bermula hari ini. Kuliah saya pada setiap Selasa dan Khamis. Seperti selalu, rasanya saya sangat teruja untuk bertemu mahasiswa dengan perihal baru dalam kuliah yang saya kendalikan. Semester ini saya mahu mengajak mahasiswa bersahabat dengan kitab Syekh Ibn 'Athaillah ini, al Hikam . Pertama kali saya mengetahuinya menerusi kajian disertasi mahaguru saya, Dr Shafie Abu Bakar    (ramai yang beranggapan saya anakanda Dr Shafie ). Begitu akhir-akhir ini saya sering dititip baris kata yang sangat mengilhamkan dari kitab penuh kebijakan ini. Menerusi mata pelajaran kesusasteraan, saya mahu mahasiswa menyertai saya, melihat sisi kebaikan dan manfaatnya dalam kehidupan yang dijalani seperti yang diajukan di dalamnya. Benar, sayang sekali ilmu yang diikuti hanya tinggal pada nota yang dicatat atau terbiar pada lakaran teori semata-mata untuk lulus ujian. Kepada mahasiswa saya semester ini, mudah mudahan Sdr dirahmati dengan ilmu yang bermanfaat, Insy...
Image
AM baru merasakan akrabnya AM sekarang dengan al-Qur'an, mummy. Itu suara kalbu AM yang sangat tulus saya pernah dengar. Allah ya Allah. Mahunya saya dakap AM kejap. Saya sangat berharap pada usia 12 tahun, AM sudah mengerti apabila acapkali saya katakan, mummy doakan AM diikat hatinya untuk cintakan Allah, cintakan Rasulullah, cintakan al-Qur'an dan cintakan solah. Mummy percaya hanya al-Qur'an yang terbaik untuk AM. Pengajian al-Qur'an dan bahasa Arab AM baru memasuki bulan kedua. Saya masih dan terus berdoa sungguh sungguh, mudah-mudahan diterangkan hatinya. Mendengar kisah tahajjudnya sebelum solah Fajr dan puasa sunat membuatkan Z terkasima. Subhanallah wabihamdihi, subhanallahil adzim.
Image
Saya kembali ke rutinitas asal. Menjelang Isya', hp akan saya matikan kecuali kecemasan. Selain mata tua yang sangat letih dengan cahaya dan radiasi dari skrin hp, tab dan pc di ruang kerja sepanjang hari, saya seringkali jadi mual dengan teknologi komunikasi. Saya mula rindukan percakapan yang tulus. Atau sering juga saya rindukan kesendirian. Benar bukan, sendiri itu membawa kita lebih mengenali diri. Sendiri itu menuntun kita ke ruang rahasia yang sekian masa terhijab dengan apa yang kita sendiri kurang mengerti tentangnya. Sendiri itu seperti guru yang datang membawa tangan dan memandu kaki kecil saya untuk melangkah dengan kerendahan hati, menyedari yang saya ini tidak ada apa-apa. Maka untuk apa saya mahu orang lain peduli dengan kewujudan saya itu.
Image
Dalam mana-mana untaian rafik (ini judul cerpen lama saya), detik yang paling menghibakan adalah saat perpisahan. Sewaktu di sekolah dahulu, ketika ketua kelas berucap mewakili kami, antara lain skripnya berbunyi, jika takut pada perpisahan, usah berani mulakan pertemuan. Benar juga. Namun satu lagi dalam sesebuah persahabatan yang lebih menjadikan jiwa gundah gulana adalah apabila kehilangan sahabat al-Qur'an. Waktu kecil saya berpindah guru mengaji dari Temasek kemudian menyeberang selat, mengakibatkan saya kehilangan sahabat al-Qur'an. Saya sudah pernah merasakan kekosongan dan tiada sesiapa untuk berbahagi di mana ain  Subuh tadi atau Maghrib nanti. Atau perlumbaan, adakah dia lebih ke hadapan atau manisnya saat kami berhenti di ain yang sama tanpa dirancang. Hanya sekarang saya dapat berdoa, bacaannya terus maju, terjemahannya diikuti dengan minat seperti selalu dan tadabburnya sangat seluruh, walau harus sendiri sendiri. 
