Semester baru, semester kedua bermula hari ini. Kuliah saya pada setiap Selasa dan Khamis. Seperti selalu, rasanya saya sangat teruja untuk bertemu mahasiswa dengan perihal baru dalam kuliah yang saya kendalikan. Semester ini saya mahu mengajak mahasiswa bersahabat dengan kitab Syekh Ibn 'Athaillah ini, al Hikam. Pertama kali saya mengetahuinya menerusi kajian disertasi mahaguru saya, Dr Shafie Abu Bakar (ramai yang beranggapan saya anakanda Dr Shafie). Begitu akhir-akhir ini saya sering dititip baris kata yang sangat mengilhamkan dari kitab penuh kebijakan ini. Menerusi mata pelajaran kesusasteraan, saya mahu mahasiswa menyertai saya, melihat sisi kebaikan dan manfaatnya dalam kehidupan yang dijalani seperti yang diajukan di dalamnya. Benar, sayang sekali ilmu yang diikuti hanya tinggal pada nota yang dicatat atau terbiar pada lakaran teori semata-mata untuk lulus ujian. Kepada mahasiswa saya semester ini, mudah mudahan Sdr dirahmati dengan ilmu yang bermanfaat, Insya-Allah.
Comments
Terima kasih atas perhatian ini. Meminjam baris kata SN Prof Muhammad Haji Salleh, bukanlah satu bangsa yang besar, tanpa mempunyai sasteranya sendiri.