Posts

Showing posts from November, 2020
Image
  Pagar kayu rumah saya ada sebahagian yang mula diminta untuk diganti. Di atasnya berlingkaran ranting, daun dan kudup kesidang. Bersebelahannya juga ada dahan kemboja, dan tetangga mereka adalah kemuning yang sudah pecah pasunya akibat akar yang semakin meliar. Semuanya itu akan terjejas dengan pembaikan pagar yang hampir mencecah belasan tahun. Pastinya saya menangis apabila kemuning dipaksa tarik keluar, diputuskan akarnya untuk dipindahkan ke pasu yang lebih lebar. Sekarang daunnya tidak segar seperti selalu, belum terlihat ia akan berbunga lebat lagi. Sepanjang musim kurungan ini, saya bersama sama mereka pagi dan petang. Semakin saya melihat daun yang kian luruh, saya belajar untuk merelakan. Bodohnya saya untuk tidak memahami makna kesementaraan. Dungunya saya untuk masih mengharap kebersamaan. Saya mula berikhlas hati untuk melepaskan, Sdr. 
Image
  Lucu. Pagi ini saya bersiap di depan skrin untuk mesyuarat. Rupa-rupanya bukan hari ini. Besok. Saya kian merasa menjadi mesin. Menjadi robot. Setiap pagi rutinitasnya, buka skrin dan bersiap untuk online. Ini kelaziman baru jugakah? Saya tersandar. Takut. Sedih. Bimbang. Semua menghenyak saya yang semakin tidak bermaya. Akhirnya, ia tidak menjadi lucu, Sdr. 
Image
 Selamat datang Prof Wiyatmi ke Kampus Hijau kami di Bangi!
Image
  Maaf yang dalam kepada Panitia.  Saya tidak dapat meneruskan pembentangan kerana masih dalam hari mengenang Abah. 
Image
Abah mertua saya berpulang Isnin lalu. Kehilangan yang panjang. Al fatehah. 
Image
  Banyak yang saya belajar dari karya almarhum Pak Malim. Al Fatehah....
Image
  Sejak PKP terbaru ini bermula, saya memastikan meja kerja saya di rumah rapat dekat dengan jendela. Agar saya masih merasakan saya berada di ruang rasmi seperti ruang kerja saya di kampus. Benar, Saudara ini antara isyarat keterikatan saya dengan meja kerja saya di fakulti yang sudah ditinggal lama. Sebak pastinya membayangkan taman kecil, penjuru sajadah, meja yang sering saya raikan mahasiswa datang antara waktu saya menulis atau mencari buku di tempatnya, dan ya hawa bilik yang saya kenal sekali. Jadi sepanjang bekerja di rumah, perihal yang sama cuba saya hadirkan. Sesekali ia tumbuh. Sesekali saya harus mencari arah. Kemudian ia hilang dan saya percaya tak perlu saya mendesah memeriksa mencari lagi. Saya percaya sudah menemukannya.   
Image
  Beberapa minggu ini saya menelaah TAADA - Tanah, Air, Api dan Angin milik almarhum Pak Malim. Banyak yang saya pelajari. Tentang tanah. Tentang air. Tentang api dan angin. Daripada perihal hak, ecotherapy, ilmu pulau dan air, saya sangat dituntun tentang perancangan manusia dan takdir menerusi  api dan angin.  Saya terus mendoakan kesejaheteraan sasterawan ini yang ilmunya mengalir nyaman.
Image
  Dalam kuliah kelmarin, saya bercakap bagaimana gandingan ilham dan ilmu dari al-Qur'an yang sangat membekas dalam jalan kepengarangan saya. Mungkin sudah beberapa kali saya ulang. Saya sering juga sambil itu bertanya kepada sahabat mahasiswa, sudahkah Sdr membuka laman al-Qur'an hari ini. Pasti antara jawapan yang saya terima adalah belum sempat, belum lagi, dan nanti . Saya memberitahu mereka, termasuk Lian, Kez dan Jess, keperluan saya membuka al-Qur'an setiap hari, setiap dini, adalah kerana al-Qur'an menawarkan tiga kemujaraban yang saya perlukan, iaitu syifa, huda dan rahmah . Mengapa? Saya memberitahu mereka bahawa saya sakit, sesat dan sendiri setiap hari. Ya, 3S. Maka saya sangat menghajatkan ubat, arah dan cinta. Ubat yang merawat sakit, arah menuntun petunjuk dan cinta saat saya sepi. Semua itu saya peroleh dari al-Qur'an. Maka saya jadi aneh jika Sdr tidak cuba mendapatkannya, bilang saya kepada mereka. 
Image
  Setiap kali di sini,  pasti saya akan mengingatinya.  Saat merenung si bulan penuh. Saat berada di jalan kebaktian.  Dia selalu akan datang menyuluh.