Image
Sebuah kumpulan cerpen lama sahabat saya, Uthaya Sankar SB, judulnya  Yang Aneh-aneh. Benar, banyak keanehan sepanjang jalan yang kita lintasi. Melihat kiri atau tengah dan penjuru tenggara yang mungkin sama sekali tidak pernah kita terfikirkan. Aneh juga hp saya yang dikatakan pintar, membawa kembali perutusan lama yang sekian tahun pernah dikirim. Anehnya, ia tidak pula dapat dipadamkan. Aneh memang. Atau saya sebenarnya yang masih tuli dengan teknologi komunikasi. Keanehan itu juga seperti baru menyedari bahawa sahabat yang sekian masa dihormati kerana jujur dan tulus, namun pada ketikanya tidak menjadi begitu. Dalam keanehan  mengenangnya, saya si dungu ini belajar lagi , ternyata tidak semua kebahagiaan itu senang untuk dibahagi dengan orang lain. Ketika yang sama hp pintar saya menerima titipan tentang ikhlas pula. Maka saya diasuh lagi untuk lebih mengerti perihal yang paling sulit dalam hidup. Ya, berikhlas. 
Image
Mengimbas apa yang sudah menjadi semalam, sama perasaannya seperti menyelak album lama. Rencamnya rasa, sama ada mahu memadam hilang apa yang sudah menjadi kenangan atau rasa yang tidak mahu menjalaninya sama sekali. Saya mulai belajar untuk melerai, melepaskan dan meninggalkan apa yang sekian masa bersahabat. Dan tidak pernah siapa tahu takdirnya berjalan sedemikian rupa.  
Image
Beberapa sahabat sempat melihat si cantik ini. Sejak malam munculnya, saya tidak keluar rumah mahupun menyelak langsir kamar dan menjenguk langit. Ada bujukan yang sering juga tidak saya pedulikan. Mengapa dan saya tidak punya jawabnya. Bukankah ujar al-Qur'an segalanya adalah kembali kepada dirimu sendiri. Menyudahkan surah Muhammad, sekali lagi saya menemukan hal kembali kepada diri. Antaranya, saat kamu diajak untuk berinfaq sedang kamu kikir, maka sebenarnya kamu kikir terhadap dirimu sendiri. Allah ya Allah. Benar, segalanya kembali kepada diri, kembali kepada hati. 
Image
Mahasiswa sedang menghabiskan cuti yang berbaki kurang lebih dua minggu lagi. Sementara  kami yang masih di kampus, inilah masanya dengan berderetan siri perbincangan, mesyuarat, penyelidikan, penyediaan laporan atau menulis untuk pelbagai tuntutan. Ternyata belum masanya untuk bercuti. Namun tabiat saya nanti mengambil kerehatan pada hari yang tak terduga. Di tengah minggu atau kadangkala saat kepala saya penuh dengan tarikh-tarikh yang menyeret saya masuk ke ruang kesunyian. Di situ nanti akan saya temukan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah sangka. Mungkin sahaja saya akan bersua dengan sahabat baru atau dia yang jauhnya datang dari masa lalu yang hanya baru kini kami saling mengenali. Ya, setelah sekian masa, terhijab tahun. Sdr fikir kami terlewat, saya fikir tidak begitu. Seperti titik akhir nanti, datangnya sedetik tidak lambat mahupun tercepat. Begitu juga takdir untuk bertemu kembali atau kelak, waktunya persis, waktunya telak.   
Image
Kata Rumi, kehidupan ini adalah ketimbang antara upaya mempertahan atau melepaskan. Seringkali kita fikir, melepaskan itu adalah suatu yang sengsara, sedang sekiranya  kita dapat mempertahankan, bahawa ia adalah sebuah keberuntungan. Benarkah? Dia Yang Maha Tahu dan Maha Mengatur setiap satu. Sedangkan saat belajar untuk melepaskan dengan berikhlas hati, menaruh keyakinan bahawa Dia menyediakan yang lebih baik nanti, saya percaya ia adalah bujukan yang membijakkan. Apa lagi yang lebih baik selain solah dan sabar (dan syukur) ketika kehilangan itu berdiri di lawang akhir. Bertabahlah. 
