Dalam kuliah kelmarin, saya bercakap bagaimana gandingan ilham dan ilmu dari al-Qur'an yang sangat membekas dalam jalan kepengarangan saya. Mungkin sudah beberapa kali saya ulang. Saya sering juga sambil itu bertanya kepada sahabat mahasiswa, sudahkah Sdr membuka laman al-Qur'an hari ini. Pasti antara jawapan yang saya terima adalah belum sempat, belum lagi, dan nanti. Saya memberitahu mereka, termasuk Lian, Kez dan Jess, keperluan saya membuka al-Qur'an setiap hari, setiap dini, adalah kerana al-Qur'an menawarkan tiga kemujaraban yang saya perlukan, iaitu syifa, huda dan rahmah. Mengapa? Saya memberitahu mereka bahawa saya sakit, sesat dan sendiri setiap hari. Ya, 3S. Maka saya sangat menghajatkan ubat, arah dan cinta. Ubat yang merawat sakit, arah menuntun petunjuk dan cinta saat saya sepi. Semua itu saya peroleh dari al-Qur'an. Maka saya jadi aneh jika Sdr tidak cuba mendapatkannya, bilang saya kepada mereka.
Comments