Benar. Ada yang Disimpan-Nya daripada pengetahuan kita, untuk memadam duka dan lara. Perpisahan. Ada yang kita sudah tahu bila ia akan tiba. Persis tarikh dan saatnya. Kita sama ada jadi tertunggu-tunggu detik hiba itu atau sebaliknya ia tidak mahu kita hirau sama sekali kerana ia hanya akan menambah sengsara. Dan lebih mengharukan bagaimana kita akan meladeni hidup setelah sekian tahun rutinitas itu dijalani bersama-sama. AM akan memulakan kuliah al-Qur'an dan bahasa Arabnya awal minggu depan. Satu fasa baru dalam kehidupannya, kehidupan kami. Mengurus hidup sendiri nanti, pasti banyak yang mendidik akhlak, hati dan pertimbangan AM. Memilih lajur al-Qur'an seperti kata F adalah jalan mukjizat. Pasti Allah tidak akan biarkan. Z dan saya meleraikan rutinitas kami demi jalan itu. Saya yakini, tidak ada yang lebih baik daripada ikatan terhadap surah suci, yang akan membersih dan memelihara hati.
Comments
Sampai hati tidak singgah!
Semoga Dituntun-Nya terus.
Semoga tempat sandaran itu selalu ada.