Image
Saya selalu bertembung dengan  masa yang tidak memihak.  Saat saya memerlukan masa untuk duduk dan mendengar apa yang mahu saya perkatakan, ternyata dia, masa ,  tidak endah atau sepertinya tidak pernah mendengar talun suara saya yang mungkin memanggilnya dalam vakum. Atau saya ini memang tidak tahu erti bersyukur.
Image
Minggu permulaan tahun baru yang padat dengan kerja semakan markah ujian mahasiswa. Ya, bukan sedikit, ia mencecah ratusan. Penilaian manuskrip yang juga sedang menunggu giliran. Beberapa catatan yang minta diladeni juga dan segera. Hingga berasakan saya ini sangat tidak berlaku saksama terhadap banyak hak yang perlu dipenuhkan. Namun aneh, dalam melihat akan masa yang meletus letus dan menyesali betapa saya ini begitu menzalimi, satu ruang yang saya sedari memerhatikan saya untuk sekian masa. Saya diminta untuk mencari bangku. Duduk dan mendengar sepinya.  
Image
Musim dingin begini, saya senang sekali melihat awan dan banjaran yang berkawan. Pernah saya menulisnya sebelum ini. Ia adalah pemandangan yang saya nantikan setiap kali menuju jalan pulang ke rumah. Apalagi musim angin aneh begini, saat awan dan kabus menjadi rendah dan  kita tidak dapat mengagak apa yang ada dalam hati, dalam jiwa, dalam kalbu. Segalanya seperti tidak mahu diberitahu. Ya, segalanya mahu terus menjadi diam. Pernah dalam satu kuliah dhuha saya tanyakan kepada Ustaz, lebih bagus bersahabat dengan malaikat yang sentiasa ada, sentiasa baik kepada kita. Ya, bersahabat dengan para malaikat. Dulu, waktu kecil saya dibayangkan malaikat hidupnya dalam dunia kabus, dalam dunia awan. Sedang sebenarnya dia sangat dekat. Dan selalu ada. 
Image
Saya seperti selalu dan sejak dulu menerima pedoman ini: usah angkuh. Seringkas itu. Semudah itu pesannya. Dan saya tahu jalan tuntunannya menuju dua persimpangan perhentian akhir nanti. Menekuni surah Luqman kelmarin, kami menanggap yang sama akan makna kepongahan: Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri ~ Dan sederhanakalah kami dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. Betapa ia sangat mendidik terus akan kerendahan hati. Ternyata ia tidak sukar hanya setiap kali mahu jadi sombong, yang diingat ialah asal usul penciptaan diri dan selanjutnya bertanyalah, apa yang dimiliki daripada semua yang ada ini. Melihatlah sesiapa sahaja dengan seluruh kasih. Dan saya juga tidak mahu jadi keldai, ya Allah.
Image
Simpang cuaca. Daripada terik, sekejap akan bertukar hala ke tikungan gerimis malah dengan geluduk dan seluruh rusuh. Sebentar datang dan hilang, sering juga menjuakkan keliru yang menjadikan saya dungu sedungunya. Melihat ke luar tingkap, daun yang jatuh kian jauh dari dahannya yang sunyi dan sendiri. 
Image
Berapa pagi, berapa senja atau berapa malam yang sangat bersahabat dengan sdr? Hampir setiap petang menuju jalan pulang, saya sering menanti-nanti untuk menatap dua sahabat itu. Ya, menuruni sedikit lereng, ayuh kita namakan ia, Lembah Sukma, saya akan dibentangkan sekumpulan awan dan banjaran yang berkawan. Sangat indah. Seperti juga pagi ini, hujan yang turun sepanjang jalan, seperti mahu sekali bersahabat dengan gerimis dalam hati saya. Mengenang semakin sukar saya ini dimengerti, ia benar-benar satu pathetic fallacy , mencengkamnya jauh ke hujung hati. Walau saya suka sekali mendengar suara hujan, merenung tiap satu, hingga tidak mahu ada saat teduh tiba. Aneh, seperti hanya dia yang mahu cuba masuk dan duduk, menuruti tiap apa yang tidak dimengerti ini. Namun, tidak ada apa yang ditemukannya. 
Image
Benar. Ada yang Disimpan-Nya daripada pengetahuan kita, untuk memadam duka dan lara. Perpisahan. Ada yang kita sudah tahu bila ia akan tiba. Persis tarikh dan saatnya. Kita sama ada jadi tertunggu-tunggu detik hiba itu atau sebaliknya ia tidak mahu kita hirau sama sekali kerana ia hanya akan menambah sengsara. Dan lebih mengharukan bagaimana kita akan meladeni hidup setelah sekian tahun rutinitas itu  dijalani bersama-sama. AM akan memulakan kuliah al-Qur'an dan bahasa Arabnya awal minggu depan. Satu fasa baru dalam kehidupannya, kehidupan kami. Mengurus hidup sendiri nanti, pasti banyak yang mendidik akhlak, hati dan pertimbangan AM. Memilih lajur al-Qur'an seperti kata F adalah jalan mukjizat. Pasti Allah tidak akan biarkan. Z dan saya meleraikan rutinitas kami demi jalan itu. Saya yakini, tidak ada yang lebih baik daripada ikatan terhadap surah suci, yang akan membersih dan memelihara hati. 
Image
Foto dari Utara Mahasiswa memulakan minggu ujian semester pertama yang bersambungan dari tahun lepas. Inilah yang saya katakan, tidak ada lagi makna tahun lalu dan tahun baru. Ia seperti larian sungai yang bergerak terus tanpa kita dapat menemukan sekali lagi zarah air yang serupa. Begitulah waktu. Pertanyaan ustaz dhuha kami, siapa antara kita yang dapat menjadi seorang yang sering bersyukur; antaranya dengan penciptaan waktu. Bersyukur saat dapat melihat matahari masih menurut hukum rutinitasnya. Dengannya kita lagi  punya waktu  untuk banyak perkara termasuk berbuat kebajikan dan memikirkan dengan tekun ihwal yang harus ditinggalkan, dicegah. Mudah-mudahan Allah redha. Foto dari Utara, titipan Dr H, juga ada bayangan rintihan yang seperti sebelumnya, menghilang tahun.
Image
Saya tidak meraikan tahun baru 2018. Saya hanya rasa terlibat kerana ia cuti umum, jika tidak saya akan meneruskan rutinitas pagi ke pejabat dan menjalankan kerja seperti selalu. Waktu itu baru saya sedar bahawa semua orang sedang bercuti. Pernah berlaku saya datang ke pejabat pada hari cuti umum dan mendapati fakulti gelap gelita. Ya, saya memang lucu. Lugu juga. Bagi Sdr yang meraikan, semoga 2018 lebih merupakan tahun kejayaan. Saya hanya mahu jadi lebih baik, walau hakikatnya saya tahu saya tidak lepas. Saya sering kandas. Oh ya, menuju tengah malam nanti, tidur saya akan dikejutkan dengan bising mercun dan gegar bunga api. Setiap tahun begitulah. Saya akan menjengah jendela kamar, mendongak ke langit malam dan kemudian menyambung lena.  
Image
Saat saya mengetik ini, hujan petang mengguyur dengan celahan geluduk. Bersandar dan memerhatikan hujan dengan turut mendengar suaranya, ternyata merupakan seni alam yang terindah. Apalagi sebentar, azan akan menyelinap antara basah, resah dengan belahan jurai palma yang berkawan di luar jendela. Sekejap reda dan bertukar guruh lagi, saya pernah mengharapkan agar gerak dan deru hujan akan terus dan terus bersama-sama saya di ruang kerja, menuju penutup tahun ini. Mungkin ini juga kesempatan untuk berdiam, menghimpunkan segala jalan panjang yang jelas sekali singkat apabila dikenang. Benar, bukankah berulang kali diingatkan, hanya jika kita benar-benar mengetahui, sebentar saja kita di sini. Malang sekali, sayalah yang kerap lupa. Saya. 
Image
1933 - 2017 Tidak kerap saya bertemu sosok terhormat ini. Sesekali ke Utara atau bertemu dalam acara rasmi di Ibu Kota. Namun antara ziarah yang tak mungkin saya lupa, pernah saya catat dalam entri 24 Januari 2014. Antara jalan rahsia yang sering dibentangkan, hati saya dapat dibacanya dengan cermat. Jelas sebutannya, Mawar harus selalu syukur dan sabar. Saya tidak akan melupakannya, pada ketika saya sangat memerlukan tuntunan dan ketika saya seperti terlupakan sekian nikmat yang Allah kurniakan. al Fatihah buat Cikgu Shahnon, segala yang datang dari-Nya akan kembali jua pada-Nya. Semoga diampuni dan diterima di sisi-Nya. 
Image
Sejak kecil saya sukakan kupang. Saya sering lupa bahawa saya anak kelahiran pulau yang pasti ada keterkaitan dengan pantai, angin asin yang melekit di kulit dan hidupan karangannya yang cantik. Ya, kupang. Ia tidak kurang menyangkutkan kenangan waktu kecil yang sehingga sekarang menjadi capahan pertelingkahan bawah sedar. Berdiri di tikungan yang asing ini, saya seperti mahu berlari ke teluk atau beluk belahan tanjung mana yang mahu menerima galau yang bertimpa timpa. Atau mungkin juga tidak  ada yang dapat memahami. Atau mungkin narasi tentang kupang ini sama sekali sukar dimengerti. Ya, ia ternyata bukan hanya perihal kupang yang suka saya rapikan karang hijaunya yang berlapis tona. Ia bukan hanya tentang keenakan urat jingganya. Saya fikir ia melangkaui makna kehadiran serta kewujudan yang kian tidak berjejak.
Image
Fakulti yang kian sunyi. Jalan kampus yang sudah tidak perlu saya berlari lari dengan bas dan kenderaan mahasiswa saban pagi untuk menuju kotak letak kereta. Mahasiswa mula memasuki minggu belajar sendiri, sebelum menduduki bulan ujian sepanjang Januari. Sangat jelas riangnya  bunyi unggas di luar ruang kerja saya, untuk menjadi dalil kesepian kian mengepung lembah hijau kami. Begitu juga sunyi dan sepi akan menjadi sahabat paling mengerti saat yang lain datang dan pergi seperti angin yang lewat dahan, antara kenangan dengan harapan. Saya meninjau pelbagai tugasan yang masih di meja dan folder komputer,  tarikh akhirnya bersambung ke Januari. Ia berwajah sepi juga. 
Image
Sebuah lagi hasil gubahan yang saya senang melihatnya di anjung rumah sahabat yang saya kunjungi beberapa minggu sudah. Ya, rumahnya yang menghala ke titik paling hujung tanah besar kami. Mudik ke pantai dan teluk atau sebenarnya saya menuju jalan rahsia mencarinya. Ternyata ia perjalanan panjang yang aneh berlapis bingung untuk mengambil arah mana; kiri, terus atau membeluk ke tikungan tenggara. Sedang saya tahu jalan mana pun yang saya pilih, nanti ia masih tidak akan termakbul. Dan saya akan menjadi sangat hiba mengenangkan tidak akan ada yang saya temukan melainkan kesempatan yang tidak mungkin dapat saya rangkul apalagi memiliki. Akhirnya seperti si ikan dalam lukisan batik ini, dengan sirip kecilnya ia kembali ke jalan mula, antara mahu terus mengenang dengan melepaskan setiap apa yang datang atas nama perih atau saja sengsara.
Image
Lukisan asal ini dirakam dari penjuru kediaman seorang sahabat zaman sekolah yang sempat saya berkunjung. Pohon aslinya pernah saya pelihara di sepanjang pagar rumah lama. Mengasihi semalam, saat kebersamaan yang ada, kadangkala menjadi seperti angin di pantai. Sering ia menjadi mimpi. Tidak jarang ia bertukar menjadi kelinci yang selalu hilang di celah daun dan kesempatan untuk mengelusnya. Aneh memang. Seperti  semalam juga yang mengheret saya ke runut yang mengelirukan.
Image
foto dari negeri salju i Saya menyalin dari tulisan kalbu. usai jalan menuju teluk banyak yang ditemukan  dari cambah, putik dan kudup nestapa hinggap di karang, kelong dan keasingan  aneh juga dari urat khatulistiwa, kelelahan hujung tahun memanjat ke lajur salju yang sepertinya mahu memujuk lalu ternyata ia semakin menganjur  menjadi hijab tipis  menghimpun kenangan, kebersamaan dan kesempatan. foto dari negeri salju ii
Image
Seperti jalan menuju teluk, tidak tahu apa yang akan kita temukan di laluan yang landai atau tiba-tiba nanti pemanduannya memacu sedikit membukit. Entah sama ada kita harus berhenti di tebing atau sahaja dibiarkan menunggu seenaknya angin kering lagi asin mengapung beraduk dengan kepentingan sendiri. Masih banyak yang tidak pandai diterka. Begitu berlapis kedunguan saya untuk selalu penuh ta'azim menerima apa juga tampang takdir mahupun surat nasib yang melayah lalu hinggap di riba.
Image
Saat tarikh akhir tugasan yang saling bertindan-tindan dan akhirnya menindih kepala dengan migraine yang berat, puisi ini memujuk saya, datangnya seperti memijat dan mengelus penuh kasih:  dari sayap-sayap burung kecil itu berguguran sepi, sepiku saat terhenti di sebuah taman ini daun jatuh di atas bangku di antara datang dan suatu kali pergi beribu lonceng berbunyi kekal sewaktu bercakap kepada hati lalu kepada bumi. Di sini aku menanti Puisi dari cd Sapardi  Sebuah Taman Sore Hari. Pernah ia   mengapung pada suatu senja, ketika bersusun kereta sepanjang menuju jalan pulang. Ia sebenarnya turut mengapung sama rasa dan getar paling rahsia dan sulit untuk dialih wahana. 
Image
Disember ternyata tidak lagi menjadi bulan yang dinanti-nanti untuk bercuti. Selain daripada Disember yang harus berbahagi petak takwimnya dengan Januari, dan ia sangat berlarutan panjang. Tidak seperti dahulu 31 Disember adalah garis penamat dan esoknya kita akan menumbuhkan ikrar baru. Keazaman untuk berlaku baik dalam segala hal, hampir menjadi mitos yang melucukan. Sedang kita cuba menjadi lebih baik daripada semalam (seringnya saya kandas), berlaku hampir selalu. Ia terjadi dalam beberapa ketika saat kesedaran untuk kembali menyala-nyala atau ia seperti melihat  kelibat sahabat saya si Putih (yang sudah lama perginya entah ke mana), melebarkan bukaan sayap untuk melayah. Indahnya untuk kembali.  Nyamannya untuk kembali. Kesedaran ini getarnya sama ketika saya membuka halaman pertama buku catatan harian baru. Saya akan menulis dengan tinta yang jelas, semahunya dirapikan, cursive yang saya lunakkan seperti waktu di sekolah rendah saya diajar menulis sambung . Iya, s...
Image
Untuk dua tahun menjalani penyelidikan di bawah dana KPT, saya mempunyai seorang pembantu. Ya, seperti PA. Alhamdulillah syukur. Enaknya mempunyai seorang pembantu yang banyak meringankan kaki tua saya untuk berurusan di tempat lain. Pembantu saya ini, namanya F, selain cekap memandu untuk membawa saya ke mana-mana, juga kelihatannya kami mempunyai citarasa yang sama. Sehingga F pernah memberitahu saya, beliau sudah mengenali saya. Cepat saya menjawab. Belum. F belum mengenali saya lagi dan saya menyambung di dalam hati, kerana saya sendiri belum mengenali hati saya sepenuhnya. Hati saya yang selalu berbolak balik, selalu berbeluk beluk dan tersandung dan jatuh. Allah ya Allah. Sukar sekali rupanya untuk kenal hati sendiri.  Apalagi untuk kenal hati orang lain. Hati dia yang sama sekali asing. Dia yang sama sekali jauh. Dia yang sama sekali menyeret saya ke wilayah aneh ini.
Image
Saya lupa besok cuti umum. Dan besok adalah hari besar meraikan Rasulullah. Saya sangat ingat kita  sedang menjalani bulan kelahiran Rasulullah, hanya tidak menyangka masa dan hari begini cepat berganti. Penulis buku  Seindah Sabda Rasulullah , menitipnya awal untuk persediaan membaca dalam menikmati rasa mencintai Rasulullah. Terima kasih Sdr Muhd Nasruddin Dasuki, senior dan guru dalam penulisan dan juga merupakan editor pertama yang menyiarkan karya saya sewaktu saya berusia 15 tahun. 
Image
Terima kasih Sdr Siti Haliza Yusop atas perhatiannya. 
Image
Sangat benar, dua nikmat yang sering terlupakan adalah kesihatan dan waktu lapang . Ia dibangkitkan dalam kuliah dhuha kami. Jarang sekali kita mahu mengangkat tangan untuk mensyukuri sihatnya kita ketika itu. Mungkin sahaja ia berbunyi aneh. Namun, alangkah manisnya nikmat berterima kasih saat kita memiliki. Allah ya Allah. Tanpa Allah perlu menguji kita dengan sakit, kita masih terus mahu menyitir syukur. Perihal yang sama, saat kita dalam batas masa yang tidak ditekan dengan deadlines, kita terus menadah tangan dengan berbisik kepada Allah, ya Allah terima kasih atas masa yang diberikan ini kerana dengannya saya dapat berbuat banyak kebaikan. Aneh, bukan? Sebaliknya, lazim kita sangat-sangat memerlukan Allah melapangkan masa ketika kita dihimpit beban kerja yang tidak sudah-sudah. Alangkah kita selalu menjadi yang bersyukur, tanpa garis batas. Ya, mencintai-Nya tanpa syarat.  Allah ya Allah. 
Image
Mahasiswa kami meraikan buku baru SM Zakir, 20 Cerita tentang Tuhan. Sepanjang semester ini kami menekuni 20 cerpen yang terhimpun. Membahaskan struktur. Muatan yang dibawa merentasi banyak jalan mengenal banyak perihal antaranya dari sifat Allah, sadaqah, ketulusan dan perempuan (ya perempuan bersayap). Zakir merupakan sahabat lama dan sering juga menjadi mentor dalam penulisan saya. Kepada mahasiswa saya katakan, belajar dari penulisan yang baik. Salah satunya daripada adalah buku dan pengarang ini.
Image
Saya sering bertembung dengan pertelingkahan dalam memilih antara mahu bersederhana, dengan protokol; kemudian akan segera terkurung dalam pagar formaliti. Dalam wilayah pekerjaan saya, itu antara yang melemaskan dan malangnya saya selalu tewas. Mendengar kisah teman-teman di Eropah atau negara sebelah sana, tantangan ini hampir tidak perlu mereka depani. Tuntutannya hanya terhadap hasil yang bermanfaat dan menggembirakan semua. Saya seperti mahu memasuki satu lorong rahsia dan menyelinap di dalamnya kemudian menemukan satu wilayah baru yang setiap satunya dalam bersederhana. Tidak ada salutasi. Tidak ada birokrasi. Tidak ada kekalutan dengan setiap satunya harus rasmi. 
Image
Dalam menjalani rutinitas, banyak perasaan sendiri yang sukar dilakar, sehingga ia memenuhkan seluruh inci dada. Menjadikannya ia satu wilayah buncah. Sering tidak jelas apa yang sedang dijalani. Suara sendiri juga sulit menyitirnya. Dan ia hampir tidak terdengarkan. Kadangkala ia menjadi cawan bancuhan warna yang tidak jelas kontur apalagi struktur makna. Semakin mahu diurai, nah, kian ia menjadi bauran yang kusut, ruwet malah. Maka tindakan yang paling bijak  adalah membawa diri ke ruang yang dapat mengamankan setiap keliru. Baris dan helai surah dari langit yang akan selalu memujuk dan selalu jujur. Ia melunakkan dan menawarkan rasa aman seperti menerima rinai di hujung jendela kamar pada detik dini.
Image
Saat mengetik ini, hujan musim yang mengguyur tanah, mulanya sangat berat kemudian saling bertukar sikap; lunak berselang hiba. Langit yang sudah kelabu, membawa sekian kali dia  menjarak walau dekat. Masa dan ruang yang merupakan antara teori kuliah kaji alam semasa mahasiswa, hampir tidak membawakan apa-apa erti lagi saat begini. Masa dan ruang yang sudah digenapkan dengan sepi. Sepertinya juga rutinitas dan formaliti melengkapkan segala menjadi sendiri. Sehinggakan Sar menyitir kepada dirinya, berusaha sebaik-baik untuk melupakan, tidak untuk melepaskan. Begitu rutinitas dan formaliti meledakkan kuasanya. 
Image
Antara rasa bersyukur dengan ketakutan sebenarnya, apabila saya didatangi banyak sekali peringatan. Subhanallah. Dan saya tidak pernah meminta (atau saya meminta di bawah sedar) untuk sering diperingatkan. Subhanallah ia datang dari setiap penjuru mata angin yang ada. Semuanya datang mengetuk pintu kesedaran tanpa saya sangka sama sekali. Ya Allah, bagaimana saya didatangkan sahabat yang  menuntun saya setiap hari  dengan postings untuk lebih dekat dengan kebaikan. Bagaimana saya mengenali sosok yang mencintai anak yatim dalam seluruh hidupnya. Bagaimana saya bertemu dengan sahabat pesawat yang mengasuh saya untuk berikhlas hati. Bagaimana dengan tiba-tiba yayi yang muncul untuk selalu mengingatkan saya tentang ilmu solah. Ada juga yang menitip risalah tentang mencintai Rasulullah. Allah ya Allah. Setiap waktu dini saya disapa sahabat al-Qur'an yang seperti bunyi penggera, di mana tempat berjeda bacaan surah kami. Apa lagi yang saya tunggu untuk menjadi hamba Allah yang ...
Image
Saya demam sekembali daripada ranah asing. Demam seperti selalu setelah lelah atau mungkin sahaja apabila memaksa diri untuk segera menyertai jalan rutinitas kembali. Ringkih atau menjadi cengeng dengan bagaimana saya diperlakukan oleh tarikh-tarikh akhir lagi yang menunggu giliran di meja kerja. Atau apa seperti yang dibentangkan buat Pingkan saat Sarwono ditempatkan di rumah sakit di penghujung halaman Hujan Bulan Juni, demikianlah Surat Takdir pun dibaca berulang kali tanpa ada yang mampu mendengarnya.
Image
Sering saya merasakan berjarak itu jauh lebih baik. Dalam berjarak itu akan terhimpun corak rindu yang paling cantik.  Saya rasakan memasuki negeri sepi yang lengkap. Banyaknya nanti masa saya membaca al-Qur'an dan puisi sama ada di ruang berlepas,  saat bersandar ketika pesawat membelah awan atau di lobi hotel tempat saya menginap. Ternyata dalam berjarak, saya lebih dimengerti dan  disantuni. Saya seperti dapat rasakan kaki saya sangat berat mahu menolak troli bagasi menuju ruang ketibaan nanti dan lajur rutinitas kembali.
Image
Benar, kurang lebih 40 tahun saya tidak ke pawagam. Dia memujuk dan menyeret saya bertemu dengan Sarwono dan Pingkan. Hingga memperkenalkan saya tentang  mereka bahawa kasih sayang itu beriman pada senyap. Kasih sayang itu mengungguli segalanya menembus apa yang tidak bisa dipahami oleh pengertian  pinggir jalan. Kasih sayang juga ternyata sebuah ruang kedap suara yang merayakan  senyap sebagai  satu-satunya harap.  Atau bagaimana nanti kasih sayang menyatukan sukma yang pernah hidup di ruang rahasia dalam lajur penciptaan, akhirnya membawa kepada pertemuan baru ini. Kasih sayang yang saya jalani di perbukitan Banyumanik.